June 15, 2013

Alihkan Stress

Hampir 2 tahun saya kini bergelar surirumah sepenuh masa, Alhamdulillah saya semakin selesa dengan situasi dan rentak selaku SAHM (Stay At Home Mother). Begitu juga semakin menyesuaikan diri dengan perkembangan anak-anak yang 'berkembang' di depan mata. Pun begitu saya tidak meletakkan tanggungjawab ini sematanya ibu yang memelihara anak, malah lebih dari itu.

Pengalaman sebagai petugas di NGO, pengurus kira-kira di firma guaman malahan sebagai akauntan di badan berkanun saya curahkan dan dan saya sepadukan dengan tugas dan peranan saya di syurga kecil kami. Termasuklah juga 'Pengurusan Stress'! Beza usia anak yang memasing berjarak 2 tahun dan (sedikit) lebih, menyediakan saya ribuan peluang untuk turut belajar mengenai keperluan, kehendak dan 'ancaman' yang mereka lalui.

Bagi tujuan perkongsian kali ini, saya ajukan berkaitan Rayyan dalam fasa 'amuk'nya. Pada ketika ini, Rayyan yang berusia 2 tahun setengah sedang banyak cakap, kerap bertanya, kuat kemahuan dan mudah mengamuk. Dia juga sangat cemburu bila saya membaca, memasak, malahan bila saya berbicara di telefon hatta dengan abahnya. Cemburu Rayyan bukan sekadar merengek, malahan menganjur kepada menangis dan menjerit seterusnya 'bergayut' tidak mahu lepaskan saya, membuatkan beberapa tugasan rutin saya tidak dapat selesai dengan sempurna. Amuk permata bongsu saya pula tak makan pujuk dengan orang lain.

Rakan kongsi utama saya sudah tentu suami saya. Bagaimana anak, bagaimana saya, bagaimana dia selalu kami bincang dan cakna bersama. Suami sangat memberi ruang untuk saya 'berkarya' sebebasnya dalam mendidik dan memandu anak-anak. Dia tidak memaksa untuk rumah sentiasa kemas dan rapi juga sangat memahami andai saya kadangkala terpaksa 'beli' atau keluar membawa anak-anak makan luar. Mengurus manusia jauh lebih mencabar dan 'pengurus'nya juga harus lebih diurus ketenangannya :).

Maka, bila Rayyan dalam proses amuknya, kadangkala saya biarkan dia reda sendiri. Walaupun bingit telinga dengan teriakannya, saya pandang matanya tepat-tepat, sejukkan gaya pandang dan pujuk hati sendiri untuk bersabar. Menyabarkan orang lain mudah dilafaz, tapi hakikat memujuk diri sendiri sangat mencabar.

Bila tidak sempat mengemas mainan, melipat kain baju. Sediakan bakul dan kotak-kotak berasingan yang memudahkan kita 'menyimpan' seketika khazanah-khazanah berharga di dalam rumah, juga mengelakkan 'gangguan' mata :).

Dan, bila ragam mereka sangat menguji minda, masak pun boleh terganggu, selera juga boleh berubah-ubah. Tenangkan hati, ubah 'mind setting'. Bila kita tidak dapat menyediakan hidangan sempurna, sesekali bawalah mereka keluar. Alihkan tugas memasak itu kepada dapur-dapur restoran, alihkan tenaga kita dengan tumpuan pada mereka ketika berpergian pula, :). Automatik, suasana berubah seketika dan aura negatif yang men'stress'kan dapat dihilangkan bukan?

Gambar-gambar di bawah adalah salah satu cara saya meng'alih'kan tugas dan stress saya. Moga ada manfaatnya, apa-apapun saya sangat bersyukur dengan peluang terindah yang Allah berikan untuk saya bersama mereka, tidak kira bagaimana dan apa yang kami lakukan :).

 Bawa makan di luar..
 
Layan diri sendiri
 
Baca novel :)
 
Ajak anak-anak susun buku
 
Ambil angin
 
Jalan-jalan siber...:)

Itu sebahagian cara 'alihkan' stress, pastinya banyak lagi cara lain kan?

*Pada waktu ini, permata-permata hati saya sedang tidur tengahari, kepenatan! Seusai Subuh tadi kami bawa mereka sarapan dan jalan-jalan cari lauk, maka saya sempat menari jari di sini bertemankan suami tercinta :).

June 13, 2013

Raikan Penghulu Hari, Alukan Penghulu Bulan

Jumaat adalah 'sayyidul ayyam', penghulu hari. Kita digalakkan memperbanyak syukur, istighfar, selawat di hari Jumaat dan sebaiknya kehadirannya diraikan dari hari sebelumnya iaitu hari Khamis. Contohnya dengan berpuasa sunat Khamis dan membaca surah Al Kahfi pada malam Jumaat.

Ramadhan adalah 'sayyidul shahr', penghulu bulan. Kita juga seharusnya mengambil peluang dengan mengalu-alukan kehadirannya bermula bulan Rejab dan Sya'ban. Perbanyakkan membaca al Quran, bersedekah, mantapkan juga puasa Isnin dan Khamis kita seolah-olah kita melatih perut dan badan untuk Ramadhan.

