November 05, 2014

Sanah Helwah Nurul Iman

Bismillah...

SubhanaLlah... Alhamdulillah...

Hari ini anakanda Nurul Iman genap 6 tahun. Selamat Hari Lahir puteri kesayangan kami. Didoakan kemanisan iman sepanjang usia hingga ke akhirat sana.

Moga membesar dengan sihat, berjasa untuk agama Allah...dilindungi rahmat dan ampunan-Nya.
Moga menjadi kesayangan Rasulullah, moga millah Islam dan Iman menjadi paksi dalam mengharungi dunia fana yang penuh dugaan dan cabaran.

Doa Ummi dan Abah setinggi gapaian langit ciptaan Tuhan.

September 12, 2014

Serigala Cintaku Bab 9

Ahah!

Saya sudah update bab terbaru Serigala di Ilham.

Mari baca di sini!

Serigala Bab 9

September 11, 2014

Ammarku

Sudah lama saya tidak menitip khabar. Tahu-tahu ada perkembangan yang menarik dari Kak Ina (Ibu As-Syahid Ammar).

Kisah Ammar bakal difilemkan! Al-Kahfi Pictures yang ditunjangi Meor Hashim Manaf telah menyatakan komitmen memfilemkan kisah Almarhum Ammar dengan persetujuan keluarga Almarhum.


Dengan tajuk 'Ammarku Putera Al-Fatih' saya mendoakan usaha dan garapan cerita ini membawa landskap positif dalam perkembangan dakwah khususnya menyubur semangat jihad di kalangan generasi muda.

Moga bermanfaat untuk ummat. Damailah kau di sana wahai adinda!

Impian

Buatlah apa yang kita suka... dengan hati yang benar-benar tulus. Sesuatu perkara itu seronok kita lakukan bila kita ada rasa suka untuk melakukannya. Betul! Apa-apa yang kita inginkan, apa juga yang kita impikan akan jadi lebih bermakna bila kita benar-benar meletakkan rasa suka dan cinta untuk mencapainya.

Paling penting hidup perlu berbatas syariat dan ilmu. Perlu sentiasa akur bahawa kita 'hidup' bukan sekadar menerima anugerah-Nya malahan memberdaya segala amanah-Nya, hatta sekecil-kecil peranan.

Bila ada rasa berTuhan, kita akan cuba berhati-hati dalam setiap niat, respon dan tindakan. Bila ada rasa berTuhan kita juga akan akur pada batasan dan peringatan.

Gapailah impian dengan akui kebesaran Tuhan.
Capailah impian dengan iman bukan sekadar di lisan.

:)


September 08, 2014

Karya Terkini Aisya Sofea-Dialah Cinta Hatiku


Buku terbaru tulisan novelis terkenal, Aisya Sofea ini bertajuk 'Dialah Cinta Hatiku'.

Masih berbalut plastik, saya 'sambar' buku ini di Pesta Buku Selangor tempoh hari. Menunggu giliran untuk dibaca :).

Di samping tugasan utama mengurus dan mengendali rumah tangga, menulis dan berkarya, membaca juga perlukan agihan waktu yang terbatas-batas.

*Sedang tahan hati.

September 03, 2014

Pesta Buku Selangor-Siri Mila dan Dr Bubbles

Siri Mila

Siri Dr Bubbles
Pesta Buku Selangor 2014 sedang berlangsung di SACC, Shah Alam hingga 8 September nanti.

Bukan ada bajet banyak, tapi demi memenuhi permintaan anak-anak, kami sempatkan juga berkunjung ke sana cuti merdeka lepas.

Kami lengkapkan siri Dr Bubbles dan Siri Mila atas permintaan Amar, Iman dan Rayyan.

Gambar-gambar itulah buku-buku mereka...

August 29, 2014

Botol Hijau B5J5


Botol hijau...

Hehehe...saya mahu kongsikan cerita botol hijau ini dalam entri kali ini. Botol ini dibeli oleh sahabat saya yang saya panggil Sue.

Berfungsi sebagai botol air detox, rekabentuk botol ini membolehkan buah-buahan sitrus diperah dan sekaligus direndam sekali tanpa bimbang akan kulit dan bijinya.

Musim raya sudah habis, segala jenis makanan masuk ke badan. Maka, saya dan rakan-rakan ambil inisiatif men'detox'kan semula badan dengan menggunakan botol hijau ini. Kami (saya dan bekas rakan-rakan sekolah) gelar grup kami 'Geng Botol Hijau'. :)

Boleh didapati di Jusco, Mudah.com dan KAMDAR.

August 26, 2014

Sorry, Aku Bukan Dia - karya Iza Safiya Annuar


Bismillah...

Saya mahu promote karya rakan penulis, Puan Iza Safiya bertajuk 'Sorry, Aku Bukan Dia'

Ini novel kedua yang diterbitkan oleh Grup Buku Karangkraf selepas 'Jangan Lupakan Aku.'

