December 16, 2013

Kursus Penulisan


Kebiasaannya, diari Disember akan dipenuhi dengan undangan kenduri-kendara, persiapan anak sekolah juga cerita percutian ke sini dan sana. Kisah-kisah itu tetap akan saya kongsikan, insya-Allah.

Pada entri kali ini saya lebih teruja untuk berkongsi pengalaman saya menghadiri Kursus Penulisan bersama sahabat saya Yan. Berlangsung selama 2 hari iaitu pada 14-15 November 2013, saya bersama peserta kursus yang lain menerima tunjuk ajar daripada Pn Azzah Abd Rahman dan Encik Zamri Mohamad. Dengan pelbagai latar belakang, kursus ini menghimpunkan peserta yang berminat dan berniat menjadi penulis khususnya novel-novel kreatif juga fiksyen.

Kami didedahkan dengan kaedah-kaedah penjanaan idea, ciri-ciri karya yang menarik malahan teknik penulisan berdasarkan Surah Yusuf. Selain itu, turut diajar adalah kaedah pasaran dan penerbitan buku sebagai matlamat penghasilan sesebuah karya.

Apa yang menarik, kursus ini juga disertai penulis novel kanak-kanak/remaja terkenal, Ain Maisarah! Bersyukur, bermanfaat dan menyeronokkan. Saya berasa penyertaan saya dalam kursus ini merupakan antara pengalaman berharga dalam hidup saya. Meskipun berlatarbelakangkan perakaunan, dunia penulisan adalah suatu cabang minat saya yang mengujakan.

Terima kasih sahabat saya Yan, syukur alhamdulillah persahabatan kami turut diwarnai dengan minat dan kecenderungan yang sama.

'Saya Adalah Penulis Yang Disayang Tuhan'

*Gambar kredit kepada Pn Azzah Abdul Rahman.

December 04, 2013

December 03, 2013

Ammar :Kematian yang Menghidupkan

Cerita Ammar masih lagi menjadi bualan dan inspirasi. Saya kongsi ulasan dialog Karangkraf bersama Cik Azam dan Kak Azlina baru-baru ini.

Antara perkongsian mereka,

Ujar Kak Ina,
'Anak saya seperti remaja-remaja lain, cuma beza Ammar ialah akhlaknya. Ketika orang sibuk bertanya tentang keperibadian arwah, saya cuba ingat kembali, berapa kali saya meninggikan suara atau jika pernah terdetik perasaan marah kepadanya. Baru saya tersedar, tidak pernah sekali saya melakukan semua itu kepadanya. Dia anak yang mudah dijaga dan tidak pernah merungut'. 

Catatan lanjut saya kongsikan seperti pautan di bawah. 

November 28, 2013

Oh My Ganu

Semalam, bersiaran telemovie 'Oh My Ganu' kemuncak siri Oh My English musim lepas. Suka benar Amar, Iman dan Rayyan dengan siri ini. Awal-awal minggu lagi sudah 'set' mohon izin abah, awal pagi pula 'set' tayangan di Astro. Sepanjang pagi, siri ulangan OME bersiaran, penat jugalah Ummi bersilat itu ini dan jenuh mulut beritahu baik/buruk, mana boleh ikut mana yang tidak.

Tapi, ada baiknya juga. Saya syaratkan pada Amar dia perlu cukup solat tanpa bantahan, tanpa disuruh-disuruh, Iman perlu menjaga 'stesyen buku' dengan baik, kemas! Kalau tidak, keizinan untuk 'Oh My Ganu' akan ditarik balik. Ada kesannya, solat di awal waktu (perlu dibetulkan niat anakanda masa ke semasa). Rak buku pun tersusun baik walaupun masih belum sempurna :).

Ok, kami beri keizinan dan tambahan satu syarat; Ummi dan Abah kena tengok bersama, remote Ummi pegang :).

Watak-watak terkejut

Sumber gambar : ASTRO

November 22, 2013

Semanis Kurma : Aurat Ketika Bersalin


Malam tadi, berkesempatan tonton Semanis Kurma, perbincangan berkaitan Aurat Wanita Bersalin. Walaupun berselang-seli dengan 30 Minit Ustaz Don, masih sempat saya 'menangkap' beberapa point.

Pertamanya, sebagai muslimah yang menjaga kehormatannya, menjadi hak kita dan juga suami untuk memilih doktor atau perawat wanita ketika melakukan pemeriksaan (sebelum kelahiran), ketika melahirkan juga selepas proses kelahiran. Kita sewajibnya berusaha mencari/ memilih doktor wanita selagi ia belum darurat (yang melibatkan pertembungan antara maruah dan nyawa).

Kedua, tidak kira hospital kerajaan atau swasta, sebenarnya wanita yang bersalin/warisnya boleh meminta untuk mendapatkan rawatan dari doktor wanita. Ia perlu dinyatakan (terutamanya di hospital kerajaan) kepada pihak hospital dan boleh diberi hak tersebut.

