August 24, 2011

Bulikan

Radio, televisyen, laman sosial cerita perkara yang hampir serupa..ialah..Syawal dah menjengah, cerita balik kampung, cerita bonus, cerita jualan 'murah', cerita kesesakan segala bagai ; sesak jalan, sesak nafas, sesak belanja..:). Paling menyesakkan telinga bila isu 'gaduh balik kampung' dibicarakan. Agak tidak berfitrah puasa dan raya..:(.
Alhamdulillah..setakat ini saya 'tak gaduh' bab balik kampung..sejak berumahtangga kami sepakat bergilir, mujur kampung kedua-dua keluarga dalam negeri yang sama, setakat Kuala Selangor-Kuala Langat. Dah tersurat jodoh dan ketentuan. Semasa kecil dan sebelum berkahwin, kemeriahan Syawal saya di dua daerah bertuah ini. Arwah abah berkampung halaman di Banting lebih tepatnya di Pekan Banting. Mak pula berasal Kuala Selangor dan keluarga saya bermastautin di sini dengan lebih tepat; Bukit Hijau, Jeram. Maka, bila hari raya (ketika arwah nenek Banting masih ada) kami balik pekan..
Diulangi..dah tersurat jodoh dan ketentuan, abah mertua saya asal jati dari Batu Laut (atas sedikit dari Banting dan Morib), mak mertua saya pula berkampung halaman sama dengan mak, pastinya handai dan saudara terkait sini dan sana. Maka, bila hari raya kami tidaklah kami pening kepala. Saya dan suami bergilir Syawal pertama. Tahun lepas beraya pertama di kampung mertua maka tahun ini giliran pagi Syawal di rumah mak saya pula. Terima kasih!Kepada suami yang santun dan memahami, tiadalah dia berautokratik bahawa pagi Syawal hanya milik dia seperti sesetengah sifat ketua keluarga. Syukur!Kepada Allah di atas nikmat kasih dan saudara, silaturrahim yang sangat manis dan tak terkira berkatnya.
Diulangi..dah tersurat jodoh dan ketentuan. Kediaman kami tidaklah sejauh mana dengan kedua-dua keluarga. Perjalanan dari Pinggiran USJ (Sempadan Shah Alam-Subang Jaya) ke kampung mertua di Batu Laut mengambil masa sejam setengah. Laluan sekarang tidak sesukar dulu, tak perlu bersusah-susah melintas Klang yang bersimpang-simpang. Kami langkau sahaja dengan laluan KESAS, takpun rentas sahaja laluan alternatif di Kemuning menghala pintas Jenjarom. Perjalanan ke rumah mak pula, 40 ke 45 minit. Halangan kami cuma bukit-bukau Gugusan Cherakah. Kalau dulu-dulu, perjalanan ke daerah mak mungkin perlu merentas Klang hala ke Meru, tapi sekarang tidak lagi. Jalan Batu Arang (nama dalam peta Malaysia) jadi laluan utama, setakat melalui Puncak Perdana, Alam Budiman, Puncak Alam. Nun..kampung saya di balik bukit Puncak Alam sahaja. Maka, kami tidak berkeluh kesah soal tiket, tol, sesak trafik, muatan kereta...alhamdulillah.

August 12, 2011

My Bestfriend NURUL IMAN

Inilah anak perempuan tunggal Ummi buat masa ini..anak manja Abah..anak bertuah Ummi, Nurul Iman. Iman mewarisi ke'comel'an Ummi..:)..kecil molek je..makan banyak ke, makan sikit ke..susah benar nak naik badan. Iman memang anak yang berkarakter 'anak nombor dua', kuat semangat, berdikari, tak terjangka..
Keletah bicara Iman juga agak melangkaui usianya..geram dengan mulut kecohnya..:)..serasa kadangkala nak ikat dengan riben. Iman adik yang manja, kakak yang sangat prihatin, anak yang mendengar kata dan juga bijak muslihat! Pernah diminta ambilkan beg Ummi..ayat Iman "Iman tak kuatlah Ummi, Iman ni kecik lagi" sambil buat riak muka kasihan. Bila ditanya "Kenapa Iman tak puasa?" jawab Iman "Iman mana boleh puasa, Iman baby girl, puasa tu utk men and women"..aduhai..boleh?

