December 30, 2011

Amar n 'Barber'

Rabu lepas kami bawa Amar gunting rambut, dengan kerelaan dan kesediaannya. Sebelum ini, Amar agak takut untuk bergunting, dan atas sebab itu kami selalu meng'urus' rambutnya sendiri. Jenuh juga membantu keyakinannya. Besar juga pengaruh Diego (siri kartun Go Diego Go) dan Higglytown Hero. Kenapa? Ada siri dalam GDG tentang kembara Diego membawa rakannya ke 'Barber Shop'. Digambarkan ke'handsome'an dan kekemasan setelah bergunting rambut dan betapa 'barber' tidaklah menakutkan. Dalam HH pula diceritakan tentang peranan 'barber' yang sangat membantu dan hero yang boleh dicontohi dalam komuniti. Saya selaku ummi akan menjadi fasilitator setia pada siri-siri kegemaran anak-anak, seterusnya bertindak selaku 'narrator' dan rujukan utama mereka. 

Sejak itu, Amar 'alert' dengan Barber Shop. Kami sengaja mewujudkan keinginan dan keterujaan dia untuk menggunting rambut. Alhamdulillah, rabu lepas dia berjaya mengatasi ketakutannya berjumpa 'barber'. Dengan bertemankan abah (ummi tengok dari dalam kereta), Amar menyerahkan 'urusan' rambut dan kepercayaannya kepada 'barber' dan dengan tersenyum dia membuat isyarat 'thumb up' kepada ummi....:). Dalam kereta tak sudah-sudah Amar melihat cermin dan bersambung bila sampai di rumah...'handsome kan anak abah?'..aiitt..abah dapat nama?

December 29, 2011

4959~Sasician

kami-sebelum SPM 1996

Minggu lepas cerita PMR, minggu ni ambil mood SPM. Untuk entri ini saya cuma letakkan gambar kelas saya 5/9. Kelas-kelas di KISAS hanya merujuk nombor..kami ada 12 kelas kesemuanya. Nombor-nombor ini tidak melambangkan 'ranking', kerana hakikatnya semua berlatarbelakangkan PMR yang hampir serupa dari seluruh negara! Saya cukup 'segan' untuk bercerita tentang KISAS kerana kekaguman saya pada sistem pendidikan dan tarbiyahnya. Satu-satunya SBP yang tidak wajib 'prep' petang, menyediakan ruang seluasnya kepada pelajar membina keselesaan cara belajar tersendiri. Solat jemaah lengkap 5 waktu di surau asrama, tanpa paksaan cuma ajakan dan didikan.

kami-setelah habis belajar di universiti
Kelas saya pernah buat re-union sekali, selepas habis belajar di universiti masing-masing. Itulah sekali! Lepasan kelas kami ada yang menjadi akauntan, pendidik, akademia dan pengamal undang-undang..ada juga yang menjadi pegawai di agensi kerajaan.

masih kami-di KLCC

Bila lagi agaknya kami boleh bersua lagi..pastinya kalau kami bertemu lagi..gambar-gambar kami akan dipenuhkan pula dengan 'generasi pewaris' :)..

December 23, 2011

Tapak Perhimpunan

3 Firdaus '94 (Latar:Kantin Sekolah)

3 Na'im '94 (Latar:Sebelah Astaka, Bhgn Depan Kiri Tapak Perhimpunan)

3 Ma'wa '94 (Latar:Blok A, Bhgn Depan Kanan Tapak Perhimpunan)

3 Darussalam '94 (Latar:Blok A, Bhgn Depan Kanan Tapak Perhimpunan)
Maaf..saya masih mood PMR..:). TV, Internet, Akhbar semua cerita tentang PMR. Maka, kenangan dan ingatan saya pun asyik teringat suka-duka PMR 17 tahun dahulu..lama tu. Masa itu, PMR baru 2 tahun menggantikan SRP.

Gambar-gambar di atas adalah calon-calon berdaftar PMR 1994..:). Sehingga sekarang saya masih ingat kesemua nama mereka, wajah dan perangai masing-masing. Lelaki ke..perempuan ke..alhamdulillah ingatan saya masih kuat. Jangan terkejut kalau ada yang masih saya ingat nombor pendaftaran asrama a.k.a nombor banduan..:)..serta tarikh lahir mereka. Nombor-nombor 'banduan' itu tertulis di mana-mana barang hakmilik masing-masing. Baldi, selipar jepun, cadar, sarung bantal, buku rujukan, gayung, sandle, baju asrama, tepi tudung pun ada..mana mungkin tak terlekat di kepala..:)

InshaAllah..selagi masih ada ingatan selagi itulah doa saya selaku sahabat sentiasa dititipkan. Tambahan, 2 orang daripada kalangan kami telah kembali ke sisiNya mendahului kami. Pemergian mereka pemergian yang tidak terjangka di usia muda..Al-Fatihah untuk mereka..

~0716~

December 21, 2011

Result PMR-Gen 2


Gambar di atas telah berusia 17 tahun (2011-1994). Gambar ketika kami ambil keputusan PMR 1994. Kami..kelahiran 1979 adalah generasi kedua PMR dan sebagai pelajar SMKA kami ambil 9 matapelajaran berbanding 8 untuk pelajar aliran biasa.

