December 18, 2012

Cikgu Nabilah tukar status

Cikgu Nabilah & Suami

Alhamdulillah, meskipun kami 'confuse' dengan Parit, Taliair dan Ban, juga setelah menikmati pemandangan 'burung bangau di tengah sawah' akhirnya sampai juga kami ke Majlis Perkahwinan Nabilah dan Fahmy. Perjalanan kami ke Tg Karang petang itu agak jauh sebab kami bertolak dari Kelana Jaya (shopping untuk Iman). Semasa kami sampai, Nabilah dan Fahmy sedang sessi bergambar 'outdoor', mujur keluarga Nabilah sangat mesra dan melayan kami tanpa jemu. Anak-anak pula teruja dengan pemandangan baru bagi mereka, sawah yang sangat luas! Kami tak kisah menunggu pengantin sebab Amar beriya sangat nak jumpa cikgunya..:) 


Penuhkan pelamin..:)

Bila cikgu sampai, Amar pula yang malu. Jenuh ajak dia bergambar dengan dengan pengantin. Hasilnya, lihatlah gambar di atas..:P

December 17, 2012

Iman Shopping

Sebelum masuk shopping

15 Disember, Iman dapat 'Bonus Shopping' berjumlah RM 100 dari program TAWAS untuk  kelahiran 2008. Kaedahnya sangat mudah dan membantu (kurang birokrasi). Kami dapat panggilan dari Urusetia TAWAS untuk hadir ke Giant, Kelana Jaya sekitar 10.00 pagi hingga 01.00 tengahari pada 15 Disember 2012. Sampai di sana, petugas sudah menanti.  Selepas semakan dengan MyKid dan kad TAWAS, Iman diberi tag khas untuk tujuan pembayaran.
 
Di dalam Giant, kami terserempak dengan ramai lagi keluarga dengan tujuan yang sama. Masing-masing dengan pilihan sendiri. Ada yang membeli keperluan sekolah, pakaian dan makanan. Keperluan sekolah untuk Iman telah sedia, jadi kami putuskan untuk beli barang lain yang dia inginkan. Beberapa helai pakaian, bekas pensil, biskut dan 'cereal' kegemarannya untuk meraikannya. Alhamdulillah, Iman murah hati juga untuk meng'hadiah'kan bonus shoppingnya untuk abang dan adik..seorang satu bekas pensil Boboiboy..:)

Benda pertama Iman 'tangkap'


untuk dia..:)

Di kaunter khas untuk TAWAS, kami hanya hulurkan tag untuk diganti dengan baucer RM 100. Petugas TAWAS pula bersedia di kaunter, dengan tambahan hadiah lagi!Satu plastik berisi air minuman, biskut, snek dan jeli untuk Iman. Iman suka sangat!

December 12, 2012

Rayyan dan 'CAR"

Nampak tak tangan Rayyan pegang apa? Kereta kecil warna putih. Tak lepas langsung. Celik mata cari 'car', tidur pegang 'car'.

Semasa di Anjung Teh hari tu, kami risau sangat dia baling 'car' kesayangannya ke bawah..jenuh pulak nak cari balik..:)




December 08, 2012

Hari Keluarga Hj Ismail (II)~Kami Dapat

Ketika Hari Keluarga Hj Ismail (II) ini, kami dapat banyak!

Kami dapat,
jumpakan anak-anak kami bertaraf dua pupu, juga tidurkan mereka di dorm yang sama.

Kami dapat,
mandikan anak-anak kami bertaraf dua pupu di sungai yang sangat jernih, beri peluang mereka mem'bina' istana masing-masing. ada yang berkelompok me'ngerja'kan pasir, ada juga yang sibuk menyusun batu sungai.

Kami dapat,
ajak dan ajar anak berjemaah bersama atuk-atuk, nenek-nenek, makcik pakcik, abang kakak. walaupun ada desis gelak nakal anak-anak yang baru-baru mumaiyiz, kami masih dapat tersenyum dengan keletah mereka.

Kami dapat,
kenalkan anak-anak dengan pakcik/ makcik yang sebaya mereka, juga kami dapat kenal dengan pakcik/ makcik yang usia bertaraf adik sendiri.

Kami dapat...
uisssyy banyak sangat yang kami dapat..sampai tak tercatat

*catatan ini tertangguh lagi (banyak sangat dapatnya!) :)

December 07, 2012

Ujian November

Ujian Diagnostik
Ini gambar ketika Amar ambil Ujian Diagnostik Kemasukan Tahun 1. Amar akan mula bersekolah di SK Puncak Alam (3) tahun depan. Ujian ini untuk menentukan kelas yang akan Amar duduki nanti.

*saya dah kata November banyak cerita..huhuhu



Mereka Di Hati Saya

Dila, Ina, Fais, Has dan anak-anak


Yan n Shikin
*among my very first bestfriends

Ana n Marlina
*our friendship stronger as well as our numbers hehehhe

Redblue Mama Rayyan
*Angel!

Pian n Baya n kiddos

Siapa mereka ini?Mereka tahu mereka siapa di hati saya..kan?:)

Cikgu Comel

Amar dan Cikgu Bella
*amar tak mesra kamera :p


Inilah cikgu Amar di TBK KEMAS Warnasari! Muda, comel dan bertenaga..;). Gambar ini diambil ketika Jamuan Akhir Tahun dan Penyampaian Hadiah TBK Warnasari. Tahun depan Iman menyusul, insyaAllah masih dengan cikgu muda ini :)
 
*tahun depan Cikgu Bella dah tukar status..:)

Birthday 2012

Birthday Boy n Girl


Lambat betul entri ini nak keluar, dah sebulan dah. Ini gambar-gambar ketika Majlis Kesyukuran di rumah kami pada November lepas. Mudah bila hari kelahiran anak dekat-dekat, besar nanti buatlah sendiri ye!

Iman yang sentiasa ready

Kek Amar from Achik Ana..TQ!


Kek Iman juga hasil tangan Achik Ana
 Kek Amar dan Iman dibuat khas oleh Alhana, kawan saya di SMKASL. Air tangan dia memang menjadi. Ramai puji rasanya yang sedap dan menawan hati. Dah lama sebenarnya saya nak rasa kek buatan Ana, alhamdulillah dapat juga hari tu.


Mak Chu n Cikgu Bella
Amar suka sangat bila Cikgu kesayangannya datang hari tu, saya juga rasa berbesar hati bila Cikgu Bella sudi bantu adik saya uruskan upacara potong kek. Terima kasih ye!

Amar dan kawan-kawannya

Hari Keluarga Haji Ismail (II)~ Barokah Bonda


Saya mengenali keluarga ini semenjak kecil lagi. Sebahagian daripada mereka ada yang bau-bau bacang dengan keluarga saya dan sebahagian daripada mereka juga ada yang menjadi sahabat keluarga saya. Justeru, perkahwinan saya dan suami merapatkan lagi persaudaraan dan persahabatan yang sedia terjalin.

