August 03, 2011

...alhamdulillah...

3 Ramadhan, dah 3 hari umat Islam Malaysia berpuasa..serasa sekejap masa berlalu. Tahun ini tahun hijrah untuk kami..banyak perkara berubah..bermula seawal tahun baru, Rayyan menambah kemeriahan keluarga kecil kami. Tamat cuti berpantang 3 bulan, saya sedia pula menjadi surirumah sepenuh masa. Seterusnya membawa kepada perubahan cara hidup..terasa lebih merdeka di hati, puas kerana hati dan jiwa tidak lagi berbelah bagi dan bersangka-sangka kerana anak-anak kecil di depan mata. Makan minum juga terjaga aturnya, bersihnya, doa dan harapannya..alhamdulillah.
Ramadhan kali ini, tidak lagi kesah dan keluh dengan sesaknya trafik kotaraya..alhamdulillah. Tidak lagi jenuh menyusun kata maaf sekiranya anak terpaksa diambil lewat dari biasa..alhamdulillah. Tidak lagi jenuh dan jemu menjamu mata di bazaar Ramadhan atau mana-mana persinggahan, tertanya-tanya perut juadah apa untuk berbuka..alhamdulillah..mungkin tidak semewah mana..tapi kami sudah cukup kaya..alhamdulillah.

August 02, 2011

Ahlan

Selamat datang Ramadhan..berkatnya sangat melimpah ruah..kali ini Ramadhan kami bukan lagi zaman terkejar-kejar,alhamdulillah, Ramadhan ini Ramadhan yang penuh 'rahah'..syukur bersangatan!banyak sebenarnya karangan di kepala tentang Ramadhan kali ini, cumanya belum berkesempatan menumpah bicara. Kisah tentang Amar yang memulakan puasa, terujanya dia berterawih di surau..bercerita tentang moreh..cerita tentang 'solat banyak-banyak'..seronoknya melihat dia sahur sambil terpejam-pejam mata. Kisah tentang sifat manusia yang suka berlumba..dalam segala bagai, rezeki, ibadah, perhatian, keterpunyaan. Kisah tentang keterujaan media meraikan kehadiran bulan berkat, singgah sahur, singgah masjid, masak kurma, bakar biskut. Kisah tentang negara?..Hidup banyak kisahnya..coretan Ramadhan kali ini berkisah-kisah,insha Allah.

July 22, 2011

GERILA

Sedang membaca novel ini untuk kali ketiga, saya suka cerita novel ini. Ia penuh dengan konflik, konflik kuasa, konflik emosi dan konflik jatidiri. Kisah tentang juruterbang kapal pejuang Malaysia yang memburu kebebasan kuasa kendiri. Beliau diselamatkan barisan pejuang pembebasan Wilayah Patani setelah kapalnya terhempas di hutan sempadan. Episod itu menyaksikan pembabitan beliau dalam gerakan pembebasan tersebut, sehingga bertemu beberapa episod tempur. Novel ini agak kontoversi, seperti tagnya 'berdasarkan pengalaman sebenar ditulis oleh bekas gerila dan bekas tahanan ISA'.
Terima kasih ABANG (gelaran untuk adik lelaki tunggal saya, Zulkifly) di atas hadiah ini. Zul, adik saya yang sangat memahami minat saya dengan buku, dan novel ini adalah hadiah ulangtahun kelahiran saya darinya.

Edisi Ogos 2011

Hari ini tersenyum buka peti surat..majalah kesayangan sudah di tangan. Pagi-pagi lagi saya dah membelek dan membaca 'kamera' edisi bumper kali ini. Seperti diwar-warkan, edisi Ogos membincangkan tentang puasa, ketika kehamilan (juga relevan untuk ibu menyusu anak), juga bagaimana mengajar serta mengajak anak-anak berpuasa. Isu anak prasekolah juga sangat menarik; mengajar anak suka menulis dan bagaimana menangani anak yang kurang minat membaca.
Topik bulan ini bertajuk 'Bulan-bulan Awal Bersama Bayi Baru'. Edisi bumper kali ini tidak sekadar menyediakan maklumat berwarna-warni, ruangan bonus juga sangat mengujakan!Kepada ibubapa yang cenderung asuhan alami banyak tawaran berbaloi yang dicadangkan. Pembacaan 'kamera' saya akan bertukar sebentar lagi..'dari muka ke muka'..:)