Ingat lagi, batch 5 SMKASL adalah batch yang pihak sekolah sifatkan sebagai batch 'baik' ketika itu. Satu-satunya batch yang tiada aktiviti selepas peperiksaan, satu-satunya batch yang di'cabar' untuk berikan keputusan cemerlang dalam PMR seiring ke'cemerlang'an kami dalam mengemudi kenakalan remaja. Batch sebelum kami, tiada yang mendapat 9A..maka kami dicabar untuk merealisasikan keputusan 9A dengan janji tiket/ percutian ke Medan atau Langkawi...ialah kami batch 'baik' kan?

Siapa sangka...6 orang daripada kami mendapat 9A dan 4 orang dengan keputusan 8A 1B dan ramai yang lain dengan keputusan 7A..sila lihat nama-nama kami di dinding Dewan SMKASL..:)..dan janji itu? Tiket percutian kami digantikan haluannya ke Kelantan bersama 2 orang guru pengiring. 6 orang B5J5 (Hamidi, Helmy, AzamMdDin, Khairi, Farahiyah dan saya) diterbangkan khusus ke Kelantan untuk ganjaran itu bersama Ustaz Hadi dan Puan Shor.

Bagi saya, 9A itu bukan saja kecemerlangan peribadi, ia juga kemenangan batch kami. Kekecewaan kami dengan ketiadaan aktiviti selepas PMR ditebus dengan keputusan ini. Ini bukan dendam tapi ia adalah sebuah azam..:)

Midi, Helmy dan Azam

Besok 22 Disember 2011, calon PMR 2011 boleh mengambil keputusan PMR masing-masing di sekolah selepas jam 10.00 pagi. Tahniah dan terima kasih para pendidik, terima kasih tak terhingga di atas jasa dan penat lelah kalian mendidik anak bangsa.

WARISAN Selangor


Kami rakyat D.Y.M.M Sultan Selangor..senang cerita kami bernombor 10 di tengah-tengah no KP..walaupun anak-anak lahir di Wilayah Persekutuan KL, kriteria berikut melayakkan anak-anak mendapat manfaat dari TAWAS;

i) Warganegara Malaysia, dan;
ii) Lahir di negeri Selangor atau luar negeri Selangor mulai 1hb Januari 2008;
iii) Ibu atau bapa lahir di negeri Selangor atau Ibu atau Bapa lahir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebelum 1hb Februari 1974.

Untuk setiap permohonan yang layak dan berjaya, kerajaan Selangor akan menghadiahkan tabung simpanan sebanyak RM 100.00 kepada pemohon/ penama (anak-anak yang lahir tahun 2008 ke atas). Dalam tempoh/ sehingga berumur 18 tahun, anak-anak ini berpeluang menerima RM 1,500.00 seorang dengan hasil daripada pelaburan ke atas RM 100.00 tadi.

RM 100.00 itu akan didepositkan ke mana-mana akaun AMBANK berhampiran dan hanya boleh diuruskan penama (deposit atau pengeluaran) setelah berumur 18 tahun. Ia bermula dengan hadiah kelahiran RM 100.00 setiap seorang..seterusnya disimpan sebagai pelaburan ke dalam bank yang menyediakan faedah dan risiko yang meyakinkan. Pada kadar faedah yang terendah penama dijangkakan menerima minima RM 1500.00 pada umur 18 tahun.

Untuk maklumat lanjut,

Siput Hembus (Sedut)?

Antara nikmat makan siput sedut adalah 'feel' ketika menyedutnya. Teringat masa kecil dahulu, agenda makan siput sedut selalu terganggu kerana terpaksa membantu adik-adik menyedutnya..huhu! Pengalaman ini berulang lagi..bezanya terpaksa sedutkan untuk anak sendiri. Makan berlaukkan siput sedut memang tak berapa sopan dibuat di gerai-gerai atau khalayak..hehehhe. Mengajar Amar dan Iman makan lauk siput sedut mengundang ketidaksabaran menikmati siput sedut selayaknya..:)..aduhai..tapi setulusnya ia juga mengundang senyuman bila melihat kesungguhan anak2 menyedut siput-siput itu! Macam-macam gaya...macam-macam bunyi. Paling seronok bila siput sedut jadi siput hembus..jadi trumpetlah pulak! Itu belum campur kuah lemak kuning yang sesat hingga ke kening..mulut tak payah cakaplah..haiya! Bila kedua suami dan saya tergelak-gelak melihat kerenah anak..terfikir pula..'macam inilah dulu agaknya perasaan arwah abah..'. Arwah abah saya memang suka makan siput sedut masak lemak cili api. Kalau makan, abah memang 'sangat feel'..maklah yang setia sedutkan siput untuk anak-anak..

kini..episod itu berulang lagi..:)

December 16, 2011

Solehah 2011-Inspirasi Dari Yang Terbilang


Dialah pasangan
pengaruh kelembutan
bimbinglah dengan bimbingan
cetusan membahagiakan

Kau wanita
terbilang tabah
cekal bertandang
kerana kau lahirlah penerus jasa

Kau solehah
Bahkan nyawa kau pertaruhkan
Agar nur iman terpelihara

Kau wanita
terbilang tabah
cekal bertandang
kerana kau lahirlah penerus jasa



Entri ini ditulis bersempena Malam Penentuan Solehah yang bersiaran di TV Al Hijrah. Juara Solehah yang diadakan julung kali ini dimenangi oleh Amie Sofia Ahmad.

