January 01, 2014

Rayyan 3 Tahun

Tahun baru tertangguh?

Happy Birthday Rayyan! Kehadiran tahun baru pada keluarga kami adalah keraian hadirnya Rayyan. 3 tahun. Rayyan sudah menjangkau 3 tahun. Anak lelaki bongsu (setakat ini) sudah bercerai susu dan mula pandai tidak berlampin. Kisah Rayyan dan kembara penyusuan ekslusifnya antara kisah mahal Rayyan bersama saya. Sejak lahir hingga menjangkau 2 tahun 11 bulan Rayyan menyusu penuh dengan saya. Akhir-akhir tahun ini, Rayyan berkata; 'Ummi, adik rasa susu Ummi dah habis...adik minum susu dalam cawan je lah.'

Alhamdulillah, saya bersyukur proses 'cerai' susu berjalan secara semulajadi. Saya sendiri tertanya-tanya bagaimana keadaan Rayyan dan saya ketika proses ini berjalan, rupa-rupanya sangat mudah dan emosi Rayyan tidak terjejas. Pada tahap ini, Rayyan cuma 'melekat' dengan saya ketika mahu tidur malam, masih mahu dipeluk sebelum tidur.

Alhamdulillah, Rayyan juga sudah belajar tidak menggunakan CD (Cloth Diapers). Siang, sudah pandai ke tandas untuk buang air; kecil dan besar. Malam, dia sudah tidak mahu menggunakan CD namun sebagai langkah berjaga-jaga, saya pakaikan juga ketika dia sudah lena.

Perjalanan membesarkan anak-anak di usia ini punya warna dan kerenah sendiri. Pada Amar, Iman dan Rayyan kesemuanya memberi pengalaman berharga buat kami suami isteri. Alhamdulillah, fasa 2 tahun pertama mereka telah sama-sama kami telusuri dengan syukur meskipun punya cabaran yang tersendiri.

Selamat Hari Lahir Anakanda kami; Muhammad Rayyan. Didoakan keberkatan hidup dan kelangsungan iman, dunia dan akhirat. Moga soleh, bertaqwa dan berjasa kepada agama, sihat dalam keberkatan dan keampunan Allah sentiasa, amiin!

Kek Adik tahun ini

Rayyan potong sendiri

December 31, 2013

Penutup Disember 2013

Bismillah, sudah tiba ke tarikh akhir tahun masihi 2013. Pelbagai cerita, banyak kisah. Suka, duka, gembira, mengejutkan. Dari sekecil-kecil diri hingga menjangkau isu merentas bangsa dan negara, ada episod, ada plot, ada konflik, ada penyelesaian, ada juga yang tinggal tanpa solusi.

Pada saya sendiri, ada graf senyum tawa juga resah sendu. Tinggal sendiri memilih cara dan keputusan. Ada beberapa cerita besar 2013;

Tahun pertama dua anak bersekolah. Tanyalah siapa sahaja seusia saya, pengalaman mendaftar dan menghantar anak kali pertama ke sekolah adalah pengalaman yang manis dan mendebarkan. Tahun pertama Amar bersekolah rendah, tahun pertama juga Iman dihantar ke Tabika.

Rayyan menghadapi ujian kecil. Pembedahan herniatomy di HKL menoktahkan usaha tradisi dan alternatif akan masalah bujang kecil kami. Serentak kemasukan Rayyan ke wad, saya dikhabarkan pula akan berita pulangnya Ahmad Ammar Ahmad Azam ke rahmatullah. Anak kepada bekas boss saya ketika berkhidmat di ABIM. Adik yang sangat saya kagumi akhlak dan santunnya semenjak kecil.

Saya mengikuti Bengkel Penulisan. Bersama sahabat tersayang, Yan, kami berpeluang mempelajari ilmu baru pada bidang yang sama-sama kami minati. Bertemu nama-nama besar seperti Azzah Abdul Rahman, Zamri Mohamad dan Ain Maisarah, ia adalah saat-saat bersejarah buat saya.

Suami tercinta bertukar angin ke syarikat baru. Syukur alhamdulillah, rezeki dan ruang untuk dia berkarya lebih luas dan pastinya perancangan Allah punya rahsia dan hikmah yang terbaik. Di tengah-tengah kegawatan bajet mikro dan makro, Dia dorongkan lorong rezeki yang berbeza-beza.

Banjir besar di Pantai Timur menukar haluan 'cuti-cuti bajet' kami ke utara. Percutian singkat kami terarah ke Pulau Pinang dan Perak. Memberi pengalaman kepada anak-anak menyeberangi Jambatan Pulau Pinang, menaiki tram di Bukit Bendera, berlegar-legar di Padang Kota seterusnya merentasi selat dengan feri. Perjalanan kami dilengkapkan dengan mengunjungi Zoo Taiping pada waktu malam.

Tidak ketinggalan, kenaikan harga minyak dan pengurangan harga subsidi gula. Ditambah pula isu kenaikan harga tol di seluruh negara. Penstrukturan (kalau boleh dikategorikan penstrukturan) ini jelas meraih perhatian dan tentangan majoriti rakyat berpendapatan rendah dan sederhana, termasuklah saya.

Saya tamatkan dulu catatan 2013 di sini. Ada rezeki dan umur jumpa lagi di tahun hadapan. Oh!Hampir terlupa, esok 01.01.2014 hari lahir Rayyan yang ke-3. Selamat Hari Lahir sayang Ummi!