July 04, 2013

Dr Morsi digulingkan

Bismillah

Sebenarnya saya tidak berapa ber'mood' hari ini. Berita penggulingan kuasa Dr Morsi di Mesir nyata memberikan kesan kepada hati, tidak tergamak berasa riang bila pemimpin Ikhwan yang berjuang mendaulatkan Islam di bumi Mesir itu dijatuhkan sebegitu rupa..

Saya kongsikan beberapa pandangan pimpinan dan bekas pimpinan ABIM berkaitan perkara ini.

1- Catatan En. Ahmad Azam Abd Rahman (bekas Presiden ABIM)

' MORSI DI GULINGKAN: Dalam masa setahun Presiden Morsi terpaksa mewarisi pemerintahan Mubarak dari Rejim tentera, Institusi Kehakiman, Birokrasi, Media yang umumnya sangat sekular dan anti Islam. Perubahan tidak mampu dilakukan secara mendadak, maka mereka telah merancang sejak hari pertama Morsi menjadi Presiden. untuk menggulingkannya. Selain itu beliau berhadapan dengan tekanan Israel, Amerika ...Syarikat dan negara Barat yang ingin Morsi meneruskan dasar Pro Barat.

Iran tidak membantu kerana persaingan pengaruh politik Asia Barat. Arab Saudi dan negara pemerintahan beraja amat takut dengan pengaruh Ikhwan Muslimin yang mungkin saja menggugatkan survival pemerintahan mereka.

Justeru itu, kesemua mereka ini bersekongkol untuk menjatuhkan Morsi secara langsung dan tidak langsung. Rakyat Mesir pula, lantaran faktor kemiskinan dan manipulasi media anti Morsi, mudah terpengaruh lantas turut terlibat untuk menjatuhkan Morsi.

Apa pun Ikhwan Muslimin telah melalui fasa-fasa saa'atul 'usrah (zaman getir) dalam sejarah perjuangannya. Mentari tetap bersinar, hanya awan yang melindunginya. Tiba masanya, awan berlalu, cahaya mentari pasti kembali bersinar. Jadikan sirah nabawi sebagai azimat tika dikhianati hatta kaum keluarga terdekat. Fa sabrun Jamil, WaLlahul musta'an.'
 
2 - Kenyataan Rasmi Sdr Raimi Abd Rahim (Setiausaha Agung ABIM)
 
ABIM KECAM RAMPASAN KUASA DI MESIR
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam rampasan kuasa yang didalangi pihak tidak bertanggungjawab di Mesir semalam yang memperlihatkan bagaimana seorang Pr...
esiden yang dilantik secara sah menerusi pilihan raya digulingkan.

Sebaliknya, ABIM berpandangan Dr Mohamad Morsi seharusnya diberikan peluang untuk memimpin Mesir dalam tempoh sekurang-kurangnya satu penggal sehingga pilihan raya akan datang bagi menstabilkan kerajaan Mesir yang dipimpin kabinet beliau.

Justeru, ABIM menilai rampasan kuasa tersebut sebagai langkah yang bersifat lapuk dan terkebelakang dalam lanskap politik dunia hari ini serta tidak menjamin kestabilan jangka panjang untuk negara tersebut.

Kenyataan disandarkan kepada kenyataan bahawa Mesir masih lagi meniti transisi peralihan ke arah amalan politik demokrasi. Rampasan kuasa ini secara langsung telah menafikan keinginan demokratik rakyat Mesir untuk menentukan masa depan mereka sendiri sepertimana yang dilaungkan sejak 2011 yang lalu dan kemudiannya diterjemahkan melalui peti undi pilihan raya.

Esensi di atas merupakan anjuran penting dalam amalan demokrasi moden. Menerusi demokrasi, proses timbang tara berupa “check & balance” dapat digerakkan untuk menjamin kesejahteraan serta mengangkat kepentingan rakyat Mesir secara keseluruhannya. Sesungguhnya rakyat Mesir berhak untuk mendapat persekitaran “civil governance” yang mampan.

