February 22, 2014

Kenapa Silat?

Kenapa silat?

Catatan ini saya tulis ketika saya menunggu Amar yang sedang menjalani latihan di gelanggang silat, juga mengawasi Iman dan Rayyan yang sedang bermain di padang permainan berdekatan.

Lazimnya, waktu ini saya peruntukkan untuk membaca, melayari internet atau paling tidak menulis catatan-catatan ringkas sebegini.

"Kenapa silat?"

Itu soalan Amar tatkala saya dan suami sibuk-sibuk mencari gelanggang yang menawarkan latihan ketika dia masih di Tahun 1. Ketika itu, kami ber'pusing-pusing' sekitar Bandar Puncak Alam, dikhabarkan ada di SM BPA tapi ia khusus untuk kegiatan ko-kurikulum mereka. Dikhabarkan pula ada gelanggang dibuka di Felda Bukit Cherakah. Terasa jauh sangat pula.

Sehinggalah kami ternampak 'banner' pembukaan gelanggang PSSGM di Shah Alam 2.Tepat! Inilah yang kami cari. Jauh masih boleh dijejak. Dekat? Tidak terlalu dekat.

Menurut Amar, di sekolahnya ada karate, diajar guru berbangsa India pada setiap Sabtu. Benar, jika sekadar untuk ilmu mempertahankan diri, apa jua seni bela diri boleh disertai. Namun, ia tetap terpulang kepada kita untuk membuat pilihan.

"Kenapa silat?"

Berbalik kepada soalan asal.

Pertama,
gurulatih atau tenaga pengajarnya saya pastikan Islam. Melayu itu bonus. Mengapa? Gelanggang silat wajib dibuka dengan Al Fatihah, Ayatul Kursi, Surah Al Ikhlas, Al Falaq dan An Nas. Dibuka dengan menyebut nama Allah dan selawat ke atas junjungan Rasulullah SallaLahu 'Alaihi Wasallam.

Kedua,
ciri latihannya. Tidak mengejar kenaikan bengkung semata-mata. Pelatih pula sentiasa diingatkan tentang menunaikan/ mencukupkan solat sebelum latihan (latihan bermula 9 malam). Pelatih lelaki dan perempuan seboleh mungkin diasingkan. Salam 'gayong' juga mengambil kira keterbatasan di antara lelaki dan perempuan.

Ketiga,
ia adalah pusaka nusantara. Tak dinafikan tiap satu perkara ada kurang dan khilafnya. Namun, tidaklah mulia bangsa itu andai ia sendiri yang tidak menaikkan kemuliaannya.

Keempat,
dahulunya saya juga 'anak harimau'. Ketika masih bersekolah menengah dan bersambung 'sedikit' tika di universiti. Namun, saya hanya tersangkut di 'awan putih'. Secara peribadi saya impikan anak dan keturunan saya meneruskan langkah serikandi yang tidak menjadi ini, malahan ke peringkat yang lebih tinggi. Moga kuat juga jatidiri mereka.

Ketika saya mengakhirkan catatan ini, berkali-kali juga bibir saya tersebut 'zat!' tika gurulatih memandu latihan anak-anak gayong di gelanggang sana. Rasa terpanggil-panggil untuk kembali beraksi. Sudah beranak tiga berbedah juga tiga kali...mampukah?

Gayong!
Genggam Angkat Yakin Waras Ngeri!

February 19, 2014

Takziah Has...

Awal pagi ini saya dikejutkan dengan panggilan sahabat saya Laili. Bukan satu kebiasaan bila panggilan itu dibuat seawal 7.20 pagi. Laili maklumkan anak sahabat kami, Hasriah meninggal dunia. Terpempan. Saya dan keluarga merancang memenuhi jemputan Hasriah untuk Majlis Akikah anaknya pada Sabtu ini, 22 Februari. Saya tidak menyangka (keluarganya lagilah) bahawa bayi berusia 3 bulan itu kembali awal menemui Penciptanya.

Usai hantar anak-anak ke sekolah, saya hubungi sahabat saya Suhaily pula. Dia yang juga seorang guru seperti Laili tinggal satu daerah dengan Hasriah. Dia juga terkejut, fikirnya saya mahu 'confirm' kehadiran kami ke kenduri akikah itu, rupa-rupanya saya mengkhabarkan kematian bayi yang ingin dirai. Suhaily yang berada berhampiran, bergegas ke Hospital Banting.

