Sekejap sahaja sudah 7 Ramadhan. 7 hari juga Amar berpuasa.
Alhamdulillah. Ini tahun kedua untuknya, tahun lepas dia dapat 10 hari. Moga
tahun ini lebih baik. Pada hari pertama dan kedua Amar buat perangai lapar di
tengahari, siap marah-marah adik-adiknya yang saya suap di tengahari. Mujur
ketika itu di rumah keluarga mertua, kakak-kakak sepupunya pun berpuasa..adalah
motivasi dan contoh untuknya.
Masuk hari ketiga, saya agak risau sebab dia bersekolah.
Sangkaan meleset sama sekali. Dia ceria ketika saya ambil di tabikanya. Siap
ada bekalan untuk berbuka. Saya menyambut baik tindakan guru tabika Amar yang
turut menggalakkan anak-anak muridnya berpuasa. Sepanjang pengetahuan saya,
makanan pagi masih disediakan kerana ada murid yang belum berpuasa, ada yang 5
tahun dan ada juga yang baru belajar. Manakala untuk murid yang berpuasa,
makanan akan dibungkuskan dan dititip pulang sebagai juadah berbuka. Secara
tidak langsung murid yang kecil dan baru belajar boleh mencontohi rakan-rakan
yang berpuasa, murid yang berpuasa pula lebih bersemangat untuk terus berpuasa.
Doa saya, semoga anak-anak saya terus diberi
kekuatan dan kesabaran untuk berpuasa, tahun ini, tahun depan, tahun seterusnya dan hingga akhir
hayat..amiin.
No comments:
Post a Comment