December 26, 2013

Mudahnya Menulis Buku


Saya sangat teruja menulis tentang buku ini. Banyak sebab. Sebenarnya, saya baru sahaja terima buku ini melalui poslaju pagi tadi. Baru baca pengenalan dan Bab 1, tetapi saya tidak sabar untuk menulis tentangnya dalam blog saya hari ini.

Kenapa saya teruja?

Pertama : Ia ditulis oleh rakan sekolah saya ketika di KISAS dahulu, rakan sebilik di asrama ketika kami di Tingkatan Empat. Nama beliau Noor Hayati Yasmin, saya panggil Timin. Seorang doktor perubatan, namun sangat berbakat dalam bidang penulisan.

Kedua : Ia dikirimkan sendiri oleh Timin dengan harga istimewa kerana saya merupakan rakannya yang pertama menghantar mesej di peti masuk FBnya. Sejurus Timin mengumumkan bukunya sudah diterbitkan saya terus sahaja menghantar mesej peribadi untuknya, siap nama dan alamat penuh meskipun saya belum tahu harga.

Ketiga : Saya minat akan penulisan dan saya tercari-cari faktor pendorong dan penguat saya dalam merealisasikan minat dan kecenderungan saya. Saya bersyukur, saya dikelilingi rakan-rakan yang punya minat dan cenderung hampir serupa. Saya tahu, saya tidak banyak pengalaman berbanding mereka tetapi cukup membuat saya rasa bertuah!

Keempat : Ini buku pertama Timin, sedangkan saya tahu dia sangat minat dengan penulisan. Saya merasakan buku-buku beliau patut terbit lebih awal. Justeru, kelahiran buku pertamanya ini ketika kami hampir menginjak 35 tahun hadapan pasti mendapat sokongan saya sepenuhnya!

Mahu berinteraksi dengannya? Hubungi hayatiyasmin@gmail.com.

Saya sedang pegang buku 'Mudahnya Menulis Buku', selamat membaca!

December 25, 2013

Ziarah Sahabat-Normy

Catatan ini buat seorang sahabat yang mirip Aishwarya Rai... :)

21.12.2013. Setelah lebih 10 tahun tidak bersua muka, saya bertemu dengan salah seorang sahabat akrab ketika belajar di UKM. Normy, sahabat saya yang 'tulen' wajah dan loghat utaranya sebenarnya tidaklah 'jauh' sangat dengan saya. Justeru, jemputan dari Normy untuk menghadiri Majlis Kesyukuran kelahiran anak kembarnya (anak ke 4 dan 5) menjadi medan pertemuan semula yang sangat-sangat disyukuri.

Datang dan berasal dari Kedah, saya tidak menyangka Normy dan suaminya (juga sama belajar di UKM) akan bermastautin juga berumahtangga di negeri kami. Sepanjang kami tidak bersua muka ke muka, interaksi dan perkembangan antara kami lebih banyak dikongsi di muka buku (FB). Sebak, itu gambaran perasaan kami yang agak tepat tika kami sampai di kediaman keluarga Normy. Menyebut nama saya dengan ejaan penuh, Normy nyata nampak terharu dengan kehadiran kami sekeluarga. Pertama kali juga saya perkenalkan sahabat karib saya ini kepada suami. Di UKM, selain Normy, saya ada Liza, Elin, Ina juga Faiez. Tidak ketinggalan saya ada Azrin, Faizal, Faizul, Amy juga Adnan. Nama-nama ini sering saya sebut ketika bercerita kepada suami perihal zaman UKM yang sangat manis :).

Mengenali Normy yang sangat peramah dan begitu menghargai persahabatan, saya berlama-lama di rumahnya petang itu. Tambahan, kehadiran Mas bekas teman serumah Normy, yang turut saya kenali menambahkan kemeriahan kami di samping ragam anak-anak. Hampir tidak sedar umur menginjak 34, berasa 24 pula waktu itu. Macam-macam yang diceritakan, lebih kepada mengimbau kemanisan zaman belajar dan kerenah anak yang sedang membesar.

Dari cerita 'setinggan' di kamsis, membawa kepada kisah pasar malam di Bandar Baru Bangi. Dari cerita Tasik Kejut (Kejuruteraan) hinggalah kisah motorsikal PBW yang sangat berjasa. Juga cerita-cerita 'manis' hiasan remaja yang buatkan kami tercubit-cubit sesama sendiri. Manis...memang manis petang itu.

Meniti ruang-ruang dewasa kini, pertemuan sekali-sekala sebegini seolah menyuntik 'jiwa remaja'. Jiwa penuh ingin tahu, jiwa yang bersemangat juga jiwa yang berkobar-kobar membina peribadi tegar. Normy juga sahabat-sahabat UKM saya, moga ikatan ukhuwwah kami berkekalan dalam redha-Nya. Amiin.