Seterusnya saya hubungi Faizah, juga sahabat rapat kami yang 'wajib' dimaklumkan. Sama respon seperti Suhaily, Faizah turut terkejut dengan berita yang tidak disangka-sangka. Satu-satunya sahabat yang tidak dapat saya hubungi, Iya. Saya hanya mampu tag dia di FB.

Mesej di 'wassap' lebih laju. Berita kematian anak sahabat kami ini diperkatakan dan dirasai juga sahabat-sahabat yang lain. Adila, seorang lagi 'princess' antara kami menurut ke Hospital Banting ketika 'post mortem' dijalankan, sehingga ke rumah dan seterusnya menjadi sumber berita di 'wassap'. Saya sendiri tidak dapat ke sana untuk masa terdekat ini dek kekangan sendiri. Allahuakbar, moga dipermudah perancangan menziarahi mereka Sabtu ini.

Kehilangan anakanda Hasriah turut kami rasai. Bersahabat semenjak sekolah menengah, membawa kepada alam universiti, kerja, berkahwin dan beranak-pinak. Sedih ini terasa terhambat-hambat, hati rasa tersayat-sayat.

February 10, 2014

Cerita Cinta Ahmad Ammar

Catatan sulung saya di bulan Februari ini saya dedikasikan buat suami dan anak-anak. Terima kasih kepada suami yang memberi hadiah 'awal' hari lahir dengan membawa saya ke Karnival Karangkraf yang berlangsung pada 7 hingga 9 Februari, tempoh hari.

Berminggu-minggu saya 'mengendeng' pada suami, semente beliau sangat sibuk hingga kadangkala tidak bercuti di hujung minggu.

Ok!Buku pertama yang saya 'tangkap' ialah buku Cerita Cinta Ahmad Ammar, terbitan Karya Bestari dan dijual 'fresh' usai percetakan.


Saya tidak dapat tandatangan Kak Ina (Ibu Almarhum) :(. Beliau khabarkan melalui FBnya bahawa dia hanya berada di tapak karnival pada hari Jumaat, manakala saya cuma berkesempatan ke sana pada hari Sabtu.

Sungguhpun begitu, disebabkan insiden tidak terjangka saya ter'sembang' dengan Puan Sri Diah, nama besar di Karangkraf yang menjadi tunjang penerbitan buku ini. Ketika itu saya masuk semula ke tapak jualan buku kerana ada buku yang tersenarai pada resit yang tidak saya perolehi. Ketika berurusan di kaunter, mesra sahaja saya disapa Puan Sri Diah, bertanyakan masalah saya. Sementara petugas beliau mencari buku saya, saya bertanyakan Puan Sri Diah, 'bila lagi Puan Azlina akan berada di tapak karnival ye Puan?'

Memandang saya dengan pandangan matanya yang sangat cantik, 'Puan kenal dengan Puan Azlina?'

Angguk, 'Saya pernah berkhidmat di ABIM ketika Tn Hj Azam menjadi Presiden dahulu'

Lantas Puan Sri Diah bercerita pengalamannya meng'edit' buku ini, berair dan merah matanya. Saya akur, naluri perempuan manapun akan terusik dengan catatan-catatan rindu kerabat dan handai yang menulis tentang almarhum Ammar. Apatah lagi seorang penulis dan editor yang berjiwa halus sepertinya.

Saya maklumkan, saya hanya mengenali Almarhum Ammar ketika usia kanak-kanaknya, namun 'sayangnya' saya dan 'kagum'nya saya pada akhlak almarhum membuatkan saya tidak teragak-agak menamakan putera sulung saya Muhammad Amar.

Perbualan saya bersama tokoh dalam penerbitan ini secara tidak langsung membuatkan saya lebih ter'kesan'. Apatah lagi bila membaca buku yang sarat dengan 'cinta' ini. Betul!Sangat terkesan...

Tambahan catatan.

Malam tadi, saya dan suami berpeluang menonton ulangan Himpunan Murabbi di Astro Oasis. Bicara tentang alam barzakh, di kemuncak siaran ada slot En Azam dan Kak Ina yang menjadi tetamu jemputan khusus membicarakan tentang 'pemergian' Ammar yang menjadi fenomena.

