March 23, 2013

Pertandingan Mewarna IMAN

Beratur ambil hadiah

'Peace'

Terima Kasih

Gambar-gambar ini diambil ketika Iman menyertai pertandingan mewarna sempena Majlis Penerangan Konsep TBK di Fasa 3, Bdr Puncak Alam. Serentak dengan majlis perkahwinan Salleh dan Seriewah, saya sempat-sempatkan diri dan masa menghadiri program Iman dengan bertemankan Rayyan.

Atas kekurangan maklumat dari hebahan program, Iman tidak memakai uniform ketika majlis ini berlangsung. Lantaran itu atas dasar 'sense of belonging' Iman enggan menyertai pertandingan mewarna tersebut pada asalnya. Jenuh juga memujuk anak dara yang 'determine' macam Iman untuk dia turut serta pertandingan mewarna yang disertai semua rakan-rakannya. Tak makan pujuk dan saya berdiri hampir sejam disisinya bagi menaikkan 'mood' Iman.

Bila acara berlangsung dengan ucapan dan nyanyian koir anak-anak TBK, barulah Iman mula 'kendur' dan akur menurut gurunya. Alhamdulillah bila selesai pertandingan, elok-elok sahaja Iman beratur bersama kawan-kawannya, bila tiba giliran ambil hadiah, boleh pula dia beratur di hadapan sekali!

Iman..Iman..:)

Tren Merah

Rayyan the Ninja


Kakak Iman

Siapa yang biasa ke Giant 13, mesti biasa dengan kereta-kereta kecil warna merah ni. Meskipun sudah menetap di Alam Jaya, Giant 13 itu tidaklah sejauh mana bagi kami. Jenuh membeli keperluan, di sudut taman permainan inilah lazimnya anak-anak kami bermain seketika. Amar sudah pasti ralit memanjat gelongsor tertinggi, adik-adiknya pula lebih gemar melayan kereta 'berlagu'. Tak payah bayar pula tu, jenuhlah menunggu Rayyan 'bawa' tren merah. Sudahnya, saya matikan suis di dinding, kalau diikutkan kehendaknya tak balik lah jawabnya :)

Kek Burger

Princess and Queen

Kek Burger
 
Semalam letak gambar kek anak-anak, hari ini saya 'tepek' gambar kek saya pula. Bezanya kek saya, kek burger! :)

March 22, 2013

Perginya As Syahid

Pagi-pagi ini, slot Assalamualaikum di TV Alhijrah dimulakan dengan makluman berkaitan perginya As Syahid Sheikh Said Ramadhan Al Buti ke rahmatullah. Beliau telah terbunuh dalam serangan pengebom berani mati ketika berada di masjid tempat beliau mengajar semalam, dan sesungguhnya berita kematiannya adalah satu berita yang menghibakan umat Islam di pagi Jumaat ini.

Tatkala dunia bergolak dengan anasir-anasir fitnah yang berleluasa, di kala umat Muhammad memerlukan suluhan ilmu para 'ulama dan fuqaha', kehilangan ini pastinya kehilangan yang besar buat dunia Islam.

Allahummaghfirlahu Warhamhu Wa'fu'anhu.. Innalillahi wa inna ilaihi raji'un.

Ujian Prestasi KAFA

Mumtaz


Minggu ini minggu terakhir persekolahan sebelum cuti pertengahan semester bermula 23 Mac. Baru-baru ini Amar pulang dengan kertas-kertas Ujian Prestasi KAFA. Amar dan gayanya, dia bukannya peduli kertas-kertas ujiannya bersusun atau tidak, apatah lagi nak dimasukkan kemas-kemas ke dalam beg. Jenuh saya menyuruhnya lebih cermat. Dia balik hari itu dengan tangan memegang kertas-kertas ujian, dengan keputusan yang agak memeranjatkan dan membuat saya dan suami tersenyum sesama sendiri. Maka kami tercongak-congak bagaimana sebenarnya prestasi Amar di KAFA tersebut.
 
Keesokan harinya saya hubungi Ustazah Azlina, guru kelas Amar di 1 An Najmi, tanyakan perihalnya di kelas.
 
 
Saya dimaklumkan Ustazah Azlina,
 
'Amar ok..cepat faham apa diajar, cuma dia selalu tidur-tidur masa mengajar, tersengguk-sengguk dia bila ustazah mengajar'
 
'Maaf ustazah, nampaknya anak saya tu dah mewarisi tabiat saya..ummi dia pun selalu tidur-tidur masa sekolah', tiba-tiba saya teringat para pengajar dan guru-guru saya yang sering menegur saya yang sering terlelap ketika belajar.
 
 
'Tak jadi masalah, walaupun Amar pejam-pejam mata..tapi result dia ok'
 
 
'Sebenarnya, Amar dapat nombor berapa Ustazah?' malu-malu saya bertanya.
 
 
'Eh..Puan tak tahu ke? Dia dapat nombor dua dalam kelas, saya sertakan sekali slip keputusan dia pada kertas ujiannya' terang beliau. Rupa-rupanya kertas ujian lepas disertakan dengan slip keputusan. Entah manalah agaknya cicir slip berkenaan.
 
