October 11, 2013

Manusia Hebat

Bismillah..Assalamualaikum Warahmatullah..:)

Bagaimana dikatakan manusia itu hebat? Selalunya manusia hebat dikaitkan dengan kejayaan dan kegemilangan yang ditempa, juga nama-nama besar yang tercatat di persada dunia. Seterusnya dijadikan contoh atau ikon masyarakat sejagat.

Siapa manusia hebat yang disenaraikan Rasululullah? Ada 10 orang. 10 manusia hebat yang mempunyai kekuatan tersendiri. Disatukan dengan iman yang jitu, kecintaan yang mendalam terhadap Rasulullah juga keperibadian yang mantap menurut ajaran Allah dan rasulNya. Manusia-manusia hebat itu adalah sahabat-sahabatnya;

1. Abu Bakar As Siddiq
2. Umar Al Khattab
3. Uthman bin 'Affan
4. 'Ali bin Abi Talib
5. Talhah bin Ubaidillah
6. Zubair Al- 'Awwam
7. Abdurrahman bin 'Auf
8. Sa'ad bin Abi Waqqas
9. Sa'id bin Zaid
10. Abu 'Ubaidah Al Jarrah

Realitinya, kita (saya terutamanya) masih belum benar-benar mengenali 10 manusia hebat yang terjamin tempat di syurga ini. Seringkali kita ter'celaru' dengan ikon-ikon keduniaan, nama-nama besar di segala bidang. Tanya hati..adakah kita cukup kenal dengan sahabat-sahabat kecintaan Rasulullah ini? Allahurabbana..kerdilnya kita..

October 10, 2013

Salam

Bismillah..assalamualaikum :)

Mari mulakan hari dengan salam dan senyum..:). Pertamanya..hati kita pasti akan rasa senang bila hari dimulakan dengan salam sesama ahli keluarga. Mulakan dengan yang paling mudah, ketika kejutkan anak sebelum Subuh juga ketika kejutkan suami/ isteri dalam memulakan 'hayat' kita di hari yang baru.

Apatah lagi bila disusuli dengan solat Subuh berjemaah dan bersalaman sesama ahli keluarga. Tenang hati kan? Dalam memberi salam, Rasulullah S.A.W menganjurkan adab-adab seperti sabdanya ; 'Hendaklah orang di atas kenderaan memberi salam kepada yang berjalan, yang berjalan memberi salam kepada yang duduk, yang sedikit memberi salam kepada yang ramai dan yang muda memberi salam kepada yang lebih dewasa' (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Cantikkan adab yang diajar Rasulullah? Ia mengajar bagaimana sifat hormat menghormati perlu dipupuk dari pelbagai sudut perbuatan dan lapisan umur, dan baginda juga mengingatkan bahawa orang yang mulia adalah orang yang memulakan salam.

Jadi?Mari kita hulurkan salam sesama kita..assalamualaikum..:)

October 09, 2013

WW : Korbankan..

Bacalah..bacalah dengan nama Tuhanmu..


October 08, 2013

Plastisin

Bismillah

Iman ada latihan koir hari ini, bermula hari ini hingga tarikh 'kejadian' Iman akan berlatih koir di tabikanya. Dia terpilih wakili TBK Warnasari untuk membuat persembahan di Hari Graduasi Kemas 23 Oktober nanti. Hari ini dia pulang lewat, saya ambil dia pukul 2.15 petang.

Saya fikir dia letih, sebaliknya dia minta plastisin untuk bermain. Ok!Saya lebih suka dia main plastisin berbanding menonton TV :). Ini antara hasilnya,

'Anak patung', kata Iman.
Iman dan Rayyan main berdua, Ummi 'relaks' seketika :)

Kereta Kebal

Masing-masing

Cookies

Apa Khabar?

Bismillah..apa khabar hati-hati kita? Mari perelokkan dan perbaiki hati, hati itu raja pada seluruh anggota badan. Cantik hati, maka cantiklah adab, cantik juga pemilik jasad..amiin.


Lagu- Opick :Taqwa
Sumber : Youtube

October 07, 2013

Cemburu di bulan Zulhijjah

Bismillah..alhamdulillah..kita sudah memasuki awal Zulhijjah, bulan mulia bulan korban bulan lambaian tanah suci. Entah bila nak sampai ke sana..bila menonton/ mendengar cerita dan perkongsian tetamu-tetamu Allah di bumi barakah, hati rasa sangat sayu. Cemburu pun ada.

