Kala ini, saya sedang mengikuti rancangan ulangan Semanis Kurma 'Anak Terlebih Manja'. Tetamu rancangan ini, Ustazah Isfadiah, Dato' Seri Syed Zainal Abidin dan Datin Seri Azizan Hashim. Saya tak puas tengok ia bersiaran minggu lepas, alhamdulillah saya berkesempatan mengikuti ulangannya pagi ini. Saya mengagumi ketiga-tiga tetamu ini dan suka mengikuti perkembangan/ perbincangan mereka.
Menyentuh tentang tips menangani karenah anak, Dato' Seri menggariskan 'agama' sebagai dasar utama. Ujar Dato' Seri, 'kita jangan khuatir..tiada istilah terkebelakang sekiranya kita hantar anak ke sekolah agama, sememangnya agama itu asas dalam pendidikan anak-anak'. 'Kita jangan terleka dengan tumpuan menjadi 'ayah' tetapi kita juga harus berperanan sebagai 'kawan' terutamanya ke atas anak-anak zaman sekarang'.
Saya cukup tersentuh bilamana Datin Seri Azizan Hashim menitiskan airmata mendengar luahan kata-kata anak mereka, Syed Muhammad Adam yang dihubungi terus melalui telefon. Bila ditanya, dengan manisnya Datin Seri berkata ' Saya rasa berpuashati bila mendengar kata-kata anaknya yang bersulam pujian kepada Allah. Alhamdulillah..' dan ini merujuk kepada keberhasilan mereka mendidik berdasarkan fitrah sebenar, iaitu berbalik kepada Allah.
Ustazah Isfadiah memang jarang mengecewakan saya dengan pengisiannya. Saban minggu saya juga jarang ketinggalan slot beliau dalam Assalamualaikum AlHjrah dalam kupasannya berkaitan pendidikan anak-anak cara Rasulullah. Semoga lebih banyak sosok-sosok pendidik dan pencetus inspirasi ini diketengahkan lagi dalam masyarakat kita.