 
Semalam, Amar pulang dengan slip yang berfotostat. Fotostat pun fotostatlah, yang penting saya maklum akan keputusannya..bertulis!
 
Tahniah Amar!



March 21, 2013

Gambar Kek

Saya ingin abadikan dalam entri ini gambar-gambar kek anak saya ketika hari kelahiran mereka yang lepas. Saya tidak berkesempatan sebelum ini. Tak jadi masalah, walaupun dah 'oudated' saya tetap akan abadikan di sini.

Terima kasih sahabat saya Ana Alhana dengan air tangannya yang menjadi kegemaran saya dan keluarga.

Kek Amar ; Kelahiran 6 November

Kek Iman ; Kelahiran 5 November

Kek Rayyan ; Kelahiran 1 Januari

Haluan Biasa

Amar bersekolah di SKPA 3 dan bersekolah agama di KAFA Integrasi Puncak Alam 3, di bangunan sekolah yang sama. Iman pula meneruskan legasi Amar di TBK KEMAS Warnasari sementa kawasan rumah kami tiada institusi yang berkaitan.  Kami 'hala'kan Amar dan Iman jalan yang sama seperti saya dan suami. Ber'pra sekolah' di bawah institusi KEMAS, bersekolah kebangsaan pula 2 aliran, pagi dan petang. Meskipun ada yang berpendapat sekolah-sekolah 'mahal' terutamanya pra sekolah lebih menjanjikan kecemerlangan, kami pula berpendirian jalan mereka; jalan anak-anak kami..jalan biasa, sebagaimana laluan majoriti penduduk Malaysia seusia mereka.
 
Bukan mudah sebenarnya bila mana saya berkeputusan menumpukan perhatian dan tenaga sebagai surirumah sepenuh masa. Saya tidak meletakkan standard surirumah itu sebagai memenuhi keperluan makan pakai seisi rumah sahaja, terlalu besar sebenarnya cita-cita kami dengan berusaha menggembeleng potensi anak-anak dengan cara dan corak tersendiri. Meskipun ada yang berkata 'rugi' belajar tinggi-tinggi tetapi pilih untuk mengasuh anak sendiri di rumah, saya dan suami tidak mengambil ia sebagai halangan dalam pilihan dan keputusan kami bersama. 
 
Benar, saya punya kelemahan manusiawi. Kadangkala saya terlalu penat melayan kehendak dan tabiat. Acapkali juga sabar saya tewas dek amarah dan lelah. Saya masih belajar, begitu juga suami. Kerenah dan keperluan anak-anak kadangkala membuat kita berfikir dan bermuhasabah, 'masih ada kurang lagi pada diri kami'.
 
Alhamdulillah, dengan senggang masa di rumah saya berpeluang membaca, memerhati, mengintai dan menilai corak-corak kehidupan terutamanya sahabat-sahabat yang berkelayakan menjadi contoh, sama ada dari sudut ilmu, kaedah mahupun pendirian mereka. Dari situ, saya kutip pengalaman dan kesungguhan mereka, seterusnya dibincang dan dicanai bersama suami untuk kami lebih memahami, lebih menyantuni amanah-amanah yang tergalas.
 
Biarlah penat..setidak-tidaknya jerih dan letih kami untuk mereka yang disayangi dan menyayangi, bukan berpenat untuk mereka yang tidak pernah atau susah untuk menghargai..

'Wall of Fame'


Saya berkesempatan bawa Amar 'pusing-pusing' di sekolah lama saya SMKASL tempoh hari. Iman dan Rayyan tidur di dalam kereta ditemani suami. Sambil tunjuk itu ini, kelas saya, makmal, bengkel, surau, koperasi saya ceritakan pada Amar zaman remaja saya di sini. Meskipun banyak yang berubah, kenangan yang terpahat di sini tak mungkin hilang dari episod kehidupan saya.

Saya bawa dia ke dalam dewan sekolah yang tiada ketika saya pernah ada di sini. Di suatu sudut saya melihat nama saya terpahat kekal di dinding dewan, bersama nama-nama sahabat saya yang lain.

'Kenapa nama Ummi ada kat situ' tanya Amar kehairanan..

Saya minta dia panjat kerusi yang tersedia ada bersusun-susun. Dia memanjat dan membaca..
'Oohhh..Terbaik tu macam Boboiboy ye Ummi?'

Saya hanya senyum. Terbaeeekkk..:)

March 20, 2013

Jangan Ada Benci

Manusia ini hatinya sangat kompleks. Bila ada rasa sayang, kadangkala ada terselit rasa benci. Bila mana ada kasih kadangkala ada resah. Bila pernah rasa kecewa, apatah lagi yang bersangatan, lazimnya terbawa-bawa hingga ke hari kemudian. Tambahan lagi bila jiwa-jiwa kecewa tidak disiram dengan rasa syukur dan redha. Mulalah hati itu menuding salah dia dan bertanya salah siapa. Bermula juga rasa wasangka seterusnya menolak ketentuan Tuhan.