6 tahun lepas, Hari Keluarga Hj Ismail dilangsungkan di Meru, ketika itu saya baru sahaja menyertai keluarga ini dan sedang mengandungkan Amar. Bagi pelaksanaan Hari Keluarga Hj Ismail kali kedua ini ia diadakan  di Teratak Riverview Resort di Hulu Bernam. Kini, kami sudah beranak tiga, begitu juga dengan sepupu-sepupu yang lain..bertambah anak dan semakin berkembanglah keluarga besar ini.

Saya ingin mencatatkan tentang ‘keutamaan bonda’ dalam entri ini. Tidak bermaksud menafikan kemeriahan agenda-agenda lain, saya terdorong untuk menzahirkan satu nilai yang saya fikir istimewa sepanjang pemerhatian saya ketika hari keluarga ini berlangsung.

Begini;

Salam Utama

Keluarga ini bertunjangkan 10 anak dengan 2 ibu. Mbah Jamilah isteri kedua Allahyarham tiba pada hari kedua ketika anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicitnya sedang rancak dan meriah bersukaneka. Menariknya, tidak kira besar, kecil, tua ataupun muda kesemua anak, cucu dan cicit berhenti bermain dan menyalami Mbah yang baru tiba. Meskipun ketika itu kami sedang bersaing sesama sendiri dalam permainan masing-masing. Bagus!Masing-masing terdidik dan faham keutamaan, siapa dan apa yang perlu didahulukan.

Penonton VIP

Ketika kami sedang bersukaneka, matahari pula sedang perlahan-lahan naik. Ibu-ibu kami duduk di banir pokok di tepi padang menyaksikan anak cucu beraksi. Betapa status ibu sangat diutamakan, hala dan hadap permainan juga mengikut selesa dan permintaan para ibu. Beberapa kali juga sebilangan agenda kami beralih-alih arah dan kedudukan sebagai memenuhi pandangan dan pemandangan mereka, meskipun kami yang terpaksa mengadap cahaya matahari..sesungguhnya ketika itu masing-masing tiada masalah..’permintaan penonton vip..’ J

Durian Untuk Bonda

Agenda sampingan kami di sini antaranya adalah mengejar durian yang gugur. Pengusaha resort ini mengizinkan kami mengutip duriannya yang gugur berhampiran kawasan aktiviti kami. Suami dan beberapa orang sepupu lelaki selaku penggerak utama hari keluarga tidur di khemah berhampiran pohon-pohon durian yang ‘marvelous’ rasa buahnya. Acapkali rezeki bergolek itu menjadi milik mereka. Dalam banyak-banyak durian yang mereka perolehi ada sebiji durian yang besar, cantik, dan dari ‘pohon sedap’. Saya kagum dengan pendirian sepupu-sepupu sedarah ini, durian tersebut yang gugur di pertiga malam sanggup mereka simpan untuk ibu-ibu tercinta. Siap sorok!Alhamdulillah, di pagi Ahad itu para ibu disajikan khusus durian terbaik. Rezeki rasa itu turut dikongsi ibu-ibu generasi ketiga (seperti saya)...rasa durian itu?SubhanaLlah!sangat sedap. Bagi saya ia bertambah sedap dek keikhlasan, kasih sayang dan berkat senyuman bonda masing-masing. J

Baik!Saya tidak berniat menamatkan catatan berkaitan Hari Keluarga Hj Ismail (II) setakat cerita ini, menangguhkan mungkin ebih tepat, kerana serasa saya catatan penuhnya...’hanya yang pergi yang benar-benar mengerti’. Saya nukilkan menurut kesempatan, pandangan dan rasa peribadi saya selaku cucu menantu. Pada saya, mereka yang berketurunan sedarah pasti lebih tercalit kenangan manis dalam memori mereka. Berkesempatan..saya catatkan lagi, insya Allah.

Terima kasih J

December 06, 2012

Saya,dia dan mereka

Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) ~ 1995-1996

Kami tak sekelas..tapi kami se’Soutul’, saya dan dia paling suka bila ada latihan nasyid, berlatih kekononnya macam nak pergi pertandingan peringkat dunia :P padahal untuk persembahan kat surau Aspuri je hehehe..
Kami juga tak sedorm..tapi kami se’gayong’..habis saja latihan silat kami sama-sama sental baju silat di Bilik Air Umum, sambung bergayung!Ialah..baju silat kami sepasang je, berlatih atas padang becak, bersilat macam gaya nak masuk Sukan SEA..padahal untuk dapat talipinggang Awan Putih je..hehhehe

Kami tak sealiran tapi kami selalu beratur sama di Dewan Makan..kadang dia cop tempat, kadang saya ambil giliran..(senyum lagi..) J
Kami bukan tergolong study gila-gila..kami lebih gemar bercerita tahap gila-gila..kadang2 dia lupa dia KP..dia ikut bising macam saya yang study paling lama pun 20 minit!

Kami tak senegeri...sering saja dia cemburukan saya yang balik kampung sebulan sekali..dia pula kalau balik makan hari..
Tapi dia antara sahabat yang hebat dan setia! Paling saya ingat dia suka ‘cangkuk’ leher saya..

‘hang member aku paling kecik..paling ringan aku nak tarik..’ ialah...dia besar..tinggi pulak tu!

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ~ 1998-2001
*1997-Pusat Matrik lain-lain..

Saya di FPP (budak akaun katanya) dia di FKEJ (budak enjin..hehhehe)..
Saya di Aminuddin Baki..rasanya dia di Ibu Zain..huhuhu betapa kami semakin tak rapat..:(

Kami hanya terserempak di Pusaneka, di RU..TSL memanglah tidak (saya pantang masuk library..sejuk sangat!hehhhe)..selalu juga kami terjumpa di ATM Juwara..tempat cucuk duit tersohor untuk pelajar2 tajaan MARA khususnya..pernah juga kami ter’sama line’ di kelas ZT..adalah juga sekuliah kan?

Sesekali kami terjumpa di Surau bawah Pusaneka..takpun depan PMU..paling selalu terjumpa di Pesta Konvo J
Kami memang agak renggang di UKM..hanya jumpa sekali-sekala..tapi kami tak lupa salam semut  kami..tak pernah lupa semangat gayong kami..dan dia jarang lupa untuk mencangkuk leher saya..

‘hang ni kan Zah..tak tinggi2..tara tu gak!’..:P

Saujana Rawang ~ 2012 (tengok timeline..uissyyy lama sangat dah)
Kami sembang sambil duduk bersila..bezanya kami sudah bersuami dan masing-masing beranak tiga. Saya bertekad mencari dia, terasa sangat berhutang waktu-waktu susah dan senang..dia sedang diuji dan keluarganya juga sedang diuji..

..’apa rasa kena bedah Zah?’ dia maklum saya sudah 3 kali c-zer..

..’hehhe..weng separuh hari..macam di awang-awangan’ J saya jawab bersahaja..

..’dia boleh tanya soalan sama 5 kali..layankan je’..suami saya menambah

Kami cerita lagi..sambil anak-anak turun naik tangga dan terkekek-kekek sesama sendiri..