Jujur, saya rasa sangat bersyukur kerana pernah mengenali mereka. Jauh lebih bersyukur bila suami turut meletak minat dan kagum kepada bekas 'Boss' saya Tn Hj Ahmad Azam kala mendengar 'arkitek' yang membentuk Ammar ini berbicara.

Saya sudah kata...sangat terkesan..:)

January 25, 2014

Soutul Mujahidin dan Soutul Jihad


Saya belek kaset-kaset ini ketika bermalam di rumah mak tempoh hari. Ada banyak lagi sebenarnya. Kaset pada gambar adalah 'album' sekolah saya, KISAS (berwarna hitam)-nama kumpulan nasyid; Soutul Mujahideen dan sekolah saingan kami SMAP Labu (berwarna biru)-nama kumpulan; Soutul Jihad.

Rindu nak mendengar lagu-lagu kegemaran zaman remaja, tapi saya tiada radio yang boleh di'cucuk' dengan kaset lagi!

January 10, 2014

Hidup, peluang dan nasihat

Bismillah..salam dan selawat buat nabi junjungan Muhammad SallaLlahu 'Alaihi Wasallam. Setelah seminggu persekolahan, ini kesempatan untuk update blog.

Rutin dan tanggungjawab menguruskan permata hati benar menjadi satu perjalanan hidup yang mengujakan, malah kadang kala diselang-seli dengan perasaan yang pelbagai. Saya bersyukur, alhamdulillah masih diberikan peluang dan ruang mengurus anak dengan tangan sendiri.

Siapa sahaja..pada usia saya, dalam situasi ini mempunyai rutin awal pagi yang 'pantas'. Seawal sebelum Subuh, ketika waktu Subuh dan ketika matahari mula bersinar manja. Itulah waktu penyediaan sarapan ringkas, mandi pakai anak, solat dan ajaran solat, salam cium dan restu juga pemanduan yang perlu lebih berhati-hati.

Belum lagi tengahari, di kala waktu 'transit' anak-anak yang bersekolah. Saya sendiri menyaksikan bagaimana murid-murid berkejaran, berganti pakaian di dalam van. Juga menyaksikan ibu yang setia menunggu, ada yang terus balik ke rumah. Ada juga yang singgah di mana-mana kedai makan untuk santapan anak sebelum menghantar ke sekolah sesi berikutnya.

Setiap keluarga, ada jalan dan usaha mereka sendiri. Benar, saya sendiri rasa tak senang bila melihat anak-anak yang tergesa-gesa mengurus diri. Pada saya, inilah antara cabaran mereka di usia muda yang akan membentuk keteguhan hati mereka. Itu doa saya.

Sering saya ingatkan kepada anak-anak. 'Ketika ini Ummi masih lagi bersama kalian, makan, pakai, urusan. Kita tak tahu takdir kita bagaimana. Entah esok lusa Ummi tiada, belajar dan tengok bagaimana kawan-kawan uruskan diri. Sentiasa bersyukur, beringatlah selalu'. Sekali lagi, benar. Ayat-ayat saya mungkin tidak setanding dengan usia mereka, macam cakap-cakap dengan orang dewasa.

Namun, pemandangan dan pengalaman orang lain juga boleh menjadi input mereka untuk belajar tentang kehidupan. Dunia ini singkat, sangat singkat. Saya cuba menginsafi hakikat diri setiap kali bangun dari tidur, 'Aku masih hidup..Allah masih bagi aku hidup, inilah peluang untuk memperbaiki diri juga keluarga, peluang untuk bertaubat, peluang untuk menyebar kebaikan kerana Tuhan.' Ketika kita boleh menasihati, maka nasihatkanlah.

January 01, 2014

Rayyan 3 Tahun

Tahun baru tertangguh?

Happy Birthday Rayyan! Kehadiran tahun baru pada keluarga kami adalah keraian hadirnya Rayyan. 3 tahun. Rayyan sudah menjangkau 3 tahun. Anak lelaki bongsu (setakat ini) sudah bercerai susu dan mula pandai tidak berlampin. Kisah Rayyan dan kembara penyusuan ekslusifnya antara kisah mahal Rayyan bersama saya. Sejak lahir hingga menjangkau 2 tahun 11 bulan Rayyan menyusu penuh dengan saya. Akhir-akhir tahun ini, Rayyan berkata; 'Ummi, adik rasa susu Ummi dah habis...adik minum susu dalam cawan je lah.'

