July 27, 2012

Ramadhan~7 hari Amar


Sekejap sahaja sudah 7 Ramadhan. 7 hari juga Amar berpuasa. Alhamdulillah. Ini tahun kedua untuknya, tahun lepas dia dapat 10 hari. Moga tahun ini lebih baik. Pada hari pertama dan kedua Amar buat perangai lapar di tengahari, siap marah-marah adik-adiknya yang saya suap di tengahari. Mujur ketika itu di rumah keluarga mertua, kakak-kakak sepupunya pun berpuasa..adalah motivasi dan contoh untuknya.

Masuk hari ketiga, saya agak risau sebab dia bersekolah. Sangkaan meleset sama sekali. Dia ceria ketika saya ambil di tabikanya. Siap ada bekalan untuk berbuka. Saya menyambut baik tindakan guru tabika Amar yang turut menggalakkan anak-anak muridnya berpuasa. Sepanjang pengetahuan saya, makanan pagi masih disediakan kerana ada murid yang belum berpuasa, ada yang 5 tahun dan ada juga yang baru belajar. Manakala untuk murid yang berpuasa, makanan akan dibungkuskan dan dititip pulang sebagai juadah berbuka. Secara tidak langsung murid yang kecil dan baru belajar boleh mencontohi rakan-rakan yang berpuasa, murid yang berpuasa pula lebih bersemangat untuk terus berpuasa.
Doa saya, semoga anak-anak saya terus diberi kekuatan dan kesabaran untuk berpuasa, tahun ini, tahun depan, tahun seterusnya dan hingga akhir hayat..amiin.

July 26, 2012

Ketuk-ketuk Ramadhan



Rancangan masak memasak memang saya suka, walaupun tak berapa rajin memasak..tapi sangat suka tengok orang masak. Ketuk-ketuk Ramadhan adalah di antara rancangan masakan yang hanya ada di bulan Ramadhan..:).

KKR ini saya suka sebab menunya ringkas, mudah faham dan senang-senang saja. Sedap?itu belum pasti, bergantung kepada tukang masak, kaedah dan bahannya, lagipun tak boleh nak rasa-rasa. Sesuailah untuk urusan masak memasak di bulan puasa ni, tak perlu mereka-reka lauk pauk yang aneka ragam. Sederhana lebih baik..

Ramadhan Kareem~Senyum Bonda


Alhamdulillah, diari awal Ramadhan tahun ini dimulakan dengan berpuasa bersama keluarga. 1 Ramadhan kami pulang ke Batu Laut, berbuka bersama keluarga suami. Tersenyum lebar mak dan abah dengan kehadiran semua anak, menantu dan cucu-cucu. Makanan dan lauk-pauk jadi lebih sedap bila hati-hati rasa bahagia. Saya dah lama tidak meng’imam’kan tarawih, malam 2 Ramadhan berkesempatan dan berpeluang berjemaah bersama mak mertua,ipar-ipar dan anak-anak saudara perempuan..teringat pula zaman berusrah bersama ADWAMAH..rindunya saya dengan mereka.

2 Ramadhan, kami bertolak pulang sekitar jam 3.00 petang. Suami saya bertanya;’Nak buka dengan mak tak?’. Hati saya sangat kembang..alhamdulillah, suami seakan mengerti bisikan rindu saya untuk berbuka dengan mak sendiri. Perjalanan bertamu bonda memang barokah, kami sempat membeli juadah ringkas sebelum tiba di rumah mak. Sejurus sebelum waktu berbuka, kami dah sampai rumah mak..alhamdulillah! Saya sangat suka dan bahagia dengan senyuman mak..:)