..’zah..sebenaqnya..aku takut’ saya pandang dia dengan senyum..(dalam hati sentap!)

..’takpe da..sabar..’ sambil gosok-gosok tangan dia..sebenarnya saya tak tau nak cakap apa..

........................

........................

 
Alam Jaya ~ 2012 (35 minit dari Saujana Rawang..lalu jalan dalam lah..org tempatan kannn)

Saya setia menjenguk-jenguk khabar dia melalui FB, saya kagum dengan sokongan dan doa sahabat-sahabat seKISAS. Saya mengagumi kesediaan dan kesetiaan mereka memberi sokongan moral serta membawa doa serta titipan ramai lagi sahabat-sahabat kami yang lain. 1 Disember di Hospital Selayang, Aida menjalani pembedahan sebagai rawatan kanser payudaranya. Saya kurang betah istilah sebenarnya. Khabarnya dia di tahap 2. Allah..moga kekuatan tersakti Kau anugerahkan untuknya dan ahli keluarganya. Meskipun ujian ini untuknya tapi kami yakin ia manifestasi kasih dan cintaMu yang tak bertepi.

*Sahabat-sahabat KISAS khususnya ‘Class of 96’..moga ukhuwwah fillah ini berpanjangan, berkekalan dan dirahmati hingga ke sana..

Alhamdulillah ‘ala kulli hal....Allahu Akbar..

November 26, 2012

Masuk Majalah

Ruangan FB di Pa n Ma (Disember 2012)

Mula-mula saya tak perasan, kemudian bila masuk bacaan kedua (saya jenis baca majalah..kulit ke kulit) terpandang pula muka sendiri di samping suami tercinta. Meskipun se’ciput’..tak kisahlah, asalkan namanya masuk majalah..hehehhe..:)

Pesanan ikhlas..’Jangan Menyampah..’ ;)

2 malam


2 malam saya telah meladeni Rayyan yang kurang sihat. Maka 2 hari juga waktu tidur dan jaga saya tidak teratur. Akur dengan kesungguhan dan kepayahan suami mencari rezeki di siang hari menganjur saya rasa tidak tergamak mengejutkannya bergilir melayan rengek si Putera Rayyan, lagipun Rayyan tak betah pujuk selain Ummi! Sesekali timbul rasa kasihan pada Iman yang sering merungut bila peluru-peluru soalannya saya jawab ‘asal jawab’. Amar pula sesekali timbul ‘amuk’nya tatkala letih saya mengatasi segalanya.

Pagi tadi, mata saya hampir tidak terbuka ketika menyalami suami yang keluar bekerja, meskipun saya sempat sediakan air minum dan oat untuknya..ternyata tidur saya pada waktu ini adalah ketika tertidur. Saya fikir saya bermimpi bila ternampak semula kelibat suami masuk ke rumah dan menyediakan sesuatu di meja makan.

‘..rasanya dah salam tadi..?mimpi ke ..?’

Rupa-rupanya, dek kasihankan saya, suami saya belikan sarapan terlebih dahulu untuk saya dan anak-anaknya. Siap berpesan;

‘..abang beli nasi lemak, bihun, kuih. Kalau Rayyan tidur, awak tidurlah sekali...abang beli makanan lebih tu, tengahari nanti goreng je telur..’

Saya hanya terpisat-pisat mendengar kata-katanya, sambil hati cukup rasa lega dan bersyukur. Dia sangat memahami letih dan risau saya. Allah..syukur sangat!

‘ terima kasih bang...’ mata saya sedikit terbuka ketika menyalami tangan kekasih hati untuk kali kedua..:)

 

* Peduli tentang kasih akan menjadikan kita lebih kisah dengan sekecil-kecil peranan. Sama ada ia untuk teman hidup, ibubapa, anak-anak, mahupun sahabat dan kerabat. Bila peduli itu datang beserta kesedaran akan wujudnya kita untuk apa, maka peranan kecil akan dimainkan dengan sebesar-besar hati, kerana kita tahu kita tidak pernah mempunyai atau dipunyai waktu. Sesaat yang berlalu, kita tidak akan pernah menggapainya, jika kita tidak pernah akur untuk menghargainya...

 

 

November 23, 2012

Graduasi

Amar ambil sijil

Sayang Ummi yang seorang ini bakal menginjak 7 tahun, walaupun baru genap 6 tahun 6 November baru-baru ini. Sebagai permata sulung sudah tentu perkara-perkara berkaitannya menjadi pengalaman sulung juga buat kami.

Gambar di atas, gambar ketika Hari Graduasi TBK Kemas peringkat  daerah Kuala Selangor. Amar sudah selesai pengajian tabika atau pra sekolah untuk tahun ini. Tahun depan, Iman menyusul dan Amar pula bakal bersekolah rendah. SubhanaLLah...cepatnya masa berlalu. Seakan tidak percaya!

November 22, 2012

Kanak-kanak Menua~KanakTua


Entah..saya rimas dengan  rancangan realiti yang satu ini..sejujurnya hampir menyampah. Bila anak-anak bertanyakan tentangnya, saya memerah rasa dan raga menyediakan jawapan..

....kenapa diorang menangis?...(tgk iklan prebiu je)
....best kan Ummi kalau dapat menari macam tu? (errr...hati dah tergaru2)
....kenapa kanak-kanak tu pakai macam org besar Ummi?pakai spek macam spek orang tua je?....

‘Memang pun...memang kanak-kanak dalam tu cepat tua..itu bukan idola kecil..itu budak kecik menua..so..kanak-kanak sihat,cerdas dan perlu vitamin bagus tak boleh tengok...’

Entah..rancangan itu memang kurang vitamin..sorry!

November 20, 2012

Hadiah November 2012~Terbaeeekkk

Ini hadiah Amar, Iman dan Rayyan untuk hari lahir mereka..



Rayyan lahir 1 Januari 2011..maka dia dapat hadiah advance! Disember nanti Boboiboy Petir dengan Gopal pula keluar..errrrr..