Garapan novel ini  menarik. Bahasa yang digunakan juga tersusun dan berunsur 'sureal'. Tidak menggunakan bahasa-bahasa slanga yang kadangkala merimaskan untuk pembaca seperti saya yang suka dengan keindahan susunan cerita.

Berkisar tentang pengorbanan seorang 'driver' yang akhirnya menjadi 'suami' dan pendamping setia, cerita ini mengajak pembaca berfikir akan kelangsungan hidup yang perlu bekalan sabar dan ilmu.

Saya peroleh buku ini dengan tanda tinta sang pengarang...

Ketika ini, saya sedang men'jiwai'nya :)

Mitos RAM

Bismillah....

Saya kongsikan milikan saya yang terbaru.

MITOS, sebuah novel yang menjadi koleksi terbaru. Tidak terdapat di pasaran terbuka. Mitos merupakan projek penerbitan dari kelam peminat RAM dan dibukukan atas permintaan peminat.

Sebelum ini, MITOS disiarkan secara bersiri pada setiap Sabtu di akhbar BH.

Saya sudah ada!

Karya Ramlee Awang Murshid memang 'sesuatu'.

:)

August 21, 2014

Serigala Cintaku Bab 8

Sungguhlah...

Maaf..sudah lama tidak menulis di sini..

Serigala Cintaku pun baru masuk Bab 8, tidak sempat-sempat untuk dikarang baik dan diupload ke portal Ilham.

Pada yang mengikuti, mari baca bab seterusnya kisah pengembaraan Adha Jameela, kali ini dia sudah melangkah ke dunia baru.. :)

Mari klik di pautan ini Serigala Cintaku Bab 8

July 18, 2014

Takziah MH 17

Awal pagi dan sahur tadi dikejutkan dengan berita tragedi. Belum lagi reda kesedihan rakyat Malaysia akan hilangnya MH 370, kita dikejutkan pula dengan berita terhempasnya pesawat MH 17 di Timur Ukraine berhampiran Rusia.

Ujian mahupun peringatan langsung dari Maha Pencipta, kita harus akur dengan fitrah manusia sebagai hamba. Entah bagaimana pengakhiran hidup kita, entah di bumi mana kita bakal berkubur. Tiada siapa pernah menyangka pesawat komersial yang membawa penumpang dan anak kapal terhempas kerana dikatakan ditembak di persempadanan negara yang berkrisis.

Jujur, sebagai Muslim saya sedang sedih. Tragedi di Gaza, Syria dan saudara-saudara Muslim lain yang bertalu-talu diuji dan dinafikan hak kemanusiaan mereka, timbul pula tragedi yang menimpa pesawat negara. Ini menambah lagi sebak yang tidak terungkap.

Benar, di sisi Allah ada perancangan yang sentiasa dalam rahsia-Nya. Di sisi kita sebagai hamba, carilah reda hakiki-Nya agar kita dapat membaca segala 'situasi' yang Dia takdirkan sebagai penguat keimanan, juga jalan menjadi Muslim Mukmin yang lebih baik dari hari ke hari.

Ramadhan Kareem WaLlahu Akram!

July 16, 2014

Catatan Ekspres


Ini naskhah pertama saya yang sudah diterbitkan!

Sudah habis dijual pada minggu pertama ia lahir.

Saya tidak sempat update blog ini pra Ramadan dan Ramadan. Sungguh!Catatan ini jjuga catatan ekspres, ketika Allah izinkan makhluk istimewa seperti saya ber'cuti' di bulan barakah.

Oh, ya! Saya sedang cuba untuk cetak semula 'Melodi di Atas Kertas', naskhah awal sudah habis stok.

June 20, 2014

Melodi Di Atas Kertas Sudah Dicetak!



Alhamdulillah... 'bayi sulung' saya dalam dunia penulisan sudah siap dicetak. Saya tersenyum kala dimaklumkan penerbit.

Melodi di Atas Kertas bersama-sama Muzik, Cerpen dan Kita akan rasminya diterbitkan pada 21 Jun 2014, insya-Allah.

Harga senaskhah RM 18,
kadar pos RM 6 (Semenanjung Malaysia)/ RM 9 (Sabah/ Sarawak).

Dapatkan naskhah istimewa ini, himpunan tulisan penulis yang mengusahakannya dengan semangat berpasukan.

Antara lagu-lagu yang dijadikan inspirasi untuk penghasilan Melodi di Atas Kertas dan Muzik, Cerpen dan Kita.


1. Keajaiban Cinta (Adira dan Aliff Aziz) - Ain Zaiha
2. Jangan Menyerah (D' Masiv) - Yan Yahaya
3. Di Pintu Syurga (Dayang Nurfaizah) - Mazura Stapah
4. Sekuntum Bunga Sakura di Gurun Sahara (Mega) - Azzah Abdul Rahman
5. Ya atau Tidak (Erra Fazira) - Fauziah Baharuddin

Iqlima - Watak yang saya garap dalam Keajaiban Cinta, dijadikan caption untuk buku ini!
Dan... banyak lagi!

