June 15, 2013

Alihkan Stress

Hampir 2 tahun saya kini bergelar surirumah sepenuh masa, Alhamdulillah saya semakin selesa dengan situasi dan rentak selaku SAHM (Stay At Home Mother). Begitu juga semakin menyesuaikan diri dengan perkembangan anak-anak yang 'berkembang' di depan mata. Pun begitu saya tidak meletakkan tanggungjawab ini sematanya ibu yang memelihara anak, malah lebih dari itu.

Pengalaman sebagai petugas di NGO, pengurus kira-kira di firma guaman malahan sebagai akauntan di badan berkanun saya curahkan dan dan saya sepadukan dengan tugas dan peranan saya di syurga kecil kami. Termasuklah juga 'Pengurusan Stress'! Beza usia anak yang memasing berjarak 2 tahun dan (sedikit) lebih, menyediakan saya ribuan peluang untuk turut belajar mengenai keperluan, kehendak dan 'ancaman' yang mereka lalui.

Bagi tujuan perkongsian kali ini, saya ajukan berkaitan Rayyan dalam fasa 'amuk'nya. Pada ketika ini, Rayyan yang berusia 2 tahun setengah sedang banyak cakap, kerap bertanya, kuat kemahuan dan mudah mengamuk. Dia juga sangat cemburu bila saya membaca, memasak, malahan bila saya berbicara di telefon hatta dengan abahnya. Cemburu Rayyan bukan sekadar merengek, malahan menganjur kepada menangis dan menjerit seterusnya 'bergayut' tidak mahu lepaskan saya, membuatkan beberapa tugasan rutin saya tidak dapat selesai dengan sempurna. Amuk permata bongsu saya pula tak makan pujuk dengan orang lain.

Rakan kongsi utama saya sudah tentu suami saya. Bagaimana anak, bagaimana saya, bagaimana dia selalu kami bincang dan cakna bersama. Suami sangat memberi ruang untuk saya 'berkarya' sebebasnya dalam mendidik dan memandu anak-anak. Dia tidak memaksa untuk rumah sentiasa kemas dan rapi juga sangat memahami andai saya kadangkala terpaksa 'beli' atau keluar membawa anak-anak makan luar. Mengurus manusia jauh lebih mencabar dan 'pengurus'nya juga harus lebih diurus ketenangannya :).

Maka, bila Rayyan dalam proses amuknya, kadangkala saya biarkan dia reda sendiri. Walaupun bingit telinga dengan teriakannya, saya pandang matanya tepat-tepat, sejukkan gaya pandang dan pujuk hati sendiri untuk bersabar. Menyabarkan orang lain mudah dilafaz, tapi hakikat memujuk diri sendiri sangat mencabar.

Bila tidak sempat mengemas mainan, melipat kain baju. Sediakan bakul dan kotak-kotak berasingan yang memudahkan kita 'menyimpan' seketika khazanah-khazanah berharga di dalam rumah, juga mengelakkan 'gangguan' mata :).

Dan, bila ragam mereka sangat menguji minda, masak pun boleh terganggu, selera juga boleh berubah-ubah. Tenangkan hati, ubah 'mind setting'. Bila kita tidak dapat menyediakan hidangan sempurna, sesekali bawalah mereka keluar. Alihkan tugas memasak itu kepada dapur-dapur restoran, alihkan tenaga kita dengan tumpuan pada mereka ketika berpergian pula, :). Automatik, suasana berubah seketika dan aura negatif yang men'stress'kan dapat dihilangkan bukan?

Gambar-gambar di bawah adalah salah satu cara saya meng'alih'kan tugas dan stress saya. Moga ada manfaatnya, apa-apapun saya sangat bersyukur dengan peluang terindah yang Allah berikan untuk saya bersama mereka, tidak kira bagaimana dan apa yang kami lakukan :).

 Bawa makan di luar..
 
Layan diri sendiri
 
Baca novel :)
 
Ajak anak-anak susun buku
 
Ambil angin
 
Jalan-jalan siber...:)

Itu sebahagian cara 'alihkan' stress, pastinya banyak lagi cara lain kan?

*Pada waktu ini, permata-permata hati saya sedang tidur tengahari, kepenatan! Seusai Subuh tadi kami bawa mereka sarapan dan jalan-jalan cari lauk, maka saya sempat menari jari di sini bertemankan suami tercinta :).

No comments:

Post a Comment