July 20, 2013

Diari Projek Ramadhan-Mengapa?

Bismillah..Alhamdulillah..sudah seminggu kami ber'gelanggang' di Bazar Ramadhan. Seronok..pada asasnya kami berniat untuk mengetengahkan ayam bakar resepi keluarga ini, atas dasar itu kami tidak peduli bila ada yang sinis berkata 'dah bergaji tetap..elok2 kerja, kenapa pulak nak susah-susah berniaga'..tak pun..' tak cukup senang lagi ke?'..Allahurabbana..jauhkan..jauhkan prasangka dan bait-bait negatif itu melintas bersimpang siur ye..:)

Tujuan dan niat kami..pertama ;kami nak ketengahkan resepi dan air tangan yang abah wariskan kepada kami untuk sama-sama dinikmati juga oleh orang lain. Kami memang suka makan, tidaklah kisah sangat kalau membayar untuk sesetengah hidangan yang mampu kami perolehi dan berbaloi dengan rasanya, apatah lagi bila ia dimasak oleh orang-orang tempatan. Air tangan tempatan..:)

Kedua ; kami sudah berada di 'tempat sendiri'. Daerah kami..daerah datuk nenek moyang kami. Alangkah ruginya andai kami tidak beraja di tanah sendiri. Betul, saya jemu dan kasar katanya 'meluat' bilamana makanan, minuman, hinggakan barang runcit dijual, diurus, dijana oleh orang-orang luar..pendatang tanpa izin, dengan izin segala izin. Justeru, kami gunakan kelebihan 'berada di tempat sendiri' ini dengan cuba menghidangkan sesuatu yang halal, bagus, bersih, sedap dan berbaloi untuk saudara senegara dan yang paling penting seagama. Cuba tengok kiri kanan..tidak kiralah gerai, kedai mana, kadangkala terasa bukan di negara sendiri bilamana duit kita tersalur pada orang luar. Bilamana wang yang kita perolehi untuk sara keluarga dihulur pula kepada minah-minah Indon, Myanmar dan lain-lain.

Ketiga ; kami cuba perkenalkan konsep mandiri kepada anak-anak. Cuba untuk membuka minda mereka seawal usia, untuk melakukan sesuatu dengan rasa 'bebas' di hati. Tidak berada dalam lingkungan selesa sahaja, malah mendedahkan juga kepada mereka dengan kepelbagaian kemampuan manusia. Ada yang senang, ada yang susah. Ada yang hidup mudah..ada juga yang sering merintih payah.

Keempat..kelima...banyak lagi sebenarnya...

Ada kesempatan saya catatkan lagi, ada ruang saya kongsikan lagi. Nanti..:)

July 14, 2013

Diari Projek Ramadhan-Pengalaman Pertama

Bismillah..Alhamdulillah..
Semalam, pertama kali saya dan keluarga kecil saya berniaga di Pasar Ramadhan..:). Ini projek keluarga yang kami tag sebagai Projek Usahawan Muda. Suami sangat minat berniaga dan saya sangat mendokong kesungguhannya. Anak-anak pula memang suka tengok orang berniaga dan Amar suka sangat karakter Mail dalam Upin Ipin.

Kami jual ayam bakar, resepi istimewa dari bapa mertua. Sebenarnya saya bukan penggemar ayam, tetapi ayam bakar hasil tangan bapa mertua tidak pernah mengecewakan 'peminat' ayam dan dapat 'memikat' bukan penggemar ayam macam saya.

Saya dan keluarga pernah 'perkenalkan' penangan ayam bakar abah ketika Majlis Kesyukuran pada November lepas. Alhamdulillah, rata-rata tetamu memuji dan berasa puas dengan hidangan ayam bakar kami masa itu. Sebagaimana kami rasakan sedapnya ayam bakar abah, begitu juga yang cuba kami sediakan untuk orang lain.