Sepanjang tempoh 48 jam, ABIM akan mencermati sebarang perkembangan terkini yang berlaku di Mesir serta amat mengharapkan agar pimpinan rampasan kuasa dan pihak tentera dapat menjamin keselamatan Presiden Morsi, pimpinan Ikhawul Muslimin dan pengikutnya dari penindasan dan penyeksaan yang sememangnya sinonim dengan rejim tentera Mesir hinggalah kejatuhan Hosni Mubarak.

Mengambil kesempatan ini, ABIM ingin menyeru para pelajar Malaysia di Mesir agar sentiasa waspada serta peka terhadap perkembangan semasa yang berlaku di sekeliling mereka.

ABIM juga menggesa pihak Wisma Putra agar dapat bersikap proaktif dengan menyalurkan maklumat serta perkembangan terkini mengenai situasi sebenar yang melanda Mesir pada ketika ini kepada masyarakat serta menjamin kebajikan serta keselamatan rakyat Malaysia di negara tersebut.
Maka, di mana kita?Bagaimana hati dan akal kita dilorongkan?

July 02, 2013

8 hari lagi 8 tahun

Alhamdulillah..lagi 8 hari..usia pernikahan kami 8 tahun..
sengaja saya coretkan di sini 'countdown' ini..kerana...kerana apa?..kerana..ia mungkin bertepatan dengan hadirnya awal Ramadhan nanti..

Alhamdulillah..thumma Alhamdulillah..moga diberi nafas dan ruang untuk meraikan hadirnya Ramadhan..serentak hari ulangtahun pernikahan dengan kekasih hati saya..

July 01, 2013

Berbaki Seminggu

22 Sya'ban?Berbaki seminggu lagi untuk kita berpuasa dan meraikan bulan ibadah, bulan Ramadhan. Bahang Ramadhan sudah terasa..iklan-iklan 'berbisik' kurma sudah ditayangkan seawal Sya'ban. Undian pasar Ramadhan masing-masing sudah dilaksanakan di PBT setempat. 'Flyers2' promosi harga Ramadhan dalam edaran pasar-pasar raya juga sudah teredar di kotak-kotak pos isirumah, termasuk juga promo-promo perabot raya..sofa baru, langsir baru, karpet baru! Rancangan-rancangan khas siaran hari raya pun sudah siap terakam dan dirakam.

Iklan baju raya?kuih raya?Allah..meriah sudah di mana-mana dinding FB. Fizikalnya..dunia sudah bersedia..dunia perniagaan..dunia hiburan..dunia fesyen.

Paling penting..paling penting!Kita..kita selaku 'pemain' utama Ramadhan ini yang kena bersedia. Sedia dari sudut apa? Segala sudut..mental, hati, fizikal, akal, minda. Dorongkan per'sedia'an kita untuk merebut peluang dan masa bonus ini untuk me'rapat'kan lagi kita dengan pencipta kita. Tak kisah..sama ada kita berniaga, beribadah khusus (solat, puasa dan yang seumpamanya), bersosial, berziarah, mari kita lorongkan niat kita untuk ibadah dan redha Allah. Apa-apa pun, segala macam hal yang kita lakukan, mulakan dengan niat yang betul..insya Allah jalan, tindakan, dan haluan kita sentiasa dalam perlindungan dan kasihNya.

Allahurabbana..sempatkan kami untuk bertemu Ramadhan ini..bersihkan hati kami untuk mengutip bekalan-bekalan 'bonus' di bulan mulia ini. Kita ini musafir..dunia ini laluan kita..akhirat itu matlamat kita. Peliharalah hati-hati kami dan tindakan kami Ya Allah..:)

June 30, 2013

Selamat Hari Lahir Sayang

Bismillah..
Hari ini hari kelahiran buah hati saya, sahabat baik saya..suami saya yang tercinta..
Saya tidak banyak 'online' dua hari ini..