plastik kuning

seingat saya, mak tidak menggalakkan saya dan adik-adik makan mee segera sewenangnya. Kalau teringin sekali pun mak akan masakkan mee segera beserta telur dan sayur segala bagai, mak melarang sama sekali mee segera dimakan 'rendam air panas'.
Bila saya bersekolah asrama, makanlah saya apa sahaja yang disediakan di dewan makan, ikut menu dan ikut waktu. Sudah namanya remaja yang sedang membesar..selalunya tak 'berapa cukup makan', maka biskut, kerepek, roti dan paling tak ketinggalan mee segera mengisi ke'tidakcukupan' makan itu. Mee segera paling menyelerakan dah tentu MAGGI. Selalunya dalam setiap drawer dan loker pasti ada stok kecemasan ini. Cara masak? Rendam air panas.. marah betul mak bila saya cerita makan maggi rendam. Habis tu..dah lapar..:).
Maggi rendam ada dua cara;pertama, pergi ke dewan makan sambil bawa termos, minta air panas, balik bilik rendam maggi masing-masing. Kedua, ambil atau pinjam heater, selalunya senior ada heater..:)...(disimpan di tempat 'terbaik' masing-masing) tunggu air dan maggi masak kemudian..makan.
Kenapa saya cerita tentang maggi rendam?Beberapa malam sebelum ini..saya agak lapar usai tidurkan anak-anak, suami pula baru habis balik bertadarus selepas tarawih. Nak masak..saya agak kepenatan..tapi perut bernyanyi-nyanyi. Di dapur saya capai Tupperware (ori bukan tipuware!), masak air panas. Kemudian buka kabinet, capai bungkusan warna kuning..hidung suami saya lekas menghidu aroma Maggi Asam Laksa..pantas berkata.."buatkan abang sekali Yang..". Mujur anak-anak dah tidur, kami menikmati maggi rendam malam itu sambil cerita kisah masing-masing ketika di asrama. Walaupun berlainan sekolah dan asrama, budayanya hampir serupa..cerita suami saya makan maggi rendam dalam baldi dengan air tak panas serasa lagi mengujakan..'punyalah lama tunggu maggi kembang...abang dengan kawan-kawan makan maggi macam makan kenduri'!'habis tu..dah lapar..apa pun sedap'......

August 10, 2011

Court Badminton

Antara kenangan manis ketika Ramadhan adalah berterawih. kenangan berterawih paling menyeronokkan bagi saya adalah ketika di SMKASL. Kemanisan dan keseronokannya terimbau sehingga sekarang walaupun hampir 17 tahun saat-saat itu ditinggalkan. Ada 2 tempat untuk kami berterawih pada ketika itu; surau sekolah dan gelanggang badminton di ruang tengah ASPURI.
Berterawih di surau bermaksud kami berkongsi tempat dengan putera, ruang agak terhad untuk puteri, kadangkala melimpah hingga ke beranda belakang. Di sini, kami terdedah dengan kerenah nakal pelajar-pelajar putera. Paling menyiksakan bila sandal yang disusun elok sebelum terawih terpaksa dicari pasangannya berlama-lama, mujur tak balik ke ASPURI bersandal sebelah kaki!
Berterawih di gelanggang badminton ASPURI, ruang agak luas, sejuk dengan angin asli serta beratapkan langit. Bila berselawat berdengung serasa ke bulan dan bintang tapi ia agak berisiko ketika hujan. Tikar plastik untuk solat disusun panjang memanjang, tukang bentang dan tukang gulung selalunya adik-adik Tingkatan 1..:)
Catatan ini hanya sekelumit kenangan, tapi sebelum coretan ini bernoktah, senyum saya masih bersisa..:)

