Berlumba-lumbalah menjadi wanita dambaan di syurga, dan berhati-hatilah dengan tipudaya dunia. Saya terganggu dengan iklan dan promo media perdana mahupun laman-laman sosial yang sering menggunakan kecantikan, kejelitaan dan tubuh wanita sebagai 'pemain' utama dalam dakyah produk mahupun khidmat.
Sering sahaja kita disogokkan dengan iklan-iklan menguruskan badan, memutihkan wajah, menghilangkan cela, menghitamkan rambut dengan unsur-unsur 'tidak punya keyakinan diri'. Digambarkan perempuan gemuk sebagai orang yang sering ditertawakan malahan ditinggal jauh ke belakang oleh suami bila berpergian. Selalu juga digambarkan individu botak sebagai orang yang 'gagal' dalam mana-mana kerjaya mahupun kehidupan sosial. Tak cukup itu, minuman dan makanan penambah tenaga disifatkan sebagai faktor utama dalam men'cantik'kan hubungan suami isteri, dengan dialog-dialog mengundang tanya kanak-kanak bawah umur juga dengan istilah-istilah seperti 'mantap', 'ketat', 'power' yang boleh disalahtafsir bagi sesetengah golongan.
Tambahan kegusaran saya (sebagai seorang ibu), mereka yang berjaya menguruskan badan, mencantikkan lagi wajah itu 'menjelma' pula menjadi model-model pelbagai fesyen. Lebih parah bila mulanya bertudung dan berlengan panjang, ter'transform' dengan baju ketat sana sini dan tidak berhijab. Bagaimana ini boleh menambah 'kecantikan', bagaimana ini juga boleh meningkatkan 'keyakinan'?
Maaf cakap, saya mungkin tidak sesempurna mana, jauh sungguh berbanding dengan ciri-ciri wanita bernama besar yang menjadi dambaan di syurga, tapi hati kecil saya cukup 'siksa' dengan pesona-pesona dunia sebegitu.
No comments:
Post a Comment