April 05, 2013

PBAKL 2013

Diari April saya akan terkemaskini dengan agenda yang satu ini. Hampir saban tahun saya menantikan kemunculannya. Tak dapat dua hari, sehari pun jadilah..:). Pesta Buku Antarabangsa KL!PBAKL 2013 sudah masuk kali ke 32 tahun ini. Bakal berlangsung pada 26 April 2013 hingga 05 Mei 2013.

Saya tidaklah memborong banyak tetapi saya sangat suka dengan suasananya. Kini, saya sudah tidak bekerja, maka saya harus 'limit'kan kehendak saya dan anak-anak mengikut bajet yang dibolehkan suami..:).  Tidak menjadi masalah! Moga-moga kami diberi kesempatan untuk memeriahkannya.

* Sudah 'hint' banyak kali kepada En Suami..:)

Jaga Hak Sendiri

Sahabat-sahabat, ibu-ibu, bapa-bapa..marilah kita sama-sama mendidik anak-anak kita yang baru bersekolah untuk hormat dan tidak mengambil harta / kepunyaan orang lain hatta pemadam yang tak mahal apatah lagi set alatulis yang bertema segala bagai.

Marilah juga kita mengajar dan mendidik anak-anak kita untuk lebih menghargai apa yang dibeli/ diberi oleh ibubapa untuk kemudahan mereka. Juga marilah kita mendidik mereka untuk mempertahankan hak dan milikan sendiri hatta sebatang pensil 2B yang tidak mempunyai apa-apa jenama apatah lagi dengan nama Staedler dan segala bagai.

Menghormati hak orang lain, mempertahankan hak sendiri perlu disemai dan diasuh sedari kecil dengan sekecil-kecil tanggungjawab dan entiti. Mereka generasi akan datang, mereka perlu digilap untuk menjadi generasi yang terbilang. Bagaimana mungkin pemimpin masa hadapan kita garapkan tanpa nilai-nilai 'hormat hak/ milik orang lain', mana mungkin juga kita tergamak meninggalkan generasi yang lesu, tidak tahu hak dan culas menjaga hak?

* saya sedang dalam mood yang tidak berapa bagus, geram kerana terpaksa me'refil' bekas pensil anak dengan pensil/ pemadam/ pembaris yang baru. Saban hari bekas pensilnya hampir kosong..alasannya 'kawan ambik', 'kawan pinjam (tapi tak pernah pulang)', 'hilang masa main'.

* saya juga sedang fikirkan mekanisme lain untuk ajar dia lebih menghargai....biarkan dia pergi tanpa alatulis?

Jumaat - Countdown:96

Assalamualaikum..Salam Jumaat..salam Sayyidul Ayyam yang barokah..:)

Kita sudah di ambang bulan mulia, lagi 96 hari..insha Allah dengan izinnya dan dengan umur yang dianugerahkannya kita akan bertemu dan bertamu pula dengan bulan Ramadhan.

Moga Allah berikan peluang keemasan itu kepada kita, untuk kita memperbanyak zikir, ibadah, dan memperbaiki amalan serta niat kita dalam semua aspek kehidupan. Moga Allah berikan kita rahmat dan keampunannya serta moga kita disibukkan dengan perkara-perkara yang mendekatkan kita padaNya..amiin.

April 04, 2013

Dia Yang Pergi

Keratan Akhbar dari Sinar Harian

Semalam, di saat Malaysia sedang debar menanti cerita bubar, kisah insan bercinta ini juga disisipkan dalam akhbar seluruh negara. Sejak tahun lepas saya mengikuti perkembangan cerita Sdr Abil dan Allahyarhamah isterinya Fauziah atau Gee melalui blog. Pernah juga kisah Abil dan Gee dibincangkan dalam forum-forum di media seperti TV AlHijrah dan WHI. Ketabahan dan kekuatan hati suami seperti Sdr Abil cukup saya kagumi dan saya berdoa semoga Allah menganugerahkannya kekuatan iman yang berkekalan dan diperhebat Tuhan.

Bagi segelintir pembaca dan pengikut blog Abil, kehilangan Gee turut dirasai, apatah lagi bagi yang bergelar suami dan isteri. Saya pasti, andai kisah cinta hingga liang lahad ini diabadikan dalam novel atau cereka, ia pasti mengundang 'basah'nya hati insan-insan yang mengerti..:(

04.04.04<------>04.04.13

Tarikh hari ini, tarikh istimewa saya dan suami..:). Tarikh keramat kami, tarikh di mana rasa ter'awang-awang' meraja..

Hehehe..adalah..:)

April 03, 2013

03.04.2013-Parlimen Bubar


Setelah pelbagai spekulasi, akhirnya hari ini Dato' Seri Najib Tun Abd Razak dengan rasminya mengumumkan pembubaran parlimen, sekaligus menjadi tanda bahawa kempen PRU 13 bermula. Ironinya kali ini, pengumuman pembubaran ditunggu seperti menunggu pengumuman tarikh hari raya puasa atau bermulanya Ramadhan, malah lebih lagi.

Dengan ledakan teknologi maklumat berita pembubaran ini telah ditunggu sejak awal pagi lagi, di FB, twitter, blog dan dari mana-mana sumber semuanya rancak menjangka dan menunggu rasminya pengumuman.

Selamat berkempen sahabat-sahabat yang turut serta, sama ada sebagai petugas, calon malah pemilih. Moga kempen dapat dilangsungkan dalam suasana aman dan harmoni. Moga yang terbaik Allah takdirkan untuk rakyat Malaysia.

Selamat Berjuang!

Rayyan Seorang


Dia yang sendirian..sebelum kakak dan abang balik sekolah..