Selamat Hari Lahir Sayang..semoga usia diberkati..moga Allah merahmati..moga sejahtera hingga akhir nanti..:)

*Terasa baru sahaja catatkan nota kasih buatnya 2 tahun lepas..:)

June 26, 2013

Juara MCS 2

Noktah..MC Selebriti 2, sudah habis! Teka-teki siapa jadi juara sudah terjawab. Saya suka pemenang ini!


Syura - Pemenang Masterchef Selebriti 2

Jerebu 2 - Ziarah Sahabat (Subang Bestari)

Catatan ini disambung dari Ziarah ke Seri Menanti dan Ziarah Sahabat di Batu Caves.

Sejurus melepas rindu dengan saya dan sahabat saya, Elin, kami sekeluarga meneruskan perjalanan petang itu ke Subang Bestari. Saya pernah catatkan dalam entri saya sebelum ini tentang pulangnya anakanda Ahmad Zahran ke rahmatullah. Justeru, kesempatan bermusafir menziarahi sahabat kami cuba lengkapkan dengan mengunjungi Miza dan keluarga di Subang Bestari.

Saya masih ingat lagi kunjungan terakhir kami untuk keluarga ini adalah ketika meraikan kelahiran Ahmad, 9 bulan lepas. Ketika itu, Miza baru benar-benar keluar dari Hospital Pusrawi dan baru sampai di rumah. Tiga bulan selepas itu Miza dan keluarga membalas kunjungan pula ketika keraian Majlis Akikah, Tahlil dan Hari Lahir anak-anak pada November lepas. Kali ini, kunjungan kami khusus untuk mengucapkan takziah atas kepulangan Ahmad Zahran ke rahmatullah pada hari Selasa, 18 Jun 2013 bersamaan 9 Sya'aban 1434H di usia beliau 9 bulan.

Menurut Miza, pemergian arwah Adik Ahmad adalah disebabkan ketumbuhan yang berada di saraf utama otak. Ia dikenali sebagai 'Medulloblastoma' dan punca kematian adalah 'Acute Hydrocephalus 2 Brain Tumor'. Tambahnya lagi, kes sebegini sangat unik dan penyakit ini amat jarang ditemui dengan nisbah 1:100,000 untuk bayi.

Saya yang mendengar Miza bercerita tidak mampu menahan airmata lebih-lebih lagi bila melihat dia bercerita dengan senyuman meskipun matanya basah. Sesekali, Miza tunjukkan gambar Arwah anaknya pada handphone yang tak lekang di tangan. Begitu juga suami, dia turut ralit mendengar dan melihat gambar-gambar Arwah dari Azlan, suami Miza. Saya sangat sebak bila mendengar Miza menceritakan saat-saat 'kesedihannya yang teramat'. Jujur, saya kagum dengan ketabahan keluarga ini. Di balik kehilangan, mereka merungkai kemanisan ujian Tuhan.

Ayat Miza yang masih saya ingat, 'Alhamdulillah, bila Allah duga Miza dan Lan dengan ujian hebat macam ni, Allah kirimkan kasih sayang dan perhatian keluarga, datangkan pada kami sahabat-sahabat yang baik. Allah bagi juga kekuatan dan ketenangan hati. Cuma bila rasa rindu dan sedih tu datang...Miza doa kat Allah.. kalau perasaan tu datang dari syaitan, jauhkanlah Ya Allah, kalau benar ia datang dariNya, kuatkanlah hati Miza utk menempuhnya.'

Miza dan Arwah Ahmad

Tambahnya lagi 'Syukur..Miza memang rasa sangat sedih terutamanya bila susu membengkak, terasa-rasa sangat, tapi Miza bertuah sebab Miza dapat susukan dia selama 9 bulan, itulah pengikat Miza dan Ahmad, Miza sentiasa rasa dia ada...dan itu cukup bermakna.'  Allahurabbana..moga kekuatan itu menjadi pemangkin semangatnya untuk hari-hari mendatang.

