July 22, 2011

GERILA

Sedang membaca novel ini untuk kali ketiga, saya suka cerita novel ini. Ia penuh dengan konflik, konflik kuasa, konflik emosi dan konflik jatidiri. Kisah tentang juruterbang kapal pejuang Malaysia yang memburu kebebasan kuasa kendiri. Beliau diselamatkan barisan pejuang pembebasan Wilayah Patani setelah kapalnya terhempas di hutan sempadan. Episod itu menyaksikan pembabitan beliau dalam gerakan pembebasan tersebut, sehingga bertemu beberapa episod tempur. Novel ini agak kontoversi, seperti tagnya 'berdasarkan pengalaman sebenar ditulis oleh bekas gerila dan bekas tahanan ISA'.
Terima kasih ABANG (gelaran untuk adik lelaki tunggal saya, Zulkifly) di atas hadiah ini. Zul, adik saya yang sangat memahami minat saya dengan buku, dan novel ini adalah hadiah ulangtahun kelahiran saya darinya.

Edisi Ogos 2011

Hari ini tersenyum buka peti surat..majalah kesayangan sudah di tangan. Pagi-pagi lagi saya dah membelek dan membaca 'kamera' edisi bumper kali ini. Seperti diwar-warkan, edisi Ogos membincangkan tentang puasa, ketika kehamilan (juga relevan untuk ibu menyusu anak), juga bagaimana mengajar serta mengajak anak-anak berpuasa. Isu anak prasekolah juga sangat menarik; mengajar anak suka menulis dan bagaimana menangani anak yang kurang minat membaca.
Topik bulan ini bertajuk 'Bulan-bulan Awal Bersama Bayi Baru'. Edisi bumper kali ini tidak sekadar menyediakan maklumat berwarna-warni, ruangan bonus juga sangat mengujakan!Kepada ibubapa yang cenderung asuhan alami banyak tawaran berbaloi yang dicadangkan. Pembacaan 'kamera' saya akan bertukar sebentar lagi..'dari muka ke muka'..:)

July 20, 2011

Rezeki Tak Nampak


Apabila bercerita tentang susu ibu, tak pernah dengar penafian kebaikan dan keberkatannya. Catatan ini bersifat peribadi dan kendiri hasil dari pembacaan dan pengalaman. Apa yang pasti saya sedang menikmati saat-saat indah seorang ibu; membesarkan anak dan menyusukan anak. Ketika kelahiran anak pertama saya belum cukup ilmu dan keterujaan untuk menyusu penuh anak. Keinginan dan kesungguhan itu memang ada, cuma saya agak patah dengan keadaan 'susu tak cukup' seawal Amar 2 bulan. Bila dibawa berjumpa doktor, berat Amar tak naik dan doktor nyatakan susu saya tidak menampung keperluannya. Ketika itu, meskipun sokongan suami sangat kuat tetapi faktor kekurangan pendedahan dan 'cakap-cakap' orang 'lama' menyebabkan Amar ber'susu campur'. Suami pilih susu formula berasas soya dan mengelak untuk memberikan susu formula lain. Hasilnya..Amar menyusu susu ibu sehingga 4 bulan dan selebihnya dengan susu formula.
Kelahiran permata kedua, saya tingkatkan iltizam untuk menyusu penuh Iman sehingga 6 bulan. Alhamdulillah..pam susu berkuasa bateri yang digunakan juga ketika Amar kecil saya optimakan penggunaannya sebaik mungkin. Meskipun pam tidak berjenama mahal dan sedikit halangan 'kejutan budaya' ke atas pengasuh, Iman berjaya saya susukan penuh selama 6 bulan. Ketika dia menginjak usia 6 bulan saya bekalkan pengasuh makanan pejal yang dikisar dan dimasak sendiri. Hanya ketika Iman 8 bulan baru saya berani bekalkan dia biskut dan susu formula soya untuk tambahan, kerana kesilapan saya yang tak tentu dan kurang selera makan, susu saya tidak memadai untuk keperluannya yang semakin bertambah usia.
Kehamilan anak ketiga adalah sesuatu yang tak terjangka. Saya tekad, seawal kehamilan itu saya telah merancang untuk berhenti kerja, dan menumpukan sepenuhnya tenaga dan kasih untuk permata-permata hati. Iman masih menyusu badan ketika kehamilan ketiga, agak kalah dengan keadaan fizikal yang memerlukan zat tambahan di samping pola pemakanan yang tak menentu, doktor menyarankan Iman yang berusia 20 bulan bercerai susu. Suami sangat membantu ketika kehamilan ketiga semente saya adalah seorang yang bermasalah ketika mengandung. Tulang pinggul saya ada sedikit masalah, berkemungkinan kesan aktiviti ketika remaja, dan ada gangguan pada saraf di bahagian belakang badan menyebabkan saya kadangkala langsung tidak boleh berjalan.
Alhamdulillah kelahiran ketiga ini saya dedikasikan sepenuhnya tumpuan terhadap anak-anak. Susu ibu yang terhak sejak azali lagi menjadi usaha utama saya untuk Rayyan. Saya cuba tingkatkan selera makan saya dan kerapkan minum air supaya bekalan susu saya mencukupi untuk buah hati pengarang jantung Ummi. Saya ketepikan cakap-cakap orang, kesampingkan cabaran-cabaran kecil~sakit, kerap lapar, baju basah. Apalah sangat berbanding khasiat dan berkatnya. Rayyan hampir 7 bulan..telah melepasi 6 bulan eksklusifnya, saya berazam dan berdoa rezeki susu ini menjangkau 2 tahun dan lebih. ...perkenankan Ya Allah..amiin.