January 27, 2012

Kasih Saudara

Seronok dan bahagia bila bersaudara..rasa kaya!Operasi angkut-mengangkut kami dipermudahkanNya dengan kasih saudara. Memang benar..agenda 'pemindahan' kami agak panjang, kami tidak mahu tergesa-gesa. Rumah yang ditinggalkan dan rumah yang menjadi kediaman baru kami bukannya terikat mana pun. Kedua-duanya milik sendiri, maka operasi pindah randah pun ISA (ikut suka abang dan ikut suka akak!).

Kaum Cina beraya..kami pula ber'angkut'. Alhamdulillah kudrat kami yang dah bersisa (penat meng'kotak-kotak'kan khazanah seisi rumah) dibantu dengan tenaga Pak Lang, Pak Cu dan Pak Teh. Tambahan dengan kenalan Pak Teh; si pemandu lori dan pembantunya. Pak Teh mengetuai perjalanan dari PUSJ ke AJ kerana dia jugalah yang sangat membantu urusan mengecat di AJ. Kami menyusul kemudian dengan membawa sekali 'orang ASTRO' ke AJ. Setibanya kami di AJ (hujan lebat pula tu), kesemua barang sudah selesai dibawa ke dalam rumah..aduhai!sangat terima kasih wahai adik-adik ipar dan birasku. Kami rasa sangat kaya..:).

Giliran saudara di sebelah sini pula menyumbang rasa. Pak Ngah dan Mak Ngah (yang sedang berbadan dua) sudi pula membawakan kami kudapan ke AJ, juga memasakkan hidangan makan malam untuk kami. Terima kasih adik dan adik iparku..kenyang rasa hati kami..:)

Berminggu-minggu sebelum itu..saudara sedarah..ipar duai ini jugalah yang Dia titipkan untuk kelangsungan dan keberadaan kami..terima kasih, kata sahaja pasti tidak memadai, moga kasih saudara ini sentiasa dilimpahi rahmatNya..hati-hati kami sangat kaya Ya Allah..syukran! 

January 16, 2012

TAWAS-Rayyan


Hari ini, saya semak semula status pendaftaran TAWAS untuk Rayyan. Alhamdulillah, lulus juga. 2 minggu lepas, masih berstatus "sedang dalam semakan". TAWAS untuk Iman telah lebih dahulu lulus meskipun didaftarkan pada hari dan waktu yang sama. Berkemungkinan Iman kelahiran 2008, maka permohonannya diluluskan sebelum Rayyan.

Sesiapa anak Selangor, jangan lepaskan peluang ini!

January 09, 2012

Juara Masterchef

Ezani-Juara Masterchef M'sia

Satu-satunya rancangan realiti yang benar-benar saya dan suami ikuti. Selepas ini kaca tv itu semakin saya kesampingkanlah adanya..:). Bagus juga, kalau tak ternanti-nantilah saya rancangan ini. Tahniah Dr Ezani!Macam nama pensyarah saya ketika matrik dulu. RM 100,000.00 dan buku memasak sendiri! Saya positif dengan siri ini, bukan sekadar menguntungkan penaja (pastilah kan..), realiti berlatarkan kemahiran dan peluang sebegini berbaloi berbanding realiti tari-tarian bertangis-tangisan.

Wahidan-Finalis 'Favourite' kami

January 06, 2012

TAWAS~Iman

Ini buktinya..Iman kelahiran 2008 dan lahir di Kuala Lumpur..
Status : LULUS

January 03, 2012

Dekat di hati

Mengapa perlu bersedih sedangkan Dia berikan semuanya kepada kita..
Kita bernafas..kita bersuara..kita merasa dengan percuma
Kita berkawan, kita berkeluarga, kita berteman..semuanya dengan rahmanNya..tidak perlu bayaran..(tapi ia juga tidak boleh dibeli dengan apa jua matawang..:))

Tidak perlu berasa gusar andai ada keinginan yang tidak kita perolehi, sebab?aturan Dia aturan terbaik. Kalau mungkin si dia idaman hati milik orang lain..sudah tertulis kerenahnya dan kerenah kita tidak berjodoh, kecenderungan yang kita pandang serasi, berkemungkinan tidak berpadanan pada sebenarnya situasi di hadapan kelak..

