August 02, 2013

Iman, Cikgu Nabilah dan Kawan-kawan

Cikgu Nabilah dan anak-anak didiknya

Tengahari tadi, baru sahaja tadi, Iman keluar dari kereta dengan sangat ceria. Seperti biasa Iman tunjukkan bekal yang dibawa untuk berbuka. Kemudian..'teng teneng..' lebar sengih anak dara saya sambil tunjukkan sampul duit raya. 'Ooooo..Iman dah dapat duit raya dari Cikgu Nabilah..'. Serentak itu, saya lihat di FB gambar-gambar yang Cikgu Nabilah tag untuk saya.

Seronok saya tengok wajah-wajah ceria Cikgu Nabilah dan anak-anak didiknya. Menggembirakan itu sebenarnya adalah perkara yang sangat menggembirakan..:). Terima kasih Cikgu, Selamat Hari Raya dari kami sekeluarga.

Ini catatan Cikgu Nabilah,

'Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin..... Kmi dh braye dlu.... Salam syg mohon seribu kemaafan untuk semua dari kami warga Tabika Kemas Warnasari... Ceria2kn semua si comel ku... Jmpe lg 2 mggu....♥♥♥♥'

Diari Projek Ramadhan-Banner Terbakar


Bismillah..hari ini hari Jumaat terakhir di bulan Ramadhan 1434. Baru sempat nak 'upload' gambar banner ayam bakar yang kami jual di Bazar Ramadhan Fasa 3, Bdr Baru Puncak Alam. Sebenarnya..banyak sangat cerita yang ingin saya kongsi, tapi tak sempat!

Baiklah..untuk hari ini saya 'bakar' mood dulu dengan banner ini meskipun tempoh niaga kami sudah hampir sampai ke penghujungnya :). Terima kasih sudi baca.

July 30, 2013

rendang kerang

tiba2 rindu nak makan rendang kerang buatan sendiri..last makan rendang kerang ketika raya adalah ketika arwah abah masih ada bersama kami..arwah yang bersungguh2 sediakan/ belikan bahan2..dia tahu anak sulungnya ni paling tak kisah disuruh itu ini..sejujurnya rendang kerang adalah kesukaan abah..rindu nak buat..tapi risau..saya risau saya akan buat dengan airmata..Allah..

July 25, 2013

Igauan Maut-RAM

Bismillah..

Saya memang peminat tulisan Ramlee Awang Murshid (RAM). Hampir kesemua buku tulisan beliau saya baca dan miliki, kecuali buku Igauan Maut dan Pei Pan. Khabarnya novel Igauan Maut diulang cetak setelah 18 tahun, khusus buat peminat tulisan RAM.

Melalui fanpage RAMFC, dimaklumkan bahawa novel ini hanya dicetak sebanyak 920 naskhah. Jualan pula terhad, tidak terdapat di mana-mana kedai buku dan pasaran luar.

Spesifikasi novel (seperti tertulis di fanpage RAMFC) adalah seperti berikut:

 i. kuantiti - 920 naskhah
ii. ukuran - 215mm x 140mm
iii. berat - 265 gram
iv. 166 mukasurat
v. cetakan kedua 2013

Saya sudah hantarkan 'permohonan' saya untuk membelinya, saya harap saya antara 920 yang bertuah.

July 23, 2013

Amar oh Amar

Catatn dari dinding FB :)
 
Dua tiga hari ni..kerap Amar bercerita tentang seorang kawan perempuan yang suka panggil2 nama dia..suka kejar dia, suka tengok dia dari kelas..perasan jugak dia akan berlari bila nampak kelibat kawannya dan minta saya cepat-cepat drive bal...
ik..

Saya tanya Amar..kenapa Amar lari dari S..... tu? Jujur Amar jawab, 'Dia tu suka panggil2 Amar..pas tu kawan2 dia pun panggil2 Amar bila lalu kelas dia, ada ke diorang cakap awek..awek..awek, rimas Amar..dia selalu pandang Amar..heee..'