Alhamdulillah, saya bersyukur proses 'cerai' susu berjalan secara semulajadi. Saya sendiri tertanya-tanya bagaimana keadaan Rayyan dan saya ketika proses ini berjalan, rupa-rupanya sangat mudah dan emosi Rayyan tidak terjejas. Pada tahap ini, Rayyan cuma 'melekat' dengan saya ketika mahu tidur malam, masih mahu dipeluk sebelum tidur.

Alhamdulillah, Rayyan juga sudah belajar tidak menggunakan CD (Cloth Diapers). Siang, sudah pandai ke tandas untuk buang air; kecil dan besar. Malam, dia sudah tidak mahu menggunakan CD namun sebagai langkah berjaga-jaga, saya pakaikan juga ketika dia sudah lena.

Perjalanan membesarkan anak-anak di usia ini punya warna dan kerenah sendiri. Pada Amar, Iman dan Rayyan kesemuanya memberi pengalaman berharga buat kami suami isteri. Alhamdulillah, fasa 2 tahun pertama mereka telah sama-sama kami telusuri dengan syukur meskipun punya cabaran yang tersendiri.

Selamat Hari Lahir Anakanda kami; Muhammad Rayyan. Didoakan keberkatan hidup dan kelangsungan iman, dunia dan akhirat. Moga soleh, bertaqwa dan berjasa kepada agama, sihat dalam keberkatan dan keampunan Allah sentiasa, amiin!

Kek Adik tahun ini

Rayyan potong sendiri

December 31, 2013

Penutup Disember 2013

Bismillah, sudah tiba ke tarikh akhir tahun masihi 2013. Pelbagai cerita, banyak kisah. Suka, duka, gembira, mengejutkan. Dari sekecil-kecil diri hingga menjangkau isu merentas bangsa dan negara, ada episod, ada plot, ada konflik, ada penyelesaian, ada juga yang tinggal tanpa solusi.

Pada saya sendiri, ada graf senyum tawa juga resah sendu. Tinggal sendiri memilih cara dan keputusan. Ada beberapa cerita besar 2013;

Tahun pertama dua anak bersekolah. Tanyalah siapa sahaja seusia saya, pengalaman mendaftar dan menghantar anak kali pertama ke sekolah adalah pengalaman yang manis dan mendebarkan. Tahun pertama Amar bersekolah rendah, tahun pertama juga Iman dihantar ke Tabika.

Rayyan menghadapi ujian kecil. Pembedahan herniatomy di HKL menoktahkan usaha tradisi dan alternatif akan masalah bujang kecil kami. Serentak kemasukan Rayyan ke wad, saya dikhabarkan pula akan berita pulangnya Ahmad Ammar Ahmad Azam ke rahmatullah. Anak kepada bekas boss saya ketika berkhidmat di ABIM. Adik yang sangat saya kagumi akhlak dan santunnya semenjak kecil.

Saya mengikuti Bengkel Penulisan. Bersama sahabat tersayang, Yan, kami berpeluang mempelajari ilmu baru pada bidang yang sama-sama kami minati. Bertemu nama-nama besar seperti Azzah Abdul Rahman, Zamri Mohamad dan Ain Maisarah, ia adalah saat-saat bersejarah buat saya.

Suami tercinta bertukar angin ke syarikat baru. Syukur alhamdulillah, rezeki dan ruang untuk dia berkarya lebih luas dan pastinya perancangan Allah punya rahsia dan hikmah yang terbaik. Di tengah-tengah kegawatan bajet mikro dan makro, Dia dorongkan lorong rezeki yang berbeza-beza.

Banjir besar di Pantai Timur menukar haluan 'cuti-cuti bajet' kami ke utara. Percutian singkat kami terarah ke Pulau Pinang dan Perak. Memberi pengalaman kepada anak-anak menyeberangi Jambatan Pulau Pinang, menaiki tram di Bukit Bendera, berlegar-legar di Padang Kota seterusnya merentasi selat dengan feri. Perjalanan kami dilengkapkan dengan mengunjungi Zoo Taiping pada waktu malam.

Tidak ketinggalan, kenaikan harga minyak dan pengurangan harga subsidi gula. Ditambah pula isu kenaikan harga tol di seluruh negara. Penstrukturan (kalau boleh dikategorikan penstrukturan) ini jelas meraih perhatian dan tentangan majoriti rakyat berpendapatan rendah dan sederhana, termasuklah saya.