Solehah perlu dicari, solehah perlu terdidik..
Allah..masih jauh perjalanan kami..

sumber video: YouTUBE

BJC semput

Entri ini bahasanya bercampur-baur (maaf kepada pejuang bahasa ibunda!)

Malam ini En Faizal a.k.a abah ada Annual Dinner (dress code:Tuxedo tu..). Sangkaan awal, boleh balik tukar baju..hmmm tak boleh rupanya. Maka,  demi ke'handsome'an abah..sangguplah ummi meredah jem Jalan Bangsar itu..dengan anak-anak comel pengiring setia. Lepas Jumaat kami ke Bangsar hantar kot dan kasut abah. Fikir ummi, jam masih 3 lebih, masih berani menempuh Federal Highway untuk kembali ke PUSJ..huhhu..meleset sama sekali..jem bermula dari Kota Darul Ehsan lagi..

nak menambah perisa jem..kereta kami breakdown di tgh2 jalan..bersignal kecemasanlah BJC betul2 di bawah jejambat Ambank Federal. Selepas telefon abah, bertawakallah kami 4 beranak di dalam kereta, nak tolak ke tepi, dah tentu tak mampu..Rayyan pula menangis kepanasan dan kehausan. Mujur ada sepasang suami isteri (umur lebih kurang ummi rasanya), berhenti cemas di tepi laluan dan Sang Suami dengan sukarelanya menolak BJC ke bahu jalan. Sangat terima kasih!itu sahaja yang mampu diluahkan, kebetulan Rayyan meronta-ronta dan meragam..aduhai!10 minit kemudian abah sampai, check segala bagai..ummi memang tak reti. Telefon kawan bengkel dia a.k.a doktor BJC..finally bateri punya hal!

Tukar bateri!BJC kembali bernafas..no worry abah!enjoy your dinner..kami pulang hati-hati..Rayyan tidur sepanjang perjalanan..Amar dan Iman seperti biasa, kecoh bertanya itu dan ini...hmmm..satu hari nanti ummi akan rindu federal ini!

Hati-hati

Perlukah berbangga lebih-lebih bila kita kenal ratu drama?
perlukah seronok lebih-lebih bila disapa hero ternama?
perlukah gembira lebih-lebih bila saudara handai juara segala bagai acara realiti?
perlukah dicanang lebih-lebih bila kita tergolong kenal juara pentas perdana?

perlu rasa gembira bila kenal bijak pandai agama..
perlu rasa seronok bila tahu sahabat kekasih terhebat..
perlu rasa bahagia bila hati mengenal Pencipta..

aduhai hati-hati wahai hati..

December 15, 2011

Roti Canai Kuah 'Ro'

satu petang;

Amar : Ummi, amar suka makan roti canai dengan kuah 'ro'..
Ummi : kuah 'ro'..macamana kuah 'ro' tu..mana amar dengar?
Amar : hari tu masa Amar makan dengan atuk, kuah kari habis..ada kuah 'ro' je..
Ummi : (sambil terfikir sesuatu)..kuah 'dal' kot..bukannya kuah 'ro'
Amar : kuah 'ro'..bukan kuah 'dal'
Ummi : macamana boleh jadi 'ro'?
Amar : kalau kuah 'dal' dia sikit, cepat habis..kalau kuah 'ro' dia banyak..amar nak kuah banyak2
Ummi : (sambil tahan gelak)..ooo..sebab 'dal' tu pendek dari 'ro' ke?
Amar : haah..

boleh?

December 09, 2011

Waris CD

Penggunaan CD (Cloth Diaper) memang berbaloi. Boleh diguna berulang-ulang, boleh juga diwariskan untuk anak yang kemudian. Sedikit perkongsian dan juga untuk catatan peribadi..:)

Cara basuh
  1. bilas/ buang dulu najis pada air yang mengalir
  2. masukkan dalam mesin basuh macam biasa, kurangkan penggunaan sabun
  3. elakkan peluntur dan pelembut/pewangi
  4. jangan campur dengan fabrik lain, walaupun pakaian yang terkena najis cth;seluar tidur anak
  5. pastikan velcro dilekatkan pada ruang yang tersedia untuknya (supaya CD tidak melekat sesama sendiri..;)..)
  6. sidai di bawah sinar matahari (paling elok), kalau tak dapat, sidai bawah kipas (yang berpusing).
Penggunaan
  1. pakaikan CD untuk tempoh 3-4 jam
  2. pastikan anak baru ditukar/ kering ketika kita nak solat bagi mengelakkan was-was..anak-anak saya suka panjat2 Ummi ketika Ummi solat..huhu
  3. lipat siap2 dengan insert.
  4. belilah corak yang universal (dah beli takpa..:)..Rayyan pakai CD Iman bentuk love dan warna pink..hehehe
Apa lagi?..lain kali sambung..:)