2 hari 2 malam~Cameron Highland


Diari musim cuti kami bermula dengan memenuhi undangan Majlis Perkahwinan dan Berkhatan. Kami membuat ‘percutian mengejut’ pada minggu pertama iaitu pada 14-16 November dengan membawa anak-anak ke Cameron Highlands.  Kami hanya beritahu Amar, Iman dan Rayyan sehari sebelum ke sana. Sengaja ‘surprise’, kalau tak… seminggu kecoh.
Rabu, kami memang sengaja bergerak lewat. Kami hanya mula ‘memanjat’ Cameron melalui laluan Tapah pada jam 10.00 malam. Relaks, berhati-hati dan tenang, akhirnya kami sampai di Tanah Rata pada jam 11.30 malam. Masa itu juga kami cari bilik yang sesuai dan cukup untuk keperluan kami berlima. Ala-ala percutian bajet, sebuah bilik dengan katil besar, tv, cerek dan seterika juga bilik air di Hotel Bajet nyata memadai bagi keluarga nukleus kami..:).
Sarapan di Brinchang

Khamis pagi, selesai bersarapan di Pekan Brinchang, Alza yang sedia berkhidmat memanjat pula ke Ladang Teh Sungai Palas. Saya pernah ke sini dengan rakan usrah ADWAM pada tahun 2004 dan fasilitinya nyata sudah berbeza. Di anjung teh, kami dapat tempat duduk yang sangat strategik sudut pandangan dan pemandangannya. Betul-betul di sudut ‘corner’, dan ketika itu angin gunung sedang bertiup lembut dan matahari belum terik lagi, 2 cawan teh ‘o’ dan 2 ‘butter cheese  bun’ menjadikan minum pagi kami di Anjung Teh Sg Palas cukup sifat di samping aktiviti mengambil gambar. Kami jenguk2 sahaja Kedai Cenderamata di situ. Harga teh di atas serasa lebih mahal berbanding di Giant. Selepas melawat kilang teh, kami menuruni laluan di lereng, untuk memberikan pengalaman kepada anak-anak melalui pokok-pokok teh di situ.
Kami dan adik-adik hahahhaha

Turun dari Sg Palas, jalan sangat sesak di Pekan Brinchang. Mujur kami melawan arus, perjalanan kami tidak terlalu terganggu dan lawatan diteruskan ke Tapak Semaian Kaktus dan Bunga. Hasrat kami untuk mengajak anak memetik strawberi terbantut kerana 2 tempat tidak buka untuk sesi petik memetik. Kecewa anak-anak kami ubati dengan bantal strawberi seorang sebiji. Turun sedikit, ada kawasan strawberi untuk dipetik dibuka, nyata pengusaha sangat mengambil kesempatan dengan kebanjiran pengunjung. Harga kupon naik 3 kali ganda! senang2 sahaja mereka ubah harga kupon yang sedia tertulis RM 10 dengan RM 30. Hmmmm..tak payahlah untuk kali ini, insha Allah ada lagi rezeki nanti.
Kami memang tidak merancang singgah di pasar sekitar situ (saya memang kurang suka pasar).Penat melihat bunga dan pemandangan kami turun semula ke Tanah Rata untuk rehat seketika. Lewat petang, santai2 sahaja kami berjalan-jalan di Pekan Tanah Rata. Tengok kedai, lawat gerai, jenguk taman. Tidak mahu terlalu penat,mentelah anak-anak masih kecil dan banyak ragam menyebabkan kami memilih stail ‘light n easy’, yang penting ada bekalan air dan biskut dalam beg.

Jumaat pagi, sarapan ringan di bilik sahaja dengan roti dan milo. Usai ‘check-out’ tepat jam 11.45 pagi, kami terus makan tengahari di Tanah Rata. Ikan pari bakar cicah asam, kuah lemak sayur pucuk manis, ayam goreng dan strawberi bersalut coklat..cukup!Alhamdulillah..:).

Dalam perjalanan menyusur pulang,  kami singgah di sebuah tapak semaian untuk melengkapkan ‘percutian Cameron’ kami..bunga ros untuk Ummi dan kaktus untuk Abah. Selesai dengan apa yang dihajati, kami terus menuju ke Lata Iskandar. Rasanya kali terakhir saya ke air terjun ini ketika zaman kanak-kanak dulu, kini saya sendiri bawa anak-anak. Pada mulanya anak-anak hampir tidak mahu mandi dek sejuknya air di situ, lama-lama jenuh pula memujuk untuk naik dari air. Hampir 2 jam kami bermandi-manda di situ, sambil mengunyah pisang goreng dan keropok lekor. Dalam perjalanan keluar ke Tapah, mereka masih rancak bercerita dan bertanya itu ini. Ternyata mereka memang sangat letih bila akhirnya hanya suara saya menemankan pemanduan suami setelah Alza memasuki lebuhraya. Letih saya dan suami agak terubat dengan muka puas dan dengkuran anak-anak.
Ummi je ready..
Ok!Catatan percutian nukleus kami untuk tahun 2012 berakhir di sini. Awal Disember nanti ada perancangan lain….Hari Keluarga Hj Ismail (II) pula akan menyusul.

Catatan November 2012

November ini sebenarnya banyak cerita..cuma saya kurang sempat menzahirkannya dalam blog Amar, Iman dan Rayyan ini.

November...Amar selesai Tabika..juga kena menghadiri Ujian Diagnostik kemasukan Tahun 1 untuk tahun depan

November juga..kami buat kenduri akikah utk Iman serentak itu kami buat doa selamat utk keraian ulangtahun kelahiran Amar dan Iman juga tahlil buat Allahyarham abah..

November ini menyediakan pengalaman pertama abah Amar,Iman dan Rayyan menyembelih sendiri kambing utk puterinya Nurul Iman...

Iman dan kambingnya..
November juga kami menyempat2kan diri bercuti-cuti bajet ke Cameron Highland..Cuti Nukleus..:) sebab awal Disember nanti keluarga besar suami akan bercuti-cuti mesra besar-besaran pula di Hulu Bernam..
November..masih ada..catatan saya akan beransur-ansur mengisi ruang..

November 07, 2012

Mak-mak kami


Majlis aqiqah utk Iman sudah selesai, keraian ulangtahun kelahiran Amar dan Iman disambut serentak pada hari itu..juga tahlil buat Allahyarham abah.

Antara perkara yang masih terkesan di minda dan ingatan saya ialah suasana pagi Ahad itu, jarang sekali mak dan mak mertua saya dapat berdua-dua sendiri..dan pagi itu melihat kesayangan saya dan suami ber’gossip2’ sambil menyediakan juadah tambahan ‘resepi bonda’ cukup membuatkan kami senang hati dan bahagia. Sesekali mereka berbalas-balas gelak dan terdengar juga ‘gaduh2’ kecil mereka.

Mak saya dan mak mertua saya berkongsi tarikh lahir dan beza 3 tahun. Mereka kenal sedari kecil dan remaja sementelah mak dan kakak mak mertua a.k.a Wak Long suami saya sangat rapat di usia remaja mereka. Perjalanan hidup dan jodoh masing-masing memisahkan cerita mereka pada suatu tahap, maka penyatuan saya dan suami merupakan satu titik pertemuan  semula yang penuh hikmah.

Kami biarkan mereka berdua bersembang dan berjenaka sesama sendiri. Mak Banjar, mak mertua pula Jawa. Dibesarkan dalam kelompok majoriti Jawa, mak saya tidak kekok mem’balas’ Jawa mak mertua saya.

Dalam komunikasi kedua-dua mak, ayat-ayat yang selalu keluar..

dulu...
dan keluarlah cerita suasana kampung mereka..jalan dan rumah yang pernah wujud dan sebagainya..kesulitan dan cabaran zaman mereka.

ko ingat tak..masa dia muda dulu’...
dan keluarlah beberapa watak yang kami kenal dan tak berapa kenal..keluar juga cerita cintan-cintun zaman ‘Bobby’..aduhai!dan kami turut tergelak sambil memicing telinga.