Saya tanya lagi..Dia suka Amar ke? Jawab Amar..'Amar ni kecik lagi Ummi..mana boleh fikir perkara tu..issyyy..ada ke patut kawan cakap S.... tu nak kawin dgn Amar..'

Kawin?hahahhaha..alah nak oi..kena ngurat rupanya..rasanya baru je Ummi lahirkan ko Amar..:)

July 20, 2013

Diari Projek Ramadhan-Mengapa?

Bismillah..Alhamdulillah..sudah seminggu kami ber'gelanggang' di Bazar Ramadhan. Seronok..pada asasnya kami berniat untuk mengetengahkan ayam bakar resepi keluarga ini, atas dasar itu kami tidak peduli bila ada yang sinis berkata 'dah bergaji tetap..elok2 kerja, kenapa pulak nak susah-susah berniaga'..tak pun..' tak cukup senang lagi ke?'..Allahurabbana..jauhkan..jauhkan prasangka dan bait-bait negatif itu melintas bersimpang siur ye..:)

Tujuan dan niat kami..pertama ;kami nak ketengahkan resepi dan air tangan yang abah wariskan kepada kami untuk sama-sama dinikmati juga oleh orang lain. Kami memang suka makan, tidaklah kisah sangat kalau membayar untuk sesetengah hidangan yang mampu kami perolehi dan berbaloi dengan rasanya, apatah lagi bila ia dimasak oleh orang-orang tempatan. Air tangan tempatan..:)

Kedua ; kami sudah berada di 'tempat sendiri'. Daerah kami..daerah datuk nenek moyang kami. Alangkah ruginya andai kami tidak beraja di tanah sendiri. Betul, saya jemu dan kasar katanya 'meluat' bilamana makanan, minuman, hinggakan barang runcit dijual, diurus, dijana oleh orang-orang luar..pendatang tanpa izin, dengan izin segala izin. Justeru, kami gunakan kelebihan 'berada di tempat sendiri' ini dengan cuba menghidangkan sesuatu yang halal, bagus, bersih, sedap dan berbaloi untuk saudara senegara dan yang paling penting seagama. Cuba tengok kiri kanan..tidak kiralah gerai, kedai mana, kadangkala terasa bukan di negara sendiri bilamana duit kita tersalur pada orang luar. Bilamana wang yang kita perolehi untuk sara keluarga dihulur pula kepada minah-minah Indon, Myanmar dan lain-lain.

Ketiga ; kami cuba perkenalkan konsep mandiri kepada anak-anak. Cuba untuk membuka minda mereka seawal usia, untuk melakukan sesuatu dengan rasa 'bebas' di hati. Tidak berada dalam lingkungan selesa sahaja, malah mendedahkan juga kepada mereka dengan kepelbagaian kemampuan manusia. Ada yang senang, ada yang susah. Ada yang hidup mudah..ada juga yang sering merintih payah.

Keempat..kelima...banyak lagi sebenarnya...

Ada kesempatan saya catatkan lagi, ada ruang saya kongsikan lagi. Nanti..:)

July 14, 2013

Diari Projek Ramadhan-Pengalaman Pertama

Bismillah..Alhamdulillah..
Semalam, pertama kali saya dan keluarga kecil saya berniaga di Pasar Ramadhan..:). Ini projek keluarga yang kami tag sebagai Projek Usahawan Muda. Suami sangat minat berniaga dan saya sangat mendokong kesungguhannya. Anak-anak pula memang suka tengok orang berniaga dan Amar suka sangat karakter Mail dalam Upin Ipin.

Kami jual ayam bakar, resepi istimewa dari bapa mertua. Sebenarnya saya bukan penggemar ayam, tetapi ayam bakar hasil tangan bapa mertua tidak pernah mengecewakan 'peminat' ayam dan dapat 'memikat' bukan penggemar ayam macam saya.

Saya dan keluarga pernah 'perkenalkan' penangan ayam bakar abah ketika Majlis Kesyukuran pada November lepas. Alhamdulillah, rata-rata tetamu memuji dan berasa puas dengan hidangan ayam bakar kami masa itu. Sebagaimana kami rasakan sedapnya ayam bakar abah, begitu juga yang cuba kami sediakan untuk orang lain.

