June 24, 2013

Jerebu 2 - Ziarah Sahabat

Semalam, ini cerita semalam..:)

Ada 3 destinasi dalam ke'jerebu'an. Jemputan Majlis Akikah di Seri Menanti dan Batu Caves juga ziarah keluarga Miza di Subang Bestari. Pada mulanya kami teragak-agak memulakan perjalanan, jerebu. Akhirnya, saya lahirkan pandangan kepada suami, 'Takpe Bang, kita teruskan perjalanan, niatkan ziarah dan doa banyak-banyak moga Allah permudahkan perjalanan kita'.

Kami-Usai makan dan ziarah

Seri Menanti, Negeri Sembilan.

Destinasi pertama, Seri Menanti Negeri Sembilan. Majlis Akikah anak rakan sepejabat suami, Joe. Melalui lebuhraya dari Bukit Jelutong-Senawang menyaksikan pemandangan 'jerebu' saujana mata memandang. Bukit-bukau sepanjang lebuhraya hampir tak kelihatan khususnya ketika kami melalui kawasan Dengkil dan Jenderam. Masuk melalui Senawang dan melalui jalan baru menuju Seri Menanti (tanpa lalu di Bukit Putus yang 'legend'), perasaan 'jerebu' hilang seketika bila anak-anak sibuk bertanyakan perihal sawah-sawah bukit di sepanjang perjalanan.

Alhamdulillah, info baru untuk mereka, sawah padi bukan sekadar di permatang seperti Tg Karang dan Sekinchan, tapi juga kawasan perbukitan seperti di 'Gugusan Pilah'. Saya yang kebetulan gemar membaca tentang budaya dan sejarah (meskipun berkelulusan akaun) menambah nganga mereka dengan info kecenderungan etnik Minang bersawah padi di perbukitan berbanding kelebihan etnik Banjar yang mahir bersawah di bendang permatang.

Perjalanan ke Seri Menanti diteruskan dengan memasuki Pintu Gerbang tanda 'Daulat' Negeri Sembilan. Jalan agak kecil melintasi kawasan istana tetapi suasananya tetap cantik dan damai. Kami sampai di kediaman keluarga Joe ketika azan Zohor berkumandang di masjid Seri Menanti. Kediaman mereka benar-benar berhadapan dengan kediaman penyanyi Hattan, sempat-sempat jugalah leher saya tercongok cangak melihat rumah besar berlatar gunung ganang itu. Mujur jerebu melanda ketika itu, kalau tidak saya pasti pemandangan di situ lebih menarik.

Alhamdulillah, kami disambut keluarga Joe dengan begitu mesra, cara menyapa orang Nogori. Nasi minyak berlaukkan kambing kari berempah, menu utama mereka. Alang-alang perjalanan jauh, kami berlama sedikit di situ, sambil menjadi pemerhati bebas budaya mereka di kampung beradat :). Usai menjamu dan bercerita, kami minta diri bersegera pula untuk ke Batu Caves, ada undangan majlis akikah lain yang perlu kami penuhi.

Bersambung.....

- Kg.Baru, Batu Caves
- Subang Bestari

No comments:

Entri Berkaitan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...