June 14, 2014

Cerita Sabtu

Minggu-minggu cuti sekolah anak-anak terisi lebih dengan aktiviti di rumah.

Ummi tumpukan pada projek Melodi Di Atas Kertas, abah pula tidak sempat men'cuti'kan diri.

Kami hanya sempat bawa anak-anak berkunjung ke tempat bersejarah di daerah sendiri, Bukit Melawati :). Amar juga sempat dihantar ke Kem Tahfiz bermula 9 Jun hingga tengah hari 14 Jun 2014.

Usai ambil Amar, bawa dulu anak-anak pusing bandaraya lama kami, Shah Alam. Singgah sebentar di Masjid Shah Alam untuk dengar forum dan akhirnya makan di KFC.

Ringkas sungguh cuti kali ini.

June 12, 2014

Cuti dah nak habis...

Khamis... hari ini hari Khamis, tinggal satu hari sahaja!

Ya, sesi persekolahan akan disambung selepas anak-anak bercuti.

Mari semak,
-alat tulis, masih wujudkan pensil/ pemadam/ pembaris dalam bekas pensil anak-anak?

-uniform sudah bergosok?

-kasut sudah berbasuh?

-stoking?cukup pasangan masing-masing?

-buku teks/ buku aktiviti/ buku tulis....

Errrr....

*Peringatan untuk diri...

June 10, 2014

Poster Promo Melodi Di Atas Kertas

Ini poster promo untuk Muzik Di Atas Kertas.
Karya saya: Keajaiban Cinta
Kaver hadapan
Kaver belakang
Dialog kedua adalah petikan dari 'Keajaiban Cinta'

Akhirnya! Ia akan terbit pada 21 Jun 2014 sempena Konvensyen Penulisan di UIAM, Gombak.

Mahu buat pesanan awal? Harga RM 24.00 (termasuk pos).

E-mel : ainzaiha79@yahoo.com


June 06, 2014

Melodi Atas Kertas?

Bismillah...

Saya perlu tuliskan di sini... naskhah antologi cerpen berinsipirasikan lagu akan terbit dalam dua jilid.

Ya, dua jilid.

Akan terbit 21 Jun ini...2 jilid himpunan penulis baru dan lama.

Pertama, MUZIK, CERPEN DAN KITA

Kedua... MELODI DI ATAS KERTAS...


Menurut susunan Puan Guru kami, karya saya 'KEAJAIBAN CINTA' akan diterbitkan pada judul

MELODI DI ATAS KERTAS..

Saya letakkan pautan video di atas sebagai pembuka garapan rasa.

May 27, 2014

Serigala Cintaku Bab 7

Terdorong dek semangat Piala Thomas, terdorong juga cenderung jari untuk menyambung cerita serigala (walaupun tiada kaitan)

Sudah masuk Bab 7, Kisah Adha, Dhiauddin dan Zahir saya nukilkan sambungannya di sini

May 23, 2014

Panda vs Tapir

Panda... haiwan yang menjadi trending di media perdana dan sosial.

Jujur, saya cemburu dengan duta hidup dari Negara Tembok Besar itu, bertaraf jutawan!

Saya bermastautin di tanah asal keluarga. Suatu masa dahulu, tempat kami di hujung daerah. Malah berada di persimpangan/persempadanan daerah-daerah besar di negeri Darul Ehsan. Daerah Kuala Selangor/ Klang dan Petaling hanya dipisahkan dengan persempadanan bukit bukau yang menjadi habitat asal binatang berbelang hitam dan putih juga, tapir.

Suatu ketika dahulu, jalan dalam menghala ke daerah perlembahan ini ada papan tanda,

'Awas!Tapir melintas'. Jarang sekali papan tanda sebegitu wujud di Malaysia. Papan tanda itu sebenarnya masih ada, berhampiran dengan simpang 'Altantuya' (panggian orang sini).

Entah!Kenapa saya tulis tentang ini. Saya lahirkan rasa 'sentap' Sang Tapir yang semulajadi pemalu itu mungkin...

May 22, 2014

Lesung Sang Serigala

Adha dan Riana... sahabat baik yang sentiasa berkongsi rasa.

Pada Riana, Adha luahkan kegusarannya. Pada Adha, Riana berkongsi kisah Pujangganya...

Siapa Lesung Pipit dan Lesung Batu?

Baca kisah mereka di sini....

Serigala Cintaku

Projek Cerpen Muzikal

Sifu kami, Puan Azzah (dikenali sebagai Azzah AR dalam dunia penulisan) mencadangkan projek penulisan cerpen muzikal sempena Konvensyen Penulisan II 21 Jun nanti.