April 02, 2013

'V'-Diana Cicak

Diana Si Cicak
Pernah tengok watak di atas? Cerita tentang makhluk asing berupa cicak yang berlindung di sebalik jasad manusia. Cerita ini bersiaran pada tahun 1984/1985. Ketika itu saya masih bersekolah tabika. Masih ingat lagi saya dan teman baik saya ketika itu, Zura berangan dan berlakon jadi Diana dan seorang lagi watak yang saya lupa namanya. Tag utama watak jahat Diana ini adalah menarik kulit mukanya..dan terserlahlah wajah sebenarnya yang berkulit cicak..heeiii..

*Saya tiba-tiba teringat cerita ini bila saya menonton siri Falling Skies di AXN.

April 01, 2013

Alana - The Girl From Tomorrow

Ketika bersekolah menengah dulu, ada cerita bertajuk Alana-The Girl From Tomorrow. Rasanya cereka itu dari Australia. Cerita tentang gadis dari masa depan bernama Alana yang mempunyai kuasa hasil dari inovasi teknologi.

Alana dan 'kuasa'nya
Saya ada seorang sahabat yang sangat iras dengan wajah Alana ketika itu, Adila namanya. Di asrama, kakak-kakak senior memanggil Adila dengan panggilan Alana..:)

Alana dan 3 bintang di tepi mata



1 April ¬ Bubar?

1 April?Allahuakbar..cepatnya masa berlalu. Seperempat tahun telah kita lalui (meskipun kitarannya berdasarkan ilmu Gregorian), bagi saya tak salah untuk kita menilai semula tindakan, pencapaian dan perkembangan diri berdasarkan seperempat tahun ini.

Pastinya pada saya (mmm... saya mengabaikan April Fool oleh mereka yang ter'fool' dek pengaruh itu), sudah seperempat tahun saya dan suami berbiasa-biasa dengan rutin persekolahan Amar dan Iman. Insha Allah, mana-mana yang kurang akan cuba saya perbaiki dan mana-mana yang penting akan didahulukan.

Bila mana bermulanya bulan baru, maka saya automatik akan mengingati tarikh kelahiran Rayyan yang mudah dikira itu, lahir 1 Januari 2011, dan bilamana 1 April ini tiba dia pula genap 2 tahun 3 bulan.

Dan satu lagi..April sudah menjelma, syiar-syiar bendera parti politik juga sudah berkibaran merata-rata. Bila pula bubarnya ya?

March 31, 2013

Bola Kampung

Cuti sekolah kali ini, kami tidak kemana-mana. Diari cuti Amar dan Iman dimulakan dengan 'sakit perut' secara jama'ie, lantaran dari makan kenduri kendara situ dan sana. Isnin sahaja, abah terpaksa MC sebab cirit birit, begitu juga Ummi yang 'minta' MC dari abah atas sebab yang sama. Amar dan Iman muntah-muntah dan diagnosnya 'keracunan makanan'..aduhai. Saya pula batuk tak kebah-kebah (hinggalah hari ini). Selasa, Amar beriya-iya minta dihantar ke rumah nenek. Sudahnya bermula Rabu hingga pagi Sabtu, Amar temankan nenek di kampung. Berkebetulan abah yang sedang sibuk mengejar dateline, Ummi dan adik-adik juga 'hinggap' di rumah nenek malam Sabtu lepas.

Iman bertanya, 'cuti sekolah ni..kita macam tak cuti je Ummi'

'Siapa kata tak cuti, Iman bangun pukul berapa dalam minggu ni', tanya saya menduganya.
'Ialah..kan cuti..kita x jalan-jalan cuti-cuti Malaysia pun.' tambahnya lagi.

'Abah sibuk Iman, jenuh Abah menahan mengantuk buat kerja..cari rezeki untuk anak-anak', saya menerangkan.

Kasihan saya dengan suami yang dah 2 hari tidak tidur, Sabtu pagi dia pulang (11.00 pagi) kemudian berkejar ke Pinggiran USJ untuk urusan rumah di sana pula. Akur dengan keletihannya saya mencadangkan untuk suami terus rehat di rumah selesai urusan di PUSJ. Namun kata-kata anak daranya yang seorang ini ternyata menyentuh hati 'abah'nya.
'Abah, dekat Econsave tu kan..ada Bola Kampung besar..' (di Econsave Alam Jaya ada promosi filem animasi Bola Kampung).

'Iman macam nak tengok jelah abah, dekat je dengan rumah kita..Iman nampak je belon Bola Kampung besar tu', saya cuma diam, saya sendiri kurang larat sebenarnya.

Bila sampai di simpang Alam Jaya menghala ke rumah kami, suami belokkan kereta ke sebelah kanan, hala ke Econsave.

Saya pandang dia, 'Abang kan mengantuk?'

'Biarlah..kesian anak-anak', saya tak boleh berkata apa-apa, saya memang maklum suami saya jenis 'belakang'kan diri dia berbanding orang-orang yang dia sayang.

Tengok tangan Rayyan..:)

Kepala Besar?

Belon Iwan Besar


Tiba di tapak promosi, Iman pula buat perangai manjanya, maskot Iwan (karakter dalam Bola Kampung) keluar beraksi ketika kami baru tiba. Iman terjerit-jerit ketakutan dek besarnya kepala maskot. Sudah!Dia yang beriya-iya mengajak, dia pula yang beralih arah. Bergayutlah si Iman kemanjaan didokong abah sementara Amar dengan selambanya bergambar ceria dengan maskot Iwan. Rayyan pula terpengaruh dek 'drama' Iman bergayut ketakutan pula pada saya. Allahuakbar, bertuah sungguh anak-anak.