Ok, berbalik pada cerita semalam. Kami mula dengan 12 ekor ayam bersaiz sederhana besar, bukan saiz ayam Ayamas :). Ramuan, ayam, khemah, kelengkapan..semuanya saya dan suami sediakan sendiri. Kami tak buka masa 1 Ramadhan, beri peluang pada diri sendiri meraikan kehadiran penghulu bulan dengan tenang dan rasa selesa. Tapak kami kosong hinggalah hari semalam.

Cabaran di hari pertama kami, hujan dan ribut. Kanopi kami yang baru dipasang hampir terbang dan penyambungnya patah, tidak boleh berdiri. Hujan pula sangat lebat, saya bisik pada suami..'teruskan bang..hujan ini rahmat, sejuk-sejuk begini orang cari yang panas-panas..'. Mahu tidak mahu, kami berkejar ke stor berhampiran cari dan beli kanopi baru.

Alhamdulillah dalam kepayahan kanopi asal yang patah, dirikan khemah baru di tengah-tengah hujan lebat..akhirnya gerai kami tegak juga. Kami mulakan jualan lambat, dalam serba baru (diri sendiri) dan malu-malu pada mulanya. Mak dan adik-adik saya datang. Hati saya semakin kuat, jiwa saya sudah tersenyum. 'Mental kena kuat..mental kena kuat!' bisik saya pada diri sendiri.

Seorang..dua orang..tiga orang...Alhamdulillah ayam bakar kami dibeli orang! Paling tak menang tangan bila suami berpergian sebentar untuk solat Asar, sebab dia yang mahir potong ayam dan semestinya dia kuat daripada saya. Kala itu juga, orang beratur, Allahurabbana..menggigil jugalah untuk first timer seperti saya.

Menjelang pukul 7.10 malam, ayam kami habis terjual..syukur! Hari pertama untuk kami, pengalaman pertama untuk saya. Ketika maghrib, hujan masih belum berhenti. Pertama kali jugalah kami anak-beranak berbuka bawah khemah gerai sendiri di bulan Ramadhan. Ketika itu tak fikir nasi..tak fikir makan berat-berat. Kurma dan air...air..air.. :).

Usai kemaskan kelengkapan, kami pulang dengan rasa sangat bersyukur dan puas. Saya dan suami sifatkan pengalaman ini sebagai hadiah ulangtahun pernikahan kami..:). Perkongsian kasih kami 8 tahun menyediakan pelbagai ruang dan peluang untuk menikmati kasih Allah seluas-luasnya. Pengalaman berniaga ini juga kami sifatkan antara hadiah termahal Allah untuk kami, perkongsian rasa berdebar-debar, rasa ingin mencuba sesuatu yang berbeza. Sebenarnya cabaran dan dugaan itu  sangat manis..manis teramat bila kita 'set'kan ia sebagai kasih sayang Dia yang tak pernah bertepi.

Baiklah..saya dan suami ketika ini sedang bersedia pula untuk ber'gelanggang' lagi di Pasar Ramadhan. Usai sahur sementara suami dan Amar ke surau, saya sudah 'settle'kan diri sendiri dan kerja-kerja rumah.

Masa untuk menyingsing lengan baju!Doakan kami :)

July 12, 2013

Jumaat Barokah di Ramadhan Barokah

Alhamdulillah, hari yang penuh barokah di bulan yang juga sangat barokah. Selamat menunaikan ibadah berpuasa dengan penuh takzim dan rasa hamba. Selamat solat Jumaat juga kepada para Muslimin, ingatlah..puasa wajib di bulan Ramadhan manakala solat itu wajib sepanjang zaman..:).

Bertuahnya kalian yang dipilih Allah, berusaha dan beribadah di terik tengahari Jumaat begini, bertuahnya telinga-telinga kalian diberi ruang untuk mendengar kalimah-kalimah mengingati Allah, bertuahnya kaki-kaki kalian diberi peluang melangkah ke rumah Allah dengan ribuan hikmah dan maghfirah..