Gerhana 14 Muharam 1433


Gerhana bulan bakal berlaku pada malam besok, 14 Muharam 1433 bersamaan 10 Disember 2011. Fenomena ini kali terakhir disaksikan pada 16 Jun 2011 yang lepas. Dikatakan ia berlaku bermulanya terbenam matahari 07.31 sehingga pukul 10.47 malam. Sama-samalah kita nantikan detik-detik itu. Solat sunat gerhana dan perbanyakkan zikir mengingati Allah

Maha Suci Allah!

nota;
gambar di atas bukan gambar gerhana yang dijadualkan besok
gambar ini saya letak sebab ia gerhana yang cantik (gerhana cincin)

December 08, 2011

Varsiti Kita


Varsiti Kita
Lihat Kampusku yang tenang
Damainya alam ciptaan tuhan
Paduan ilmu dan keimanan
Amal dan jerih digabungkan
Lautan ilmu kita harumkan
Sumber ilmuan berkembangan

Inilah Varsiti Kita
Ditengahkan hasrat rakyat kita
Dari mula untuk semua
Bagai tanda perjuangan kita

Bangun berbakti membela
Memupuk insan jiwa bertakwa
Memimpin manusia semua
Kenal akan adat unggulnya
Membina negara senantiasa
Maju berilmu dan bahagia

Inilah Varsiti Kita
Ditengahkan hasrat rakyat kita
Dari mula untuk semua
Bagai tanda perjuangan kita



Pusat Matrikulasi UKM di MIT, Bayan Lepas Pulau Pinang (1997)
FPP-Perakaunan (1998-2001)
Kamsis Aminuddin Baki (1998-2001)
 

Bujang Bertuah

Budak bertuah dah 11 bulan..dah berlari..:)

Dia dah pandai rebut buku dgn Kakak Iman..dah pandai ber'gumpal' dengan Abang Amar..
Adik Rayyan dah pandai beri Ummi remote TV..hahahaha..paling best dah pandai buka CD sendiri bila rasa basah, berjalan sendiri ke bilik air..dah reti minta buka baju nak mandi..(aduh..bahaya, pintu bilik air dan tandas memang kena dipastikan bertutup.)

Cerita bab main, rasanya Iman jadi mangsa..Rayyan lebih berisi..Amar dah tentu besar. Pantang dibentangkan tilam..main terjun je anak2 bujang..sekejap nanti berbunyilah Iman mengadu itu ini..Rayyan tarik rambutlah..Amar rampas mainanlah..belum lagi bunyi Amar dan Rayyan main kereta..berbuih2 mulut si Rayyan..vroom..vroom..hehhhhe

Seronok..!opps..Rayyan dah ada 3 batang gigi..2 kacip di bawah dan 1 di atas..dan dia fully BF..aduhai!

December 07, 2011

Fiksyen 302 ~ bELuM dI TanGaN


Novel terbaru penulis kegemaran saya sudah berada di pasaran. Pada ketika ini saya masih belum memilikinya..:(. Hajat di hati, saya merancang untuk membelinya di Jualan Karangkraf pada 2-4 Disember lepas tapi tak berkesempatan.

Khabarnya novel ini berkisarkan pembunuhan dan elemen psiko. RAM memang terkenal dengan kebolehannya mengajak pembaca meneroka fiksyen ciptaannya. Saya mengharapkan plot dan kesudahan yang tak terjangka pada novel kali ini. Sabarlah hati..

December 05, 2011

Pinjaman Termahal

Agak bersawang juga blog ini. Ada jua catatan-catatan yang masih berstatus 'draft'. Cerita kami hampir berbeza setiap minggu. Cerita tentang hujung minggu yang tak sunyi dari kesibukan ke sana sini, cerita harian dengan keletah dan perkembangan anak-anak kesayangan. Juga cerita-cerita tambahan penambah suka-duka kehidupan.

Saya pemerhati yang serius dan suami penterjemah bahasa alam yang sangat mengagumkan. Kadangkala cerita antara kami sahaja rasa serasi menjadi bahan tulisan mahupun idea berkesinambungan. Cuma ia belum terlahir pada perenggan-perenggan bermaklumat secara tuntas. Bukan tiada masa tetapi kurang peruntukan masa. Kami sentiasa bercerita, dari sekecil-kecil benda hingga sebesar-besarnya. Cerita tentang senyuman, air pasang surut, cekodok pisang, bukit bukau, politik kedai kopi hatta resam haiwan dan manusia. Semuanya boleh jadi bahan cerita.hmmm..:)

Kami juga pengulas setia tak berbayar..tak kiralah berita, cereka, kartun mahupun siri kegemaran masing-masing. Sering sahaja bual debat saya bersamanya menjadi inspirasi dia di luar sana. Buah fikiran saya sebagai pencetus tindakannya. Tak apa, saya meredhakannya kerana saya cenderung tidak bijak menzahirkan idea sebagus dia. Ialah...manusia tidak sempurna, kecenderungan dan bakat juga berbeza-beza. 'Degil' juga berlainan aspirasinya. Ada yang tampak degilnya, ada yang terselit di balik kepatuhan. Ada juga yang terbukti pada tindakan (tak perlu cakap banyak). Ada juga yang 'degil' pada diamnya. Lebih baik berhati-hati dengan kelompok pendiam (selalunya tak terjangka) berbanding mereka yang 'vokal' menyatakan isihati dan pendapatnya.