Oh..jangan lupa..awasi juga sebaran hadith dan dalil-dalil palsu berkaitan kelebihan Rejab, Sya'ban dan Fadhilat Tarawih. Kita digalakkan beramal, tapi beramallah dengan ilmu. Andai kita tidak tahu, maka carilah pengetahuan itu. Andai kita kurang ilmu, maka rujuklah pada mereka yang thabit ilmunya.

Selamat Bersedia..Selamat Beramal..:)

June 12, 2013

Hakikat Kekayaan

Kaya itu nilaiannya bukan setakat pada harta yang tampak fizikalnya. Sebagai manusia kita sering dihinggap rasa cemburu melihat kesenangan, kemewahan orang lain. Sering terdetik di hati 'alangkah bertuahnya mereka, lahir-lahir sudah kaya-raya, celik-celik sudah duduk seperti di istana'.

Pujuklah hati, sentiasa bersangka baik dengan ketentuan Allah. Didiklah jiwa untuk tidak pernah berputus asa berusaha. Asuhlah tindakan kita untuk sentiasa berlapang dada dan berasa cukup dengan apa yang Dia anugerahkan. Berdoalah kita agar biar mana kaya pun kita, jangan sampai kita jadi miskin jiwa.

Pesan Nabi yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim,

' Kaya itu bukan kerana banyaknya harta, tetapi kaya itu adalah kerana kayanya jiwa'

Mari kayakan jiwa!

June 11, 2013

Fikir Petang

Saban petang kadangkala lisan kita akan terungkap;

 'Allah..dah petang dah..sekejap je masa berlalu..buat itu buat ini..dah nak habis hari'.

Hakikatnya masa itu sentiasa beredar dengan fitrahnya, dengan izin Allah jua. Terpulang kita menyalurkannya ke arah mana.

Fikir-fikir balik, bermula dari seawal Subuh, bagaimana hari kita dimulakan. Sejauh mana juga niat dan tindakan kita dipaksikan?Untuk siapa dan untuk apa? Hidup ini hanya persinggahan, ibarat satu 'checkpoint' dalam perjalanan seorang hamba musafir dan dunia ini pula tak ubah sebuah kenderaan yang membawa kita ke tahap seterusnya yang lebih abadi.

Selamat berpetang-petang dengan fitrah Islam..
Selamat berpetang-petang dengan kalimah ikhlas
Selamat berpetang-petang dengan Din yang dibawa junjungan kita, Muhammad SallaLlahu'alaihi Wasallam
Selamat berpetang-petang dengan millah Nabi Ibrahim yang lurus..

Moga hati dan tindakan kita terpelihara dengan rahmat dan ampunanNya..

Soto 'Favourite' - Edisi Kemaskini

Amar-mangkuk kecil

Saya pernah kongsikan tentang cerita soto terbaik sebelum ini. Soto yang saya dan suami cari kalau kami pulang ke kampung halaman kami. Saya kemaskini cerita soto itu kali ini. Sekarang, kami sudah tinggal berhampiran kampung halaman, jadi tidaklah berapa jauh kalau lidah kami sesekali nak 'menyoto'.

Kapten Kapal- Mangkuk Besar lah kan?

Lokasi soto ini juga telah diubah. Dulu di Pasar Sabtu, Kg Bukit Kuching. Sekarang, gerai soto ini telah dipindahkan atau lebih tepat ditempatkan betul-betul di hadapan rumah pengusaha soto di Kg Bukit Cherakah pula. Soto Hj Man namanya, dijual pula setiap hari, tak payah tunggu hari Sabtu..:)

Iman comel, mangkuk pun comel

Ummi - Mangkuk sama kapten lah kan?

Rayyan-makan ayam dengan nasi impit sahaja, soto Ummi habiskan :)

Soto Ummi, dengan nasi impit tambahan dan cili kicap.

Jom me'nyoto' :)

June 10, 2013

Petang 1 Sya'ban

Bismillah..sekadar coretan petang..
Sya'ban sudah menjengah, Ramadhan yang barokah akan menyusul, dengan izin Allah dan dilanjutkan usia kita akan bertemu dengan penghulu bulan itu. Medan tarbiyah hati dan diri yang sangat baik untuk dimanfaatkan selaku hamba Allah di muka bumi ini.

Sebagai manusia biasa, makhluk ciptaanNya, kita tak pernah sunyi dari alpa, silap, salah dan dosa. Meskipun segala kekurangan itu 'tetap' kita lakukan, namun Dia tidak pernah meng'abai'kan kita. Terlalu luas nikmatNya untuk kita hitung, terlalu kerdil 'persembahan' dan 'peranan' hamba juga khalifah yang kita sepatutnya jalankan.

Mari sama-sama menghitung 'dosa' dan 'pahala'
Mari kita sama-sama bersyukur dengan nikmat Iman dan Islam yang Dia anugerahkan kepada kita
Mari kita sama-sama perkuatkan hati, tekad dan tindakan untuk menjadi hambaNya yang sentiasa berharap ampunanNya, ia bukan sekadar doa...

Entri Berkaitan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...