Maka, 25 orang alumni Seminar Penulisan Novel dan Cerpen yang pernah menjadi anak didik Cik Puan Azzah, Tuan Zamri dan Tuan Baharuddin menyahut cabaran dengan projek penulisan cerpen secara jamaie.

Sistem buddy, edit beramai-ramai. Seronok sungguh saya dengan pengalaman ini. Bermula dengan pemilihan lagu, genre cerpen seterusnya proses penulisan dan editan.

Bakal terbit 2 jilid. Sekarang, kami masih 'final'kan judul naskhah penuh simfoni itu.
Tunggu!

Konvensyen Penulisan II

Bismillah..
Tak sabra, serius saya tak sabar.

21 Jun ini akan berlangsung Konvensyen Penulisan II di UIAM.

Apa yang buat saya tak sabar? Panelis... Sahabat-sahabat penulis... penerbit...

Dan...buku kami Antologi Cerpen Muzikal (adaptasi dari lagu-lagu yang kami pilih) bakal diterbitkan pada konvensyen itu nanti...

Saya pilih lagu 'Keajaiban Cinta' nyanyian Adira dan Aliff Aziz.

Tak sabar!

May 21, 2014

E-Book Sorga

Bismillah, Komplot Ke Syurga sudah terbitkan ebook pertama kami di Google Play.

Ini edisi pertama kami KKS-Sorga . Diterbitkan oleh PTS Media Group Sdn Bhd.

Jemput baca!

May 08, 2014

Serigala Cintaku, Bab 6

Allah... terkesan sungguh saya dengan kesibukan memenuhi tugasan komplot.

Saya punya dua projek khas dengan rakan-rakan Alumni Kursus Penulisan Novel dan Cerpen. Komplot ke Syurga (KKS) dan Projek Cerpen Muzikal.

KKS projek kumpulan cerpen bertema yang bakal diterbitkan melalui e-book. Projek Cerpen Muzikal pula komplot beberapa penulis untuk menerbitkan buku kami Jun ini. Sasarannya ialah ketika Konvensyen Penulisan 21 Jun ini, insya-Allah.

Sambil itu, sempat juga saya menambah bab untuk Serigala Cintaku. Sudah masuk Bab 6 di Portal Ilham.Karangkraf.

Di kesempatan ini, saya berharap rakan blogger dapat mendoakan kelangsungan usaha saya dalam penulisan, juga mengajak rakan blogger yang berminat untuk sama-sama terlibat memeriahkan komplot penulisan.

*Khususnya Cikgu Helmi.

April 11, 2014

Paddock Fraser Hills

Bismillah...

Sungguh saya tidak sempat mem'blog'. Banyak sebenarnya ingin ditulis tetapi semuanya tidak lahir di hujung jari.

Saya letakkan dulu gambar 3 buah hati ini. Gambar ketika percutian singkat kami di Bukit Fraser 05-06 April lepas. Cerita panjang... kemudian :)  .

April 07, 2014

Anak Gayong BPA


Dengan Bismillah mula dikata...

Itu bait pertama dalam lagu Seni Silat Gayong Malaysia.

Entri ini entri tertunda :). Alhamdulillah, anak-anak gayong Puncak Alam telah menjalani ujian bengkong pertama mereka sejak gelanggang di sini dibuka tahun lepas. Bangga melihat kesungguhan mereka. Tahniah juga kepada penganjur dan pengendali PSSGM di Bandar Puncak Alam.


Minggu ini, mereka sudah berlatih silat dengan bengkung baru, Awan Putih khususnya buat pelatih-pelatih cilik, termasuklah anakanda Amar. Semoga terus diberi kekuatan mental dan fizikal para gurulatih, pengurus dan pelatih. Moga warisan ini dapat diteruskan lebih perkasa lagi.

April 02, 2014

Serigala Cintaku-Bab 5

'Ak-tu-a-ri'

............................

Istilah yang masih asing buat gadis berusia 15 tahun itu,

Keinginan Zahir untuk berpindah sekolah bakal menjarakkan mereka...

Adha menyanggah dalam kiasan...

Serigala Cintaku-Bab 5

March 26, 2014

Serigala Cintaku-Bab 4

Sudah lama berdiam.

Serigala muncul kembali dengan bab yang terkini.

Masih lagi berlatar tahun 1995, watak Adha, Zahir, Dhiauddin dan Fikri bakal dewasa dalam bab-bab mendatang...

Baca dahulu kisah remaja mereka...

Serigala Cintaku- Bab 4

March 13, 2014

Burung MH370

Bismillah.

Agak lama saya tidak kemaskini tulisan di sini. Jerebu, catuan air, kehilangan MH370 menjadi kegusaran negara. Selain itu, saya juga mengejar 'dateline' sekumpulan penulis baru dalam siri 'Komplot ke Syurga'. Projek 'Serigala Cintaku' yang baru masuk Bab 3 turut menghambat waktu peribadi saya.