Terpulang, manusia dah lahir dengan berjuta macam kebolehan, jua dilahirkan dengan beribu bagai kelemahan. Walaubagaimanapun, hakikat yang tidak boleh dikesampingkan manusia adalah ciptaan Allah yang terbaik. Hamba terbaik, khalifah terbaik. Mungkin kita tidak sebijak ilmuwan tersohor tetapi Dia anugerahkan kesempurnaan aqal untuk menilai dan bertindak. Mungkin kita tidak secantik jelitawan, tetapi Dia berikan kesihatan yang tiada tandingan. Mungkin kita tidak sekaya raya jutawan dan hartawan tetapi Dia titipkan kekayaan jiwa yang mendamaikan. Kerana itu, dalam bual bicara kami, saya dan suami saling mengingatkan..dia dan saya adalah pinjaman untuk setiap kami. Justeru..setiap masa yang ditelusuri bersama terlalu mahal untuk kami sia-siakan..

December 02, 2011

tak tentu

dah lama jari-jari tak menari, sejujurnya saya mual dengan situasi minggu ini. tidak bersetuju dengan satira politik perdana. gendang perang dipalu orang-orang yang lintang pukang dan celaru. penat dengan petah hujah yang tak tentu arah. entah, hati saya memang tidak cenderung kepartian. saya sedih dengan situasi sebegini, ruas yang berkongsi bahasa dan agama tetapi cantas dicantas, caci dicaci sesama sendiri. bercakaran, berkokok sini sana yang akhirnya merugikan diri dan bangsa sendiri. orang lain bersatu dalam kepelbagaian, orang lain menokok menambah pegangan emas, tanah dan harta..orang kita?ditertawakan dalam senyum sindir penangguk air yang keruh..

maaf, entri ini tidak tentu kosa katanya...tidak ada abjad besar pemula ayat..sebab?hati saya juga jadi tak menentu

November 21, 2011

Permata di Istana (1)

Dae Jang Geum

lagi cantik..

Jewel In The Palace-kisah tukang masak istana, anak yatim piatu..yang akhirnya menjadi Tabib Diraja Perempuan Pertama..

Kalau nak diulas..memang panjang. Cerita ini cerita sejarah, cerita budaya, cerita tentang sifat manusia yang tak kira zaman. Ada cinta, ada sayang, ada dengki, ada tamak haloba. Bukan sekadar itu, ada kroni, ada khianat, ada konspirasi. Cerita ini cerita lama tapi kisahnya sentiasa ada.

November 16, 2011

Saya Maafkan Awak

Kenapa dan ada apa dengan lagu ini?
Senang saja untuk saya..
Pertama~sebab Jamal yang menyanyikannya..dengan cara yang berbeza.
Kedua~kerana bahasanya.



Aku minta maaf di atas segala perbuatanku.
Ternyata kamu lebih suci dari apa yang kubayangkan

Ada teratak di hujung kampung
Bawah cermin kopak ada kotak
Tersembunyi dalamnya ada tempurung
Sembunyi bawahnya katak melalak

Atur sepuluh daktil batal yang batil
Detik dua usul ditutup satu lagi tampil
Dari halaman rusuk kiri satu susuk ganjil
Minta diisolasi dari dalil busuk jahil
Aspirasi tak serasi dengan suara bunyi
Inkarserasi dari penghuni dan keluarga bumi
Surat wasiatnya atas paksi dalam rumi
Minta dikebumikan hidup-hidup dalam guni
Mana cepat terbang atau warna gelang tangan
Buah fikiran aneh tergantung di persimpangan
Halusinasi susuli ketandusan ihsan
Ubat parut auditori kesan artileri insan
Gagal dikesan

Aku maafkan kamu
Tak perlu kita bertemu
Cukup kau tahu
Yang aku
Maafkan kamu
Tolong teruskan hidup
Jangan sebut namaku

Timbul tenggelam, timbul tenggelam
Acapkali terpendam, acapkali tersergam
Cermin muka kopak penuh bintik hitam silam
Ini bukan lagu rindu ini madah dendam
Kutimbang tanpa neraca di awal usia
Ku dihukum masuk neraka oleh manusia
Minta tunjuk lubang atau pintu tak dapat jawapan jitu
Jadi aku tak berganjak biarkan saja begitu
Maafkan mereka, mereka tidak tahu
Mereka tidak ramas buku, mereka segan ilmu
Mereka tidak fasih malah fasik guna kata
Kita kongsi nama bangsa tapi tidak kasta bahasa
Maafkan mereka, mereka tiada nilai
Ibu bapa lalai dari kecil dah diabai
Tanpa kasih sayang, mereka suka menyakiti
Kita kongsi warna mata tapi tidak warna hati

Atas kepala murai sekawan
Baling kurambit kucup lehernya
Terlalu rahi dendam di angan
Sampai terkacip mulut mahirnya