Saya tamatkan dulu catatan 2013 di sini. Ada rezeki dan umur jumpa lagi di tahun hadapan. Oh!Hampir terlupa, esok 01.01.2014 hari lahir Rayyan yang ke-3. Selamat Hari Lahir sayang Ummi!

December 26, 2013

Mudahnya Menulis Buku


Saya sangat teruja menulis tentang buku ini. Banyak sebab. Sebenarnya, saya baru sahaja terima buku ini melalui poslaju pagi tadi. Baru baca pengenalan dan Bab 1, tetapi saya tidak sabar untuk menulis tentangnya dalam blog saya hari ini.

Kenapa saya teruja?

Pertama : Ia ditulis oleh rakan sekolah saya ketika di KISAS dahulu, rakan sebilik di asrama ketika kami di Tingkatan Empat. Nama beliau Noor Hayati Yasmin, saya panggil Timin. Seorang doktor perubatan, namun sangat berbakat dalam bidang penulisan.

Kedua : Ia dikirimkan sendiri oleh Timin dengan harga istimewa kerana saya merupakan rakannya yang pertama menghantar mesej di peti masuk FBnya. Sejurus Timin mengumumkan bukunya sudah diterbitkan saya terus sahaja menghantar mesej peribadi untuknya, siap nama dan alamat penuh meskipun saya belum tahu harga.

Ketiga : Saya minat akan penulisan dan saya tercari-cari faktor pendorong dan penguat saya dalam merealisasikan minat dan kecenderungan saya. Saya bersyukur, saya dikelilingi rakan-rakan yang punya minat dan cenderung hampir serupa. Saya tahu, saya tidak banyak pengalaman berbanding mereka tetapi cukup membuat saya rasa bertuah!

Keempat : Ini buku pertama Timin, sedangkan saya tahu dia sangat minat dengan penulisan. Saya merasakan buku-buku beliau patut terbit lebih awal. Justeru, kelahiran buku pertamanya ini ketika kami hampir menginjak 35 tahun hadapan pasti mendapat sokongan saya sepenuhnya!

Mahu berinteraksi dengannya? Hubungi hayatiyasmin@gmail.com.

Saya sedang pegang buku 'Mudahnya Menulis Buku', selamat membaca!

December 25, 2013

Ziarah Sahabat-Normy

Catatan ini buat seorang sahabat yang mirip Aishwarya Rai... :)

21.12.2013. Setelah lebih 10 tahun tidak bersua muka, saya bertemu dengan salah seorang sahabat akrab ketika belajar di UKM. Normy, sahabat saya yang 'tulen' wajah dan loghat utaranya sebenarnya tidaklah 'jauh' sangat dengan saya. Justeru, jemputan dari Normy untuk menghadiri Majlis Kesyukuran kelahiran anak kembarnya (anak ke 4 dan 5) menjadi medan pertemuan semula yang sangat-sangat disyukuri.

Datang dan berasal dari Kedah, saya tidak menyangka Normy dan suaminya (juga sama belajar di UKM) akan bermastautin juga berumahtangga di negeri kami. Sepanjang kami tidak bersua muka ke muka, interaksi dan perkembangan antara kami lebih banyak dikongsi di muka buku (FB). Sebak, itu gambaran perasaan kami yang agak tepat tika kami sampai di kediaman keluarga Normy. Menyebut nama saya dengan ejaan penuh, Normy nyata nampak terharu dengan kehadiran kami sekeluarga. Pertama kali juga saya perkenalkan sahabat karib saya ini kepada suami. Di UKM, selain Normy, saya ada Liza, Elin, Ina juga Faiez. Tidak ketinggalan saya ada Azrin, Faizal, Faizul, Amy juga Adnan. Nama-nama ini sering saya sebut ketika bercerita kepada suami perihal zaman UKM yang sangat manis :).

Mengenali Normy yang sangat peramah dan begitu menghargai persahabatan, saya berlama-lama di rumahnya petang itu. Tambahan, kehadiran Mas bekas teman serumah Normy, yang turut saya kenali menambahkan kemeriahan kami di samping ragam anak-anak. Hampir tidak sedar umur menginjak 34, berasa 24 pula waktu itu. Macam-macam yang diceritakan, lebih kepada mengimbau kemanisan zaman belajar dan kerenah anak yang sedang membesar.