Manusia ini salahnya jarang diakui, silapnya malu-malu diakuri. Kalaulah pernah ada rasa sayang dan ia tidak bersambut berpadanan, moga-moga tidak ada benci selepas itu. Jika pernah rasa rindu menggamit dan rindu itu tidak bersahut sewajarnya, jangan pula ada dendam yang menangisi harapan.

Doakan kebahagiaan dan kesejahteraan, untuk hati-hati mereka dan paling penting hati kita. Lepaskan tautan kesedihan, siramkanlah hati-hati dengan kasih sebenar milikNya. Sesungguhnya hati-hati ini milik Tuhan, mintalah pada pemiliknya.

March 19, 2013

Kenduri Salleh

Abang dan Salleh (Sepupu)

Pasangan Pengantin

Anak Sepupu Pengantin
Sayang benar suami saya dengan sepupunya yang seorang ini. Salleh namanya, berjodoh dengan gadis Sabak Bernam bernama Seriewah.

Ini sebahagian gambar di Majlis Perkahwinan Salleh dan Seriewah di Dewan Terbuka BNO, Sabak Bernam 03 Mac lepas. Sungguhpun pernah bersekolah di daerah ini 20 tahun lepas, namun itulah kali pertama saya menjejakkan kaki di kawasan ini (berhampiran Pasar BNO).

Saya tidak berkesempatan 'snap' gambar-gambar ketika majlis di sebelah lelaki pada 10 Mac 2013 di kediaman pakcik suami di kampung kami. Namun, kemeriahan itu tetap dirasai seisi keluarga, biarpun penat meskipun letih bersangatan..:)

Selamat Pengantin Baru Dik!

March 18, 2013

Terik

Akhir-akhir ini..cuaca begitu terik kan? Bergilir-gilir juga suara batuk anak-anak..saya juga tidak ketinggalan. Teriknya hawa akan mengeringkan tekak dan juga mata. Batuk tak sudah-sudah, air sejuk dan berais pula makin menarik-narik tekak yang sedia kontang, dan akibatnya..makin berpanjanganlah batuk bujang-bujang kecil dan anak dara yang seorang.

Tengahari tadi, singgah di Klinik 1M di Fasa 3 sesudah mengambil Iman di TBK. Fikir saya orang tak ramai di tengahari buta itu, rupa-rupanya penuh juga kerusi dalam klinik kecil itu. Masalah yang hampir sama, anak/ibu/bapa yang batuk tak sudah, suara pun turut berubah.

Saya cuba dan mereka (anak-anak saya) cuba;
- tahan diri bila tengok air sejuk berais yang dijual di tepi-tepi jalan.
- tidak ber'jemur' dengan sahaja (oohh pastinya tidak)
- gomol-gomol kucing, (penyebab juga ni)..

Juga, cuba untuk tidak lupa
- siram bunga yang ketandusan..:)

* cuaca..hawa panas..ini semua tanda kekuasaanNya kan? Maka, sabar dan syukurlah!

Janggeum

Tayanglah cerita ini berkali-berkali di TV, berkali-kali jugalah saya akan menontonnya. Tak jemu walaupun jalan ceritanya telah diketahui. Tetap melekat meskipun penceritaannya lambat.

Dae Janggeum-Tabib

Janggeum-Wanita Istana

Pernah saya tulis sebelum ini di sini. Setakat ini sudah 3 kali siri ini bersiaran di AlHijrah.

Susu bukan 'Syusyu'

Apabila kita ber'borak' dgn anak kecil, biasakan guna perkataan dan istilah yang betul..elakkan bahasa yang pelat..mereka sedang belajar dan kita juga masih belajar untuk mengajar..perkataan yang mudah juga boleh dikembangkan sebagai salah satu cara kita menambahkan lagi perbendaraan kata mereka.

Sebagai contoh, susu. Guna sebutan dan istilah yang betul, bukan 'syusyu', 'yuyu' atau sebagainya. Perkataan juga boleh dikembangkan dengan ayat mengikut sifat dan pemerhatian anak. Contoh; susu adik warna putih; susu adik sedap; botol susu ini panjang; dan macam-macam lagi.

Ayat itu pula akan mendorong mereka bertanya,
-kenapa susu warna putih?
-kenapa panas/ sejuk?

Kita juga akan bersedia dengan jawapan-jawapan bijak dan sudah tentu kita juga akan sentiasa belajar untuk mengajar..betul tak?

:)

March 17, 2013

Syukur

alhamdulillah..alhamdulillah..alhamdulillah
kadang-kadang kita terlalu alpa mendahulukan yang terdahulu..
kadangkala kita terlupa nikmat yang tak terjangka dan tak terhingga kurniaan dariNya

bersyukurlah wahai hamba,
bersangka baiklah dengan qadar dan ketentuanNya..
lorongkan ikhlas..dorongkan ihsan..

moga redhaNya sentiasa dekat dengan kita..