September 26, 2013

Suratkhabar dan Apron


Suratkhabar pun jadilah
 Cerita saya memang banyak cerita anak-anak. Saya pernah cerita tentang Iman yang suka mewarna. Ini antara aktiviti petangnya. Iman gunakan kertas suratkhabar ini untuk dia lakarkan lukisan/warnanya, puas saya hulurkan kertas lukisan untuknya tapi dia tetap mahukan kertas suratkhabar ini. Pada kertas itu dia lakar dan warna; sebuah layang-layang, ikan paus dan ikan lumba-lumba. Perasan tak di bawah tali layang-layang ada objek berupa huruf A dan B?Saya tanyakan Iman, dia kata itu nama ikan paus, Abby dan dia ringkaskan jadi AB.

Beg jadi apron
 Lihat pula beg gunasemula saya berjenama tupperware itu (mohon abaikan model yang masam muka tu). Iman kata,'..ini apron Iman untuk lukis-lukis..:). Hari ni Iman pakai baju pink, semua kena sama, hairband..baju..apron..'. Tiba-tiba rasa nak minta tolong Mummy Yan buatkan apron hehehhe

Tara..! 
Anak-anak..kadang tak terjangka cara fikir mereka..:)

Episod Hujung Minggu-Durian




Trip 1

Seperti catatan saya, hujung minggu yang lepas banyak episodnya. Saya cuba rakamkan satu persatu. Kali ini tentang durian di kampung mertua di Batu Laut. Awalnya, kami tak menjangkakan apa-apa bila pulang menziarah abah dan mak di kampung, tak sangka pula pulangnya kami dengan durian yang gugur dengan baik sekali. Mak mertua khabarkan, minggu lepas durian tidak gugur sebanyak ini. Alhamdulillah, rezeki!

Iman tolong abah, katanya :)

Ini durian yang paling sedap dan paling susah dikopek
Kalau tak silap, ada 8 pokok yang berbuah dan gugur pada musim kali ini. Durian pun ada beza rasanya mengikut pokok. Ada yang ulasnya kecil tapi sangat 'juicy', ada juga yang ulasnya tebal dan rasanya sangat lemak. Ada pula yang rasanya seperti lemak-lemak susu. Besarkan kuasa Allah, walaupun dari pokok yang sama kadangkala rasanya juga berbeza-beza.

Atuk ajar skill

Rayyan pemenang 'pemakan durian paling banyak'
Sebenarnya, saya memang 'hantu' durian, sementalah keluarga arwah abah juga berasal dari daerah sini, Banting (Kuala Langat). Ketika kecil dahulu, musim durianlah paling meriah. Selalunya bertepatan dengan musim cuti sekolah dan saat-saat itulah saya dan sepupu-sepupu sejauh Ipoh bertemu berkumpul di rumah nenek Banting. Bila melihat anak-anak me'ngerja'kan durian, saya terbayang-bayang memori saya ketika zaman kanak-kanak pula :).

Tambahan catatan, ketika mengandungkan Rayyan, saya langsung tidak boleh usik durian. Mabuk dan pening seharian. Tapi kini, berbanding Amar dan Iman, saya perasan Rayyan pula yang paling 'tahan' dengan durian. 

Sehingga kini petua arwah nenek tetap saya pegang, lepas makan durian minum air dari pangsanya. Anak-anak pun saya ajar perkara yang sama. Rindunya saya dengan arwah nenek.

September 24, 2013

Raksasa ATM dan Durian

Bismillah, assalamualaikum!Agak lama saya tidak menarikan jari dalam blog ini.

Banyak perkara yang saya ingin rakamkan untuk memori sendiri, keluarga, dan sahabat-sahabat. Bermula dengan perasaan teruja anak-anak melihat Perarakan Raksasa sempena Hari ATM Sabtu lepas, disambung pula dengan episod mendengar, mengejar dan mengumpulkan durian-durian gugur di kampung. Kemudian, menghadiri majlis sambutan harilahir sahabat Amar di petang Ahad. Perlu dititip satu persatu, setiap episod ada cerita dan perasaannya sendiri. Anak-anak menuntut 'Episod Hujung Minggu' mereka diabadikan di blog kecil Ummi.

Nanti ye!Masih belum sempat untuk menulisnya satu-satu. Insya Allah!

September 20, 2013

Iman Mutiara

Bismillah..Assalamualaikum..salam di hari penuh barakah..

Untuk penghulu hari kali ini, saya tujukan lagu ini buat ahli keluarga dan sahabat-sahabat :)


Iman Mutiara dari Raihan

Sumber : Youtube

September 18, 2013

'Peach'

Pulang dari sekolah, dari dalam kereta kami nampak seorang wanita India Muslim membawa anaknya (saya fikir) naik motosikal.