Syukur..dengan nikmat Iman dan Islam, syukur dengan dorongan hati yang tunduk padaNya..bersyukurlah..buktikan pada hati, tindakan dan kecenderungan supaya sentiasa tunduk pada kebesaranNya, moga akur dengan tujuan sebenar kejadian insan...amiiin.

July 10, 2013

Salam Ramadhan Teman Sejati

Assalamualaikum..Ahlan..ahlan...ahlan Ya Ramadhan..

1 Ramadhan 1434, diari Ramadhan 2013 bermula rasmi hari ini. Alhamdulillah..syukur, Allah berikan kesempatan dan ruang untuk masih lagi bernafas di bulan barakah, bulan maghfirah..penghulu segala bulan, thumma Alhamdulillah!

Bertepatan dengan tarikh 10 Julai 2013, hari ini juga genap 8 tahun saya dan suami diijabkabulkan. Teman terbaik, sahabat terbaik yang Allah anugerahkan untuk saya dalam kehidupan dunia ini dan insya Allah dengan izinNya moga berkekalan kasih sayang ini hingga ke syurga. Tersurat untuk meraikannya di tengah-tengah keraian Ramadhan yang berkat, saya mendoakan kesejahteraan suami tercinta..moga kekal dan diperkuat iman, diberikan kesihatan dan afiat dalam melaksanakan tanggungjawab selaku pemimpin keluarga dan menjadi anak yang soleh untuk ibubapanya. Moga Allah merahmati rumahtangga yang Dia hadiahkan dengan penuh cinta dan kasih keranaNya..

Allah..kasih saya tak terluah, tak cukup rasanya kata-kata..dialah teman sejati saya..:)


Lagu : Teman Sejati (Brothers)
Sumber : YouTube

July 09, 2013

Ketuk-ketuk Ramadhan 2013

Ketuk-ketuk Ramadhan kembali lagi. Sudah masuk musim ke 8. Ditayangkan setiap 12.30 tengahari di TV1 dan kali ini tiada lagi Dairy Champ :), minyak masak Saji yang ganti. Booth KKR pun dah tukar warna biru..

Kenapa saya suka tengok KKR? Resepinya mudah, senang nak ikut. Kadang-kadang kita memang dah tahu pun resepi tu..cuma idea tak timbul :)

July 08, 2013

Teropong Anak Bulan

Hari ini 29 Sya'ban. Tarikh tengok anak bulan untuk seluruh negara. InsyaAllah, kalau bukan besok, lusa kita akan berpuasa Ramadhan. Saya cenderung menyatakan permulaan puasa jatuh pada hari Rabu ini. Daerah saya, sudah tentu Bukit Melawati jadi tumpuan. Di situlah lokasi cerapan anak bulan saban tahun.

Selamat berpuasa, selamat menjalankan ibadah di bulan berkat ini. Moga Allah redha..amiin


July 04, 2013

Dr Morsi digulingkan

Bismillah

Sebenarnya saya tidak berapa ber'mood' hari ini. Berita penggulingan kuasa Dr Morsi di Mesir nyata memberikan kesan kepada hati, tidak tergamak berasa riang bila pemimpin Ikhwan yang berjuang mendaulatkan Islam di bumi Mesir itu dijatuhkan sebegitu rupa..

Saya kongsikan beberapa pandangan pimpinan dan bekas pimpinan ABIM berkaitan perkara ini.

1- Catatan En. Ahmad Azam Abd Rahman (bekas Presiden ABIM)

' MORSI DI GULINGKAN: Dalam masa setahun Presiden Morsi terpaksa mewarisi pemerintahan Mubarak dari Rejim tentera, Institusi Kehakiman, Birokrasi, Media yang umumnya sangat sekular dan anti Islam. Perubahan tidak mampu dilakukan secara mendadak, maka mereka telah merancang sejak hari pertama Morsi menjadi Presiden. untuk menggulingkannya. Selain itu beliau berhadapan dengan tekanan Israel, Amerika ...Syarikat dan negara Barat yang ingin Morsi meneruskan dasar Pro Barat.