Seronoknya melihat mereka mengelilingi ka'abah, rasa sangat sayu bila mendengar luahan syukur para tetamu Allah bila berpeluang melafazkan talbiah di sana. Saya berharap dan sangat berharap agar satu hari nanti saya dan keluarga akan ke sana.

Perkenankanlah Ya Allah..

October 03, 2013

Selamat Berjuang

Tiba-tiba rasa sangat rindu dengan sahabat-sahabat saya ketika mengaji di UKM dahulu. Saya tujukan lagu ini khusus buat mereka, lagu ini antara lagu kegemaran kami suatu waktu dahulu ketika masing-masing di persada perjuangan ilmu dan fikrah.

Hidup ini satu perjuangan!


Nasyid-Satu Perjuangan dari Brothers
Sumber : Youtube

October 02, 2013

WW: Muka dan bunga

Luahan kasih anakanda puteri :)

'Ini muka abah tapi muka abah kelaka'

'Ini bunga ummi iman buatkan'
(dia tulis-iman bungakan :))

September 30, 2013

Iman ke Zoo Negara

Banyak betul entri yang tertangguh. Episod hujung minggu yang lepas-lepas pun tidak tercatat, menjelma pula cerita-cerita aktiviti anak-anak yang masing-masing empunya diri bertanya, 'kenapa tak masukkan lagi cerita Iman ummi?'

Ok. Sabtu lepas..28/09/2013 kami dengan doa dan tawakal melepaskan Iman mengikuti rombongan tabikanya ke Zoo Negara dan Muzium Coklat. Sama seperti Amar setahun yang lepas, kami 'lepas'kan dia bersendirian dengan bimbingan guru dan sebahagian ibubapa yang berkesempatan menyertainya.

Saya letakkan gambar-gambar (ihsan Ibu Aqil ; Amizan) sebagai pelengkap episod hujung minggu Iman.

Pintu Zoo Negara-Iman dan sweater  kuningnya

Berbanding Amar yang sedikit manja, Iman tampak lebih yakin dan kuat kendiri. Begitupun saya tetap menitip pesan berbakul-bakul untuknya. Naik-naik bas sahaja dia duduk di bahagian depan, 'Iman nak nampak jalan', katanya. Sungguhpun Cikgu Nabila tidak dapat pergi kali ini (faktor kesihatan bakal ibu :)), rombongan ini tetap dimeriahkan dengan pengurusan agen terlantik dan seliaan AJK/ Ibubapa yang turut serta.

Iman dan rakan-rakan dibawa ke Zoo Negara, Ulu Klang dan Muzium Coklat di Kota Damansara. Dari rumah, saya 'pantau' pergerakan Iman melalui Puan Amizan (ibu Aqil-terima kasih banyak-banyak Mizan!) dan FB ibubapa yang pergi.

Tengok singa laut beraksi
Panda dan Harimau 'jinak'
Kanak-kanak riang di Muzium Coklat
Aqil, Iman dan Aiman (anak-anak Untie Mizan)
Iman dan Aiman (kawan Amar), sentiasa jaga Iman sepanjang lawatan :), terima kasih Aiman!
Iman pulang sekitar jam 3.30 petang, kami tunggu kepulangannya di perkarangan Warnasari. Iman orang pertama yang turun dari bas, saya perasan riak lega pada wajah abah Iman. Sempat saya mengusik suami, 'lain betul abang bila Iman yang pergi ya?' 'Uisyy..memanglah!anak perempuan abang tu!'. Usai bersalaman dengan ibubapa yang mengawasi anak-anak, kami bersegera bawa anak-anak pulang..dan Iman?Mulutnya tak penat berceloteh pengalaman sulungnya berpergian. Cerita kura-kura gergasi, singa laut mulut muncung, paling seronok bila dia bercerita cara buat coklat, siap bergaya.

Baiklah!Catatan tamat :), ada cerita ada kesempatan saya nukilkan lagi. Sekali lagi terima kasih Cikgu Nabila, Cikgu Leha, Pn Amizan, En Karim dan rakan-rakan lain yang tidak tersebut nama. Moga anak-anak ini menjadi insan-insan yang prihatin, berani, kuat kendiri dan tinggi adab ilmu mereka suatu hari kelak.