Ok, berbalik pada cerita semalam. Kami mula dengan 12 ekor ayam bersaiz sederhana besar, bukan saiz ayam Ayamas :). Ramuan, ayam, khemah, kelengkapan..semuanya saya dan suami sediakan sendiri. Kami tak buka masa 1 Ramadhan, beri peluang pada diri sendiri meraikan kehadiran penghulu bulan dengan tenang dan rasa selesa. Tapak kami kosong hinggalah hari semalam.

Cabaran di hari pertama kami, hujan dan ribut. Kanopi kami yang baru dipasang hampir terbang dan penyambungnya patah, tidak boleh berdiri. Hujan pula sangat lebat, saya bisik pada suami..'teruskan bang..hujan ini rahmat, sejuk-sejuk begini orang cari yang panas-panas..'. Mahu tidak mahu, kami berkejar ke stor berhampiran cari dan beli kanopi baru.

Alhamdulillah dalam kepayahan kanopi asal yang patah, dirikan khemah baru di tengah-tengah hujan lebat..akhirnya gerai kami tegak juga. Kami mulakan jualan lambat, dalam serba baru (diri sendiri) dan malu-malu pada mulanya. Mak dan adik-adik saya datang. Hati saya semakin kuat, jiwa saya sudah tersenyum. 'Mental kena kuat..mental kena kuat!' bisik saya pada diri sendiri.

Seorang..dua orang..tiga orang...Alhamdulillah ayam bakar kami dibeli orang! Paling tak menang tangan bila suami berpergian sebentar untuk solat Asar, sebab dia yang mahir potong ayam dan semestinya dia kuat daripada saya. Kala itu juga, orang beratur, Allahurabbana..menggigil jugalah untuk first timer seperti saya.

Menjelang pukul 7.10 malam, ayam kami habis terjual..syukur! Hari pertama untuk kami, pengalaman pertama untuk saya. Ketika maghrib, hujan masih belum berhenti. Pertama kali jugalah kami anak-beranak berbuka bawah khemah gerai sendiri di bulan Ramadhan. Ketika itu tak fikir nasi..tak fikir makan berat-berat. Kurma dan air...air..air.. :).

Usai kemaskan kelengkapan, kami pulang dengan rasa sangat bersyukur dan puas. Saya dan suami sifatkan pengalaman ini sebagai hadiah ulangtahun pernikahan kami..:). Perkongsian kasih kami 8 tahun menyediakan pelbagai ruang dan peluang untuk menikmati kasih Allah seluas-luasnya. Pengalaman berniaga ini juga kami sifatkan antara hadiah termahal Allah untuk kami, perkongsian rasa berdebar-debar, rasa ingin mencuba sesuatu yang berbeza. Sebenarnya cabaran dan dugaan itu  sangat manis..manis teramat bila kita 'set'kan ia sebagai kasih sayang Dia yang tak pernah bertepi.

Baiklah..saya dan suami ketika ini sedang bersedia pula untuk ber'gelanggang' lagi di Pasar Ramadhan. Usai sahur sementara suami dan Amar ke surau, saya sudah 'settle'kan diri sendiri dan kerja-kerja rumah.

Masa untuk menyingsing lengan baju!Doakan kami :)

July 12, 2013

Jumaat Barokah di Ramadhan Barokah

Alhamdulillah, hari yang penuh barokah di bulan yang juga sangat barokah. Selamat menunaikan ibadah berpuasa dengan penuh takzim dan rasa hamba. Selamat solat Jumaat juga kepada para Muslimin, ingatlah..puasa wajib di bulan Ramadhan manakala solat itu wajib sepanjang zaman..:).

Bertuahnya kalian yang dipilih Allah, berusaha dan beribadah di terik tengahari Jumaat begini, bertuahnya telinga-telinga kalian diberi ruang untuk mendengar kalimah-kalimah mengingati Allah, bertuahnya kaki-kaki kalian diberi peluang melangkah ke rumah Allah dengan ribuan hikmah dan maghfirah..