July 20, 2011

Rezeki Tak Nampak


Apabila bercerita tentang susu ibu, tak pernah dengar penafian kebaikan dan keberkatannya. Catatan ini bersifat peribadi dan kendiri hasil dari pembacaan dan pengalaman. Apa yang pasti saya sedang menikmati saat-saat indah seorang ibu; membesarkan anak dan menyusukan anak. Ketika kelahiran anak pertama saya belum cukup ilmu dan keterujaan untuk menyusu penuh anak. Keinginan dan kesungguhan itu memang ada, cuma saya agak patah dengan keadaan 'susu tak cukup' seawal Amar 2 bulan. Bila dibawa berjumpa doktor, berat Amar tak naik dan doktor nyatakan susu saya tidak menampung keperluannya. Ketika itu, meskipun sokongan suami sangat kuat tetapi faktor kekurangan pendedahan dan 'cakap-cakap' orang 'lama' menyebabkan Amar ber'susu campur'. Suami pilih susu formula berasas soya dan mengelak untuk memberikan susu formula lain. Hasilnya..Amar menyusu susu ibu sehingga 4 bulan dan selebihnya dengan susu formula.
Kelahiran permata kedua, saya tingkatkan iltizam untuk menyusu penuh Iman sehingga 6 bulan. Alhamdulillah..pam susu berkuasa bateri yang digunakan juga ketika Amar kecil saya optimakan penggunaannya sebaik mungkin. Meskipun pam tidak berjenama mahal dan sedikit halangan 'kejutan budaya' ke atas pengasuh, Iman berjaya saya susukan penuh selama 6 bulan. Ketika dia menginjak usia 6 bulan saya bekalkan pengasuh makanan pejal yang dikisar dan dimasak sendiri. Hanya ketika Iman 8 bulan baru saya berani bekalkan dia biskut dan susu formula soya untuk tambahan, kerana kesilapan saya yang tak tentu dan kurang selera makan, susu saya tidak memadai untuk keperluannya yang semakin bertambah usia.
Kehamilan anak ketiga adalah sesuatu yang tak terjangka. Saya tekad, seawal kehamilan itu saya telah merancang untuk berhenti kerja, dan menumpukan sepenuhnya tenaga dan kasih untuk permata-permata hati. Iman masih menyusu badan ketika kehamilan ketiga, agak kalah dengan keadaan fizikal yang memerlukan zat tambahan di samping pola pemakanan yang tak menentu, doktor menyarankan Iman yang berusia 20 bulan bercerai susu. Suami sangat membantu ketika kehamilan ketiga semente saya adalah seorang yang bermasalah ketika mengandung. Tulang pinggul saya ada sedikit masalah, berkemungkinan kesan aktiviti ketika remaja, dan ada gangguan pada saraf di bahagian belakang badan menyebabkan saya kadangkala langsung tidak boleh berjalan.
Alhamdulillah kelahiran ketiga ini saya dedikasikan sepenuhnya tumpuan terhadap anak-anak. Susu ibu yang terhak sejak azali lagi menjadi usaha utama saya untuk Rayyan. Saya cuba tingkatkan selera makan saya dan kerapkan minum air supaya bekalan susu saya mencukupi untuk buah hati pengarang jantung Ummi. Saya ketepikan cakap-cakap orang, kesampingkan cabaran-cabaran kecil~sakit, kerap lapar, baju basah. Apalah sangat berbanding khasiat dan berkatnya. Rayyan hampir 7 bulan..telah melepasi 6 bulan eksklusifnya, saya berazam dan berdoa rezeki susu ini menjangkau 2 tahun dan lebih. ...perkenankan Ya Allah..amiin.