September 26, 2013

Suratkhabar dan Apron


Suratkhabar pun jadilah
 Cerita saya memang banyak cerita anak-anak. Saya pernah cerita tentang Iman yang suka mewarna. Ini antara aktiviti petangnya. Iman gunakan kertas suratkhabar ini untuk dia lakarkan lukisan/warnanya, puas saya hulurkan kertas lukisan untuknya tapi dia tetap mahukan kertas suratkhabar ini. Pada kertas itu dia lakar dan warna; sebuah layang-layang, ikan paus dan ikan lumba-lumba. Perasan tak di bawah tali layang-layang ada objek berupa huruf A dan B?Saya tanyakan Iman, dia kata itu nama ikan paus, Abby dan dia ringkaskan jadi AB.

Beg jadi apron
 Lihat pula beg gunasemula saya berjenama tupperware itu (mohon abaikan model yang masam muka tu). Iman kata,'..ini apron Iman untuk lukis-lukis..:). Hari ni Iman pakai baju pink, semua kena sama, hairband..baju..apron..'. Tiba-tiba rasa nak minta tolong Mummy Yan buatkan apron hehehhe

Tara..! 
Anak-anak..kadang tak terjangka cara fikir mereka..:)

Episod Hujung Minggu-Durian




Trip 1

Seperti catatan saya, hujung minggu yang lepas banyak episodnya. Saya cuba rakamkan satu persatu. Kali ini tentang durian di kampung mertua di Batu Laut. Awalnya, kami tak menjangkakan apa-apa bila pulang menziarah abah dan mak di kampung, tak sangka pula pulangnya kami dengan durian yang gugur dengan baik sekali. Mak mertua khabarkan, minggu lepas durian tidak gugur sebanyak ini. Alhamdulillah, rezeki!

Iman tolong abah, katanya :)

Ini durian yang paling sedap dan paling susah dikopek
Kalau tak silap, ada 8 pokok yang berbuah dan gugur pada musim kali ini. Durian pun ada beza rasanya mengikut pokok. Ada yang ulasnya kecil tapi sangat 'juicy', ada juga yang ulasnya tebal dan rasanya sangat lemak. Ada pula yang rasanya seperti lemak-lemak susu. Besarkan kuasa Allah, walaupun dari pokok yang sama kadangkala rasanya juga berbeza-beza.

Atuk ajar skill

Rayyan pemenang 'pemakan durian paling banyak'
Sebenarnya, saya memang 'hantu' durian, sementalah keluarga arwah abah juga berasal dari daerah sini, Banting (Kuala Langat). Ketika kecil dahulu, musim durianlah paling meriah. Selalunya bertepatan dengan musim cuti sekolah dan saat-saat itulah saya dan sepupu-sepupu sejauh Ipoh bertemu berkumpul di rumah nenek Banting. Bila melihat anak-anak me'ngerja'kan durian, saya terbayang-bayang memori saya ketika zaman kanak-kanak pula :).

Tambahan catatan, ketika mengandungkan Rayyan, saya langsung tidak boleh usik durian. Mabuk dan pening seharian. Tapi kini, berbanding Amar dan Iman, saya perasan Rayyan pula yang paling 'tahan' dengan durian. 

Sehingga kini petua arwah nenek tetap saya pegang, lepas makan durian minum air dari pangsanya. Anak-anak pun saya ajar perkara yang sama. Rindunya saya dengan arwah nenek.

September 24, 2013

Raksasa ATM dan Durian

Bismillah, assalamualaikum!Agak lama saya tidak menarikan jari dalam blog ini.

Banyak perkara yang saya ingin rakamkan untuk memori sendiri, keluarga, dan sahabat-sahabat. Bermula dengan perasaan teruja anak-anak melihat Perarakan Raksasa sempena Hari ATM Sabtu lepas, disambung pula dengan episod mendengar, mengejar dan mengumpulkan durian-durian gugur di kampung. Kemudian, menghadiri majlis sambutan harilahir sahabat Amar di petang Ahad. Perlu dititip satu persatu, setiap episod ada cerita dan perasaannya sendiri. Anak-anak menuntut 'Episod Hujung Minggu' mereka diabadikan di blog kecil Ummi.

Nanti ye!Masih belum sempat untuk menulisnya satu-satu. Insya Allah!

Entri Berkaitan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...