Dari cerita 'setinggan' di kamsis, membawa kepada kisah pasar malam di Bandar Baru Bangi. Dari cerita Tasik Kejut (Kejuruteraan) hinggalah kisah motorsikal PBW yang sangat berjasa. Juga cerita-cerita 'manis' hiasan remaja yang buatkan kami tercubit-cubit sesama sendiri. Manis...memang manis petang itu.

Meniti ruang-ruang dewasa kini, pertemuan sekali-sekala sebegini seolah menyuntik 'jiwa remaja'. Jiwa penuh ingin tahu, jiwa yang bersemangat juga jiwa yang berkobar-kobar membina peribadi tegar. Normy juga sahabat-sahabat UKM saya, moga ikatan ukhuwwah kami berkekalan dalam redha-Nya. Amiin.

December 20, 2013

Ibrah Ammar

Sehidimiz Ammar. Terkenal sungguh nama adinda kini, biarpun jasadnya sudah disemadikan tetapi ibrah di sebalik jihad ilmunya terus-terusan diperkata khalayak. Saya bersyukur, pernah mengenali dia walaupun hanya seketika. Akhlak dan adabnya telah saya kagumi sejak almarhum masih kecil. Pemalu, santun, bijaksana...Allah..hinggakan saya 'mengambil' namanya untuk putera sulung saya. Subhanallah.

Sepanjang petang ini saya luangkan masa membaca coretan keluarga almarhum di dinding facebook. Alhamdulillah, benar kata En Azam, 'kematian Ammar kematian yang menghidupkan'. Ia menyuntik sedar para ibubapa akan keutamaan dan halatuju pembentukan diri dan anak-anak.

Ibrah Ammar bakal dikongsikan di satu dokumentari khas saluran Al Hijrah, juga slot khusus di Astro OASIS Januari ini. Selain itu, kisah Ammar juga menjadi perbincangan yang popular di dada-dada akhbar dan majalah. Alhamdulillah, moga saluran-saluran media ini lebih 'membuka' mata khalayak akan peripentingya pembinaan generasi yang sihat rohani, akal dan jasmani.

Saya manusia kerdil, saya juga ada impian dan cita-cita mewarnai dunia dengan 'bintang-bintang syurga'. Moga Allah redha, moga Dia permudahkan. Dinda Ammar, damailah kau di sana dik, damailah hati-hati yang meredhai...

Muka hadapan Majalah 'I' edisi Januari 2014
Foto kredit kepada : Majalah I

December 19, 2013

Tagging 2014

Tinggal berapa minggu sahaja lagi cuti sekolah? Sekejap sahaja rasanya masa berlalu. Bercuti, berkenduri, berkursus, semuanya sudah dilakukan. Kali ini fasa bersiap-siaga untuk sesi persekolahan yang akan datang. Yuran tabika Iman sudah selesai, pakaian dan kelengkapan peralatan sekolah kedua Amar dan Iman juga sudah dibeli. Tinggal proses 'tagging', balut buku dan persediaan mental anak-anak (termasuk ibubapa).

Buku teks dan buku kerja Amar sudah diperoleh akhir sesi lepas. Buku tambahan untuk PBS dan buku tulis juga telah dibeli di kedai buku sekolah tempoh hari sungguhpun masih ada buku yang tiada stok :(.

Hmmm..tak mengapa! Buat dengan apa yang ada di tangan. Fasa 1 ini, saya 'tag'kan dulu alat tulis anak-anak. Mengambil pengalaman lepas, kami memutuskan beli alat tulis secara pukal, tiada tema Ben10, Barbie, Despicable, Minnie mahupun Minion. Kami beli di GIANT, maka pemadam, pengasah pensel, pembaris berjenama GIANT-lah ye anak-anak.

Sambil-sambil 'tag', saya titipkan pesan berbakul-bakul supaya Amar dan Iman menjaga alatan dan barang-barang dengan cermat. Saya cabar anak-anak, Amar terutamanya 'cabaran masa terlama alat tulis digunakan tanpa hilang'. Belum lagi 'tupperware2' Ummi, pesan saya nanti lebih berbakul-bakul :)

Milik Muhammad Amar

Kepunyaan Nurul Iman

December 18, 2013

Kempen Boikot Israel

Kalau mereka begini, maka kita?


Gambar kredit kepada: Sinar Harian
Berita penuh : Kempen Boikot Israel

Entri Berkaitan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...