July 14, 2011

Raikan Cinta

alhamdulillah..Sabtu 9 Julai 2011..Laili sah bergelar suri, kami pulang awal ke kampung minggu itu khusus untuk meraikan dia, dan tak terduga Jumaat 8 Julai 2011, Tuah Aryan pula menjengah dunia..dengan rasminya aku jadi Mak Long. Maka, haluan hati agak bercampur baur;membantu persiapan walimah Laili atau menyambut kelahiran cucu mak yang ke 4 anak Hidayah dan Azizi. Kami cuba membahagi-bahagi masa dan tumpuan. Pernikahan Laili tetap dipenuhi undangannya, usai kesyukuran pernikahan kami sekeluarga ke Hospital Sungai Buluh meraikan kelahiran baru.
10 Julai 2011, majlis persandingan Laili dan Taufil berkebetulan ulangtahun ke 6 pernikahan aku dan suami. Meskipun tahun ini ulangtahun kami agak terkesamping dek kesibukan lain, kami tetap mensyukuri kasih sayang ini dan kami sentiasa meraikan cinta!

July 13, 2011

Sutera Bidadari

Sunan sentiasa membingkiskan cinta agungnya..Mariam dan Luna kerap akur dengan panah rasa yang tak berpenghujung. Kembara Sunan kali ini kerap bertemu gelora..hati dan badai. Setia Sunan pada Si Ratu, sedia Sunan dengan onak cabaran yang bertalu-talu.
Taghut cuba mencari jawapan pada raga manusianya..meskipun jiwa hitam dengan derhaka. Makhluk bersayap pula menumpahkan setia dengan rencam ragam manusia meskipun susuknya tetap berfitrah si panjang usia.
Kali ini kembara mereka mengundang resah pada gelora.

July 12, 2011

Mutiara Waqafan~GEMILANG


GEMILANG-Soutul Mujahideen
Wahai manusia sedarlah kita
Hidup di dunia hanya sementara
Usahlah kita asyik berleka
Bangunlah segera membela agama
Marilah kita berganding tenaga
Untuk membina kembali gemilang
Ketamadunan Islam yang cemerlang
Sejarah silam kan berulang
Kerana Rasul telah bersabda
Islam yang gemilang menjadi dagang
Namun cahayanya kan bersinar semula
Islam kan pasti mentadbir dunia
Marilah kita membina semula
Barisan pemuda pembela agama
Terus brjuang hingga berjaya
Walaupun nyawa menjadi maharnya
Quran dan Sunnah dasar perjuangannya
Daulah Islamiyah matlamat utama
Memang mudah untuk diperkata
Namun sukar untuk terlaksana
Olehlah itu mari bersama
Menyusur langkah Rasulullah
Suburkan jiwa iman dan taqwa
Moga kejayaan diredhai Tuhan
Nota:
Nasyid ini dinyanyikan oleh Soutul Mujahideen (Kumpulan Nasyid sekolah tercinta, Kolej Islam Sultan Alam Shah) pada tahun 1996..ia masih segar dalam ingatan..

July 06, 2011

Pensil Warna


maaflah rumah saya memang bersepah..saya memang biarkan mereka bermain..saya memang suka mereka bermain, saya suka mereka berimaginasi dengan permainan mereka..hatta dengan pensil warna...
pensil warna kadangkala bersusun panjang sama ada lurus atau bengkang bengkok, bila ditanya..macam-macam jawapan akan didengar;sungai,trek ferrari,water power (istilah empangan untuk anak-anakku)
kadangkala pensil warna disusun tipikal mengikut bentuk..segitiga, segiempat, bulatan (biarpun berbucu-bucu)..kadangkala juga pensil warna menjadi lampu isyarat, pelangi kembar, windmill, taman permainan!dengan segala bagai gelongsor, buaian, waima kuda henjut..:)
indahnya imaginasi mereka..pada mereka yang tidak senang atau terlalu ambil peduli keadaan istana kami..ada saya kisah?