Entri kali ini, saya dedikasikan buat Iman, anak dara saya nan seorang. Gambar yang saya pautkan ini diambil oleh guru tabika Iman. Dalam satu slot pengajaran, kanak-kanak diajar dan dipandu dari sudut kreativiti dan estetika. Mereka diajar membuat lipatan kertas berbentuk burung.

Saya tersenyum membaca 'tag' dari Cikgu Nabilah menyatakan tentang Iman yang menulis 'MH 370' pada burungnya. Burung jadi kapal terbang, begitu hala fikir Iman kala itu. Mungkin dia terkesan dengan TV di rumah yang asyik memilih saluran Awani. Kami hadkan tontonan kartun dan lain-lain, bertumpu kepada khabar khas dari berita mengenai misteri kehilangan MH 370.

Tidak mahu mengulas panjang tentang peristiwa bersejarah dalam negara juga antarabangsa ini. Mungkin jika berkesempatan, akan menulisnya dari sudut pandangan yang lain
Iman dan tangan comelnya
 
Untuk Iman, moga catatan ini berharga untuk hari ini dan akan datang.


March 05, 2014

Serigala di Langit Kelabu

Bismillah.

Kami berpagi-pagi dengan jerebu yang sangat tebal hari ini. Lampu kereta terpaksa dipasang, jarak penglihatan memandu sangat terhad.

Anak-anak juga tiba lewat di sekolah masing-masing. Dek kabus yang tebal, kenderaan bergerak perlahan dan simpang utama menjadi sesak.

Di balik kelabunya langit, 'Serigala' saya gigih memunculkan diri.

http://bit.ly/1fFB0bi

March 04, 2014

Persediaan Catuan Air

Bismillah. Sudah lebih 24 jam kami ketiadaan bekalan air. Kediaman kami termasuk dalam zon 2 catuan air di daerah Kuala Selangor. Sebelum catuan pada Ahad lepas, kami sudah sedia;

1. Basuh pakaian kotor pada hari Jumaat (termasuk pakaian sekolah anak-anak)
2. Takung air dalam tong besar, periuk besar, jag-jag air (untuk air minum), termos besar, besen dan segala baldi.
3. Simpan juga air dalam botol-botol kecil bertutup (untuk wudhu')
4. Tinggalkan rumah dengan paip utama (di hadapan rumah yang bermeter itu) tidak bertutup.

Kami tinggalkan rumah Jumaat itu kerana ada urusan rasmi keluarga di Batu Laut, maka Alhamdulillah tangki berisi penuh ketika pulang semula petang Ahad.

Mengikut jadual, esok giliran zon 1 yang tiada air. Setakat ini, kami masih mandi, masak secara normal dengan air yang keluar dari paip (air tangki). Air-air takungan masih dalam mode standby.
Namun begitu, langkah-langkah ini juga perlu diambil kira;
1. Ajar anak ambil wudhu' anak guna segayung air
2. Air mandi ditadah semula untuk tujuan siram tandas sesudah buang air kecil dan besar. Juga untuk siram pokok bunga :).
3. Jangan makan makanan yang berisiko cirit birit.
4. Tutup paip utama bilik air untuk 'kanak-kanak' yang belum faham perlu jimat air.
    Pada kes kami, Rayyan suka main air dan tak suka dimandikan. Strateginya, tadah sebaldi penuh air. Kemudian, tutup paip utama bilik air. Maka, hendak tak hendak kanak-kanak Ribena itu terpaksa redha :).

February 28, 2014

U14


Serigala Makan Mee Segera?

Bismillah..

Hari ini hari lahir saya...alhamdulillah.

Pada hari kelahiran ini saya pautkan dulu bab terbaru karya saya di Ilham

Kisah 'serigala' yang menjamah mee segera :)

Serigala Cintaku-Bab 2


February 27, 2014

Bila Terputus Bekalan Elektrik

Malam tadi, rumah dan taman kediaman kami bergelap. Tepat jam 2.45 pagi hingga 3.45 pagi. Bersendirian mengurus anak di rumah, lantas saya mengambil langkah-langkah ini.

1. Buka tingkap bilik utama.
2. Kejut anak-anak dan kumpulkan mereka dalam satu bilik.
3. Cari kunci kereta (bersedia untuk tekan alarm jika ada kecemasan).
4. Pasang lilin di tangga utama dan bilik, jauh dari langsir.
5. Bakar ubat nyamuk berlingkaran (mujur ada stok).
6. Telefon 15454 untuk maklum kepada TNB

Dari pengalaman ini, saya tambahkan tips ini pula;

* Pastikan telefon dalam keadaan ber'bateri'. Memang sangat membantu.

February 26, 2014

Karya Sulung

Bismillah...saya malu-malu sebenarnya. Cuba untuk melawan debar sendiri...