Syukur..dengan nikmat Iman dan Islam, syukur dengan dorongan hati yang tunduk padaNya..bersyukurlah..buktikan pada hati, tindakan dan kecenderungan supaya sentiasa tunduk pada kebesaranNya, moga akur dengan tujuan sebenar kejadian insan...amiiin.

July 10, 2013

Salam Ramadhan Teman Sejati

Assalamualaikum..Ahlan..ahlan...ahlan Ya Ramadhan..

1 Ramadhan 1434, diari Ramadhan 2013 bermula rasmi hari ini. Alhamdulillah..syukur, Allah berikan kesempatan dan ruang untuk masih lagi bernafas di bulan barakah, bulan maghfirah..penghulu segala bulan, thumma Alhamdulillah!

Bertepatan dengan tarikh 10 Julai 2013, hari ini juga genap 8 tahun saya dan suami diijabkabulkan. Teman terbaik, sahabat terbaik yang Allah anugerahkan untuk saya dalam kehidupan dunia ini dan insya Allah dengan izinNya moga berkekalan kasih sayang ini hingga ke syurga. Tersurat untuk meraikannya di tengah-tengah keraian Ramadhan yang berkat, saya mendoakan kesejahteraan suami tercinta..moga kekal dan diperkuat iman, diberikan kesihatan dan afiat dalam melaksanakan tanggungjawab selaku pemimpin keluarga dan menjadi anak yang soleh untuk ibubapanya. Moga Allah merahmati rumahtangga yang Dia hadiahkan dengan penuh cinta dan kasih keranaNya..

Allah..kasih saya tak terluah, tak cukup rasanya kata-kata..dialah teman sejati saya..:)


Lagu : Teman Sejati (Brothers)
Sumber : YouTube

July 09, 2013

Ketuk-ketuk Ramadhan 2013

Ketuk-ketuk Ramadhan kembali lagi. Sudah masuk musim ke 8. Ditayangkan setiap 12.30 tengahari di TV1 dan kali ini tiada lagi Dairy Champ :), minyak masak Saji yang ganti. Booth KKR pun dah tukar warna biru..

Kenapa saya suka tengok KKR? Resepinya mudah, senang nak ikut. Kadang-kadang kita memang dah tahu pun resepi tu..cuma idea tak timbul :)

July 08, 2013

Teropong Anak Bulan

Hari ini 29 Sya'ban. Tarikh tengok anak bulan untuk seluruh negara. InsyaAllah, kalau bukan besok, lusa kita akan berpuasa Ramadhan. Saya cenderung menyatakan permulaan puasa jatuh pada hari Rabu ini. Daerah saya, sudah tentu Bukit Melawati jadi tumpuan. Di situlah lokasi cerapan anak bulan saban tahun.

Selamat berpuasa, selamat menjalankan ibadah di bulan berkat ini. Moga Allah redha..amiin


July 04, 2013

Dr Morsi digulingkan

Bismillah

Sebenarnya saya tidak berapa ber'mood' hari ini. Berita penggulingan kuasa Dr Morsi di Mesir nyata memberikan kesan kepada hati, tidak tergamak berasa riang bila pemimpin Ikhwan yang berjuang mendaulatkan Islam di bumi Mesir itu dijatuhkan sebegitu rupa..

Saya kongsikan beberapa pandangan pimpinan dan bekas pimpinan ABIM berkaitan perkara ini.

1- Catatan En. Ahmad Azam Abd Rahman (bekas Presiden ABIM)

' MORSI DI GULINGKAN: Dalam masa setahun Presiden Morsi terpaksa mewarisi pemerintahan Mubarak dari Rejim tentera, Institusi Kehakiman, Birokrasi, Media yang umumnya sangat sekular dan anti Islam. Perubahan tidak mampu dilakukan secara mendadak, maka mereka telah merancang sejak hari pertama Morsi menjadi Presiden. untuk menggulingkannya. Selain itu beliau berhadapan dengan tekanan Israel, Amerika ...Syarikat dan negara Barat yang ingin Morsi meneruskan dasar Pro Barat.