Iman : Ummi, itu anak dia ke Ummi?

Ummi : Ummi rasalah anak dia (saya anggap begitu sebab sudah selalu terserempak dengan mereka).

Iman : Tapi Iman rasa bukanlah Ummi sebab anak dia tak 'coklat' pun macam 'cream' je.

Ummi : Mak dia kerja kuat, tu yang 'coklat'. Anak dia kecil lagi itu sebabnya masih 'cream'.

Selang beberapa saat, kami betul-betul 'dekat' dengan pasangan anak beranak itu. Iman memerhati dan berkata,

Iman : Betullah Ummi..anak dia, sebab sebenarnya dia bukan 'cream' dia 'coklat muda'.

Menyedari saya tidak berapa cerah, saya tanya pada Iman,

Ummi : Habis tu, Ummi warna apa Iman?

Iman : Ummi 'peach'...

Ummi : Peach?

Macam-macamlah Iman..:)

Rabu Tanpa Bicara : Jadi Aaron Aziz?

Maggi besar ke kecil?
*Kalau makan maggi yang besar, ada rasa jadi macam AA tak?hehehheheh

September 17, 2013

Puteri KISAS SPM 1996 (Re-U)

Puteri KISAS SPM 1996
15 September 2013, sahabat-sahabat saya. Pelajar puteri KISAS SPM 1996 be're-union' di Bangi. Sahabat kami Huda menjadi tuan rumah manakala Diana sebagai 'koordinator'. Saya tidak dapat hadir kerana ada komitmen menghadiri hari sukan Iman di Saujana Utama.

Seronok membaca cerita mereka dalam grup kami di FB, seronok juga saya melihat wajah-wajah terkini para sahabat. Kami bersekolah di Kolej Islam Sultan Alam Shah pada tahun 1995 hingga SPM 1996, ada sebahagian daripada kami meneruskan perjuangan ilmu di KISAS sehingga Tingkatan 6 sebelum masing-masing meniti perjalanan di menara gading, alam pekerjaan dan perkahwinan.

Berlainan latarbelakang, didatangkan dari seluruh pelosok negara, kami dihimpunkan di sebuah SBP yang sangat menitikberatkan suasana (biah) Islam dalam kehidupan sama ada dari sudut pembelajaran, ibadah, akhlak mahupun ukhuwwah. Masing-masing kini dengan aturan dan kehidupan masing-masing. Ada yang bergelar pendidik, doktor, jurutera, akauntan (pernah saya sandang suatu ketika :)), dan tak kurang juga yang menjadi pengurus rumahtangga sepenuh masa (seperti saya sekarang!).

Saya sangat-sangat pasti, ketika be're-u' para sahabat seronok mengimbau kisah-kisah silam kehidupan di KISAS; asrama, dewan makan, kelas, silat, taekwondo, surau yang sentiasa penuh (kami wajib solat jemaah setiap waktu), ma'thurat, halaqah Al Mulk..dan sekiranya saya di situ..nasyid-nasyid kami yang sangat mahal!

Saya juga pasti para sahabat saya ini tidak memandang status ketika berhimpun sebegini. Tiada peduli siapa bergelar doktor, surirumah, mahupun jurutera. Masing-masing pasti lebih terikat pada ukhuwwah fillah yang tidak pernah bertepi.

Salam sayang sahabat-sahabat saya. Uhibbikum Fillah!

Turut saya letakkan di sini catatan sahabat saya Re Union Puteri KISAS SPM 1996; Nina yang comel!

September 15, 2013

Sukan TBK KEMAS Jeram Zon C Kuala Selangor

Ahad 15 September 2013, hari sukan Iman dan rakan-rakan. Bertempat di Padang SMK Saujana Utama, sukan kanak-kanak TBK Kemas berjalan dengan baik dan cuaca pun sangat mengizinkan. Semalam sahaja, kami sudah berada di sini untuk acara 'rehearsal' pada waktu pagi. Hari ini kami berhimpun lagi di sini untuk sokongan kami kepada Iman dan rakan-rakan dalam acara tahunan ini.

Cikgu Nabila dan anak-anak didiknya
Ada 9 buah sekolah TBK Kemas di Jeram Zon C, sekitar Bdr Puncak Alam, Saujana Utama dan Felda Bukit Cherakah. Setiap TBK memakai baju sukan berlainan warna , Tabika Warnasari memakai baju berwarna merah.
Acara Individu Sukaneka-Bawa Pundi Kacang. Iman dapat tempat ke4
 Acara ini acara pertama yang Iman main, membawa pundi kacang di atas kepala. Iman 'steady' sahaja, berlari tidak terlalu laju dan tenang. Senyum sahaja dia kepada saya yang menanti di hujung garisan. 'Nombor 4 lah Ummi'. 'Sangat OK!' ujar saya.

