February 22, 2014

Kenapa Silat?

Kenapa silat?

Catatan ini saya tulis ketika saya menunggu Amar yang sedang menjalani latihan di gelanggang silat, juga mengawasi Iman dan Rayyan yang sedang bermain di padang permainan berdekatan.

Lazimnya, waktu ini saya peruntukkan untuk membaca, melayari internet atau paling tidak menulis catatan-catatan ringkas sebegini.

"Kenapa silat?"

Itu soalan Amar tatkala saya dan suami sibuk-sibuk mencari gelanggang yang menawarkan latihan ketika dia masih di Tahun 1. Ketika itu, kami ber'pusing-pusing' sekitar Bandar Puncak Alam, dikhabarkan ada di SM BPA tapi ia khusus untuk kegiatan ko-kurikulum mereka. Dikhabarkan pula ada gelanggang dibuka di Felda Bukit Cherakah. Terasa jauh sangat pula.

Sehinggalah kami ternampak 'banner' pembukaan gelanggang PSSGM di Shah Alam 2.Tepat! Inilah yang kami cari. Jauh masih boleh dijejak. Dekat? Tidak terlalu dekat.

Menurut Amar, di sekolahnya ada karate, diajar guru berbangsa India pada setiap Sabtu. Benar, jika sekadar untuk ilmu mempertahankan diri, apa jua seni bela diri boleh disertai. Namun, ia tetap terpulang kepada kita untuk membuat pilihan.

"Kenapa silat?"

Berbalik kepada soalan asal.

Pertama,
gurulatih atau tenaga pengajarnya saya pastikan Islam. Melayu itu bonus. Mengapa? Gelanggang silat wajib dibuka dengan Al Fatihah, Ayatul Kursi, Surah Al Ikhlas, Al Falaq dan An Nas. Dibuka dengan menyebut nama Allah dan selawat ke atas junjungan Rasulullah SallaLahu 'Alaihi Wasallam.

Kedua,
ciri latihannya. Tidak mengejar kenaikan bengkung semata-mata. Pelatih pula sentiasa diingatkan tentang menunaikan/ mencukupkan solat sebelum latihan (latihan bermula 9 malam). Pelatih lelaki dan perempuan seboleh mungkin diasingkan. Salam 'gayong' juga mengambil kira keterbatasan di antara lelaki dan perempuan.

Ketiga,
ia adalah pusaka nusantara. Tak dinafikan tiap satu perkara ada kurang dan khilafnya. Namun, tidaklah mulia bangsa itu andai ia sendiri yang tidak menaikkan kemuliaannya.

Keempat,
dahulunya saya juga 'anak harimau'. Ketika masih bersekolah menengah dan bersambung 'sedikit' tika di universiti. Namun, saya hanya tersangkut di 'awan putih'. Secara peribadi saya impikan anak dan keturunan saya meneruskan langkah serikandi yang tidak menjadi ini, malahan ke peringkat yang lebih tinggi. Moga kuat juga jatidiri mereka.

Ketika saya mengakhirkan catatan ini, berkali-kali juga bibir saya tersebut 'zat!' tika gurulatih memandu latihan anak-anak gayong di gelanggang sana. Rasa terpanggil-panggil untuk kembali beraksi. Sudah beranak tiga berbedah juga tiga kali...mampukah?

Gayong!
Genggam Angkat Yakin Waras Ngeri!

February 19, 2014

Takziah Has...

Awal pagi ini saya dikejutkan dengan panggilan sahabat saya Laili. Bukan satu kebiasaan bila panggilan itu dibuat seawal 7.20 pagi. Laili maklumkan anak sahabat kami, Hasriah meninggal dunia. Terpempan. Saya dan keluarga merancang memenuhi jemputan Hasriah untuk Majlis Akikah anaknya pada Sabtu ini, 22 Februari. Saya tidak menyangka (keluarganya lagilah) bahawa bayi berusia 3 bulan itu kembali awal menemui Penciptanya.

Usai hantar anak-anak ke sekolah, saya hubungi sahabat saya Suhaily pula. Dia yang juga seorang guru seperti Laili tinggal satu daerah dengan Hasriah. Dia juga terkejut, fikirnya saya mahu 'confirm' kehadiran kami ke kenduri akikah itu, rupa-rupanya saya mengkhabarkan kematian bayi yang ingin dirai. Suhaily yang berada berhampiran, bergegas ke Hospital Banting.

Seterusnya saya hubungi Faizah, juga sahabat rapat kami yang 'wajib' dimaklumkan. Sama respon seperti Suhaily, Faizah turut terkejut dengan berita yang tidak disangka-sangka. Satu-satunya sahabat yang tidak dapat saya hubungi, Iya. Saya hanya mampu tag dia di FB.

Mesej di 'wassap' lebih laju. Berita kematian anak sahabat kami ini diperkatakan dan dirasai juga sahabat-sahabat yang lain. Adila, seorang lagi 'princess' antara kami menurut ke Hospital Banting ketika 'post mortem' dijalankan, sehingga ke rumah dan seterusnya menjadi sumber berita di 'wassap'. Saya sendiri tidak dapat ke sana untuk masa terdekat ini dek kekangan sendiri. Allahuakbar, moga dipermudah perancangan menziarahi mereka Sabtu ini.

Kehilangan anakanda Hasriah turut kami rasai. Bersahabat semenjak sekolah menengah, membawa kepada alam universiti, kerja, berkahwin dan beranak-pinak. Sedih ini terasa terhambat-hambat, hati rasa tersayat-sayat.

Entri Berkaitan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...