December 05, 2011

Pinjaman Termahal

Agak bersawang juga blog ini. Ada jua catatan-catatan yang masih berstatus 'draft'. Cerita kami hampir berbeza setiap minggu. Cerita tentang hujung minggu yang tak sunyi dari kesibukan ke sana sini, cerita harian dengan keletah dan perkembangan anak-anak kesayangan. Juga cerita-cerita tambahan penambah suka-duka kehidupan.

Saya pemerhati yang serius dan suami penterjemah bahasa alam yang sangat mengagumkan. Kadangkala cerita antara kami sahaja rasa serasi menjadi bahan tulisan mahupun idea berkesinambungan. Cuma ia belum terlahir pada perenggan-perenggan bermaklumat secara tuntas. Bukan tiada masa tetapi kurang peruntukan masa. Kami sentiasa bercerita, dari sekecil-kecil benda hingga sebesar-besarnya. Cerita tentang senyuman, air pasang surut, cekodok pisang, bukit bukau, politik kedai kopi hatta resam haiwan dan manusia. Semuanya boleh jadi bahan cerita.hmmm..:)

Kami juga pengulas setia tak berbayar..tak kiralah berita, cereka, kartun mahupun siri kegemaran masing-masing. Sering sahaja bual debat saya bersamanya menjadi inspirasi dia di luar sana. Buah fikiran saya sebagai pencetus tindakannya. Tak apa, saya meredhakannya kerana saya cenderung tidak bijak menzahirkan idea sebagus dia. Ialah...manusia tidak sempurna, kecenderungan dan bakat juga berbeza-beza. 'Degil' juga berlainan aspirasinya. Ada yang tampak degilnya, ada yang terselit di balik kepatuhan. Ada juga yang terbukti pada tindakan (tak perlu cakap banyak). Ada juga yang 'degil' pada diamnya. Lebih baik berhati-hati dengan kelompok pendiam (selalunya tak terjangka) berbanding mereka yang 'vokal' menyatakan isihati dan pendapatnya.

Terpulang, manusia dah lahir dengan berjuta macam kebolehan, jua dilahirkan dengan beribu bagai kelemahan. Walaubagaimanapun, hakikat yang tidak boleh dikesampingkan manusia adalah ciptaan Allah yang terbaik. Hamba terbaik, khalifah terbaik. Mungkin kita tidak sebijak ilmuwan tersohor tetapi Dia anugerahkan kesempurnaan aqal untuk menilai dan bertindak. Mungkin kita tidak secantik jelitawan, tetapi Dia berikan kesihatan yang tiada tandingan. Mungkin kita tidak sekaya raya jutawan dan hartawan tetapi Dia titipkan kekayaan jiwa yang mendamaikan. Kerana itu, dalam bual bicara kami, saya dan suami saling mengingatkan..dia dan saya adalah pinjaman untuk setiap kami. Justeru..setiap masa yang ditelusuri bersama terlalu mahal untuk kami sia-siakan..

3 comments:

  1. izah...kita dah follow awak, jgn lupa follow akak yer hihihi

    ReplyDelete
  2. kak lala..ok..i follow

    kak ina..terbayang tangan kidalmu sambil ckp 'i likeee..'hehehe

    ReplyDelete