Kenapa awak tak pukul mereka?
Saya tak suka pada keganasan

Jangan ahli sihir seru nama maharaja
Nanti segerombolan hantu bisu yang menjelma
Guna hak berfikir sebelum hak untuk bersuara
Kalau terpelajar sila guna hak miranda
Pura-pura dengar, telan tapi tidak hadam
Hafaz bila lafaz tapi mereka tidak faham
Mereka mula kiri, aku kanan bila baca
Sudah mahir rumi, mari tafsir alif ba ta

(Alif)
Ada teratak di hujung kampung
(Ba)
Bawah cermin kopak ada kotak
(Ta)
Tersembunyi dalamnya ada tempurung
Sembunyi bawahnya katak melalak

Ternyata kamu lebih suci dari apa yang kubayangkan

November 15, 2011

Full House


Gaduh-gaduh sayang..sweet katanya..:). Masa berpantang kelahiran Rayyan, siri ini bersiaran. Boleh pula siri ini diulang lagi ketika ini. Cerita cinta..siapa2 pun rasa akan cinta..si cantik, si gemuk, si panjang, si comel..

Orang-orang kreatif dan seni memang bijak menyentuh hati. Datangkan rupa yang kacak-kacak sepet, comel-comel manja. Bentukkan ruang latar yang mendamai jiwa..laut, pantai..hujan renyai-renyai. Lagu yang manis-manis untuk telinga. Hadirkan suasana yang semua rasa..kasih,cemburu, benci tapi rindu, setia, jujur-jujur alang. Maka..'isy..sweet betul!' tak pun..'macam aku pulak..mula-mula gaduh..lepas tu sayang'..segalanya berkait diri...:)

Cinta itukan indah!

November 12, 2011

Biarkan Dia Bahagia

Berilah peluang untuk meluah bahagia. Usah cemburu pada mereka yang melahirkan rasa bahagia. Kadangkala ia mungkin penutup luka atau mungkin juga kesan redha yang ikhlas keranaNya. Ketahuilah, mereka yang menzahirkan bahagia itu ada kalanya sudah jemu meratib derita. Meskipun bahagia dirasa sedetik cuma, baginya ia mungkin nikmat rahmat sepanjang usia. Justeru, dia tidak jemu-jemu menyatakan bahagianya.

Ketahuilah, mereka yang menzahirkan betapa dia bahagia tergolong mungkin mereka yang insaf keberadaan fana. Tidak perlu membazir-bazir masa dan ruang. Hidup ini singkat, juga tidak terjangka. Hargai apa di tangan sebaiknya. Ia telah datang dan mungkin tidak berulang. Maka, benarkan bahagia itu menghiasi ruang senyumnya.

Bahagia..berbeza-beza aturannya
Bahagia..berbeza-beza nilaiannya..

November 11, 2011

Untuk Permata Hati~catatan 11.11.11

buku untuk Iman
Untuk ulangtahun kelahiran tahun ini, kami hadiahkan buku-buku cerita untuk Amar dan Iman. Diari ulangtahun kali ini sangat menarik. Iman menjangkau 3 tahun pada 05.11.2011 bersamaan 09 Zulhijjah 1432 (Hari Wukuf) dan ulangtahun ke 5 Amar disambut dengan takbir Aidiladha pada 06.11.2011.

Oh..sudah pasti pencerita setia dan pembaca utama buku-buku ini..Ummi..! Dengan suara dan mimik berbeza-beza..:)

Hadiah sampingan pun ada..set golf mainan!catatan berkenaan golf mainan di entri akan datang..:)..mencabar kesabaran hati dan kelenguhan kaki..! 

milik Amar

November 10, 2011

Senyum

Senyumlah...meskipun hati sedang berduka
senyumlah...meskipun hati terus-terusan diluka
senyumlah...kerana pahit itu hilang dek sakti manisnya

Senyumlah...kerana segala-galanya ujian dan tanda kasih Tuhan yang tidak bertepian
senyumlah...kerana mungkin segarit senyuman itu bisa mengubat lara sepanjang usia
senyumlah...kerana mungkin ia bisa melentur kerasnya sombong dan ego didada
senyumlah...kerana mungkin ia bisa menyiram jiwa yang ketandusan

Senyumlah...ia tidak memerlukan apa-apa bayaran
senyumlah...tak perlu kata apa-apa

November 04, 2011

November Cinta

hari ini 4 november, besok 5 november, lusa 6 november. kalendar dah bertanda, juga reminder di telefon..:)

hari ini 4 november, besok Iman genap 3 tahun, lusa Amar genap 5 tahun

Tahun 2006

4 November 2006..saya sudah ditahan di wad kerana dehidrate. Kandungan sulung genap 36 minggu. Fikirkan ada 4 minggu lagi...

5 November 2006, saya masih di Wad As-Saadah PUSRAWI..masuk air..:(

6 November 2006, sesudah Solat Subuh..dia menunjukkan tanda..maka saya harus ke Bilik Bersalin!

Tahun 2008

4 November 2008..saya di rumah, berbaring atas sofa..ketika bangun untuk bersiap solat Subuh, saya kebasahan..air ketuban dah keluar!Haluan kereta kami terus ke PUSRAWI..