Kalau mungkin apa yang kita jawat/ apa yang kita lakukan bukan apa yang pernah kita hajat..berkemungkinan terselitnya seribu macam hikmah. Apa yang pernah kita lalui, apa yang pernah kita harungi pelengkap kepada kekuatan yang perlu ada untuk kita sebagai kita.

Kalau mungkin kita masih belum menggenggam apa yang diimpikan, waktu dan keadaannya mungkin masih tidak bersesuaian..ada yang inginkan cahayamata atau juga pasangan jiwa, hasrat itu masih jua belum ternyata..kerana Dia tahu kelebihan dan kelemahan kita..Dia mahu kita sentiasa dekat dan meletak harap padaNya. Dia letakkan dulu rasa pahit dan derita..agar kita benar-benar menghargai rasa manis dan bahagia.

dekat dan hampirkan diri padaNya..kerana sesungguhnya Dia terlalu hampir pada yang mengingatiNya..

Cakap Dengan Cermin


Dari dapur, ummi dengar Rayyan ketawa mengekek..sambil bercakap-cakap bahasanya..fikir ummi Rayyan sedang bersendagurau dengan Amar. Rupa-rupanya dia ber'cakap' dengan bayangannya di cermin..siap tunjuk-tunjuk gigi dia depan cermin..tepuk-tepuk tangan dengan 'tangan' di sebelah 'sana'..senyum-senyum manja sambil pegang 'mata'..entah apa di fikirannya. Mungkin dia ingat dia sedang ber'main' dengan kanak-kanak seusianya. Ummi perhatikan dari jauh..terbias bayang ummi di cermin..Rayyan jerit..'memei..memei..' sambil gelak tunjuk gigi!isyy..comel..!

Rayyan Realiti Januari 2012

Rayyan dan Iman

01.01.2012~pastinya cerita tentang Rayyan. Disember 2011 kami dipenuhi dengan episod ulang alik, Pinggiran USJ-Alam Jaya. Ulangtahun kelahiran pertama Rayyan disambut dengan kesibukan kami mengurus kediaman baru kami di AJ. Diari 31.12.2011 dimulakan dengan 'masih lagi' mengunjungi Nippon Paint dan ini mungkin yang terakhir untuk sesi ini..:)..(kami dah dapat cenderahati botol air dan bekas tisu NP).

Tengahari dan petang 31.12.2011, abah mengecat undercot untuk di tingkat atas sementara kami berempat meriuhrendahkan suasana di tingkat bawah. Kunjungan nenek, Pak Ngah, Mak Ngah dan Mak Cu menambahkan lagi kemeriahan kami di AJ. Pastinya birthday boy yang menjadi tumpuan, dengan riak muka nakal bergigi 4nya.

Usai Maghrib kami bernasi Arab di Seksyen 7, meraikan Rayyan di D' Arab Cafe (ummi dan abah yang suka sebenarnya..Rayyan bukan boleh makan banyak pun..). Dari situ kami terus ke Tasik Titiwangsa untuk menyaksikan kemeriahan bunga api di tepi tasik.  Amar dan Iman yang lebih teruja, dari tempat duduk kami, bunga api tampak jelas dari 2 lokasi; KLCC dan Dataran Merdeka. Seterusnya kami bawa Rayyan melawat 'lokasi' kelahirannya (tempat kelahiran Amar dan Iman juga) iaitu Hospital Pusrawi, Jln Tun Razak. Setahun yang lepas, ummi yang dah check in di wad, curi-curi keluar dengan abah ke lobi Pusrawi untuk tengok bunga api tahun baru..:)

Birthday boy tidur dalam pelukan ummi sepanjang perjalanan balik..tak lepa ummi belai wajah tulus Rayyan..dah setahun bujang bertuah ummi. Pagi 1 Januari 2012..kami ke AJ lagi..abah menyambung tugasan catnya sementara kami ke rumah nenek. Petang itu, kami raikan Rayyan di Kuala Selangor bersama nenek dan Mak Cu. Jalan-jalan cari makan cari hadiah..:)

Selamat Hari Lahir Rayyan!

