January 10, 2014

Hidup, peluang dan nasihat

Bismillah..salam dan selawat buat nabi junjungan Muhammad SallaLlahu 'Alaihi Wasallam. Setelah seminggu persekolahan, ini kesempatan untuk update blog.

Rutin dan tanggungjawab menguruskan permata hati benar menjadi satu perjalanan hidup yang mengujakan, malah kadang kala diselang-seli dengan perasaan yang pelbagai. Saya bersyukur, alhamdulillah masih diberikan peluang dan ruang mengurus anak dengan tangan sendiri.

Siapa sahaja..pada usia saya, dalam situasi ini mempunyai rutin awal pagi yang 'pantas'. Seawal sebelum Subuh, ketika waktu Subuh dan ketika matahari mula bersinar manja. Itulah waktu penyediaan sarapan ringkas, mandi pakai anak, solat dan ajaran solat, salam cium dan restu juga pemanduan yang perlu lebih berhati-hati.

Belum lagi tengahari, di kala waktu 'transit' anak-anak yang bersekolah. Saya sendiri menyaksikan bagaimana murid-murid berkejaran, berganti pakaian di dalam van. Juga menyaksikan ibu yang setia menunggu, ada yang terus balik ke rumah. Ada juga yang singgah di mana-mana kedai makan untuk santapan anak sebelum menghantar ke sekolah sesi berikutnya.

Setiap keluarga, ada jalan dan usaha mereka sendiri. Benar, saya sendiri rasa tak senang bila melihat anak-anak yang tergesa-gesa mengurus diri. Pada saya, inilah antara cabaran mereka di usia muda yang akan membentuk keteguhan hati mereka. Itu doa saya.

Sering saya ingatkan kepada anak-anak. 'Ketika ini Ummi masih lagi bersama kalian, makan, pakai, urusan. Kita tak tahu takdir kita bagaimana. Entah esok lusa Ummi tiada, belajar dan tengok bagaimana kawan-kawan uruskan diri. Sentiasa bersyukur, beringatlah selalu'. Sekali lagi, benar. Ayat-ayat saya mungkin tidak setanding dengan usia mereka, macam cakap-cakap dengan orang dewasa.

Namun, pemandangan dan pengalaman orang lain juga boleh menjadi input mereka untuk belajar tentang kehidupan. Dunia ini singkat, sangat singkat. Saya cuba menginsafi hakikat diri setiap kali bangun dari tidur, 'Aku masih hidup..Allah masih bagi aku hidup, inilah peluang untuk memperbaiki diri juga keluarga, peluang untuk bertaubat, peluang untuk menyebar kebaikan kerana Tuhan.' Ketika kita boleh menasihati, maka nasihatkanlah.

3 comments:

Maria Firdz said...

Bersyukur selagi ada...

Ummu Amar said...

Maria, very true :)
alhamdulillah

Ummu Amar said...

Maria, very true :)
alhamdulillah

Entri Berkaitan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...