Terasa sangat singkat kunjungan kami lewat petang itu. Kami maghrib di rumah mereka, sempat menjamah buah-buahan dan bubur. Sempat juga saya khabarkan pada Miza, saya terserempak dengan Kak Aishah di RnR Seremban (juga bekas rakan sepejabat saya). Kami tak bisa berlama-lama lagi, usai solat dan mendengar khabar terkini jerebu, kami mohon diri untuk pulang. Pastinya pulang kami dengan salam dan perasaan yang bercampur-baur.

Baiklah..tamat sudah catatan saya untuk sahabat-sahabat. Satu hari yang penuh cerita dengan pelbagai latar. Hidup manusia ini sudah tertulis suratan dan takdirnya. Yakinlah..Allah Maha Penyayang..Dia juga Maha Mengetahui dan Dia Sebaik-baik Perancang. Saya berdoa moga sahabat-sahabat saya sentiasa dilindungi dalam rahmat dan keampunanNya. Sentiasa beringat ketika senang, juga sentiasa redha tika ada ujian yang mendatang..amiin.

June 25, 2013

Jerebu 2 - Ziarah Sahabat (Batu Caves)

sambungan dari ziarah di Seri Menanti.

Kg.Baru, Batu Caves

Lebuhraya Utara-Selatan dari Senawang menuju ke Kuala Lumpur. Sekali lagi kami melalui lebuhraya 'jerebu'. Sebelum berpergian pagi itu, kami sudah bersedia dengan topeng muka untuk diri dan anak-anak. Maka, ketika kami singgah solat di RnR Seremban, masing-masing turun dengan separuh muka tertutup.

Sepanjang jalan menuju ke Batu Caves, jerebu sangat teruk melanda pusat bandar. Bangunan-bangunan tinggi hampir tak kelihatan dan tulisan amaran jerebu berkelip-kelip di sepanjang jalan. Alhamdulillah, perjalanan ke destinasi kedua kami tidak banyak masalah. Sampai di Bulatan Batu Caves, kami terus menuju ke rumah keluarga Elin dan Syukri dengan bantuan arah melalui telefon, maklumlah jalan di situ semakin berselirat dan berubah berbanding ketika saya selalu 'bermain' di kawasan Gombak, Batu Caves (termasuk Wangsamaju) suatu ketika dulu.

Majlis mereka sudah hampir selesai ketika kami sampai. Kami tak kisah sebab memang saya khabarkan pada sahabat saya Elin, bahawa kami akan sampai lewat, dan niat kunjungan kami adalah untuk menziarahi mereka sekeluarga. Seingat saya, kali terakhir kami berjumpa ialah ketika saya dimasukkan ke wad sebelum kelahiran Amar. Hampir 7 tahun!Betul, hampir 7 tahun saya dan sahabat saya ini tidak bertemu muka. Sudah tentu, pertemuan semula saya yang sudah beranak tiga dan Elin yang sudah beranak lima mengundang sebak yang ditahan-tahan dengan tawa 'macho' kami.

Kediaman mereka betul-betul berlatarkan Batu Caves yang tercacak megah. Pemandangan petang itu juga dihiasi awan jerebu. Tersurat untuk kami hari itu, melihat jerebu di balik bukit dan gunung. Pertemuan singkat kami terasa cukup indah, hampir tak cukup mulut bercerita. Saya sangat berpuashati dapat berjumpa juga dengan sahabat sebilik, se'motor', sekuliah, se'banjar'..se..se..segala bagai itu. Dengan Elin, saya dan dia kadangkala tak perlu 'bercakap'. Pandangan dan riak muka juga sudah cukup me'maham'kan kami antara satu sama lain. Bagaimana lagi perlu saya ungkapkan 'akrab'nya kami..:). Allahurabbana..semoga persahabatan ini kekal hingga ke syurga, moga persahabatan kami ini menjadi jambatan silaturrahmi yang tidak bertepi.