Iran tidak membantu kerana persaingan pengaruh politik Asia Barat. Arab Saudi dan negara pemerintahan beraja amat takut dengan pengaruh Ikhwan Muslimin yang mungkin saja menggugatkan survival pemerintahan mereka.

Justeru itu, kesemua mereka ini bersekongkol untuk menjatuhkan Morsi secara langsung dan tidak langsung. Rakyat Mesir pula, lantaran faktor kemiskinan dan manipulasi media anti Morsi, mudah terpengaruh lantas turut terlibat untuk menjatuhkan Morsi.

Apa pun Ikhwan Muslimin telah melalui fasa-fasa saa'atul 'usrah (zaman getir) dalam sejarah perjuangannya. Mentari tetap bersinar, hanya awan yang melindunginya. Tiba masanya, awan berlalu, cahaya mentari pasti kembali bersinar. Jadikan sirah nabawi sebagai azimat tika dikhianati hatta kaum keluarga terdekat. Fa sabrun Jamil, WaLlahul musta'an.'
 
2 - Kenyataan Rasmi Sdr Raimi Abd Rahim (Setiausaha Agung ABIM)
 
ABIM KECAM RAMPASAN KUASA DI MESIR
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam rampasan kuasa yang didalangi pihak tidak bertanggungjawab di Mesir semalam yang memperlihatkan bagaimana seorang Pr...
esiden yang dilantik secara sah menerusi pilihan raya digulingkan.

Sebaliknya, ABIM berpandangan Dr Mohamad Morsi seharusnya diberikan peluang untuk memimpin Mesir dalam tempoh sekurang-kurangnya satu penggal sehingga pilihan raya akan datang bagi menstabilkan kerajaan Mesir yang dipimpin kabinet beliau.

Justeru, ABIM menilai rampasan kuasa tersebut sebagai langkah yang bersifat lapuk dan terkebelakang dalam lanskap politik dunia hari ini serta tidak menjamin kestabilan jangka panjang untuk negara tersebut.

Kenyataan disandarkan kepada kenyataan bahawa Mesir masih lagi meniti transisi peralihan ke arah amalan politik demokrasi. Rampasan kuasa ini secara langsung telah menafikan keinginan demokratik rakyat Mesir untuk menentukan masa depan mereka sendiri sepertimana yang dilaungkan sejak 2011 yang lalu dan kemudiannya diterjemahkan melalui peti undi pilihan raya.

Esensi di atas merupakan anjuran penting dalam amalan demokrasi moden. Menerusi demokrasi, proses timbang tara berupa “check & balance” dapat digerakkan untuk menjamin kesejahteraan serta mengangkat kepentingan rakyat Mesir secara keseluruhannya. Sesungguhnya rakyat Mesir berhak untuk mendapat persekitaran “civil governance” yang mampan.

Sepanjang tempoh 48 jam, ABIM akan mencermati sebarang perkembangan terkini yang berlaku di Mesir serta amat mengharapkan agar pimpinan rampasan kuasa dan pihak tentera dapat menjamin keselamatan Presiden Morsi, pimpinan Ikhawul Muslimin dan pengikutnya dari penindasan dan penyeksaan yang sememangnya sinonim dengan rejim tentera Mesir hinggalah kejatuhan Hosni Mubarak.

Mengambil kesempatan ini, ABIM ingin menyeru para pelajar Malaysia di Mesir agar sentiasa waspada serta peka terhadap perkembangan semasa yang berlaku di sekeliling mereka.

ABIM juga menggesa pihak Wisma Putra agar dapat bersikap proaktif dengan menyalurkan maklumat serta perkembangan terkini mengenai situasi sebenar yang melanda Mesir pada ketika ini kepada masyarakat serta menjamin kebajikan serta keselamatan rakyat Malaysia di negara tersebut.
Maka, di mana kita?Bagaimana hati dan akal kita dilorongkan?

