Sejurus melepas rindu dengan saya dan sahabat saya, Elin, kami sekeluarga meneruskan perjalanan petang itu ke Subang Bestari. Saya pernah catatkan dalam entri saya sebelum ini tentang pulangnya anakanda Ahmad Zahran ke rahmatullah. Justeru, kesempatan bermusafir menziarahi sahabat kami cuba lengkapkan dengan mengunjungi Miza dan keluarga di Subang Bestari.
Saya masih ingat lagi kunjungan terakhir kami untuk keluarga ini adalah ketika meraikan kelahiran Ahmad, 9 bulan lepas. Ketika itu, Miza baru benar-benar keluar dari Hospital Pusrawi dan baru sampai di rumah. Tiga bulan selepas itu Miza dan keluarga membalas kunjungan pula ketika keraian Majlis Akikah, Tahlil dan Hari Lahir anak-anak pada November lepas. Kali ini, kunjungan kami khusus untuk mengucapkan takziah atas kepulangan Ahmad Zahran ke rahmatullah pada hari Selasa, 18 Jun 2013 bersamaan 9 Sya'aban 1434H di usia beliau 9 bulan.
Menurut Miza, pemergian arwah Adik Ahmad adalah disebabkan ketumbuhan yang berada di saraf utama otak. Ia dikenali sebagai 'Medulloblastoma' dan punca kematian adalah 'Acute Hydrocephalus 2 Brain Tumor'. Tambahnya lagi, kes sebegini sangat unik dan penyakit ini amat jarang ditemui dengan nisbah 1:100,000 untuk bayi.
Saya yang mendengar Miza bercerita tidak mampu menahan airmata lebih-lebih lagi bila melihat dia bercerita dengan senyuman meskipun matanya basah. Sesekali, Miza tunjukkan gambar Arwah anaknya pada handphone yang tak lekang di tangan. Begitu juga suami, dia turut ralit mendengar dan melihat gambar-gambar Arwah dari Azlan, suami Miza. Saya sangat sebak bila mendengar Miza menceritakan saat-saat 'kesedihannya yang teramat'. Jujur, saya kagum dengan ketabahan keluarga ini. Di balik kehilangan, mereka merungkai kemanisan ujian Tuhan.
Ayat Miza yang masih saya ingat, 'Alhamdulillah, bila Allah duga Miza dan Lan dengan ujian hebat macam ni, Allah kirimkan kasih sayang dan perhatian keluarga, datangkan pada kami sahabat-sahabat yang baik. Allah bagi juga kekuatan dan ketenangan hati. Cuma bila rasa rindu dan sedih tu datang...Miza doa kat Allah.. kalau perasaan tu datang dari syaitan, jauhkanlah Ya Allah, kalau benar ia datang dariNya, kuatkanlah hati Miza utk menempuhnya.'
Miza dan Arwah Ahmad
Tambahnya lagi 'Syukur..Miza memang rasa sangat sedih terutamanya bila susu membengkak, terasa-rasa sangat, tapi Miza bertuah sebab Miza dapat susukan dia selama 9 bulan, itulah pengikat Miza dan Ahmad, Miza sentiasa rasa dia ada...dan itu cukup bermakna.' Allahurabbana..moga kekuatan itu menjadi pemangkin semangatnya untuk hari-hari mendatang.
Terasa sangat singkat kunjungan kami lewat petang itu. Kami maghrib di rumah mereka, sempat menjamah buah-buahan dan bubur. Sempat juga saya khabarkan pada Miza, saya terserempak dengan Kak Aishah di RnR Seremban (juga bekas rakan sepejabat saya). Kami tak bisa berlama-lama lagi, usai solat dan mendengar khabar terkini jerebu, kami mohon diri untuk pulang. Pastinya pulang kami dengan salam dan perasaan yang bercampur-baur.
Baiklah..tamat sudah catatan saya untuk sahabat-sahabat. Satu hari yang penuh cerita dengan pelbagai latar. Hidup manusia ini sudah tertulis suratan dan takdirnya. Yakinlah..Allah Maha Penyayang..Dia juga Maha Mengetahui dan Dia Sebaik-baik Perancang. Saya berdoa moga sahabat-sahabat saya sentiasa dilindungi dalam rahmat dan keampunanNya. Sentiasa beringat ketika senang, juga sentiasa redha tika ada ujian yang mendatang..amiin.
2 comments:
assalam,
bunda singgah dimalam isnin..
terima kasih singgah ye bunda..:)
Post a Comment