Cerita kami petang itu banyak berkisar tentang anak-anak, tercuit-cuit juga kisah-kisah lama di samping ringkas perkembangan semasa. Tak lupa juga bertanya khabar keluarga memasing. Saya kenal ibubapa dan adik beradiknya, begitu juga Elin yang turut 'hafal' nama adik beradik saya juga perangai sifat mereka. Rindu!Sangat rindu sebenarnya dengan dia.

Anak-anak saya meskipun lewat sempat menjamah kek. Saya pula makan nasi berlauk ikan masak sambal, sementara suami melayan kambing sejamah dua. Sambil makan, sambil bercerita rasa cepat sahaja masa berlalu. Menjelang lewat petang, kami terpaksa mengundur diri. Memang tak puas, tapi saya men'cukup'kan juga rasa puas itu. Syukur dengan pertemuan, redha dengan perpisahan..alhamdulillah.

Perjalanan petang kami diteruskan menuju ke Subang Bestari pula. Alhamdulillah..alhamdulillah!

bersambung....

-Subang Bestari

June 24, 2013

Jerebu 2 - Ziarah Sahabat

Semalam, ini cerita semalam..:)

Ada 3 destinasi dalam ke'jerebu'an. Jemputan Majlis Akikah di Seri Menanti dan Batu Caves juga ziarah keluarga Miza di Subang Bestari. Pada mulanya kami teragak-agak memulakan perjalanan, jerebu. Akhirnya, saya lahirkan pandangan kepada suami, 'Takpe Bang, kita teruskan perjalanan, niatkan ziarah dan doa banyak-banyak moga Allah permudahkan perjalanan kita'.

Kami-Usai makan dan ziarah

Seri Menanti, Negeri Sembilan.

Destinasi pertama, Seri Menanti Negeri Sembilan. Majlis Akikah anak rakan sepejabat suami, Joe. Melalui lebuhraya dari Bukit Jelutong-Senawang menyaksikan pemandangan 'jerebu' saujana mata memandang. Bukit-bukau sepanjang lebuhraya hampir tak kelihatan khususnya ketika kami melalui kawasan Dengkil dan Jenderam. Masuk melalui Senawang dan melalui jalan baru menuju Seri Menanti (tanpa lalu di Bukit Putus yang 'legend'), perasaan 'jerebu' hilang seketika bila anak-anak sibuk bertanyakan perihal sawah-sawah bukit di sepanjang perjalanan.

Alhamdulillah, info baru untuk mereka, sawah padi bukan sekadar di permatang seperti Tg Karang dan Sekinchan, tapi juga kawasan perbukitan seperti di 'Gugusan Pilah'. Saya yang kebetulan gemar membaca tentang budaya dan sejarah (meskipun berkelulusan akaun) menambah nganga mereka dengan info kecenderungan etnik Minang bersawah padi di perbukitan berbanding kelebihan etnik Banjar yang mahir bersawah di bendang permatang.

Perjalanan ke Seri Menanti diteruskan dengan memasuki Pintu Gerbang tanda 'Daulat' Negeri Sembilan. Jalan agak kecil melintasi kawasan istana tetapi suasananya tetap cantik dan damai. Kami sampai di kediaman keluarga Joe ketika azan Zohor berkumandang di masjid Seri Menanti. Kediaman mereka benar-benar berhadapan dengan kediaman penyanyi Hattan, sempat-sempat jugalah leher saya tercongok cangak melihat rumah besar berlatar gunung ganang itu. Mujur jerebu melanda ketika itu, kalau tidak saya pasti pemandangan di situ lebih menarik.

Alhamdulillah, kami disambut keluarga Joe dengan begitu mesra, cara menyapa orang Nogori. Nasi minyak berlaukkan kambing kari berempah, menu utama mereka. Alang-alang perjalanan jauh, kami berlama sedikit di situ, sambil menjadi pemerhati bebas budaya mereka di kampung beradat :). Usai menjamu dan bercerita, kami minta diri bersegera pula untuk ke Batu Caves, ada undangan majlis akikah lain yang perlu kami penuhi.