Iran tidak membantu kerana persaingan pengaruh politik Asia Barat. Arab Saudi dan negara pemerintahan beraja amat takut dengan pengaruh Ikhwan Muslimin yang mungkin saja menggugatkan survival pemerintahan mereka.

Justeru itu, kesemua mereka ini bersekongkol untuk menjatuhkan Morsi secara langsung dan tidak langsung. Rakyat Mesir pula, lantaran faktor kemiskinan dan manipulasi media anti Morsi, mudah terpengaruh lantas turut terlibat untuk menjatuhkan Morsi.

Apa pun Ikhwan Muslimin telah melalui fasa-fasa saa'atul 'usrah (zaman getir) dalam sejarah perjuangannya. Mentari tetap bersinar, hanya awan yang melindunginya. Tiba masanya, awan berlalu, cahaya mentari pasti kembali bersinar. Jadikan sirah nabawi sebagai azimat tika dikhianati hatta kaum keluarga terdekat. Fa sabrun Jamil, WaLlahul musta'an.'
 
2 - Kenyataan Rasmi Sdr Raimi Abd Rahim (Setiausaha Agung ABIM)
 
ABIM KECAM RAMPASAN KUASA DI MESIR
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam rampasan kuasa yang didalangi pihak tidak bertanggungjawab di Mesir semalam yang memperlihatkan bagaimana seorang Pr...
esiden yang dilantik secara sah menerusi pilihan raya digulingkan.

Sebaliknya, ABIM berpandangan Dr Mohamad Morsi seharusnya diberikan peluang untuk memimpin Mesir dalam tempoh sekurang-kurangnya satu penggal sehingga pilihan raya akan datang bagi menstabilkan kerajaan Mesir yang dipimpin kabinet beliau.

Justeru, ABIM menilai rampasan kuasa tersebut sebagai langkah yang bersifat lapuk dan terkebelakang dalam lanskap politik dunia hari ini serta tidak menjamin kestabilan jangka panjang untuk negara tersebut.

Kenyataan disandarkan kepada kenyataan bahawa Mesir masih lagi meniti transisi peralihan ke arah amalan politik demokrasi. Rampasan kuasa ini secara langsung telah menafikan keinginan demokratik rakyat Mesir untuk menentukan masa depan mereka sendiri sepertimana yang dilaungkan sejak 2011 yang lalu dan kemudiannya diterjemahkan melalui peti undi pilihan raya.

Esensi di atas merupakan anjuran penting dalam amalan demokrasi moden. Menerusi demokrasi, proses timbang tara berupa “check & balance” dapat digerakkan untuk menjamin kesejahteraan serta mengangkat kepentingan rakyat Mesir secara keseluruhannya. Sesungguhnya rakyat Mesir berhak untuk mendapat persekitaran “civil governance” yang mampan.

Sepanjang tempoh 48 jam, ABIM akan mencermati sebarang perkembangan terkini yang berlaku di Mesir serta amat mengharapkan agar pimpinan rampasan kuasa dan pihak tentera dapat menjamin keselamatan Presiden Morsi, pimpinan Ikhawul Muslimin dan pengikutnya dari penindasan dan penyeksaan yang sememangnya sinonim dengan rejim tentera Mesir hinggalah kejatuhan Hosni Mubarak.

Mengambil kesempatan ini, ABIM ingin menyeru para pelajar Malaysia di Mesir agar sentiasa waspada serta peka terhadap perkembangan semasa yang berlaku di sekeliling mereka.

ABIM juga menggesa pihak Wisma Putra agar dapat bersikap proaktif dengan menyalurkan maklumat serta perkembangan terkini mengenai situasi sebenar yang melanda Mesir pada ketika ini kepada masyarakat serta menjamin kebajikan serta keselamatan rakyat Malaysia di negara tersebut.
Maka, di mana kita?Bagaimana hati dan akal kita dilorongkan?

Entri Berkaitan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...