March 29, 2013

Sahabat Hebat

Alhamdulillah..thumma alhamdulillah. Saya masih ada lagi di bumi Allah di pagi Jumaat yang barakah ini dengan insan-insan yang saya sayangi, masih lagi diberikan nikmat Iman dan Islam yang perlu disyukuri sepanjang hayat.

Di samping kesibukan melayan keperluan keluarga, saya sempat-sempatkan diri menjenguk khabar sahabat-sahabat saya..terutamanya melalui blog dan FB. Bila melihat perkembangan dan khabar mereka yang pernah berada di sekeliling kita, akan wujudlah pelbagai situasi; gembira, sedih, terkenal, berdiam diri, macam-macam lagi. Bagi saya, saya bersyukur dan saya cukup bersyukur dengan apa yang saya miliki (dipinjamkan sebenarnya) pada saat ini. Di kala saya kadangkala mengeluh lenguh situ dan sini, ada sahabat yang diuji sakit bermasa, di kala saya kadangkala mengadu letih melayan kerenah anak-anak, ada sahabat yang berhempas pulas berusaha memperoleh zuriat. Di kala saya jenuh memikir keperluan pelbagai, masih ada sahabat yang tak kering peluh mengganda-gandakan rezeki, mencari-cari ruang yang lebih luas untuk selesa sendiri dan selesa keluarga.

Tak dinafikan, saya mempunyai sahabat-sahabat yang hebat di persada memasing, ada yang hebat di medan dakwah, ada yang tersohor pada ilmuan, ada juga yang sedang mencipta nama dan bertatih kaya raya. Ada yang menumpu 'kaya' jiwa pada keluarga. Saya bersyukur mereka ada itu semua, saya yakin takdir mereka adalah yang terbaik untuk mereka, dan saya meyakini sahabat-sahabat hebat ini didorong rasa kebertanggungjawaban untuk ummat. Pada mereka di jalan dakwah dan juga siasah, pastinya manfaat itu untuk ruang yang lebih luas. Pada mereka di jalan ilmuan, sesungguhnya itulah medan 'pencen' kubur mereka nanti. Pada yang menumpu kekuatan ekonomi, didoakan keberhasilan dan manfaatnya untuk Islam secara lebih menyeluruh. Pada yang menumpu kekuatan sahsiah dan keluarga, pastinya mereka bercita-cita besar melahirkan insan-insan sehebat dan lebih hebat dari mereka.

Saya bersyukur saya dikelilingi ramai sahabat-sahabat yang hebat. Hebat pada jiwa, itu yang utama!

March 28, 2013

Epes Basah Nanti

Ada ketikanya berbicara dengan anak-anak (meskipun mereka masih pelat) adalah saat-saat terindah dalam episod kehidupan seorang Ummi. Petang ini kami hanya tinggal bertiga. Amar di rumah mak, Iman pula tidur dek kurang sihat (dia muntah-muntah sejak malam tadi). Maka, tinggallah mulut Rayyan untuk dilayan celotehnya.

Rayyan sedang bermain kereta-kereta kecil kesayangannya bila dia sedar hujan mula turun di luar rumah. Dia bersuara;

R: Ummi..hujan..hujan..abislah.. (tangannya menarik hujung lengan baju saya)

U:apa yg habis Rayyan?

R:ummi..tolong..epes (diapers) adik basah anti.. (dia tengok masa ummi sidai CD dia pagi tadi)

U:takpe..ummi dah tarik ampaian ke bawah porch,diapers adik x kena hujan.

Rayyan jenguk dari pintu sliding dengan muka risau

R: Mi..aseh (Ummi terima kasih..) epes adik ok dah..

dia risaukan cloth diapers dia, tapi saya suka dengan tersenyum akan kerisauannya..:)

March 27, 2013

Min Jungho, Janggeum n Sungyun

Min Jungho, Sungyun dan Dae Janggeum
Hari ini episod terakhir cerita bersiri kegemaran saya, cerita Janggeum dan kisah hidupnya bersama orang-orang disekelilingnya. Maka, saya tidak ter'pacak' setia setiap 2.30 hingga 3.30 seperti saban petang sebelum ini. :)

March 26, 2013

Al Fatihah buat Ustaz Uthman El Muhammady

Ketika di ABIM, saya berkesempatan meluang waktu dan tenaga yang tidak seberapa dalam beberapa siri ceramah beliau. Dengan gaya dan caranya yang tersendiri, Siri Syarahan Ibn Khaldun adalah siri syarahan yang penuh berisi untuk saya yang begitu meminati sejarah. Sejurus selepas meninggalkan sekretariat saya tidak lagi bersama-sama dalam tugasan-tugasan sebegitu..:(

Pagi ini (saya memutuskan 'online' saya malam tadi) saya cukup terkejut dengan pemergian beliau, tidak habis lagi berita perginya as Syahid Dr Said Ramadhan Al Bouti kini sekali lagi ummat Muhammad kehilangan sebutir permata di persada dakwah iaitu Al Fadhil Ustaz Uthman El Muhammady. Terngiang-ngiang lagi suara serak-serak basah beliau ketika menyampaikan syarahannya, terbayang-bayang lagi cara beliau berjalan, cara beliau berpakaian. Allahuakbar, saya pasti sahabat-sahabat saya dari ABIM dan PKPIM amat terkesan dengan pemergiannya, apatah lagi ahli keluarganya.

Moga Allah merahmati Allahyarham Ustaz Uthman, moga Allah menempatkannya di kalangan orang-orang yang diredhainya. Allahuakbar.

Saya 'paste' status Sdr Khairul Ariffin Munir di FB (beliau adalah suami kepada anak saudara Ustaz Uthman, Kekanda Asma Hakimah Abd Halim El Muhammady).

'Assalammualaikum;

Bagi pihak keluarga, dimaklumkan bahawa Ustaz Uthman el-Muhammady telah kembali ke Rahmatullah pada jam 7:30 petang semalam.
Jenazah ada di rumahnya di ISTAC hingga jam 9:30 pagi ini.
Urusan jenazah akan dibuat di Masjid UIAM.
Solat Jenazah selepas zohor. Elok hadir solat Zohor berjemaah.
Akan dikebumikan di perkuburan UIAM Gombak. '

Entri Berkaitan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...