Ketiga, suami wajib memelihara maruah isterinya dan di kala isteri sedang sakit/ berkeadaan lemah, suamilah yang wajib melindungi maruah isterinya, jaga pakaian yang terselak dan pastikan tudung tidak ditanggal ketika masih dalam pemeriksaan. Hukum Allah perlu didahulukan seboleh baik.

*Teringat saat-saat mengandung dan kelahiran anak. Alhamdulillah, Allah dorongkan untuk berjumpa dan dirawat oleh pakar OnG perempuan. Dr Asmahyun..dialah yang mengurus 'perut' dan 'kehormatan' saya pada ketiga-tiga kelahiran. Alhamdulillah..syukur dengan rezeki itu, syukur dengan ketegasan suami yang memilih untuk tidak memilih pakar lelaki.Thumma, alhamdulillah!

November 19, 2013

Hadiah Mereka

Bismillah..dengan tujuan rekod untuk anak-anak saya tampalkan gambar anakanda Amar dan Iman ketika 'hari bahagia' mereka. Dua acara yang berbeza tapi kegembiraan yang hampir serupa.


Iman mendapat Hadiah Pelajar Berpotensi untuk kategori 5 tahun di TBK Warnasari. Majlis Perpisahan dan Penyampaian Hadiah telah diadakan pada 8 November 2013.


Amar mendapat hadiah matapelajaran terbaik (Feqah) untuk KAFA Integrasi Puncak Alam 3. Amar juga berjaya mengekalkan mumtaz dengan mendapat 97.5% pada peperiksaan akhir tahun. Majlis Anugerah Kecemerlangan berlangsung pada 17 November 2013.

Tahniah anak2 Ummi dan Abah..moga terus cemerlang dalam perjuangan menuntut ilmu, moga sentiasa dilembayungi sayap-sayap malaikat rahmat dengan izin dan redha ALlah semata-mata...amiiin.

November 18, 2013

Ahmad Ammar Dalam Kenangan



Bismillah..17 November lalu, saya diajak menghadiri program 'Apabila Ammar bertemu Bidadarinya; Perkongsian dan harapan' oleh Puan Azlina (ibu Ammar). Berkebetulan Amar 'saya' menerima hadiah di Hari Anugerah Kecemerlangan KAFA saya tidak dapat hadir ke program tersebut.

Di sini, pada entri ni saya kongsikan video yang ditayangkan di program tersebut untuk rekod saya juga untuk perkongsian bersama.

Kak Sham untuk catatan bersama.

November 15, 2013

Cemerlang = Falah

Bismillah

Siang tadi keputusan UPSR diumumkan. Saya tersenyum dan turut menumpang rasa seronok dan gembira membaca catatan-catatan para senior dan sahabat. Saya pasti dan saya yakin kejayaan yang ditempa menggabungkan bukan sekadar usaha, rezeki, perkongsian matlamat, penyatuan rasa juga doa yang tak putus ke hadrat Allah malahan tawakal jitu di akhir sebuah perjuangan.

Saya juga maklum dan akur, berita-berita kejayaan ini bukan sahaja membangkitkan rasa cemburu malah juga pemangkin semangat, sama ada yang belum menghadapinya malahan juga mereka yang memperolehi keputusan biasa-biasa atau pada hemat cetek saya masih 'belum menjadi'.

Namun begitu, saya kurang bersetuju bila jumlah 'A' ini dijadikan kayu ukur total dalam menilai kecemerlangan pelajar. Saya juga rasa kurang enak bila wajah-wajah sugul 'kurang cemerlang' di gembar-gembur seolah tiada esok lagi untuk mereka.

Pada saya, ujian kecemerlangan itu jauh lebih besar berbanding ujian kegagalan. Nikmat kemudahan dan kejayaan jauh lebih mencabar berbanding kesusahan dan kekecewaan. Mari kita ajak diri kita dan ajar anak-anak kita untuk lebih menghargai kecemerlangan dan kebijaksanaan anugerah Tuhan ini demi niat dan tindakan memandaikan lagi khalayak setempat. Mari juga ajari dan pandu mereka untuk lebih bertanggungjawab memperkasa akhlak dan adab.

Pada diri dan pundak kita selaku pencorak halatuju zuriat tergalas amanah yang sangat luarbiasa. Berita-berita kejayaan mereka perlu juga kita 'arus'kan demi matlamat hidup muslim yang turut muslih (misi men'soleh'kan individu dan sejagat). Mari kita letakkan matlamat kecemerlangan pasangan dan zuriat-zuriat kita hingga menjadi penyejuk mata (qurratu a'yun) dan juga pemimpin atau ketua kepada orang-orang yang bertaqwa (lilmuttaqina imama).