Bersambung.....

- Kg.Baru, Batu Caves
- Subang Bestari

June 22, 2013

Jerebu?

Jerebu?Cerah..bermatahari..tapi udara tidak sihat. Saya fikirkan jerebu hanya teruk melanda Johor dan selatan yang berdekatan. Diberitakan pula beberapa ekar tanah di Klang 'terbakar' dan kualiti udara kami juga turut terjejas.

Teringat pesanan Rasulullah, di antara tanda hampirnya kiamat adalah bumi dilanda 'asap'. Akurlah kita, bumi semakin tua. Janji Tuhan pasti tiba, tinggal kita sahaja yang perlu sentiasa mengingati ikrar sebagai hamba.

Allahu rabbana, lindungi kami dengan kasih, keampunan, perhatian dan perlindunganMu..

June 20, 2013

Takziah Untuknya

'Adik akak Miza Hasmiza n Lan, moga Allah menganugerahkan kekuatan dan kesabaran yang sakti buat kalian. Mudah lafaz, sejujurnya hanya Allah Yang Maha Mengerti tika hati diuji, yakinlah..janji Allah utk orang2 yang sabar dan redha...
Kalau Miza nak menangis..menangislah dik..Dia tak marah..tapi menangislah dengan sifat hamba..Dia sentiasa dekat..Dia bagi Miza dan Lan saham termahal di syurga sana.....tiba2 akak teringat coretan Kak Fadh dan Abg Fadz..mereka juga pernah diuji kehilangan yang sama. Kalian yang di'anugerah'kan ujian ini adalah ibubapa yang hebat dan terpilih..Anakanda Ahmad tidak perlu bersusah mengharung fitnah dunia, dia sudah tersenyum di sana!
Maaf dik, x dapat hadir pengkebumian..doa kami sentiasa mengiringi..'
 
Catatan di atas adalah catatan saya di dinding FB sahabat dan adik saya Hasmiza. Anak ketiganya Ahmad Zafran berusia 9 bulan telah kembali ke rahmatuLlah kerana ketumbuhan pada otak. Menjadikan hati terharu dan sedih kerana ia berlaku dalam tempoh yang amat singkat. Allahyarham Ahmad yang sihat, koma dan disahkan ada ketumbuhan dalam otak. Singkat sangat perjalanannya, dan menurut Miza, dia masih menyusukan Ahmad ketika masih koma,,subhanaLlah
 
Dari Allah kita datang..kepadanya kita kembali
 
*sebenarnya saya tidak mampu menulis panjang..sebak!

June 18, 2013

Keputusan Peperiksaan KAFA Anakanda Amar


Alhamdulillah..syukur ke hadrat Ilahi, masih diberi pinjaman nafas dan kehidupan :)

Semalam, saya tidak sempat nukilkan catatan Isnin yang 'ketat'. Hari ini saya cuba sempatkan catatan perkongsian pengalaman menandatangan Kad Kemajuan anak di KAFA, khususnya untuk keputusan Peperiksaan Pertengahan Semester yang lepas.

Sebelum ini, Amar maklumkan saya dia telah dipindah kelas ke 1 As Syams, saya rujuk terus kepada gurunya di kelas asal 1 An Najmi (bimbang seandainya ada yang tak kena). Beliau memaklumkan, pada asal kemasukan Tahun 1, pelajar ditempatkan secara 'random' di mana-mana kelas (ada 3 kelas untuk Tahun 1 di KAFA Integrasi Puncak Alam 3). Kemudian, berdasarkan prestasi peratusan yang diperolehi pelajar ketika Peperiksaan Pertengahan Semester 1, pelajar diletakkan ke kelas mengikut turutan prestasi. As Syams untuk kelas pertama, Al Qamar untuk kelas kedua dan An Najmi untuk kelas ketiga. Alhamdulillah, lega mendengarnya.