Bahagian paling seronok bila mereka bercerita tentang cucu..
cucu ko tu..’ dan disambung..’cucu ko jugak’

Sejujurnya kami berasa cukup kaya. Kaya di hati dengan dinaungi kasih dan perhatian famili. Kehadiran wajah-wajah kesayangan kami cukup membuatkan hati resah menjadi tenang, urusan sesukar mana pun seolah dipermudah..jiwa senang dan terasa mewah!

Terima kasih mak dan mak..

Terima kasih abah..bapa mertua terbaik di dunia dan akhirat. Saya beruntung dan bertuah kerana dapat menumpang kasih abah...:)

Al-Fatihah untuk Allahyarham abah saya..moga Allah menempatkan abah di kalangan mereka yang diredhaiNya..amin.

 

October 25, 2012

Hujan Hari Arafah

nak menulis ni..pendek ke..panjang ke..memang ikut rasa hati saya..
catatan saya di sini pun untuk nota dan tatapan anak-anak, sahabat dan kaum kerabat yang sudi dan yang ambil peduli..

banyak tidak ter'update'..dari raya fitrah hinggalah raya qurban (besok..), dari cerita Hari Sukan Amar sampailah ke Hari Graduasi Amar (2 hari lepas)..cerita Iman yang petah bercerita hinggalah cerita Rayyan yang sudah boleh mem'balas' cerita Iman..:)

di luar-hujan! (tengahari tadi terik)

............................................... :) 

*selamat hari wuquf..selamat berpuasa..salam 'aid adha

October 24, 2012

Evolusi

Situasi:
Iman sedang baring di seat tengah ketika dalam perjalanan ambil Amar di Tabika.

'Ummi..ummi..tengok tu cicak..'

'kat mana?'

'tu dekat atas tu...besar sangat' rupa-rupanya dia merujuk awan di langit.

'oh no!dah jadi sesumpah lah Ummi..'

'ooo dah jadi sesumpah pulak..'

tiba-tiba,

'Roarrrrrr..!Roarrrr!help me!help me!'

'apa dah jadi Iman?'

'dia dah becoming dragon lah Ummi'

........

cicak -> sesumpah -> dragon..boleh?

October 10, 2012

Atas Meja


Bunga hidup dari pasu luar ke pasu (botol terpakai) di dalam rumah..:). Rumah kami belum ada berbunga-bunga di dalam. Maka, pandai-pandailah mem'bunga'..

October 04, 2012

Main Air

Aktiviti mereka di rumah.
tak ter'larang' main air..terus Ummi bukakan kolam plastik. Main puas-puas ye!

September 28, 2012

RCM = Restoran Cina Muslim

Kantonis Shang Mee

Kantonis Ying Yong

Big Boss makan Wantan Mee n Roasted Chicken

Dimulakan dengan Bismillah

Tukang Pegang Menu


Rasanya sudah lama saya tidak tulis tentang 'makan'. Kali ini saya kongsikan kesempatan dan peluang kami makan di sebuah RCM di Klang Sentral 'Mohd Chan Abdullah' nama restorannya.


'Saja nak rasa..' cadang suami,  dan saya serta anak-anak tak lepaskan peluang. Kami tempah 4 menu berbeza; nasi ayam Mohd Chan, Wantan Mee dan Ayam Panggang, Shang Mee Cantonese dan Ying Yong Cantonese. Daripada 4 menu itu saya gemar rasa Shang Mee Cantonese, ada rasa rangup-rangup. Sambil-sambil itu kami ambil pau kacang..kononnya untuk pencuci mulut..tapi habis dulu. Pau sangat sedap!Sangat gebu..aduhai, rasa nak lagi. Restoran ini juga ada jual kuih bulan; sesiapa yang nak rasa makan kuih bulan tanpa was-was, carilah di sini!

Terapi Mata

Bunga ni macam tersenyum..:)


Mata saya bahagia..:)


Entri ini khusus untuk ingatan dan titipan buat saya dan sahabat-sahabat yang suka dengan terapi mata sebegini..:)

September 26, 2012

A.I.R dan kura-kura


Kesayangan-kesayangan Ummi dan kura-kura mereka..:). Jenuhlah kura-kura kecil melari-larikan diri dari tangan-tangan mereka. Jenuh juga mulut Ummi mengawal mereka...

Nenek Masuk TV

Wajah Kesayangan Hamba..

Mak ada khabarkan dia ke TV9 untuk rakaman Tanyalah Ustaz. Ketika rakaman tersebut bersiaran saya tidak berkesempatan untuk menontonnya. Malam tadi ada episod ulangannya, alhamdulillah dapat tengok.

Gambar di atas adalah ketika sessi soal jawab, saya tangkap dan letakkan entri ini sebagai kenangan untuk kami..:). Saya tunjuk gambar ini pada Amar, Iman dan Rayyan. Seperti dijangka mereka kecoh!

'Nenek masuk TVlah..'

September 21, 2012

Soutul 96

Saya di dalam mood 'rindu'. Dua perkara yang saya sangat suka ketika berada di KISAS; silat dan nasyid. Kebelakangan ini, saya sering ternyanyi-nyanyi nasyid-nasyid di KISAS, khususnya nasyid ciptaan kami sendiri, seterusnya mengundang nostalgia yang menusuk-nusuk hati.

Permukiman di KISAS mengajar erti 'inter-state'. Kebanyakan kami berkelulusan cemerlang dalam PMR seterusnya di'himpun'kan sebagai antara pelajar-pelajar terbaik negara. Biarpun terdapat 12 kelas, nombor kelas tidak menentukan bijak siapa yang terdahulu kerana rata-ratanya memegang keputusan 9A dalam PMR. Cara belajar juga berbeza-beza, ada yang memang gigih meratib buku dan nota, ada yang selesa belajar berkumpulan, tak kurang juga yang tidak ambil peduli waktu prep memadai hadir dan belajar di dalam kelas. Saya tergolong ISA, (Ikut Suka Akak) dan lebih gemar tumpukan perhatian di dalam kelas (meskipun saya lebih banyak pejamkan mata), kurang cenderung prep ikut jadual, serta tidak gemar terikat dgn 'study group'. Justeru, silat dan nasyid adalah medan yang sangat saya tunggu-tunggu ketika itu.

Soutul Mujahidah, nama kumpulan nasyid kami ketika itu. Kami bebas berkarya dan nasyid adalah antara medium kami melahirkan idea, perasaan dan harapan juga sebagai salah satu cara 'mengikat hati' dan persahabatan kami. Perhubungan ketika itu bergantung hanya pada surat dan telefon, tiada FB mahupun 'handphone'. Makanya, sesudah SPM masing-masing hanya akan berhubungan dengan komitmen kedua-dua pihak dan jika bernasib baik hubungan baik itu akan diteruskan sehingga ke peringkat universiti.