December 30, 2011

Amar n 'Barber'

Rabu lepas kami bawa Amar gunting rambut, dengan kerelaan dan kesediaannya. Sebelum ini, Amar agak takut untuk bergunting, dan atas sebab itu kami selalu meng'urus' rambutnya sendiri. Jenuh juga membantu keyakinannya. Besar juga pengaruh Diego (siri kartun Go Diego Go) dan Higglytown Hero. Kenapa? Ada siri dalam GDG tentang kembara Diego membawa rakannya ke 'Barber Shop'. Digambarkan ke'handsome'an dan kekemasan setelah bergunting rambut dan betapa 'barber' tidaklah menakutkan. Dalam HH pula diceritakan tentang peranan 'barber' yang sangat membantu dan hero yang boleh dicontohi dalam komuniti. Saya selaku ummi akan menjadi fasilitator setia pada siri-siri kegemaran anak-anak, seterusnya bertindak selaku 'narrator' dan rujukan utama mereka. 

Sejak itu, Amar 'alert' dengan Barber Shop. Kami sengaja mewujudkan keinginan dan keterujaan dia untuk menggunting rambut. Alhamdulillah, rabu lepas dia berjaya mengatasi ketakutannya berjumpa 'barber'. Dengan bertemankan abah (ummi tengok dari dalam kereta), Amar menyerahkan 'urusan' rambut dan kepercayaannya kepada 'barber' dan dengan tersenyum dia membuat isyarat 'thumb up' kepada ummi....:). Dalam kereta tak sudah-sudah Amar melihat cermin dan bersambung bila sampai di rumah...'handsome kan anak abah?'..aiitt..abah dapat nama?

December 29, 2011

4959~Sasician

kami-sebelum SPM 1996

Minggu lepas cerita PMR, minggu ni ambil mood SPM. Untuk entri ini saya cuma letakkan gambar kelas saya 5/9. Kelas-kelas di KISAS hanya merujuk nombor..kami ada 12 kelas kesemuanya. Nombor-nombor ini tidak melambangkan 'ranking', kerana hakikatnya semua berlatarbelakangkan PMR yang hampir serupa dari seluruh negara! Saya cukup 'segan' untuk bercerita tentang KISAS kerana kekaguman saya pada sistem pendidikan dan tarbiyahnya. Satu-satunya SBP yang tidak wajib 'prep' petang, menyediakan ruang seluasnya kepada pelajar membina keselesaan cara belajar tersendiri. Solat jemaah lengkap 5 waktu di surau asrama, tanpa paksaan cuma ajakan dan didikan.

kami-setelah habis belajar di universiti
Kelas saya pernah buat re-union sekali, selepas habis belajar di universiti masing-masing. Itulah sekali! Lepasan kelas kami ada yang menjadi akauntan, pendidik, akademia dan pengamal undang-undang..ada juga yang menjadi pegawai di agensi kerajaan.

masih kami-di KLCC

Bila lagi agaknya kami boleh bersua lagi..pastinya kalau kami bertemu lagi..gambar-gambar kami akan dipenuhkan pula dengan 'generasi pewaris' :)..

December 23, 2011

Tapak Perhimpunan

3 Firdaus '94 (Latar:Kantin Sekolah)

3 Na'im '94 (Latar:Sebelah Astaka, Bhgn Depan Kiri Tapak Perhimpunan)

3 Ma'wa '94 (Latar:Blok A, Bhgn Depan Kanan Tapak Perhimpunan)

3 Darussalam '94 (Latar:Blok A, Bhgn Depan Kanan Tapak Perhimpunan)
Maaf..saya masih mood PMR..:). TV, Internet, Akhbar semua cerita tentang PMR. Maka, kenangan dan ingatan saya pun asyik teringat suka-duka PMR 17 tahun dahulu..lama tu. Masa itu, PMR baru 2 tahun menggantikan SRP.

Gambar-gambar di atas adalah calon-calon berdaftar PMR 1994..:). Sehingga sekarang saya masih ingat kesemua nama mereka, wajah dan perangai masing-masing. Lelaki ke..perempuan ke..alhamdulillah ingatan saya masih kuat. Jangan terkejut kalau ada yang masih saya ingat nombor pendaftaran asrama a.k.a nombor banduan..:)..serta tarikh lahir mereka. Nombor-nombor 'banduan' itu tertulis di mana-mana barang hakmilik masing-masing. Baldi, selipar jepun, cadar, sarung bantal, buku rujukan, gayung, sandle, baju asrama, tepi tudung pun ada..mana mungkin tak terlekat di kepala..:)

InshaAllah..selagi masih ada ingatan selagi itulah doa saya selaku sahabat sentiasa dititipkan. Tambahan, 2 orang daripada kalangan kami telah kembali ke sisiNya mendahului kami. Pemergian mereka pemergian yang tidak terjangka di usia muda..Al-Fatihah untuk mereka..

