Kenapa silat?
Catatan ini saya tulis ketika saya menunggu Amar yang sedang menjalani latihan di gelanggang silat, juga mengawasi Iman dan Rayyan yang sedang bermain di padang permainan berdekatan.
Lazimnya, waktu ini saya peruntukkan untuk membaca, melayari internet atau paling tidak menulis catatan-catatan ringkas sebegini.
"Kenapa silat?"
Itu soalan Amar tatkala saya dan suami sibuk-sibuk mencari gelanggang yang menawarkan latihan ketika dia masih di Tahun 1. Ketika itu, kami ber'pusing-pusing' sekitar Bandar Puncak Alam, dikhabarkan ada di SM BPA tapi ia khusus untuk kegiatan ko-kurikulum mereka. Dikhabarkan pula ada gelanggang dibuka di Felda Bukit Cherakah. Terasa jauh sangat pula.
Sehinggalah kami ternampak 'banner' pembukaan gelanggang PSSGM di Shah Alam 2.Tepat! Inilah yang kami cari. Jauh masih boleh dijejak. Dekat? Tidak terlalu dekat.
Menurut Amar, di sekolahnya ada karate, diajar guru berbangsa India pada setiap Sabtu. Benar, jika sekadar untuk ilmu mempertahankan diri, apa jua seni bela diri boleh disertai. Namun, ia tetap terpulang kepada kita untuk membuat pilihan.
"Kenapa silat?"
Berbalik kepada soalan asal.
Pertama,
gurulatih atau tenaga pengajarnya saya pastikan Islam. Melayu itu bonus. Mengapa? Gelanggang silat wajib dibuka dengan Al Fatihah, Ayatul Kursi, Surah Al Ikhlas, Al Falaq dan An Nas. Dibuka dengan menyebut nama Allah dan selawat ke atas junjungan Rasulullah SallaLahu 'Alaihi Wasallam.
Kedua,
ciri latihannya. Tidak mengejar kenaikan bengkung semata-mata. Pelatih pula sentiasa diingatkan tentang menunaikan/ mencukupkan solat sebelum latihan (latihan bermula 9 malam). Pelatih lelaki dan perempuan seboleh mungkin diasingkan. Salam 'gayong' juga mengambil kira keterbatasan di antara lelaki dan perempuan.
Ketiga,
ia adalah pusaka nusantara. Tak dinafikan tiap satu perkara ada kurang dan khilafnya. Namun, tidaklah mulia bangsa itu andai ia sendiri yang tidak menaikkan kemuliaannya.
Keempat,
dahulunya saya juga 'anak harimau'. Ketika masih bersekolah menengah dan bersambung 'sedikit' tika di universiti. Namun, saya hanya tersangkut di 'awan putih'. Secara peribadi saya impikan anak dan keturunan saya meneruskan langkah serikandi yang tidak menjadi ini, malahan ke peringkat yang lebih tinggi. Moga kuat juga jatidiri mereka.
Ketika saya mengakhirkan catatan ini, berkali-kali juga bibir saya tersebut 'zat!' tika gurulatih memandu latihan anak-anak gayong di gelanggang sana. Rasa terpanggil-panggil untuk kembali beraksi. Sudah beranak tiga berbedah juga tiga kali...mampukah?
Gayong!
Genggam Angkat Yakin Waras Ngeri!
Betul sekali, silat merupakan warisan nusantara dari leluhur bangsa.
ReplyDelete