Showing posts with label Projek Usahawan Muda. Show all posts
Showing posts with label Projek Usahawan Muda. Show all posts

December 23, 2015

Bazaar Lepak

Percaya tak? Hujung minggu lepas, kami sertai Bazaar Lepak di Shah Alam.

Pengalaman pertama berniaga di carnival yang agak besar buat kami.
Berbekalkan pengalaman yang tak berapa ada, kami beranikan diri jual ayam bakar resepi keluarga. Pes yang kami jadikan perapan untuk ayam bakar pun kami jual dalam bentuk pes berbotol.

Untung? Rugi? Belakang kira....

Memang tak untung banyak. Serius! Banyak benda yang kami belajar dengan pengalaman pertama ini. Walaupun agak kecewa dengan hasil jualan, kami rasa puas hati dan rasa sangat kaya. Tak terungkap rasanya kegembiraan kami dengan adanya sokongan juga dorongan keluarga dan sahabat-sahabat.

Usaha? Memang nekad hingga ke akhir garisan. Alhamdulillah.

September 01, 2013

Ayam Bakar Rumah Terbuka

Bismillah..di saat kesibukan saya mengurus demam anak, saya tertinggal salah satu 'segmen' penting di hujung-hujung Syawal ini. Saya berkira-kira mengkhabarkan tentang 'Projek Ayam Bakar' kami yang berjalan ketika hujung minggu. Lanjutan dari gerai ayam bakar ketika Ramadhan yang lepas, kami menerima 2 kali tempahan untuk acara rumah terbuka pada Syawal kali ini. 25 ekor untuk minggu lepas dan 20 ekor pula pada minggu ini. Alhamdulillah, ada yang sudah mula menanam keyakinan pada resepi ayam bakar kami.

Itulah, di saat kami bersangka-sangka baik dengan ujian demam anak beranak, Allah kurniakan jalan rezeki yang lain pula untuk kami. Kami belum boleh menyediakan tempahan pada volum yang tinggi, bagi pem'bakar' kecil-kecilan dan hujung-hujung mingguan seperti kami, tempahan 40 ekor kiranya adalah maksima pada kapasiti kami. :)

August 02, 2013

Diari Projek Ramadhan-Banner Terbakar


Bismillah..hari ini hari Jumaat terakhir di bulan Ramadhan 1434. Baru sempat nak 'upload' gambar banner ayam bakar yang kami jual di Bazar Ramadhan Fasa 3, Bdr Baru Puncak Alam. Sebenarnya..banyak sangat cerita yang ingin saya kongsi, tapi tak sempat!

Baiklah..untuk hari ini saya 'bakar' mood dulu dengan banner ini meskipun tempoh niaga kami sudah hampir sampai ke penghujungnya :). Terima kasih sudi baca.

July 14, 2013

Diari Projek Ramadhan-Pengalaman Pertama

Bismillah..Alhamdulillah..
Semalam, pertama kali saya dan keluarga kecil saya berniaga di Pasar Ramadhan..:). Ini projek keluarga yang kami tag sebagai Projek Usahawan Muda. Suami sangat minat berniaga dan saya sangat mendokong kesungguhannya. Anak-anak pula memang suka tengok orang berniaga dan Amar suka sangat karakter Mail dalam Upin Ipin.

Kami jual ayam bakar, resepi istimewa dari bapa mertua. Sebenarnya saya bukan penggemar ayam, tetapi ayam bakar hasil tangan bapa mertua tidak pernah mengecewakan 'peminat' ayam dan dapat 'memikat' bukan penggemar ayam macam saya.

Saya dan keluarga pernah 'perkenalkan' penangan ayam bakar abah ketika Majlis Kesyukuran pada November lepas. Alhamdulillah, rata-rata tetamu memuji dan berasa puas dengan hidangan ayam bakar kami masa itu. Sebagaimana kami rasakan sedapnya ayam bakar abah, begitu juga yang cuba kami sediakan untuk orang lain.

Ok, berbalik pada cerita semalam. Kami mula dengan 12 ekor ayam bersaiz sederhana besar, bukan saiz ayam Ayamas :). Ramuan, ayam, khemah, kelengkapan..semuanya saya dan suami sediakan sendiri. Kami tak buka masa 1 Ramadhan, beri peluang pada diri sendiri meraikan kehadiran penghulu bulan dengan tenang dan rasa selesa. Tapak kami kosong hinggalah hari semalam.

Cabaran di hari pertama kami, hujan dan ribut. Kanopi kami yang baru dipasang hampir terbang dan penyambungnya patah, tidak boleh berdiri. Hujan pula sangat lebat, saya bisik pada suami..'teruskan bang..hujan ini rahmat, sejuk-sejuk begini orang cari yang panas-panas..'. Mahu tidak mahu, kami berkejar ke stor berhampiran cari dan beli kanopi baru.

Alhamdulillah dalam kepayahan kanopi asal yang patah, dirikan khemah baru di tengah-tengah hujan lebat..akhirnya gerai kami tegak juga. Kami mulakan jualan lambat, dalam serba baru (diri sendiri) dan malu-malu pada mulanya. Mak dan adik-adik saya datang. Hati saya semakin kuat, jiwa saya sudah tersenyum. 'Mental kena kuat..mental kena kuat!' bisik saya pada diri sendiri.

Seorang..dua orang..tiga orang...Alhamdulillah ayam bakar kami dibeli orang! Paling tak menang tangan bila suami berpergian sebentar untuk solat Asar, sebab dia yang mahir potong ayam dan semestinya dia kuat daripada saya. Kala itu juga, orang beratur, Allahurabbana..menggigil jugalah untuk first timer seperti saya.

Menjelang pukul 7.10 malam, ayam kami habis terjual..syukur! Hari pertama untuk kami, pengalaman pertama untuk saya. Ketika maghrib, hujan masih belum berhenti. Pertama kali jugalah kami anak-beranak berbuka bawah khemah gerai sendiri di bulan Ramadhan. Ketika itu tak fikir nasi..tak fikir makan berat-berat. Kurma dan air...air..air.. :).

Usai kemaskan kelengkapan, kami pulang dengan rasa sangat bersyukur dan puas. Saya dan suami sifatkan pengalaman ini sebagai hadiah ulangtahun pernikahan kami..:). Perkongsian kasih kami 8 tahun menyediakan pelbagai ruang dan peluang untuk menikmati kasih Allah seluas-luasnya. Pengalaman berniaga ini juga kami sifatkan antara hadiah termahal Allah untuk kami, perkongsian rasa berdebar-debar, rasa ingin mencuba sesuatu yang berbeza. Sebenarnya cabaran dan dugaan itu  sangat manis..manis teramat bila kita 'set'kan ia sebagai kasih sayang Dia yang tak pernah bertepi.

Baiklah..saya dan suami ketika ini sedang bersedia pula untuk ber'gelanggang' lagi di Pasar Ramadhan. Usai sahur sementara suami dan Amar ke surau, saya sudah 'settle'kan diri sendiri dan kerja-kerja rumah.

Masa untuk menyingsing lengan baju!Doakan kami :)

Entri Berkaitan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...