July 02, 2013

8 hari lagi 8 tahun

Alhamdulillah..lagi 8 hari..usia pernikahan kami 8 tahun..
sengaja saya coretkan di sini 'countdown' ini..kerana...kerana apa?..kerana..ia mungkin bertepatan dengan hadirnya awal Ramadhan nanti..

Alhamdulillah..thumma Alhamdulillah..moga diberi nafas dan ruang untuk meraikan hadirnya Ramadhan..serentak hari ulangtahun pernikahan dengan kekasih hati saya..

July 01, 2013

Berbaki Seminggu

22 Sya'ban?Berbaki seminggu lagi untuk kita berpuasa dan meraikan bulan ibadah, bulan Ramadhan. Bahang Ramadhan sudah terasa..iklan-iklan 'berbisik' kurma sudah ditayangkan seawal Sya'ban. Undian pasar Ramadhan masing-masing sudah dilaksanakan di PBT setempat. 'Flyers2' promosi harga Ramadhan dalam edaran pasar-pasar raya juga sudah teredar di kotak-kotak pos isirumah, termasuk juga promo-promo perabot raya..sofa baru, langsir baru, karpet baru! Rancangan-rancangan khas siaran hari raya pun sudah siap terakam dan dirakam.

Iklan baju raya?kuih raya?Allah..meriah sudah di mana-mana dinding FB. Fizikalnya..dunia sudah bersedia..dunia perniagaan..dunia hiburan..dunia fesyen.

Paling penting..paling penting!Kita..kita selaku 'pemain' utama Ramadhan ini yang kena bersedia. Sedia dari sudut apa? Segala sudut..mental, hati, fizikal, akal, minda. Dorongkan per'sedia'an kita untuk merebut peluang dan masa bonus ini untuk me'rapat'kan lagi kita dengan pencipta kita. Tak kisah..sama ada kita berniaga, beribadah khusus (solat, puasa dan yang seumpamanya), bersosial, berziarah, mari kita lorongkan niat kita untuk ibadah dan redha Allah. Apa-apa pun, segala macam hal yang kita lakukan, mulakan dengan niat yang betul..insya Allah jalan, tindakan, dan haluan kita sentiasa dalam perlindungan dan kasihNya.

Allahurabbana..sempatkan kami untuk bertemu Ramadhan ini..bersihkan hati kami untuk mengutip bekalan-bekalan 'bonus' di bulan mulia ini. Kita ini musafir..dunia ini laluan kita..akhirat itu matlamat kita. Peliharalah hati-hati kami dan tindakan kami Ya Allah..:)

June 30, 2013

Selamat Hari Lahir Sayang

Bismillah..
Hari ini hari kelahiran buah hati saya, sahabat baik saya..suami saya yang tercinta..
Saya tidak banyak 'online' dua hari ini..

Selamat Hari Lahir Sayang..semoga usia diberkati..moga Allah merahmati..moga sejahtera hingga akhir nanti..:)

*Terasa baru sahaja catatkan nota kasih buatnya 2 tahun lepas..:)

June 26, 2013

Juara MCS 2

Noktah..MC Selebriti 2, sudah habis! Teka-teki siapa jadi juara sudah terjawab. Saya suka pemenang ini!


Syura - Pemenang Masterchef Selebriti 2

Jerebu 2 - Ziarah Sahabat (Subang Bestari)

Catatan ini disambung dari Ziarah ke Seri Menanti dan Ziarah Sahabat di Batu Caves.

Sejurus melepas rindu dengan saya dan sahabat saya, Elin, kami sekeluarga meneruskan perjalanan petang itu ke Subang Bestari. Saya pernah catatkan dalam entri saya sebelum ini tentang pulangnya anakanda Ahmad Zahran ke rahmatullah. Justeru, kesempatan bermusafir menziarahi sahabat kami cuba lengkapkan dengan mengunjungi Miza dan keluarga di Subang Bestari.