Saya ada beberapa orang sahabat dari kalangan Soutul Mujahidah yang rapat dan dekat di hati saya. Dua tiga hari ini..saya memang mengingati mereka, rindu bersangatan..:)

September 19, 2012

Meeting Berkelah

Keraian Syawal ditamatkan pada hari Ahad 16 September 2012. Isnin berikutnya kami bercadang 'kawan'kan abah di office. Panggilan dari Kak Azah (sepupu suami) yang mengajak kami 'survey' tempat untuk Hari Keluarga mengubah pelan awal kami hari itu.

"Sambil-sambil picnic", ujar Kak Azah.

Kami bersegera bersiap ala kadar pagi itu. Berpakaian 'sedia untuk terjun' di samping baju untuk persalinan, juga menggoreng hidangan ringan bersesuaian (nugget dan sosej) untuk meeting cum survey mengejut ini. Sebelum itu Kak Azah dah maklumkan dia bawa nasi impit dan laksa. Bertemu di R'nR Rawang (U), kami sampai di Teratak Riverview Tg Malim lebih kurang jam 11.00 pagi.
Perjalanan masuk ke TRV agak mencabar, sangat sesuai untuk kenderaan 4X4..setakat Alza kami yang belum diubahsuai 'suspension'nya...masih belum menjadi masalah..:). Pemandangan dan suasana di TRV sangat mengujakan, sesuai dan 'kena' dengan jiwa saya dan suami. Sungai masih 'dara', kawasan terjaga..kemudahan asas tersedia dengan elok. Ada asrama, dewan serbaguna (terbuka) yang boleh dijadikan surau, bilik air, padang, kawasan khemah dan ruang BBQ.

Perbincangan mereka bersaudara (suami saya dan sepupu2nya) berjalan serentak dengan pengusaha TRV dan juga tinjauan kawasan sekitar. Mereka (keluarga Kak Azah dan Nizam) pulang awal, manakala kami terus berkelah dan mandi-manda di situ. Memang seronok..biarpun anak-anak terketar-ketar kesejukan dan kaki kami hampir kebas.

Usai perkelahan itu, kami pulang dengan keletihan dan kepuasan. Anak-anak tidur sepanjang perjalanan balik. Letih-letih pun, kami masih sempat ziarah sahabat di Bdr Tasik Puteri. Marlina, sudah 17 tahun kami tak bersua..:).

Alhamdulillah..syukur atas segala nikmatNya..kerehatan, kedamaian, persaudaraan, persahabatan..:)

September 14, 2012

Jari Tersepit

Sangat suka momen ini.

Kisahnya ketika ini kami beraya di rumah nenek saudara (adik kepada nenek suami saya). Rayyan suka sangat main gril pintu..buka tutup buka tutup, penyudahnya jari telunjuk tersepit.Menangis kuat sekejap, kemudian merengek-rengek tunjuk jarinya yang sakit ke Ummi. Sepanjang malam jari telunjuknya menegak je hala ke mulut Ummi (minta tiup).
 
Anak-anak saya penyakit diorang sembuh (konon-kononnya..:P) bila Ummi baca selawat dan hembus-hembus tempat yang sakit. Dari Amar, Iman hingga ke Rayyan..peliknya bila Ummi dah tiup hembus tu, elok je tangis melalak mereka berhenti. Ummi jelah..orang lain hembus tak jalan...kurang mujarab.
 
hmmmm..that's the power of Ummi then..:)

September 12, 2012

Kura-kura A.I.R

..'kat mana ni?'

ada 3 ekor..
Sempena Amar berpuasa penuh, nenek dan Pak Ngah beri 'lebih' duit raya. Duit 'lebih' itu kami berikan pada Amar, tanyakan pada dia..apa yang dia nak.
'Amar nak kura-kura..', 

Bagus betul anak bertuah ni, kami fikirkan dia nak buku atau mainan :). Jawapannya terkeluar dari jangkaan tipikal kami. Usai 'bank-in' duit raya anak-anak di Saujana Utama, kami cari kura-kura untuk Amar (dan adik-adiknya sekali). Saujana..tiada. Puncak Alam (F2)..tiada..Meru..tiada..Setia Alam tiada.

'Time cari memang takde..' rungut suami.

Dalam perjalanan balik, kami cuba jenguk-jenguk lagi di Meru. Kami tergerak belok ke kiri. Yeah!Akhirnya ada juga kedai ikan jual kura-kura. Tak cakap banyak bercampur letih, kami terus beli 3 ekor. Dapatlah mereka seorang seekor..

'Suka hatilah nak...asalkan kalian bahagia...'

September 08, 2012

Sunan Musafir


Bagi peminat dan penggemar Dwi Trilogi Sunan, edisi 'Selamat Tinggal' ini seolah-olah meremukredamkan jiwa..:(. Penat rasanya berfantasi kembara bersama Sang Laksamana, juga melayan cintanya yang merentas masa dan ruang.

Sunan Musafir bukanlah Laksamana Sunan. Nama itu milik susuk Andika. Buah hati Saifudin dan Ratna. Kata Saifullah si Indera; Dani mirip Sunan Musafir. Dani ditulis sebagai keturunan Megat, abang kepada Saifudin. Kata Luna, serikandi Polip; Andika tak tumpah persis Ratna...:). Paduan keduanya mungkin menjadikan watak Andika tampak pemuda yang elok paras rupanya.

Sunan Musafir, cerita atas cerita. Kali ini ada pertembungan di antara harimau!Harimau Berantai gelaran si bajingan, juga harimau jadi-jadian dek penyakit keturunan pengembara dari Jambi. Saifudin juga ibarat harimau, harimau sembunyi kuku di balik Kiai Kelana yang penuh hemah dan hikmah.

Sunan Musafir menzahirkan cinta sejati kepada Ratna yang tiada bergalang ganti.
Sunan Musafir menghadirkan Haryani sekali lagi. Tetap pada cemburu yang tak pernah bersisa meskipun merentas zaman dan masa.

Sunan Musafir..aduhai!sudah bernoktah cerita kembara Sang Sunan..titik!

September 05, 2012

Cerita masih ber'siar-siar'

Cerita raya?Banyak!..senyum manis, senyum kelat semuanya ada. Saya belum sempat menzahir 1001 cerita lebaran dalam blog ini. Masa itu ada, cuma peruntukkannya belum bersisa. Cerita saya bersegmen-segmen, semuanya masih berlegar dan ber'siar-siar' di kepala. Syawal masih diraikan, khususnya keraian persaudaraan dan persahabatan. 'Saya dan keluarga tidak mewah, tapi cukup kaya dengan saudara dan handai'.Itu mu'qoddition'nya (mukadimah + introduction)..maafkan saya pejuang bahasa..:)

Cerita lagi?Tunggu..:)

August 08, 2012

Ramadhan~ke'uzur'an

Saya masih boleh menyatakan 'Ummi tak boleh solat, sebab ma'zurah' bila Amar dan Iman bertanyakan soalan 'Kenapa Ummi belum solat lagi..'..tapi saya masih belum boleh menyatakan 'Ummi tak boleh 'puasa' sebab ma'zurah' pada ketika ini...:)

Ma'zurah adalah istilah yang saya perkenalkan kepada anak-anak untuk keadaan datang haid. Mereka memandang dan tertanya-tanya bila saya tidak bersolat pada waktu-waktunya. Setakat ini, mereka boleh terima. Bagi keadaan berpuasa..saya kena bertahan..(makan pun sembunyi-sembunyi..), Amar berpuasa, tetapi deria laparnya pasti terganggu..atas dasar itu saya bertahan..Iman tidak berpuasa, tetapi dia pemerhati yang cekap, juga pelapor berita yang tepat. Meskipun Amar bersekolah, saya tidak wewenang makan di hadapannya,  saya juga sedang mendidik mereka untuk menghormati orang berpuasa dan bulan puasa itu sendiri..maka, saya perlu bertahan..

