Radio, televisyen, laman sosial cerita perkara yang hampir serupa..ialah..Syawal dah menjengah, cerita balik kampung, cerita bonus, cerita jualan 'murah', cerita kesesakan segala bagai ; sesak jalan, sesak nafas, sesak belanja..:). Paling menyesakkan telinga bila isu 'gaduh balik kampung' dibicarakan. Agak tidak berfitrah puasa dan raya..:(.
Alhamdulillah..setakat ini saya 'tak gaduh' bab balik kampung..sejak berumahtangga kami sepakat bergilir, mujur kampung kedua-dua keluarga dalam negeri yang sama, setakat Kuala Selangor-Kuala Langat. Dah tersurat jodoh dan ketentuan. Semasa kecil dan sebelum berkahwin, kemeriahan Syawal saya di dua daerah bertuah ini. Arwah abah berkampung halaman di Banting lebih tepatnya di Pekan Banting. Mak pula berasal Kuala Selangor dan keluarga saya bermastautin di sini dengan lebih tepat; Bukit Hijau, Jeram. Maka, bila hari raya (ketika arwah nenek Banting masih ada) kami balik pekan..
Diulangi..dah tersurat jodoh dan ketentuan, abah mertua saya asal jati dari Batu Laut (atas sedikit dari Banting dan Morib), mak mertua saya pula berkampung halaman sama dengan mak, pastinya handai dan saudara terkait sini dan sana. Maka, bila hari raya kami tidaklah kami pening kepala. Saya dan suami bergilir Syawal pertama. Tahun lepas beraya pertama di kampung mertua maka tahun ini giliran pagi Syawal di rumah mak saya pula. Terima kasih!Kepada suami yang santun dan memahami, tiadalah dia berautokratik bahawa pagi Syawal hanya milik dia seperti sesetengah sifat ketua keluarga. Syukur!Kepada Allah di atas nikmat kasih dan saudara, silaturrahim yang sangat manis dan tak terkira berkatnya.
Diulangi..dah tersurat jodoh dan ketentuan. Kediaman kami tidaklah sejauh mana dengan kedua-dua keluarga. Perjalanan dari Pinggiran USJ (Sempadan Shah Alam-Subang Jaya) ke kampung mertua di Batu Laut mengambil masa sejam setengah. Laluan sekarang tidak sesukar dulu, tak perlu bersusah-susah melintas Klang yang bersimpang-simpang. Kami langkau sahaja dengan laluan KESAS, takpun rentas sahaja laluan alternatif di Kemuning menghala pintas Jenjarom. Perjalanan ke rumah mak pula, 40 ke 45 minit. Halangan kami cuma bukit-bukau Gugusan Cherakah. Kalau dulu-dulu, perjalanan ke daerah mak mungkin perlu merentas Klang hala ke Meru, tapi sekarang tidak lagi. Jalan Batu Arang (nama dalam peta Malaysia) jadi laluan utama, setakat melalui Puncak Perdana, Alam Budiman, Puncak Alam. Nun..kampung saya di balik bukit Puncak Alam sahaja. Maka, kami tidak berkeluh kesah soal tiket, tol, sesak trafik, muatan kereta...alhamdulillah.