Sukaneka Berkumpulan-Dragon Ball (Tempat ke 4)

Iman dan kawan-kawan

Sukaneka Berkumpulan-Isi air dalam botol (tak dapat nombor, pemenang hingga no 5 sahaja)

Sukaneka Berkumpulan-Untaian Manik (tak dapat nombor)

Sukaneka Berkumpulan-Bukit Kepong (Tempat ke 4)

Iman sedang mem'bina' Bukit Kepong
 Ada 4 acara yang Iman sertai untuk acara berkumpulan; Dragon Ball, Isi Air Dalam Botol, Untaian Manik dan Bukit Kepong. Dalam sukan kali ini sebanyak 30 acara dipertandingkan untuk murid-murid Tabika dan ada beberapa acara tambahan untuk ibubapa yang hadir.
Penat
Ketika entri ini ditulis, kami sedang menunggu untuk acara penyampaian hadiah. Letih, berpeluh, penat semua ada. Demi puteri tunggal kami, apalah sangat kan? :)

Harimau Mengaum

Malam tadi, kami tak lepaskan peluang menonton siaran langsung perlawanan akhir Pestabola Merdeka di antara pasukan Harimau Muda A bertemu Myanmar.

Berdebar, teruja dan akhirnya seronok kami melihat kemenangan pasukan Malaysia. Rata-rata permainan pemain-pemain muda ini boleh dipuji dan menunjukkan semangat berpasukan yang tinggi. Tahniah!Ini salah satu hadiah menjelang Hari Malaysia besok. :)

Selamat Hari Malaysia!


Sumber Gambar: Berita Harian

September 13, 2013

Cinta Sa'adiyat Bersiaran Lagi

Cinta Sa'adiyat bersiaran lagi, malam ini dalam slot Telejumaat pukul 10.00 malam di TV AlHijrah. Saya suka cerita ini sebab inilah cereka pertama yang disiarkan menerusi slot Telejumaat al Hijrah di mana saya menjadi salah seorang pemenang kuiznya. Saya sebenarnya suka-suka tengok dan saja-saja menjawab kuiz di FB Al Hijrah..dan dengan izin Allah, saya menjadi antara pemenang pertama kuiz Telejumaat itu.

Sebenarnya saya suka tengok yang indah-indah. Dalam cereka ini, pelakon utama wanitanya Fauziah Ghous..wanita yang bagi saya sungguh cantik dan dia lebih cantik berhijab! Pendokong utama watak lelaki pula Fahrin Ahmad (antara 4 lelaki terkacak yang disebut oleh Iman). Yang paling cantik pada adalah latarbelakang cerita ini, kepesatan senibina dan pemandangan menarik di Dubai.

Apa-apapun saya pernah menang melalui cerita ini hehehhee. Catatan saya sebelum ini boleh dibaca di sini ; Cinta Sa'adiyat dan juga hadiah yang telah saya perolehi. Jangan lupa saksikan drama yang cantik ini ye!Malam ini di TV AlHijrah (Macam perantara AlHijrah pula :))

September 12, 2013

4 Lelaki Terkacak

Iman berkata,

'Dalam dunia ni kan Ummi ada 4 orang je lelaki yang handsome..
Pertama Am, kedua Cikgu Malik, ketiga AliCafe, keempat ABAH!'

Saya bertanya,

'Orang lain?tak handsome?'

Jujur dan tulus sahaja dia menjawab,

'Tak..yang lain macam tak je..'

Am ialah watak yang dilakonkan oleh Aaron Aziz dalam Cereka Adam dan Hawa, Cikgu Malik juga watak yang dilakonkan Aaron Aziz dalam 'Oh My English' , AliCafe yang dimaksudkan adalah Fahrin Ahmad manakala Abah pula ialah En Faizal Aman :). En Suami yang mendengar celoteh anak daranya, tersenyum dan berkata ,

'hmmmm..tengok..suami awak ni setaraf Aaron Aziz dengan Fahrin ke'handsome'annya..'

:P

September 11, 2013

Rabu Tanpa Bicara-Iman Suka Mewarna

Iman dan bunga-bunganya

Aksi Iman Mewarna
*Iman memang suka mewarna. Dia mewarna lebih 'teliti' dan 'kemas' berbanding Amar. Mungkin sebab dia perempuan :). Perempuan kan teliti, kemas, teratur....hehhehe

Entri Berkaitan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...