Syyyyy..makan sembunyi-sembunyi, saya ke'uzur'an..:)

August 02, 2012

Ramadhan~Jakel dan ADAM

Hari Sabtu..8 Ramadhan, bawa mak ke JAKEL Shah Alam (untuk sempurnakan hajatnya..:))..adalah beberapa meter kain dan beberapa helai tudung Ariani 'ter'sambar. Kalau nak beli baju yang dah siap, harganya macam tak berbaloi berbanding kualiti kainnya. Mujur mak pandai menjahit, beli kain sedap sikit, pasti puas hati, tiadalah rasa ralat.

Sebelum itu, dah siap2 tempah meja di D' Arab Cafe. Dah agak, mesti ramai orang. Kami sampai pukul 7. Cumanya kami sedikit kecewa, makanan belum sampai ketika masuk waktu berbuka, nak tambahkan rasa geram, meja kiri kanan yang lewat  tiba, dapat makanan dulu. Mujur lagi, anak boss nampak kami angkat tangan, terus dia sendiri yang uruskan 'kelewatan' dan ke'alpa'an pekerjanya. Lauk kami ditambah tanda maaf..hmmmm.

Usai hantar mak dirumahnya, kami bersegera pulang. Letih sangat sampai tak boleh tidur hinggalah waktu sahur. Iman pun tak boleh tidur, kami picit2 badan Iman..'Iman penat..mata iman sangat penat..tapi Iman x boleh tidur'..rungut Iman sambil cuba juga nak tidur. Keesokan paginya, mak pula beritahu rupa-rupanya, mak pun x boleh tidur..

Ironinya pagi 9 Ramadhan, kami dapat mesej dari Zul (Pak Ngah anak2 saya), Syira dah masuk Labour Room..(agaknya x tidur tu petanda nak dapat anak buah?). Selang beberapa jam, Zul khabarkan Syira dah bersalin..anak lelaki. Lelaki lagi! Mak saya memang kaya cucu lelaki..setakat ini, Imanlah seorang 'Princess'..:). Makanya..saya adik beradik semuanya beranakkan sulung lelaki..

Adam Mikael...nama anak buah baru Mak Long!

Saya dan Zul penggemar RAM..Rayyan, Adam Mikael..siapa yang tahu..tahulah..:)

July 27, 2012

Ramadhan~7 hari Amar


Sekejap sahaja sudah 7 Ramadhan. 7 hari juga Amar berpuasa. Alhamdulillah. Ini tahun kedua untuknya, tahun lepas dia dapat 10 hari. Moga tahun ini lebih baik. Pada hari pertama dan kedua Amar buat perangai lapar di tengahari, siap marah-marah adik-adiknya yang saya suap di tengahari. Mujur ketika itu di rumah keluarga mertua, kakak-kakak sepupunya pun berpuasa..adalah motivasi dan contoh untuknya.

Masuk hari ketiga, saya agak risau sebab dia bersekolah. Sangkaan meleset sama sekali. Dia ceria ketika saya ambil di tabikanya. Siap ada bekalan untuk berbuka. Saya menyambut baik tindakan guru tabika Amar yang turut menggalakkan anak-anak muridnya berpuasa. Sepanjang pengetahuan saya, makanan pagi masih disediakan kerana ada murid yang belum berpuasa, ada yang 5 tahun dan ada juga yang baru belajar. Manakala untuk murid yang berpuasa, makanan akan dibungkuskan dan dititip pulang sebagai juadah berbuka. Secara tidak langsung murid yang kecil dan baru belajar boleh mencontohi rakan-rakan yang berpuasa, murid yang berpuasa pula lebih bersemangat untuk terus berpuasa.
Doa saya, semoga anak-anak saya terus diberi kekuatan dan kesabaran untuk berpuasa, tahun ini, tahun depan, tahun seterusnya dan hingga akhir hayat..amiin.

July 26, 2012

Ketuk-ketuk Ramadhan



Rancangan masak memasak memang saya suka, walaupun tak berapa rajin memasak..tapi sangat suka tengok orang masak. Ketuk-ketuk Ramadhan adalah di antara rancangan masakan yang hanya ada di bulan Ramadhan..:).

KKR ini saya suka sebab menunya ringkas, mudah faham dan senang-senang saja. Sedap?itu belum pasti, bergantung kepada tukang masak, kaedah dan bahannya, lagipun tak boleh nak rasa-rasa. Sesuailah untuk urusan masak memasak di bulan puasa ni, tak perlu mereka-reka lauk pauk yang aneka ragam. Sederhana lebih baik..

Ramadhan Kareem~Senyum Bonda


Alhamdulillah, diari awal Ramadhan tahun ini dimulakan dengan berpuasa bersama keluarga. 1 Ramadhan kami pulang ke Batu Laut, berbuka bersama keluarga suami. Tersenyum lebar mak dan abah dengan kehadiran semua anak, menantu dan cucu-cucu. Makanan dan lauk-pauk jadi lebih sedap bila hati-hati rasa bahagia. Saya dah lama tidak meng’imam’kan tarawih, malam 2 Ramadhan berkesempatan dan berpeluang berjemaah bersama mak mertua,ipar-ipar dan anak-anak saudara perempuan..teringat pula zaman berusrah bersama ADWAMAH..rindunya saya dengan mereka.

2 Ramadhan, kami bertolak pulang sekitar jam 3.00 petang. Suami saya bertanya;’Nak buka dengan mak tak?’. Hati saya sangat kembang..alhamdulillah, suami seakan mengerti bisikan rindu saya untuk berbuka dengan mak sendiri. Perjalanan bertamu bonda memang barokah, kami sempat membeli juadah ringkas sebelum tiba di rumah mak. Sejurus sebelum waktu berbuka, kami dah sampai rumah mak..alhamdulillah! Saya sangat suka dan bahagia dengan senyuman mak..:)

July 20, 2012

Ramadhan Kareem~Tekad Menyusukan Anak

Alhamdulillah..hingga tarikh hari ini, saya masih berpeluang menyusukan Rayyan..dia menjangkau 1 tahun 7 bulan. Bagi saya, ini antara kemenangan peribadi saya yang akan saya cuba pertahankan hingga Rayyan menginjak 2 tahun dan lebih, insha Allah.
Besok, Ramadhan menjelang..saya berazam untuk menyusukannya dengan baik dan sempurna seperti bulan-bulan lain. Puasa bukan penghalang untuk saya menyusukan anak..tahun lepas boleh buat..tahun ini pasti lebih baik, permudahkanlah ya Allah. Saya kena kuat dan saya kena tekad, sahur...berbuka mengikut keperluan, minum air di waktu malam secukupnya..insha Allah..boleh!