Inspirasi III

RAIHAN
Walaupun usia kita masih muda
janganlah kita hanyut dalam arus dunia
kerana ajal tiada mengenal
tua atau muda, umur dan usia
Jikalau kita dipanjangkan usia
janganlah hingga lalai dan leka
bersyukurlah kita di atas segala
nikmatnya yang tidak terkira
Awas dan waspada
jangan terpedaya
dengan godaan
syaitan durjana
Hawa nafsu yang kehausan
harus dileraikan dengan ketabahan
banyakkan ibadah
tambah saham akhirat
tingkatkan iman, amalkan ihsan
taman syurga melambai-lambai
kepada mereka yang telah berjaya
Mereka di sana bersukaria
di taman keindahan mahligai kebahagiaan
jannatunnaim haruman RAIHAN
nikmatnya air mata salsabil
aaaa...RAIHAN..aaaa..RAIHAN
Nota:
Nasyid ini adalah inspirasi untuk cahayamata ketiga..dua nama ber'item' syurga menjadi pilihan ketika mengandung;Rayyan & Raihan. Rayyan bermaksud 'Kepuasan' dan ia juga merujuk kepada nama pintu syurga yang dikhususkan kepada orang-orang yang berpuasa. Raihan membawa makna 'haruman di syurga'.Moga syurga menjadi motivasi kepada anak-anak dalam menjunjung 'Perintah Iman'..

July 03, 2011

Takdir Perpisahan SOUTUL MUJAHIDAH 96


Tuhanku betapa syukurnya aku
di atas ikatan kasih yang suci
telah terbina sekian lama
berakar kasih berbuah sayang
Tuhanku, perpisahan menjelang jua
tak daya menidakkan takdirmu Rabbi
berdepan dengan kebesaranMu
terasa semakin kerdilnya aku
Kenangan silam yang melakarkan
nostalgia indah antara kita
lantas menyemarak perasaan rindu
ingin meniti memori semalam
Tak mungkin kan berulang lagi
seribu doa jua harapan
untuk kita teruskan perjalanan
yang pasti biar ia berlalu
Ayuh..sahabat seperjuangan
sedarlah..semua lupa kenangan lama
bangkit segera kutiplah mutiara
bersama kecintaan Ilahi
bersama keimanan yang hakiki
demi keredhaan Rabbul Izzati
Tuhanku tabahkanlah hati ini
menghadapi saat perpisahan
jadikan titisan rindu ini
seiring kecintaanmu Rabbi
Tuhanku terima kasih
kerana memberi ruang
untuk kami mengasihi
untuk kami mencintai
Mengertilah pertemuan takdir Tuhan
Mengertillah perpisahan takdir Tuhan
Allah Allah..
Nota:
Nasyid ini nasyid yang penuh kenangan!Dicipta oleh sahabat kami ketika Tingkatan 4 dan ditambahbaik penyampaiannya oleh Soutul Mujahidah 96..ia trademark kami ketika itu, mengundang airmata..khususnya ketika saat2 akhir kami di KISAS.

July 02, 2011

Imam Muda 2011

saya jarang ambil kisah akan program-program realiti..kadangkala tak kenal pun si polan itu juara apa dari rancangan mana..tapi malam tadi saya cenderung juga untuk menonton kemuncak Imam Muda 2011. Saya tidaklah hari-hari menyoroti IM tetapi hati saya sangat tergerak untuk menyaksikan pengakhiran sirinya tahun ini.
bersyukur kerana mereka dilorongkan hati yang baik, pilihan yang berkecenderungan positif dan bercita tinggi dalam memartabat agama.basah juga hati mendengar mereka berhujah dan berpatah dengan petah bertunjangkan Quran dan Hadith.
Allah..kekalkan mereka dalam perjuangan keranaMu..teguhkanlah iman di hati-hati kami yang mudah lupa ini..

Entri Berkaitan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...