Ini karya sulung saya di portal Ilham Karangkraf, jemputlah baca :)

Serigala Cintaku-Bab 1

February 22, 2014

Kenapa Silat?

Kenapa silat?

Catatan ini saya tulis ketika saya menunggu Amar yang sedang menjalani latihan di gelanggang silat, juga mengawasi Iman dan Rayyan yang sedang bermain di padang permainan berdekatan.

Lazimnya, waktu ini saya peruntukkan untuk membaca, melayari internet atau paling tidak menulis catatan-catatan ringkas sebegini.

"Kenapa silat?"

Itu soalan Amar tatkala saya dan suami sibuk-sibuk mencari gelanggang yang menawarkan latihan ketika dia masih di Tahun 1. Ketika itu, kami ber'pusing-pusing' sekitar Bandar Puncak Alam, dikhabarkan ada di SM BPA tapi ia khusus untuk kegiatan ko-kurikulum mereka. Dikhabarkan pula ada gelanggang dibuka di Felda Bukit Cherakah. Terasa jauh sangat pula.

Sehinggalah kami ternampak 'banner' pembukaan gelanggang PSSGM di Shah Alam 2.Tepat! Inilah yang kami cari. Jauh masih boleh dijejak. Dekat? Tidak terlalu dekat.

Menurut Amar, di sekolahnya ada karate, diajar guru berbangsa India pada setiap Sabtu. Benar, jika sekadar untuk ilmu mempertahankan diri, apa jua seni bela diri boleh disertai. Namun, ia tetap terpulang kepada kita untuk membuat pilihan.

"Kenapa silat?"

Berbalik kepada soalan asal.

Pertama,
gurulatih atau tenaga pengajarnya saya pastikan Islam. Melayu itu bonus. Mengapa? Gelanggang silat wajib dibuka dengan Al Fatihah, Ayatul Kursi, Surah Al Ikhlas, Al Falaq dan An Nas. Dibuka dengan menyebut nama Allah dan selawat ke atas junjungan Rasulullah SallaLahu 'Alaihi Wasallam.

Kedua,
ciri latihannya. Tidak mengejar kenaikan bengkung semata-mata. Pelatih pula sentiasa diingatkan tentang menunaikan/ mencukupkan solat sebelum latihan (latihan bermula 9 malam). Pelatih lelaki dan perempuan seboleh mungkin diasingkan. Salam 'gayong' juga mengambil kira keterbatasan di antara lelaki dan perempuan.

Ketiga,
ia adalah pusaka nusantara. Tak dinafikan tiap satu perkara ada kurang dan khilafnya. Namun, tidaklah mulia bangsa itu andai ia sendiri yang tidak menaikkan kemuliaannya.

Keempat,
dahulunya saya juga 'anak harimau'. Ketika masih bersekolah menengah dan bersambung 'sedikit' tika di universiti. Namun, saya hanya tersangkut di 'awan putih'. Secara peribadi saya impikan anak dan keturunan saya meneruskan langkah serikandi yang tidak menjadi ini, malahan ke peringkat yang lebih tinggi. Moga kuat juga jatidiri mereka.

Ketika saya mengakhirkan catatan ini, berkali-kali juga bibir saya tersebut 'zat!' tika gurulatih memandu latihan anak-anak gayong di gelanggang sana. Rasa terpanggil-panggil untuk kembali beraksi. Sudah beranak tiga berbedah juga tiga kali...mampukah?

Gayong!
Genggam Angkat Yakin Waras Ngeri!

February 19, 2014

Takziah Has...

Awal pagi ini saya dikejutkan dengan panggilan sahabat saya Laili. Bukan satu kebiasaan bila panggilan itu dibuat seawal 7.20 pagi. Laili maklumkan anak sahabat kami, Hasriah meninggal dunia. Terpempan. Saya dan keluarga merancang memenuhi jemputan Hasriah untuk Majlis Akikah anaknya pada Sabtu ini, 22 Februari. Saya tidak menyangka (keluarganya lagilah) bahawa bayi berusia 3 bulan itu kembali awal menemui Penciptanya.

Usai hantar anak-anak ke sekolah, saya hubungi sahabat saya Suhaily pula. Dia yang juga seorang guru seperti Laili tinggal satu daerah dengan Hasriah. Dia juga terkejut, fikirnya saya mahu 'confirm' kehadiran kami ke kenduri akikah itu, rupa-rupanya saya mengkhabarkan kematian bayi yang ingin dirai. Suhaily yang berada berhampiran, bergegas ke Hospital Banting.

Seterusnya saya hubungi Faizah, juga sahabat rapat kami yang 'wajib' dimaklumkan. Sama respon seperti Suhaily, Faizah turut terkejut dengan berita yang tidak disangka-sangka. Satu-satunya sahabat yang tidak dapat saya hubungi, Iya. Saya hanya mampu tag dia di FB.