August 09, 2011

kelahiran disyukuri

Rayyan comel dah 7 bulan. Berat terkini 7.8 kg. Dah mula merangkak, dah mula membebel. Merangkak Rayyan macam beluncas..:), angkat punggung tinggi-tinggi, sekejap ke depan sekejap ke belakang. Menyusur, mengesot memang dah laju, macam komando lagaknya..segala di depan mata dicapainya dan masuk ke mulut. Pantang lepa, pasti ada yang digigitnya.
Rayyan juga ringan mulut...suka dengar dia 'attatatta..' 'babaabah..buuuuah..'..'akhe..'...hmm banyak bunyi dah. Seronok dengar dia mendodoikan diri sendiri bila mengantuk. Sekejap dengar dia menyanyi sendiri..kemudian bila toleh semula, dia dah mengembara ke alam mimpi...:)
Rayyan ada 3 sepupu sebaya. Sebelah abah, ada Abg Rafique (lahir bulan Oktober 2010) dan Adik Umairah (lahir selepas Rayyan 20 hari). Sebelah ummi, ada Adik Aryan (lahir 08 Julai 2011~baru sebulan). Masing-masing sedang membesar dengan baik, sihat dan sejahtera..syukur! Rafique menjangkau 10 bulan, Rayyan dan Umairah menginjak 7 bulan sementara Baby Aryan masih dalam tempoh berpantang. Insha Allah, ada umur ada rezeki..kelahiran-kelahiran baru ini bakal menyemarakkan bahagia atuk dan nenek mereka di kesucian Syawal nanti..:)..insha Allah..amiin.

August 03, 2011

...alhamdulillah...

3 Ramadhan, dah 3 hari umat Islam Malaysia berpuasa..serasa sekejap masa berlalu. Tahun ini tahun hijrah untuk kami..banyak perkara berubah..bermula seawal tahun baru, Rayyan menambah kemeriahan keluarga kecil kami. Tamat cuti berpantang 3 bulan, saya sedia pula menjadi surirumah sepenuh masa. Seterusnya membawa kepada perubahan cara hidup..terasa lebih merdeka di hati, puas kerana hati dan jiwa tidak lagi berbelah bagi dan bersangka-sangka kerana anak-anak kecil di depan mata. Makan minum juga terjaga aturnya, bersihnya, doa dan harapannya..alhamdulillah.
Ramadhan kali ini, tidak lagi kesah dan keluh dengan sesaknya trafik kotaraya..alhamdulillah. Tidak lagi jenuh menyusun kata maaf sekiranya anak terpaksa diambil lewat dari biasa..alhamdulillah. Tidak lagi jenuh dan jemu menjamu mata di bazaar Ramadhan atau mana-mana persinggahan, tertanya-tanya perut juadah apa untuk berbuka..alhamdulillah..mungkin tidak semewah mana..tapi kami sudah cukup kaya..alhamdulillah.

August 02, 2011

Ahlan

Selamat datang Ramadhan..berkatnya sangat melimpah ruah..kali ini Ramadhan kami bukan lagi zaman terkejar-kejar,alhamdulillah, Ramadhan ini Ramadhan yang penuh 'rahah'..syukur bersangatan!banyak sebenarnya karangan di kepala tentang Ramadhan kali ini, cumanya belum berkesempatan menumpah bicara. Kisah tentang Amar yang memulakan puasa, terujanya dia berterawih di surau..bercerita tentang moreh..cerita tentang 'solat banyak-banyak'..seronoknya melihat dia sahur sambil terpejam-pejam mata. Kisah tentang sifat manusia yang suka berlumba..dalam segala bagai, rezeki, ibadah, perhatian, keterpunyaan. Kisah tentang keterujaan media meraikan kehadiran bulan berkat, singgah sahur, singgah masjid, masak kurma, bakar biskut. Kisah tentang negara?..Hidup banyak kisahnya..coretan Ramadhan kali ini berkisah-kisah,insha Allah.

