March 21, 2013

Haluan Biasa

Amar bersekolah di SKPA 3 dan bersekolah agama di KAFA Integrasi Puncak Alam 3, di bangunan sekolah yang sama. Iman pula meneruskan legasi Amar di TBK KEMAS Warnasari sementa kawasan rumah kami tiada institusi yang berkaitan.  Kami 'hala'kan Amar dan Iman jalan yang sama seperti saya dan suami. Ber'pra sekolah' di bawah institusi KEMAS, bersekolah kebangsaan pula 2 aliran, pagi dan petang. Meskipun ada yang berpendapat sekolah-sekolah 'mahal' terutamanya pra sekolah lebih menjanjikan kecemerlangan, kami pula berpendirian jalan mereka; jalan anak-anak kami..jalan biasa, sebagaimana laluan majoriti penduduk Malaysia seusia mereka.
 
Bukan mudah sebenarnya bila mana saya berkeputusan menumpukan perhatian dan tenaga sebagai surirumah sepenuh masa. Saya tidak meletakkan standard surirumah itu sebagai memenuhi keperluan makan pakai seisi rumah sahaja, terlalu besar sebenarnya cita-cita kami dengan berusaha menggembeleng potensi anak-anak dengan cara dan corak tersendiri. Meskipun ada yang berkata 'rugi' belajar tinggi-tinggi tetapi pilih untuk mengasuh anak sendiri di rumah, saya dan suami tidak mengambil ia sebagai halangan dalam pilihan dan keputusan kami bersama. 
 
Benar, saya punya kelemahan manusiawi. Kadangkala saya terlalu penat melayan kehendak dan tabiat. Acapkali juga sabar saya tewas dek amarah dan lelah. Saya masih belajar, begitu juga suami. Kerenah dan keperluan anak-anak kadangkala membuat kita berfikir dan bermuhasabah, 'masih ada kurang lagi pada diri kami'.
 
Alhamdulillah, dengan senggang masa di rumah saya berpeluang membaca, memerhati, mengintai dan menilai corak-corak kehidupan terutamanya sahabat-sahabat yang berkelayakan menjadi contoh, sama ada dari sudut ilmu, kaedah mahupun pendirian mereka. Dari situ, saya kutip pengalaman dan kesungguhan mereka, seterusnya dibincang dan dicanai bersama suami untuk kami lebih memahami, lebih menyantuni amanah-amanah yang tergalas.
 
Biarlah penat..setidak-tidaknya jerih dan letih kami untuk mereka yang disayangi dan menyayangi, bukan berpenat untuk mereka yang tidak pernah atau susah untuk menghargai..

No comments:

Entri Berkaitan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...