Saya masih ingat lagi kunjungan terakhir kami untuk keluarga ini adalah ketika meraikan kelahiran Ahmad, 9 bulan lepas. Ketika itu, Miza baru benar-benar keluar dari Hospital Pusrawi dan baru sampai di rumah. Tiga bulan selepas itu Miza dan keluarga membalas kunjungan pula ketika keraian Majlis Akikah, Tahlil dan Hari Lahir anak-anak pada November lepas. Kali ini, kunjungan kami khusus untuk mengucapkan takziah atas kepulangan Ahmad Zahran ke rahmatullah pada hari Selasa, 18 Jun 2013 bersamaan 9 Sya'aban 1434H di usia beliau 9 bulan.

Menurut Miza, pemergian arwah Adik Ahmad adalah disebabkan ketumbuhan yang berada di saraf utama otak. Ia dikenali sebagai 'Medulloblastoma' dan punca kematian adalah 'Acute Hydrocephalus 2 Brain Tumor'. Tambahnya lagi, kes sebegini sangat unik dan penyakit ini amat jarang ditemui dengan nisbah 1:100,000 untuk bayi.

Saya yang mendengar Miza bercerita tidak mampu menahan airmata lebih-lebih lagi bila melihat dia bercerita dengan senyuman meskipun matanya basah. Sesekali, Miza tunjukkan gambar Arwah anaknya pada handphone yang tak lekang di tangan. Begitu juga suami, dia turut ralit mendengar dan melihat gambar-gambar Arwah dari Azlan, suami Miza. Saya sangat sebak bila mendengar Miza menceritakan saat-saat 'kesedihannya yang teramat'. Jujur, saya kagum dengan ketabahan keluarga ini. Di balik kehilangan, mereka merungkai kemanisan ujian Tuhan.

Ayat Miza yang masih saya ingat, 'Alhamdulillah, bila Allah duga Miza dan Lan dengan ujian hebat macam ni, Allah kirimkan kasih sayang dan perhatian keluarga, datangkan pada kami sahabat-sahabat yang baik. Allah bagi juga kekuatan dan ketenangan hati. Cuma bila rasa rindu dan sedih tu datang...Miza doa kat Allah.. kalau perasaan tu datang dari syaitan, jauhkanlah Ya Allah, kalau benar ia datang dariNya, kuatkanlah hati Miza utk menempuhnya.'

Miza dan Arwah Ahmad

Tambahnya lagi 'Syukur..Miza memang rasa sangat sedih terutamanya bila susu membengkak, terasa-rasa sangat, tapi Miza bertuah sebab Miza dapat susukan dia selama 9 bulan, itulah pengikat Miza dan Ahmad, Miza sentiasa rasa dia ada...dan itu cukup bermakna.'  Allahurabbana..moga kekuatan itu menjadi pemangkin semangatnya untuk hari-hari mendatang.

Terasa sangat singkat kunjungan kami lewat petang itu. Kami maghrib di rumah mereka, sempat menjamah buah-buahan dan bubur. Sempat juga saya khabarkan pada Miza, saya terserempak dengan Kak Aishah di RnR Seremban (juga bekas rakan sepejabat saya). Kami tak bisa berlama-lama lagi, usai solat dan mendengar khabar terkini jerebu, kami mohon diri untuk pulang. Pastinya pulang kami dengan salam dan perasaan yang bercampur-baur.

Baiklah..tamat sudah catatan saya untuk sahabat-sahabat. Satu hari yang penuh cerita dengan pelbagai latar. Hidup manusia ini sudah tertulis suratan dan takdirnya. Yakinlah..Allah Maha Penyayang..Dia juga Maha Mengetahui dan Dia Sebaik-baik Perancang. Saya berdoa moga sahabat-sahabat saya sentiasa dilindungi dalam rahmat dan keampunanNya. Sentiasa beringat ketika senang, juga sentiasa redha tika ada ujian yang mendatang..amiin.

Entri Berkaitan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...