December 31, 2013

Penutup Disember 2013

Bismillah, sudah tiba ke tarikh akhir tahun masihi 2013. Pelbagai cerita, banyak kisah. Suka, duka, gembira, mengejutkan. Dari sekecil-kecil diri hingga menjangkau isu merentas bangsa dan negara, ada episod, ada plot, ada konflik, ada penyelesaian, ada juga yang tinggal tanpa solusi.

Pada saya sendiri, ada graf senyum tawa juga resah sendu. Tinggal sendiri memilih cara dan keputusan. Ada beberapa cerita besar 2013;

Tahun pertama dua anak bersekolah. Tanyalah siapa sahaja seusia saya, pengalaman mendaftar dan menghantar anak kali pertama ke sekolah adalah pengalaman yang manis dan mendebarkan. Tahun pertama Amar bersekolah rendah, tahun pertama juga Iman dihantar ke Tabika.

Rayyan menghadapi ujian kecil. Pembedahan herniatomy di HKL menoktahkan usaha tradisi dan alternatif akan masalah bujang kecil kami. Serentak kemasukan Rayyan ke wad, saya dikhabarkan pula akan berita pulangnya Ahmad Ammar Ahmad Azam ke rahmatullah. Anak kepada bekas boss saya ketika berkhidmat di ABIM. Adik yang sangat saya kagumi akhlak dan santunnya semenjak kecil.

Saya mengikuti Bengkel Penulisan. Bersama sahabat tersayang, Yan, kami berpeluang mempelajari ilmu baru pada bidang yang sama-sama kami minati. Bertemu nama-nama besar seperti Azzah Abdul Rahman, Zamri Mohamad dan Ain Maisarah, ia adalah saat-saat bersejarah buat saya.

Suami tercinta bertukar angin ke syarikat baru. Syukur alhamdulillah, rezeki dan ruang untuk dia berkarya lebih luas dan pastinya perancangan Allah punya rahsia dan hikmah yang terbaik. Di tengah-tengah kegawatan bajet mikro dan makro, Dia dorongkan lorong rezeki yang berbeza-beza.

Banjir besar di Pantai Timur menukar haluan 'cuti-cuti bajet' kami ke utara. Percutian singkat kami terarah ke Pulau Pinang dan Perak. Memberi pengalaman kepada anak-anak menyeberangi Jambatan Pulau Pinang, menaiki tram di Bukit Bendera, berlegar-legar di Padang Kota seterusnya merentasi selat dengan feri. Perjalanan kami dilengkapkan dengan mengunjungi Zoo Taiping pada waktu malam.

Tidak ketinggalan, kenaikan harga minyak dan pengurangan harga subsidi gula. Ditambah pula isu kenaikan harga tol di seluruh negara. Penstrukturan (kalau boleh dikategorikan penstrukturan) ini jelas meraih perhatian dan tentangan majoriti rakyat berpendapatan rendah dan sederhana, termasuklah saya.

Saya tamatkan dulu catatan 2013 di sini. Ada rezeki dan umur jumpa lagi di tahun hadapan. Oh!Hampir terlupa, esok 01.01.2014 hari lahir Rayyan yang ke-3. Selamat Hari Lahir sayang Ummi!

5 comments:

Abil Fikri Ahmad said...

Selamat Tahun Baru 2014

Ummu Amar said...

Mabruk Abil!Semoga sentiasa menginspirasikan :)

sweet tooth said...

Happy new year zah :-) Smg 2014 membawa kebahagiaan dan menjadikan kita hamba Nya yg lebih bersyukur....amin...

Maria Firdz said...

selamat tahun baru.. :)

Ummu Amar said...

tq Nina..aku jeles ko bg surat kat Adah hahahhaha!
amiin..didoakan kebahagiaan dan ketetapan utk sahabatku Nina..:)

Selamat tahun baru Maria, moga lebih bermakna hidup anda sekeluarga :)

Entri Berkaitan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...