July 22, 2011

GERILA

Sedang membaca novel ini untuk kali ketiga, saya suka cerita novel ini. Ia penuh dengan konflik, konflik kuasa, konflik emosi dan konflik jatidiri. Kisah tentang juruterbang kapal pejuang Malaysia yang memburu kebebasan kuasa kendiri. Beliau diselamatkan barisan pejuang pembebasan Wilayah Patani setelah kapalnya terhempas di hutan sempadan. Episod itu menyaksikan pembabitan beliau dalam gerakan pembebasan tersebut, sehingga bertemu beberapa episod tempur. Novel ini agak kontoversi, seperti tagnya 'berdasarkan pengalaman sebenar ditulis oleh bekas gerila dan bekas tahanan ISA'.
Terima kasih ABANG (gelaran untuk adik lelaki tunggal saya, Zulkifly) di atas hadiah ini. Zul, adik saya yang sangat memahami minat saya dengan buku, dan novel ini adalah hadiah ulangtahun kelahiran saya darinya.

Edisi Ogos 2011

Hari ini tersenyum buka peti surat..majalah kesayangan sudah di tangan. Pagi-pagi lagi saya dah membelek dan membaca 'kamera' edisi bumper kali ini. Seperti diwar-warkan, edisi Ogos membincangkan tentang puasa, ketika kehamilan (juga relevan untuk ibu menyusu anak), juga bagaimana mengajar serta mengajak anak-anak berpuasa. Isu anak prasekolah juga sangat menarik; mengajar anak suka menulis dan bagaimana menangani anak yang kurang minat membaca.
Topik bulan ini bertajuk 'Bulan-bulan Awal Bersama Bayi Baru'. Edisi bumper kali ini tidak sekadar menyediakan maklumat berwarna-warni, ruangan bonus juga sangat mengujakan!Kepada ibubapa yang cenderung asuhan alami banyak tawaran berbaloi yang dicadangkan. Pembacaan 'kamera' saya akan bertukar sebentar lagi..'dari muka ke muka'..:)