Berat badan saya 'maintain' seperti sebelum kahwin..berkat menyusukan anak..alhamdulillah. Jenuh saya menangkis teguran keluarga dan rakan2 yang menyatakan saya kurus..ada juga mulut2 nakal..'tak cukup makan ke?'..hakikatnya..saya seorang yang berselera...dan saya adalah ibu yang menyusukan anak..di samping kadar metabolisme saya yang tinggi. Saya tidak kurus, cuma saya tidak meng'gemuk'..saya mudah naik dan turun berat badan.

Untuk anakanda Rayyan..moga rezeki ini berkat untukmu..insha Allah..:)

Ramadhan~Pengumuman

Dibesarkan dan dah terbiasa dengan suara penyimpan mohor besar RRM sebelum ini. Suara dewasa dan serak2 veteran yang masih saya ingat hingga kini.Suara ini pula suara baru..masuk tahun ke 2 kalau tak silap saya..

Selamat Berpuasa!

Sumber: YouTube

July 18, 2012

Ogos 2012~Titisan Emas


Sudah diterima dan sangat suka!Edisi ini tebal, sempena Syawal..:). Banyak yang menarik kali ini khususnya untuk terapi mata..

Dah dikatakan edisi khas raya, baju menyusu, baju ibu dan anak, baju itu..baju ini..kek-kek comel Aidilfitri pun ada. Tak ketinggalan..beg-beg balik kampung pun ada. Pendek kata, edisi ini memang best untuk cuci mata..

Isu utama..'Titisan Emas Buat SiManja',170 tip tentang penyusuan susu ibu. Sangat relevan..saya masih menyusukan Rayyan yang kini berusia 1 tahun 7 bulan..:)..InshaAllah..semoga Allah izinkan untuk saya menyusukan permata hati saya itu hingga 2 tahun..amiin.

Masterchef Selebriti M'sia


MCS sudah sampai ke penghujungnya. Tidaklah saya ternanti-nanti lagi rancangan ini. Habis sudah..:). Dari awal siri ini bersiaran, 2 selebriti ini telah kami jangkakan antara yang terbaik. Berbeza dengan MChef terdahulu, MCS lebih komersial, selebriti kan? Tak kisah..saya lebih peduli dengan acara masak-memasak mereka berbanding siapa mereka..

Apa-apa pun tahniah Dato' Fazley!Kemenangan anda telah dijangka..:)

July 12, 2012

7 Pelangi

10 Julai 2005, tarikh keramat saya dan suami. 7 tahun lepas kami diijabkabulkan…subhanaLlah!
Tanyalah siapa sahaja yang sedang menyulam bahagia, pasti segala-galanya indah..J. Usah bicara tentang dugaan..ia tetap akan hadir dalam mana-mana bahtera rumahtangga. Manis, pahit, suka, duka..ia tetap rencam yang tidak perlu dikesampingkan. Letakkan sayang dan cinta itu kerana Allah, demi Allah dan juga untuk redha Allah…pastinya rindu, kasih, cemburu meskipun marah..akan berbalik pada landasan sebenar…inshaAllah!
Saya sayang dia kerana Dia..saya letakkan kasih dan cinta saya padanya dengan izin dan redhaNya..syukur ya Allah..J

Marhaban!

22 Sya’ban?SubhanalLah..ada 2 Jumaat lagi..Marhaban ya Ramadhan!Serasa baru sahaja saya wujudkan label ‘Diari Ramadhan’ dalam blog ini pada tahun lepas. Kini, dia datang lagi..insha Allah dengan izinnya J
Ramadhan menjengah lagi..pastinya dengan catatan-catatan baru; rumah baru, suasana baru, umur baru, cabaran baru. Saya tidak mahu berlebih-lebihan menyatakan hasrat dan harapan. Paling penting, saya mencabar diri sendiri untuk meraikan dan menghargai Ramadhan dengan sebaik-baiknya. Janji dan tekad itu rahsia antara hamba dan Penciptanya..Ya Allah permudahkanlah!

June 26, 2012

Bunga

Kembang untuk pertama kali

Sebelum ini tak pernah rajin pun nak berbunga-bunga, cuma rajin tolong siram bunga mak sahaja..:)

Sejak berumah di AJ, suka pula saya dengan bunga. Saya paling suka bunga ros. Sempurna untuk sekuntum bunga. Cantik, wangi, berduri, berdaun..walaupun susah nak jaga..:)
Kisahnya bunga di atas ini, tinggalan dari penyewa rumah kami. Masa kami berkemas-kemas laman, pokok ros ini, hampir-hampir mati..macam segan nak hidup. Suami saya tanamkan semula di sudut laman. Tak dijangka..ia hidup dan berbunga. Sehingga hari ini, ros pink ini sudah berbunga 3 kali. Kali pertama, sekuntum. Kedua..dua kuntum, dan kali ketiga..tiga kuntum!

Maka, hati dan diri saya termotivasi untuk ber'bunga-bunga' di laman kecil kami. Setakat ini saya sudah ada 3 pokok ros..3 pokok berdaun..1 pokok bunga daisy (pun sudah berbunga 2 kali) juga bunga lavender yang semakin gemuk..:)

Daisy yang muncul untuk kali kedua

June 22, 2012

Surprise untuk ABAH

Muka bangga

Abah yang terkedu
Catatan ini khusus buat Amar dan abahnya..:). Peristiwa berlaku pada tgh malam menjelang 16 Jun 2012. Usai solat Isya' saya sedikit terkejut dengan apa yang Amar buat di meja makan, saya fikir dia melayan Rayyan bermain tisu.

U: Amar buat apa ni?
A: Amar nak buat surprise..
U: Surprise untuk siapa..?(hairan dengan sudu garfu bersusun bagai dengan tisu dan belon)
A: Birthday abah..kan ni bulan Jun..
U: Birthday abah 30 Jun lah..
A: Takpe..besok pun hari birthday abah..besok kan hari abah..
U: Hari abah..?

Saya bersegera ke bilik atas, maklumkan abah Amar..

Turun dari bilik, Amar terus tersengih-sengih..'surprise'! Termangu-mangu abah..

Am : Happy Birthday abah!..
Ab : Errr..birthday abah 30hb lah Amar..(serba salah)
Am :Besok pun birthday abah jugak..takpe..besok kan hari abah..(ooooo..baru kami teringat..keesokan harinya Hari Bapa!). Amar nak surprise abah..:)
Ab : Terima kasih..(beliau terkedu seketika)

Aduhai anak..tulus dan kudus..saya pasti..hati abah Amar tersentuh malam itu..

Entri Berkaitan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...