Mesej di 'wassap' lebih laju. Berita kematian anak sahabat kami ini diperkatakan dan dirasai juga sahabat-sahabat yang lain. Adila, seorang lagi 'princess' antara kami menurut ke Hospital Banting ketika 'post mortem' dijalankan, sehingga ke rumah dan seterusnya menjadi sumber berita di 'wassap'. Saya sendiri tidak dapat ke sana untuk masa terdekat ini dek kekangan sendiri. Allahuakbar, moga dipermudah perancangan menziarahi mereka Sabtu ini.

Kehilangan anakanda Hasriah turut kami rasai. Bersahabat semenjak sekolah menengah, membawa kepada alam universiti, kerja, berkahwin dan beranak-pinak. Sedih ini terasa terhambat-hambat, hati rasa tersayat-sayat.

February 10, 2014

Cerita Cinta Ahmad Ammar

Catatan sulung saya di bulan Februari ini saya dedikasikan buat suami dan anak-anak. Terima kasih kepada suami yang memberi hadiah 'awal' hari lahir dengan membawa saya ke Karnival Karangkraf yang berlangsung pada 7 hingga 9 Februari, tempoh hari.

Berminggu-minggu saya 'mengendeng' pada suami, semente beliau sangat sibuk hingga kadangkala tidak bercuti di hujung minggu.

Ok!Buku pertama yang saya 'tangkap' ialah buku Cerita Cinta Ahmad Ammar, terbitan Karya Bestari dan dijual 'fresh' usai percetakan.


Saya tidak dapat tandatangan Kak Ina (Ibu Almarhum) :(. Beliau khabarkan melalui FBnya bahawa dia hanya berada di tapak karnival pada hari Jumaat, manakala saya cuma berkesempatan ke sana pada hari Sabtu.

Sungguhpun begitu, disebabkan insiden tidak terjangka saya ter'sembang' dengan Puan Sri Diah, nama besar di Karangkraf yang menjadi tunjang penerbitan buku ini. Ketika itu saya masuk semula ke tapak jualan buku kerana ada buku yang tersenarai pada resit yang tidak saya perolehi. Ketika berurusan di kaunter, mesra sahaja saya disapa Puan Sri Diah, bertanyakan masalah saya. Sementara petugas beliau mencari buku saya, saya bertanyakan Puan Sri Diah, 'bila lagi Puan Azlina akan berada di tapak karnival ye Puan?'

Memandang saya dengan pandangan matanya yang sangat cantik, 'Puan kenal dengan Puan Azlina?'

Angguk, 'Saya pernah berkhidmat di ABIM ketika Tn Hj Azam menjadi Presiden dahulu'

Lantas Puan Sri Diah bercerita pengalamannya meng'edit' buku ini, berair dan merah matanya. Saya akur, naluri perempuan manapun akan terusik dengan catatan-catatan rindu kerabat dan handai yang menulis tentang almarhum Ammar. Apatah lagi seorang penulis dan editor yang berjiwa halus sepertinya.

Saya maklumkan, saya hanya mengenali Almarhum Ammar ketika usia kanak-kanaknya, namun 'sayangnya' saya dan 'kagum'nya saya pada akhlak almarhum membuatkan saya tidak teragak-agak menamakan putera sulung saya Muhammad Amar.

Perbualan saya bersama tokoh dalam penerbitan ini secara tidak langsung membuatkan saya lebih ter'kesan'. Apatah lagi bila membaca buku yang sarat dengan 'cinta' ini. Betul!Sangat terkesan...

Tambahan catatan.

Malam tadi, saya dan suami berpeluang menonton ulangan Himpunan Murabbi di Astro Oasis. Bicara tentang alam barzakh, di kemuncak siaran ada slot En Azam dan Kak Ina yang menjadi tetamu jemputan khusus membicarakan tentang 'pemergian' Ammar yang menjadi fenomena.

Jujur, saya rasa sangat bersyukur kerana pernah mengenali mereka. Jauh lebih bersyukur bila suami turut meletak minat dan kagum kepada bekas 'Boss' saya Tn Hj Ahmad Azam kala mendengar 'arkitek' yang membentuk Ammar ini berbicara.

Saya sudah kata...sangat terkesan..:)

January 25, 2014

Soutul Mujahidin dan Soutul Jihad


Saya belek kaset-kaset ini ketika bermalam di rumah mak tempoh hari. Ada banyak lagi sebenarnya. Kaset pada gambar adalah 'album' sekolah saya, KISAS (berwarna hitam)-nama kumpulan nasyid; Soutul Mujahideen dan sekolah saingan kami SMAP Labu (berwarna biru)-nama kumpulan; Soutul Jihad.

Rindu nak mendengar lagu-lagu kegemaran zaman remaja, tapi saya tiada radio yang boleh di'cucuk' dengan kaset lagi!

