March 13, 2014

Burung MH370

Bismillah.

Agak lama saya tidak kemaskini tulisan di sini. Jerebu, catuan air, kehilangan MH370 menjadi kegusaran negara. Selain itu, saya juga mengejar 'dateline' sekumpulan penulis baru dalam siri 'Komplot ke Syurga'. Projek 'Serigala Cintaku' yang baru masuk Bab 3 turut menghambat waktu peribadi saya.

Entri kali ini, saya dedikasikan buat Iman, anak dara saya nan seorang. Gambar yang saya pautkan ini diambil oleh guru tabika Iman. Dalam satu slot pengajaran, kanak-kanak diajar dan dipandu dari sudut kreativiti dan estetika. Mereka diajar membuat lipatan kertas berbentuk burung.

Saya tersenyum membaca 'tag' dari Cikgu Nabilah menyatakan tentang Iman yang menulis 'MH 370' pada burungnya. Burung jadi kapal terbang, begitu hala fikir Iman kala itu. Mungkin dia terkesan dengan TV di rumah yang asyik memilih saluran Awani. Kami hadkan tontonan kartun dan lain-lain, bertumpu kepada khabar khas dari berita mengenai misteri kehilangan MH 370.

Tidak mahu mengulas panjang tentang peristiwa bersejarah dalam negara juga antarabangsa ini. Mungkin jika berkesempatan, akan menulisnya dari sudut pandangan yang lain
Iman dan tangan comelnya
 
Untuk Iman, moga catatan ini berharga untuk hari ini dan akan datang.