December 20, 2013

Ibrah Ammar

Sehidimiz Ammar. Terkenal sungguh nama adinda kini, biarpun jasadnya sudah disemadikan tetapi ibrah di sebalik jihad ilmunya terus-terusan diperkata khalayak. Saya bersyukur, pernah mengenali dia walaupun hanya seketika. Akhlak dan adabnya telah saya kagumi sejak almarhum masih kecil. Pemalu, santun, bijaksana...Allah..hinggakan saya 'mengambil' namanya untuk putera sulung saya. Subhanallah.

Sepanjang petang ini saya luangkan masa membaca coretan keluarga almarhum di dinding facebook. Alhamdulillah, benar kata En Azam, 'kematian Ammar kematian yang menghidupkan'. Ia menyuntik sedar para ibubapa akan keutamaan dan halatuju pembentukan diri dan anak-anak.

Ibrah Ammar bakal dikongsikan di satu dokumentari khas saluran Al Hijrah, juga slot khusus di Astro OASIS Januari ini. Selain itu, kisah Ammar juga menjadi perbincangan yang popular di dada-dada akhbar dan majalah. Alhamdulillah, moga saluran-saluran media ini lebih 'membuka' mata khalayak akan peripentingya pembinaan generasi yang sihat rohani, akal dan jasmani.

Saya manusia kerdil, saya juga ada impian dan cita-cita mewarnai dunia dengan 'bintang-bintang syurga'. Moga Allah redha, moga Dia permudahkan. Dinda Ammar, damailah kau di sana dik, damailah hati-hati yang meredhai...

Muka hadapan Majalah 'I' edisi Januari 2014
Foto kredit kepada : Majalah I

December 19, 2013

Tagging 2014

Tinggal berapa minggu sahaja lagi cuti sekolah? Sekejap sahaja rasanya masa berlalu. Bercuti, berkenduri, berkursus, semuanya sudah dilakukan. Kali ini fasa bersiap-siaga untuk sesi persekolahan yang akan datang. Yuran tabika Iman sudah selesai, pakaian dan kelengkapan peralatan sekolah kedua Amar dan Iman juga sudah dibeli. Tinggal proses 'tagging', balut buku dan persediaan mental anak-anak (termasuk ibubapa).

Buku teks dan buku kerja Amar sudah diperoleh akhir sesi lepas. Buku tambahan untuk PBS dan buku tulis juga telah dibeli di kedai buku sekolah tempoh hari sungguhpun masih ada buku yang tiada stok :(.

Hmmm..tak mengapa! Buat dengan apa yang ada di tangan. Fasa 1 ini, saya 'tag'kan dulu alat tulis anak-anak. Mengambil pengalaman lepas, kami memutuskan beli alat tulis secara pukal, tiada tema Ben10, Barbie, Despicable, Minnie mahupun Minion. Kami beli di GIANT, maka pemadam, pengasah pensel, pembaris berjenama GIANT-lah ye anak-anak.

Sambil-sambil 'tag', saya titipkan pesan berbakul-bakul supaya Amar dan Iman menjaga alatan dan barang-barang dengan cermat. Saya cabar anak-anak, Amar terutamanya 'cabaran masa terlama alat tulis digunakan tanpa hilang'. Belum lagi 'tupperware2' Ummi, pesan saya nanti lebih berbakul-bakul :)

Milik Muhammad Amar

Kepunyaan Nurul Iman

December 18, 2013

Kempen Boikot Israel

Kalau mereka begini, maka kita?


Gambar kredit kepada: Sinar Harian
Berita penuh : Kempen Boikot Israel

December 16, 2013

Kursus Penulisan


Kebiasaannya, diari Disember akan dipenuhi dengan undangan kenduri-kendara, persiapan anak sekolah juga cerita percutian ke sini dan sana. Kisah-kisah itu tetap akan saya kongsikan, insya-Allah.

Pada entri kali ini saya lebih teruja untuk berkongsi pengalaman saya menghadiri Kursus Penulisan bersama sahabat saya Yan. Berlangsung selama 2 hari iaitu pada 14-15 November 2013, saya bersama peserta kursus yang lain menerima tunjuk ajar daripada Pn Azzah Abd Rahman dan Encik Zamri Mohamad. Dengan pelbagai latar belakang, kursus ini menghimpunkan peserta yang berminat dan berniat menjadi penulis khususnya novel-novel kreatif juga fiksyen.

Kami didedahkan dengan kaedah-kaedah penjanaan idea, ciri-ciri karya yang menarik malahan teknik penulisan berdasarkan Surah Yusuf. Selain itu, turut diajar adalah kaedah pasaran dan penerbitan buku sebagai matlamat penghasilan sesebuah karya.

Apa yang menarik, kursus ini juga disertai penulis novel kanak-kanak/remaja terkenal, Ain Maisarah! Bersyukur, bermanfaat dan menyeronokkan. Saya berasa penyertaan saya dalam kursus ini merupakan antara pengalaman berharga dalam hidup saya. Meskipun berlatarbelakangkan perakaunan, dunia penulisan adalah suatu cabang minat saya yang mengujakan.

Terima kasih sahabat saya Yan, syukur alhamdulillah persahabatan kami turut diwarnai dengan minat dan kecenderungan yang sama.

'Saya Adalah Penulis Yang Disayang Tuhan'

*Gambar kredit kepada Pn Azzah Abdul Rahman.