Petang ini, saya bawa Iman dan Rayyan bersekali bertemu dengan guru kelas Amar, melihat dan mendengar secara langsung pandangan gurunya pada anak sulung saya itu. Alhamdulillah, di sebalik komen-komen positif seorang guru, dia tetap jujur menyatakan ke'biasa'an seorang pelajar lelaki..lasak, suka main, tulisan 'cantik' :).

Secara tak langsung juga gurunya bertanyakan saya..'siapa ajar dia mengaji?' 'saya', spontan saya menjawab. 'Arab? Arab dia bagus, ada ajar di rumah?'. Dengan ikhlas saya menjawab, 'Amar memang suka bahasa arab, saya ajar mana yang tahu..alhamdulillah' . 'Amar cepat tangkap, dan dia kurang suka diajar berlama-lama',ujar gurunya lagi. 'Maksud Puan?' saya bertanya lanjut. 'Dia mudah faham apa yang kami ajar, tapi bila dah lama dan diulang..dia macam bosan sikit.',jelasnya lagi. 'Ok'. Saya ajukan pada gurunya, Amar bukan jenis suka mengulangkaji, untuk peperiksaan ini sahaja dia seperti tak endah, saya cuma pastikan dia buat kerja rumah dan 'buat cerita' tentang pelajarannya. Sememangnya selepas ini, kami perlu lebih 'aware' apa yang dia belajar di kelas, cuba adapt into daily live, dan kerap bercerita/ menerangkan secara tak langsung.

Catatan ini saya berharap menjadi rujukan anak-anak saya suatu masa nanti, bukan tujuan bermegah atau menunjuk, tetapi sebagai satu cara untuk mereka mengetahuinya kelak, bagaimana kami berusaha dan menyokong mereka dalam pelayaran ilmu mereka, dari sekecil kaki mereka umpama lebar tapak tangan kami hinggalah dewasa nanti..insya Allah.

Keputusan Amar untuk peperiksaan kali ini. Tahniah anakanda..semoga Allah merahmati dan memberkati ilmu yang dipelajari.  

June 16, 2013

Celoteh Sang Puteri

Iman baru berusia 4 tahun 7 bulan. Dia mula bercakap seawal 16 bulan. Lebih awal berbanding Amar dan Rayyan. Saya catatkan di sini sebahagian perbualan saya dan Iman pada hari ini.

Anak Patung ada stroller

Bila Iman tengok iklan 'baby alive'..

I : Ummi, Iman macam suka sangat kalau ada anak patung tu, tapi mesti siap ada stroller tau..
U: Kenapa perlu ada stroller?
I : Iman ni keciklah Ummi, susah nak dukung anak, berat nanti..lagipun bila jalan-jalan 'anak' Iman biarlah pandang depan..

Amboi..jauhnya pandangan

Piano

I : Ummi, cakapkanlah dengan abah, belikan Iman piano, warna pink tau
U: Iman pandai ke main piano?
I : Pandai, kalau Iman ada piano Iman pandai, tapi sebab tak ada lambat lah pandai

Hmmm..ialah tu Iman

Roti (ketika lalu kilang Fuji Bakery)

I : Ummi, Iman rasa hidung Iman sedang 'menangkap' sesuatu..
U: Tangkap?tangkap apa Iman
I : Menangkap bau roti..jom cari roti ke, kek ke..Iman rasa macam 'menangkap' sedap..
U : Iman ni..bila nak je terus minta..tak semestinya kalau minta terus dapat Iman..
I : Ummi ni dah lupa ye?Kan Ummi cakap kanak-kanak ni ahli syurga, dalam syurga semua kita nak Allah bagi. Iman ni kanak-kanak..ahli syurga..kalau nak..kita dapatlah

Err..Ummi termangu seketika

Entri Berkaitan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...