July 20, 2011

Rezeki Tak Nampak


Apabila bercerita tentang susu ibu, tak pernah dengar penafian kebaikan dan keberkatannya. Catatan ini bersifat peribadi dan kendiri hasil dari pembacaan dan pengalaman. Apa yang pasti saya sedang menikmati saat-saat indah seorang ibu; membesarkan anak dan menyusukan anak. Ketika kelahiran anak pertama saya belum cukup ilmu dan keterujaan untuk menyusu penuh anak. Keinginan dan kesungguhan itu memang ada, cuma saya agak patah dengan keadaan 'susu tak cukup' seawal Amar 2 bulan. Bila dibawa berjumpa doktor, berat Amar tak naik dan doktor nyatakan susu saya tidak menampung keperluannya. Ketika itu, meskipun sokongan suami sangat kuat tetapi faktor kekurangan pendedahan dan 'cakap-cakap' orang 'lama' menyebabkan Amar ber'susu campur'. Suami pilih susu formula berasas soya dan mengelak untuk memberikan susu formula lain. Hasilnya..Amar menyusu susu ibu sehingga 4 bulan dan selebihnya dengan susu formula.
Kelahiran permata kedua, saya tingkatkan iltizam untuk menyusu penuh Iman sehingga 6 bulan. Alhamdulillah..pam susu berkuasa bateri yang digunakan juga ketika Amar kecil saya optimakan penggunaannya sebaik mungkin. Meskipun pam tidak berjenama mahal dan sedikit halangan 'kejutan budaya' ke atas pengasuh, Iman berjaya saya susukan penuh selama 6 bulan. Ketika dia menginjak usia 6 bulan saya bekalkan pengasuh makanan pejal yang dikisar dan dimasak sendiri. Hanya ketika Iman 8 bulan baru saya berani bekalkan dia biskut dan susu formula soya untuk tambahan, kerana kesilapan saya yang tak tentu dan kurang selera makan, susu saya tidak memadai untuk keperluannya yang semakin bertambah usia.
Kehamilan anak ketiga adalah sesuatu yang tak terjangka. Saya tekad, seawal kehamilan itu saya telah merancang untuk berhenti kerja, dan menumpukan sepenuhnya tenaga dan kasih untuk permata-permata hati. Iman masih menyusu badan ketika kehamilan ketiga, agak kalah dengan keadaan fizikal yang memerlukan zat tambahan di samping pola pemakanan yang tak menentu, doktor menyarankan Iman yang berusia 20 bulan bercerai susu. Suami sangat membantu ketika kehamilan ketiga semente saya adalah seorang yang bermasalah ketika mengandung. Tulang pinggul saya ada sedikit masalah, berkemungkinan kesan aktiviti ketika remaja, dan ada gangguan pada saraf di bahagian belakang badan menyebabkan saya kadangkala langsung tidak boleh berjalan.
Alhamdulillah kelahiran ketiga ini saya dedikasikan sepenuhnya tumpuan terhadap anak-anak. Susu ibu yang terhak sejak azali lagi menjadi usaha utama saya untuk Rayyan. Saya cuba tingkatkan selera makan saya dan kerapkan minum air supaya bekalan susu saya mencukupi untuk buah hati pengarang jantung Ummi. Saya ketepikan cakap-cakap orang, kesampingkan cabaran-cabaran kecil~sakit, kerap lapar, baju basah. Apalah sangat berbanding khasiat dan berkatnya. Rayyan hampir 7 bulan..telah melepasi 6 bulan eksklusifnya, saya berazam dan berdoa rezeki susu ini menjangkau 2 tahun dan lebih. ...perkenankan Ya Allah..amiin.

July 14, 2011

Raikan Cinta

alhamdulillah..Sabtu 9 Julai 2011..Laili sah bergelar suri, kami pulang awal ke kampung minggu itu khusus untuk meraikan dia, dan tak terduga Jumaat 8 Julai 2011, Tuah Aryan pula menjengah dunia..dengan rasminya aku jadi Mak Long. Maka, haluan hati agak bercampur baur;membantu persiapan walimah Laili atau menyambut kelahiran cucu mak yang ke 4 anak Hidayah dan Azizi. Kami cuba membahagi-bahagi masa dan tumpuan. Pernikahan Laili tetap dipenuhi undangannya, usai kesyukuran pernikahan kami sekeluarga ke Hospital Sungai Buluh meraikan kelahiran baru.
10 Julai 2011, majlis persandingan Laili dan Taufil berkebetulan ulangtahun ke 6 pernikahan aku dan suami. Meskipun tahun ini ulangtahun kami agak terkesamping dek kesibukan lain, kami tetap mensyukuri kasih sayang ini dan kami sentiasa meraikan cinta!

July 13, 2011

Sutera Bidadari

Sunan sentiasa membingkiskan cinta agungnya..Mariam dan Luna kerap akur dengan panah rasa yang tak berpenghujung. Kembara Sunan kali ini kerap bertemu gelora..hati dan badai. Setia Sunan pada Si Ratu, sedia Sunan dengan onak cabaran yang bertalu-talu.
Taghut cuba mencari jawapan pada raga manusianya..meskipun jiwa hitam dengan derhaka. Makhluk bersayap pula menumpahkan setia dengan rencam ragam manusia meskipun susuknya tetap berfitrah si panjang usia.
Kali ini kembara mereka mengundang resah pada gelora.

Entri Berkaitan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...