5 November 2008, kesakitan saya melebihi 24 jam, ruang OT saya harungi untuk kali kedua!

...

...

...

Tahun 2011

4 November 2011..kedua-dua Amar dan Iman sedang bermain di hadapan mata saya, terkekek-kekek melayan adik Rayyan yang sedang bertatih manja..:)

November 03, 2011

Panggilan

~Waiting For The Call~

Miles away, oceans apart
Never in my sight always in my heart
The love is always there it will never die
Only growing stronger a tears rose down my eye

I am thinking all the time
When the day will come
Standing there before you
Accept this Hajj of mine

Standing in ihram, making my tawaf
Drinking blessings from your well
The challenges of Safa and Marwa
 rekindles my imaan

O Allah! I am waiting for the call
Praying for the day when I can be near the Kaabah walls
O Allah! I am waiting for the call
Praying for the day when I can be near the Kaabah walls
I feel alive and I feel strong
I can feel Islam running through my Veins
To see my muslim brothers, their purpose all the same
Greeting one another, exalting one True Name
I truly hope one day that everyone's a Muslim.
That they remember you in everything they say

Standing in ihram making my tawaf,
Drinking blessings from your well
The challenges of Safa and Marwa
rekindles my imaan

O Allah! I am waiting for the call
Praying for the day when I can be near the Kaabah wall
O Allah! I am waiting for the call
Praying for the day when I can be near the Kaabah wall

c/o-Labbaikallahumma labbaik
Labbaika la syarika laka labbaik
Innalhamda wani'mata laka walmulk
La syarika laka labbaik..

Labbaikallahumma labbaik
Labaika la syarika laka labbaik
Innalhamda wani'mata laka walmulk
La syarika laka labbaik

Labbaik
Labbaik


Nasyid ini hari-hari berkumandang di TVAH terutamanya korus, kegemaran anak-anak..pernah sekali itu, di sepanjang perjalanan dari rumah kakak di Bukit Subang hingga ke kediaman kami..Amar tak putus-putus dengan lafaz talbiahnya..amiiin!insya Allah kita sampai juga satu hari nanti..

Breastfeeding Talk

Saya menerima jemputan melalui facebook ; Breast feeding Talk-1 dari sahabat Ketua HELWA ABIM, Kak Fadh. Program bertarikh 13 November 2011 di Dar Al-Hikmah. Antara pembicaranya bekas rakan serumah saya, kak Nik Zaleha.

Sejujurnya, kesedaran menyusu ibu ini masih belum melata. Sewajarnya ia diperluaskan. Ramai lagi yang tidak tahu, lebih ramai yang kurang peduli. Bermula dari seawal kandungan, hingga saat melahirkan, menyusukan dan membesarkan.  Maka, peranan ibu, ummi, mummy apa jua gelaran perlu dipertajamkan dan dikembalikan pada landasannya. Landasan iman dan fitrah.

Meskipun, ini nampak kecil pada sesetengah golongan. Menyusu, susu..apalah sangat. Hakikatnya, ia satu manifestasi jangka panjang. Kesannya sangat besar. Ya, kita mungkin boleh berkata, 'aku pun dulu minum susu lembu..elok je, jadi orang juga..takdelah pula jadi lembu'. Kita mungkin hanya melihat kita. Cuba lihat dari sudut yang lebih luas, lebih mencapah. Orang (manusia) atau lembu bukan hanya pada namanya. Sikap, sifat, cara berfikir, kecenderungan, pilihan cara hidup. Kalau tidak, masakan ada ungkapan 'perikemanusiaan' dan songsangnya manusia itu pula terungkap di balik 'kebinatangan'.

Apa yang kita lalui dan sebahagian keluarga yang lain membentuk budaya dan cara pemikiran. Budaya dan bentuk itu juga dipengaruhi zaman dan pendedahan pada ketika itu. Cabaran dan risiko cabaran juga berbeza-beza. Dunia kita juga di hujung jari, dunia generasi pewaris lebih dari itu. Dunia kita dikatakan tanpa sempadan, maka peranan kita menentukan juga menganjurkan batas-batas sempadan itu.

Walaubagaimanapun, alhamdulillah, sangat bersyukur kerana dikelilingi rakan dan sahabat yang bijak pandai, insaf arah hidup dan sentiasa bersemangat dalam berperanan. Tidak kiralah apa title, pangkat, kerjaya atau kedudukan. Tidak juga memandang kelebihan kebendaan. Saya bangga dengan mereka.

