May 23, 2013

Hukum Bunuh untuk Pembunuh

Akhirnya, perbicaraan kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan rakan-rakannya ditutup dengan pensabitan keputusan hukuman gantung sampai mati ke atas pembunuh mereka oleh Mahkamah Tinggi hari ini.

Pathmanabhan, 44; T Thilaiyagan, 22; R Matan, 23 dan R Khatavarayan, 33, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di Lot Nombor 2001 Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, 30 Ogos 2010.

Anak Allahyarham Sosilawati-Erni
Saya masih ingat lagi, ketika tempoh kejadian tersebut, umat Islam di Malaysia sedang meraikan hariraya, kami pula berada di Batu Laut, lebih kurang 5km dari lokasi kejadian. Sehingga kini, bila kami melalui lokasi berkenaan (yang berhampiran dengan Gold Coast, Morib sekarang), sentiasa terfikir-fikir betapa kejamnya pembunuh yang berkenaan dan betapa berharapnya kami agar hukuman setimpal di'segera'kan untuk pelaku-pelaku kejam itu.

Kanan-Isteri Allahyarham Noorhisham Mohamad (Pegawai Bank)

Sudah 3 tahun peristiwa hitam ini, 3 tahun jugalah keluarga-keluarga mangsa berdepan dengan kehilangan juga perjuangan mendapatkan keadilan bagi pihak mereka. Semoga mereka terus diberi kekuatan dalam meneruskan kehidupan.

Allah, peliharalah kami, keluarga kami dan rakyat Malaysia dalam rahmat dan perlindunganMu, amin.

Selamat Jalan Tam

Tam mati..sedih sangat anak-anak Ummi hari ini. Macam biasa, saya akan letakkan Tam dalam sangkarnya bila saya keluar ambil Amar dan Iman dari sekolah. Siap berpesan, 'duduk baik-baik ye Tam, tunggu Ummi balik'.

Sampainya kami di rumah, saya sedikit hairan sebab tak dengar bunyi Tam mengiau. Saya jenguk ke sangkarnya. Allahuakbar, kepala Tam tersepit di pintu sangkarnya, terus saya berlari dapatkan Tam. Saya pegang badan dia, masih panas. Saya rasa degup jantungnya, dah tak berdegup. Saya angkat kakinya, dah terjelepuk. Saya panggil, saya goncang sedikit badannya, tiada respon..saya tahu..kucing kesayangan suami saya..dah mati. Allahurabbi!Amar terus menangis, Iman menangis, Rayyan turut menangis. Bersahut-sahutan tangisan anak-anak saya, saya tahankan airmata terus dail nombor suami. Di hujung talian, saya tahu suami saya sedih, 'takpelah...biarkan dia..nanti balik biar abang yang uruskan, biar abang yang tanam dia..'.

Kebetulan, suami saya sedang ziarah jenazah ibu kawan sepejabatnya ketika itu, saya tak boleh cakap lama, tapi saya tahu suami saya sedang bersedih, seperti mana anak-anaknya. Saya?Saya yang beri Tam makan hari-hari, saya yang bergaduh dengan Tam bila masak, saya yang terkejar-kejar cari Tam bila dengar bunyi kucing bergaduh, saya yang membebel bila dulu Tam tercakar-cakar tempat yang tak sepatutnya. Saya yang buang dan bersihkan najis Tam. Agak-agaklah..saya sedih tak?

May 22, 2013

Wanita Dambaan?

Berlumba-lumbalah menjadi wanita dambaan di syurga, dan berhati-hatilah dengan tipudaya dunia. Saya terganggu dengan iklan dan promo media perdana mahupun laman-laman sosial yang sering menggunakan kecantikan, kejelitaan dan tubuh wanita sebagai 'pemain' utama dalam dakyah produk mahupun khidmat.

Sering sahaja kita disogokkan dengan iklan-iklan menguruskan badan, memutihkan wajah, menghilangkan cela, menghitamkan rambut dengan unsur-unsur 'tidak punya keyakinan diri'. Digambarkan perempuan gemuk sebagai orang yang sering ditertawakan malahan ditinggal jauh ke belakang oleh suami bila berpergian. Selalu juga digambarkan individu botak sebagai orang yang 'gagal' dalam mana-mana kerjaya mahupun kehidupan sosial. Tak cukup itu, minuman dan makanan penambah tenaga disifatkan sebagai faktor utama dalam men'cantik'kan hubungan suami isteri, dengan dialog-dialog mengundang tanya kanak-kanak bawah umur juga dengan istilah-istilah seperti 'mantap', 'ketat', 'power' yang boleh disalahtafsir bagi sesetengah golongan.

Tambahan kegusaran saya (sebagai seorang ibu), mereka yang berjaya menguruskan badan, mencantikkan lagi wajah itu 'menjelma' pula menjadi model-model pelbagai fesyen. Lebih parah bila mulanya bertudung dan berlengan panjang, ter'transform' dengan baju ketat sana sini dan tidak berhijab. Bagaimana ini boleh menambah 'kecantikan', bagaimana ini juga boleh meningkatkan 'keyakinan'?

