December 07, 2012

Hari Keluarga Haji Ismail (II)~ Barokah Bonda


Saya mengenali keluarga ini semenjak kecil lagi. Sebahagian daripada mereka ada yang bau-bau bacang dengan keluarga saya dan sebahagian daripada mereka juga ada yang menjadi sahabat keluarga saya. Justeru, perkahwinan saya dan suami merapatkan lagi persaudaraan dan persahabatan yang sedia terjalin.

6 tahun lepas, Hari Keluarga Hj Ismail dilangsungkan di Meru, ketika itu saya baru sahaja menyertai keluarga ini dan sedang mengandungkan Amar. Bagi pelaksanaan Hari Keluarga Hj Ismail kali kedua ini ia diadakan  di Teratak Riverview Resort di Hulu Bernam. Kini, kami sudah beranak tiga, begitu juga dengan sepupu-sepupu yang lain..bertambah anak dan semakin berkembanglah keluarga besar ini.

Saya ingin mencatatkan tentang ‘keutamaan bonda’ dalam entri ini. Tidak bermaksud menafikan kemeriahan agenda-agenda lain, saya terdorong untuk menzahirkan satu nilai yang saya fikir istimewa sepanjang pemerhatian saya ketika hari keluarga ini berlangsung.

Begini;

Salam Utama

Keluarga ini bertunjangkan 10 anak dengan 2 ibu. Mbah Jamilah isteri kedua Allahyarham tiba pada hari kedua ketika anak-anak, cucu-cucu dan cicit-cicitnya sedang rancak dan meriah bersukaneka. Menariknya, tidak kira besar, kecil, tua ataupun muda kesemua anak, cucu dan cicit berhenti bermain dan menyalami Mbah yang baru tiba. Meskipun ketika itu kami sedang bersaing sesama sendiri dalam permainan masing-masing. Bagus!Masing-masing terdidik dan faham keutamaan, siapa dan apa yang perlu didahulukan.

Penonton VIP

Ketika kami sedang bersukaneka, matahari pula sedang perlahan-lahan naik. Ibu-ibu kami duduk di banir pokok di tepi padang menyaksikan anak cucu beraksi. Betapa status ibu sangat diutamakan, hala dan hadap permainan juga mengikut selesa dan permintaan para ibu. Beberapa kali juga sebilangan agenda kami beralih-alih arah dan kedudukan sebagai memenuhi pandangan dan pemandangan mereka, meskipun kami yang terpaksa mengadap cahaya matahari..sesungguhnya ketika itu masing-masing tiada masalah..’permintaan penonton vip..’ J

Durian Untuk Bonda

Agenda sampingan kami di sini antaranya adalah mengejar durian yang gugur. Pengusaha resort ini mengizinkan kami mengutip duriannya yang gugur berhampiran kawasan aktiviti kami. Suami dan beberapa orang sepupu lelaki selaku penggerak utama hari keluarga tidur di khemah berhampiran pohon-pohon durian yang ‘marvelous’ rasa buahnya. Acapkali rezeki bergolek itu menjadi milik mereka. Dalam banyak-banyak durian yang mereka perolehi ada sebiji durian yang besar, cantik, dan dari ‘pohon sedap’. Saya kagum dengan pendirian sepupu-sepupu sedarah ini, durian tersebut yang gugur di pertiga malam sanggup mereka simpan untuk ibu-ibu tercinta. Siap sorok!Alhamdulillah, di pagi Ahad itu para ibu disajikan khusus durian terbaik. Rezeki rasa itu turut dikongsi ibu-ibu generasi ketiga (seperti saya)...rasa durian itu?SubhanaLlah!sangat sedap. Bagi saya ia bertambah sedap dek keikhlasan, kasih sayang dan berkat senyuman bonda masing-masing. J

Baik!Saya tidak berniat menamatkan catatan berkaitan Hari Keluarga Hj Ismail (II) setakat cerita ini, menangguhkan mungkin ebih tepat, kerana serasa saya catatan penuhnya...’hanya yang pergi yang benar-benar mengerti’. Saya nukilkan menurut kesempatan, pandangan dan rasa peribadi saya selaku cucu menantu. Pada saya, mereka yang berketurunan sedarah pasti lebih tercalit kenangan manis dalam memori mereka. Berkesempatan..saya catatkan lagi, insya Allah.

Terima kasih J

No comments:

Entri Berkaitan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...