Matlamat hidup seorang muslim itu sangat jelas. Redha Allah juga jannah..:) Hayya 'Alal Falah!

November 13, 2013

Tasu'a

Salam Tasu'a Muharam!


November 08, 2013

Catatan Awal Muharam

Bismillah..
lama saya tidak menulis, kurang berkesempatan dan mungkin juga 'kurang hati'. bukannya bermasalah, tapi ada ke'malas'an yang menyinggah.

3 November 2013 : 'Check in' Paediatrik HKL untuk prosedur pembdahan kecil buat Rayyan, Amar dan Iman tinggal di bawah jagaan mak yang 'volunteer' nak menjaga cucu-cucunya. Hari yang sama terima berita kematian Ahmad Ammar (anak bekas boss) di Istanbul.

4 November 2013 : Rayyan menghadapi ujian kecilnya, pembedahan 'herniatomy' di HKL tepat jam 8 pagi. Alhamdulillah..selesai dengan doa dan tawakal kami. Disuratkan juga doktor bius ketika pembedahan, kakak satu sekolah..Dr Aizatul Isla..maka, semakin legalah Ummi..Rayyan diserahkan kepada doktor yang kebetulan senior sekolah.

5 November 2013 : Cuti Awal Muharam 1435 dan birthday puteri tunggal, Nurul Iman yang ke 5. Tiada keraian besar2an. Ummi dan abah masih kepenatan, petang baru berkesempatan. Bawa mereka dan mak beli barang, dan seterusnya ke D' Arab Cafe. Keraian harilahir serentak buat Iman dan Amar. Kek pun kongsi :).

6 November 2013 : Harilahir anakanda sulung, Muhammad Amar yang ke 7. Dia ke sekolah dengan semangat yang luar biasa. 7 tahun!Dia bertanyakan hadiah dan kek.errr..'kek kan dah potong malam tadi?'

Alhamdulillah 'ala kulli hal.. :)

November 03, 2013

Perginya Adinda AMMAR

Menerima berita sedih hari ini. Berita pulangnya ke rahmatullah Adinda Ahmad Ammar bin Ahmad Azam, Anak kepada bekas Presiden ABIM Tn Hj Ahmad Azam bin Abdul Rahman dan isterinya Nur Azlina yang mesra saya panggil Kak Ina.

Ammar saya kenali sejak dia seusia 'Amar' saya ketika ini. Pemalu, berakhlak mulia, anak harapan Cik Azam dan Kak Ina. Di'train' menjadi daie semenjak dari kandungan, membesar dalam suasana usrah dan gerakan yang sudah lama saya rindukan.

Ammar menemui penciptanya di tanah kelahiran juga tanah kematian syuhada, Turki. Allah..engkau sebaik-baik perancang. Saya sedih tapi saya maklum Kak Ina lebih-lebih lagi sedih..

Saya tampalkan pengumuman rasmi ABIM berkaitan pemergian Ammar,


'
إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ

Anak Tn. Hj Ahmad Azam, sdr Ammar telah kembali ke rahmatullah akibat kemalangan jalan raya di Istanbul. Semoga Allah mencucuri rahmat kepada ruh Allahyarham dan dikurniakan ketabahan dan keredhaan kepada En. Ahmad Azam sekeluarga. Seluruh warga Abim amat merasai kehilangan beliau yg merupakan permata bagi perjuangan Islamiah ini. Allahyarham adalah bintang yg berpotensi utk bersinar pada masa akan datang.

Hanya Allah yang lebih mengetahui akan hikmah sesuatu peristiwa.

Amidi bin Hj. Abdul Manan,
Presiden,
Angkatan Belia Islam Malaysia. '



October 27, 2013

Manjalara

Tanda hati dari sahabat


Semalam, kami berkesempatan mengunjungi Karnival Rasul in My Heart di Masjid Imam Al Ghazali, Bdr Manjalara Kepong. Sebenarnya tujuan utama saya ke sana adalah untuk bertemu sahabat saya Laili yang kebetulan rumahnya berhampiran dengan tapak karnival :). Program tu jadi penyebab je..:)

Tidak berniat memborong atau membeli-belah, kami sekadar menjengah-jengah gerai, makan char kuey teow kegemaran juga melayan anak-anak bermain. Lihat kuda, arnab, memanah. Sebenarnya saya teruja ke sana nak jumpa Laili tapi rasa tak puas sembang, cepat sangat rasanya masa berlalu, ditambah pula dengan kerenah dan karakter anak-anak masing-masing. Petang itu hujan renyai-renyai, Laili dan anak-anak pun pulang dulu, baby Hureen elok saja lena dalam carrier Laili.

Harap-harap ada lagi pertemuan selepas ini, harapnya lebih lama, lebih banyak perkongsian cerita kami.

Entri Berkaitan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...