January 10, 2014

Hidup, peluang dan nasihat

Bismillah..salam dan selawat buat nabi junjungan Muhammad SallaLlahu 'Alaihi Wasallam. Setelah seminggu persekolahan, ini kesempatan untuk update blog.

Rutin dan tanggungjawab menguruskan permata hati benar menjadi satu perjalanan hidup yang mengujakan, malah kadang kala diselang-seli dengan perasaan yang pelbagai. Saya bersyukur, alhamdulillah masih diberikan peluang dan ruang mengurus anak dengan tangan sendiri.

Siapa sahaja..pada usia saya, dalam situasi ini mempunyai rutin awal pagi yang 'pantas'. Seawal sebelum Subuh, ketika waktu Subuh dan ketika matahari mula bersinar manja. Itulah waktu penyediaan sarapan ringkas, mandi pakai anak, solat dan ajaran solat, salam cium dan restu juga pemanduan yang perlu lebih berhati-hati.

Belum lagi tengahari, di kala waktu 'transit' anak-anak yang bersekolah. Saya sendiri menyaksikan bagaimana murid-murid berkejaran, berganti pakaian di dalam van. Juga menyaksikan ibu yang setia menunggu, ada yang terus balik ke rumah. Ada juga yang singgah di mana-mana kedai makan untuk santapan anak sebelum menghantar ke sekolah sesi berikutnya.

Setiap keluarga, ada jalan dan usaha mereka sendiri. Benar, saya sendiri rasa tak senang bila melihat anak-anak yang tergesa-gesa mengurus diri. Pada saya, inilah antara cabaran mereka di usia muda yang akan membentuk keteguhan hati mereka. Itu doa saya.

Sering saya ingatkan kepada anak-anak. 'Ketika ini Ummi masih lagi bersama kalian, makan, pakai, urusan. Kita tak tahu takdir kita bagaimana. Entah esok lusa Ummi tiada, belajar dan tengok bagaimana kawan-kawan uruskan diri. Sentiasa bersyukur, beringatlah selalu'. Sekali lagi, benar. Ayat-ayat saya mungkin tidak setanding dengan usia mereka, macam cakap-cakap dengan orang dewasa.

Namun, pemandangan dan pengalaman orang lain juga boleh menjadi input mereka untuk belajar tentang kehidupan. Dunia ini singkat, sangat singkat. Saya cuba menginsafi hakikat diri setiap kali bangun dari tidur, 'Aku masih hidup..Allah masih bagi aku hidup, inilah peluang untuk memperbaiki diri juga keluarga, peluang untuk bertaubat, peluang untuk menyebar kebaikan kerana Tuhan.' Ketika kita boleh menasihati, maka nasihatkanlah.

January 01, 2014

Rayyan 3 Tahun

Tahun baru tertangguh?

Happy Birthday Rayyan! Kehadiran tahun baru pada keluarga kami adalah keraian hadirnya Rayyan. 3 tahun. Rayyan sudah menjangkau 3 tahun. Anak lelaki bongsu (setakat ini) sudah bercerai susu dan mula pandai tidak berlampin. Kisah Rayyan dan kembara penyusuan ekslusifnya antara kisah mahal Rayyan bersama saya. Sejak lahir hingga menjangkau 2 tahun 11 bulan Rayyan menyusu penuh dengan saya. Akhir-akhir tahun ini, Rayyan berkata; 'Ummi, adik rasa susu Ummi dah habis...adik minum susu dalam cawan je lah.'

Alhamdulillah, saya bersyukur proses 'cerai' susu berjalan secara semulajadi. Saya sendiri tertanya-tanya bagaimana keadaan Rayyan dan saya ketika proses ini berjalan, rupa-rupanya sangat mudah dan emosi Rayyan tidak terjejas. Pada tahap ini, Rayyan cuma 'melekat' dengan saya ketika mahu tidur malam, masih mahu dipeluk sebelum tidur.

Alhamdulillah, Rayyan juga sudah belajar tidak menggunakan CD (Cloth Diapers). Siang, sudah pandai ke tandas untuk buang air; kecil dan besar. Malam, dia sudah tidak mahu menggunakan CD namun sebagai langkah berjaga-jaga, saya pakaikan juga ketika dia sudah lena.

Perjalanan membesarkan anak-anak di usia ini punya warna dan kerenah sendiri. Pada Amar, Iman dan Rayyan kesemuanya memberi pengalaman berharga buat kami suami isteri. Alhamdulillah, fasa 2 tahun pertama mereka telah sama-sama kami telusuri dengan syukur meskipun punya cabaran yang tersendiri.

Selamat Hari Lahir Anakanda kami; Muhammad Rayyan. Didoakan keberkatan hidup dan kelangsungan iman, dunia dan akhirat. Moga soleh, bertaqwa dan berjasa kepada agama, sihat dalam keberkatan dan keampunan Allah sentiasa, amiin!

Kek Adik tahun ini

Rayyan potong sendiri

Entri Berkaitan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...