~0716~

December 21, 2011

Result PMR-Gen 2


Gambar di atas telah berusia 17 tahun (2011-1994). Gambar ketika kami ambil keputusan PMR 1994. Kami..kelahiran 1979 adalah generasi kedua PMR dan sebagai pelajar SMKA kami ambil 9 matapelajaran berbanding 8 untuk pelajar aliran biasa.

Ingat lagi, batch 5 SMKASL adalah batch yang pihak sekolah sifatkan sebagai batch 'baik' ketika itu. Satu-satunya batch yang tiada aktiviti selepas peperiksaan, satu-satunya batch yang di'cabar' untuk berikan keputusan cemerlang dalam PMR seiring ke'cemerlang'an kami dalam mengemudi kenakalan remaja. Batch sebelum kami, tiada yang mendapat 9A..maka kami dicabar untuk merealisasikan keputusan 9A dengan janji tiket/ percutian ke Medan atau Langkawi...ialah kami batch 'baik' kan?

Siapa sangka...6 orang daripada kami mendapat 9A dan 4 orang dengan keputusan 8A 1B dan ramai yang lain dengan keputusan 7A..sila lihat nama-nama kami di dinding Dewan SMKASL..:)..dan janji itu? Tiket percutian kami digantikan haluannya ke Kelantan bersama 2 orang guru pengiring. 6 orang B5J5 (Hamidi, Helmy, AzamMdDin, Khairi, Farahiyah dan saya) diterbangkan khusus ke Kelantan untuk ganjaran itu bersama Ustaz Hadi dan Puan Shor.

Bagi saya, 9A itu bukan saja kecemerlangan peribadi, ia juga kemenangan batch kami. Kekecewaan kami dengan ketiadaan aktiviti selepas PMR ditebus dengan keputusan ini. Ini bukan dendam tapi ia adalah sebuah azam..:)

Midi, Helmy dan Azam

Besok 22 Disember 2011, calon PMR 2011 boleh mengambil keputusan PMR masing-masing di sekolah selepas jam 10.00 pagi. Tahniah dan terima kasih para pendidik, terima kasih tak terhingga di atas jasa dan penat lelah kalian mendidik anak bangsa.

WARISAN Selangor


Kami rakyat D.Y.M.M Sultan Selangor..senang cerita kami bernombor 10 di tengah-tengah no KP..walaupun anak-anak lahir di Wilayah Persekutuan KL, kriteria berikut melayakkan anak-anak mendapat manfaat dari TAWAS;

i) Warganegara Malaysia, dan;
ii) Lahir di negeri Selangor atau luar negeri Selangor mulai 1hb Januari 2008;
iii) Ibu atau bapa lahir di negeri Selangor atau Ibu atau Bapa lahir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum 1hb Februari 1974.

Untuk setiap permohonan yang layak dan berjaya, kerajaan Selangor akan menghadiahkan tabung simpanan sebanyak RM 100.00 kepada pemohon/ penama (anak-anak yang lahir tahun 2008 ke atas). Dalam tempoh/ sehingga berumur 18 tahun, anak-anak ini berpeluang menerima RM 1,500.00 seorang dengan hasil daripada pelaburan ke atas RM 100.00 tadi.

RM 100.00 itu akan didepositkan ke mana-mana akaun AMBANK berhampiran dan hanya boleh diuruskan penama (deposit atau pengeluaran) setelah berumur 18 tahun. Ia bermula dengan hadiah kelahiran RM 100.00 setiap seorang..seterusnya disimpan sebagai pelaburan ke dalam bank yang menyediakan faedah dan risiko yang meyakinkan. Pada kadar faedah yang terendah penama dijangkakan menerima minima RM 1500.00 pada umur 18 tahun.

Untuk maklumat lanjut,

Entri Berkaitan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...