Maaf cakap, saya mungkin tidak sesempurna mana, jauh sungguh berbanding dengan ciri-ciri wanita bernama besar yang menjadi dambaan di syurga, tapi hati kecil saya cukup 'siksa' dengan pesona-pesona dunia sebegitu.

May 21, 2013

Nasi Bukit Hijau

Nasi Bukit Hijau
Ini Nasi Bukit Hijau namanya. Hanya terdapat di kampung saya, Kg. Bukit Hijau. Kedainya pula milik Acik Ipin (bertaraf dua pupu dengan mak saya), bermaksud saya dan anak-anak Acik Ipin bertaraf 3 pupu manakala anak-anak saya bertaraf 4 pupu dengan cucu-cucu Achik Ipin..heheheh
Malam tadi, usai berurut dengan sepupu saya (banyakkan saudara maraku?), suami ajak singgah minum.

Mak kata,
'rasanya kedai Acik Ipin ko bukak lagi'.
'Apa menu 'spesel' dia mak?'
'Nasi goreng Bukit Hijau'.
Kami cuba sepinggan sebab Rayyan nak makan, lagipun dah larut malam. Memang sedap!Terbaiklah Acik Ipin. Tak cukup itu, saya lihat pada dinding kedainya ada tertulis 'Karipap panas'.

Sengaja mencuba nasib, saya bertanya isterinya..
'Cik Milah, ada ke karipap tu tgh2 malam ni?'
'Ada..ko nak?' sudah tentu saya nak..karipap panas di tengah-tengah malam, mana nak dapat..:)
'Kalau nak Acik gorengkan..5 dua ringgit'

Karipap Acik Milah..memang 'marvelous'!Inti dia pedas sikit, tapi memang kena dengan selera peminat karipap macam saya, hinggakan saya tak sempat ambil gambar..hehehhe
Maka, siapa nak rasa Nasi Goreng Bukit Hijau dan Karipap Panas di kampung saya, datanglah kedai pakcik saya ye!

May 20, 2013

Panas Di Luar, Sejuk di Tekak


Semalam, kami berpetang-petang santai. Suasana panas di Semenanjung Malaysia ketika ini sangat mempengaruhi pergerakan dan kecenderungan warganya. Kami tak terkecuali, bila terik-terik begini, air sejuk berais-ais terasa menari-nari memanggil tekak..:)


Iman-Coklat

Ini gambar semalam, ketika kami singgah di Cool Station. Sebelum itu kami singgah di Karnival Puncak Bestari, tengok dan jenguk apa yang bakal 'wujud' di persekitaran kami ini. Yang pasti, TESCO dan sebuah lagi stesyen minyak bakal ter'cacak' di situ.

 'Abah nak belanja ice blended', ujar suami disambut teriakan gembira anak-anak yang keletihan dan pastinya kehausan.

Tak cukup 1?
 
Dalam perjalanan balik ke rumah, suami halakan kereta ke bangunan kilang. Rupa-rupanya suami saya berhajat beli ais pek besar. RM 3.00 terus dari kilang ais.
 'nak mandi pun boleh..' :)

Rayyan dan Iman

Hari ini, cuaca masih terik di waktu petang sebegini, Ummi capai blender hadiah hari kelahiran baru-baru ini. Ambil ais, letak coklat, letak air.

Hasilnya?Tekak kami sejuk seketika..:)

May 19, 2013

Simfoni Cinta-Hilal Asyraf

Tanda dari Hilal

Simfoni Cinta. Salah satu buku yang saya beli ketika PBAKL 2013. Tulisan Hilal Asyraf, penulis yang saya baca buku dan tulisannya, penulis yang saya ikuti di FB dan dunia maya. Penulis muda Malaysia yang cukup saya kagumi. Bermula dengan Takdir-Cahaya Yang Tidak Terpadam , saya soroti tulisan Hilal Asyraf meskipun tidak semua buku tulisannya saya miliki, nyata buah fikir dan ilhamnya yang dizahirkan dalam ceritanya tidak mengecewakan saya.

Simfoni Cinta, kompilasi cerpen tulisannya bertemakan cinta yang universal, cinta yang berpaksikan cinta Ilahi. Setiap cerita yang dibawa dalam buku ini 'menyentap hati' saya. 'Kenal' Hilal melalui tulisan dan perkongsian pandangannya di dunia maya menjadikan saya seolah membaca cerita tentang dia dalam buku ini. Watak-watak yang muncul dalam Simfoni Cinta adalah watak-watak yang saya kenal dari novel-novelnya yang lain. Kembara hati dan kembara fizikal yang dia tuliskan dalam Simfoni Cinta seolah-olah juga kembara yang dia kongsikan selama ini. Bahasa dia mudah dan indah, suasana dan biah yang Hilal wujudkan dalam Simfoni Cinta juga tak lari dari fitrah yang dilalui hampir semua yang seusia dan ketika berusia begitu.

Syabas Hilal Asyraf, moga usaha dan ilham diperhebat untuk kelangsungan mentarbiyah ummat.

Amar dan Hilal (Ummi malu hehehhe)

Entri Berkaitan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...