November 02, 2011

Kini~NEST 94



Dinihari kian kurasa
kuimbas kembali waktu bersama
segala kenangan silam
bagai berlaku semalam
hujan membasahi kita
kurasa bagai tangisan gembira
dan burung bagai menyanyi
lagu cinta


Kini hanyalah tinggal kenangan
tiada kurasa dalam genggaman
hanya terdaya mengimbas semula
kenangan yang lalu
tiada kata ucapan dibibir
takku sangka kali terakhir
kini..kau tidak akan kembali lagi


Sejenakku tersedar pilu
hanya bayanganmu yang menemaniku
tapi apakan daya
Tuhan penentu segala


Kesal rasa dihatiku
kerna kali terakhir kita bertemu
tiadaku melafazkan
oh kata cinta...
*lagu ini lagu kami bertujuh..ketika itu kami berpisah seketika. Selepas PMR, saya ke KISAS, Ely ke SMS Muar dan Adila ke MRSM Serting. Laili, Iya, Has dan Fais meneruskan perjuangan mereka di SMKASL. Alam varsiti juga berbeza-beza, cuma saya dan Adila bersama di UKM.
*dulu..kala berpisah selepas PMR, serasa sangat sedih (terasa-rasa hingga sekarang)..persahabatan kami kekal dengan berutus surat dan saling berkunjung. Ada pasang surut..ada juga dugaannya.
*kini..kami masih bertaut hati, masih lagi bersahabat sejati dan ketujuh-tujuh kami sudah berumahtangga..alhamdulillah..kadangkala bertemumuka, namun kami lebih kerap ber'mukabuku'..:)
*mereka..sahabat-sahabat terbaik saya, saya redha dan rela demi bahagia mereka!

Kalau Nak

Kalau dah hati kata nak, kudrat dan keinginan pun ada..maka menjadilah..


pagi, anak-anak hanya bersarapan coco crunch dan susu segelas setiap seorang. terkecuali Rayyan bersusu ibu eksklusif..:), sekitar jam 10.00 pagi persiapan hidangan tengahari telah saya mulakan. ringkas, pasta bersos spaghetti. untuk Rayyan saya asingkan pasta dan rebuskan lobak sebagai pelengkapnya..


di kala anak-anak menikmati hidangan tengahari, saya terbaca entri sahabat berkenaan garlic bread. ringkas dan mudah..berinspirasikan itu, saya mula menyingsing lengan, lihat bahan-bahan di dalam peti sejuk..dan..dah siap pun. saya bakar roti bawang putih dan panaskan/ masak sup cendawan (segera!)..


maka..kami berselera Itali petang ini..:)..terima kasih!

November 01, 2011

01.01.11 ~ 01.11.11


10 bulan lepas, jam 11 pagi, saya disorong ke dewan bedah di Hospital Pusrawi, Jln Tun Razak..dengan tawakal dan pasrah..alhamdulillah tepat jam 11.27 pagi tanggal 01.01.2011 Muhammad Rayyan bin Mohamed Faizal lahir dengan berat 2.74 kg.


Kelahiran Rayyan bertarikh sejarah, saya berselisih dengan Allahyarham Faizal Yusof di ruang dewan bedah. Dalam keadaan masih di bawah pengaruh bius, saya terpinga-pinga bila jururawat bergegas ke sini sana..'Faizal..kritikal..'..'FAIZAL?' mesin denyutan jantung saya berbunyi dan tekanan darah tidak menentu, jururawat bersegera hampir..'kenapa Puan, tenang ye..anak Puan ok, kami dah serah kepada suami puan..' 'siapa yang kritikal..suami saya Faizal'..'maaf Puan, tadi tu Faizal lain, dia sakit jantung..' sambil menegur sesama sendiri jururawat berkata 'itulah..kecoh sangat..patient ni baru keluar OT..suami dia pun nama Faizal'. Rupanya ada kisah sedih di luar sana, suami saya mengkhabarkan, dia canggung seorang di ruang menunggu. Faizal, suami saya ceria dengan keluarnya cahayamata baru, sementara keluarga Arwah menerima berita kehilangan untuk selama-lamanya.

Itu secebis kisah pada hari kelahirannya. Kini..hari ini Rayyan genap 10 bulan. Rayyan mula bertatih seawal 9 bulan 2 minggu. Sedikit cepat berbanding Amar dan Iman. Setiap kelahiran berbeza sifat dan perkembangannya. Sejujurnya kami sangat bersyukur dikurniakan anak-anak yang sihat, sempurna dan alhamdulillah..membahagiakan. Saya dan suami sentiasa berdoa agar diberikan kekuatan dan kesabaran dalam memelihara serta mendidik anugerah terindah ini.


Alhamdulillah 01-01-2011 dia lahir, hari ini 01-11-2011 dia genap 10 bulan.

Nota :
Al-Fatihah buat Allahyarham Faizal Yusof~dariNya kita datang, kepadaNya kita kembali

October 28, 2011

pandang dengar

Rasa sayang, rasa cinta, rasa rindu..semua itu tak benar-benar dirasa sekiranya kita menutup rasa indera yang ada di sekeliling kita. sebaliknya andai panca berasa tidak dibuka sewajarnya, maka timbul rasa resah, rasa curiga, rasa tak senang. bukalah indera anugerah...

kita mulakan dengan penglihatan...

  1. pandanglah sesuatu yang kita kasih dengan pandangan sayang. renung mata kekasih hati, mahupun permata hati. bila mata bertemu mata, hati yang memang sudah berpaut akan semakin kuat tautannya. pada mata kekasih ada sinar harapan, pada mata anakanda ada tulus kejujuran..pada mata bonda ada lelah dan kasih tak berkesudahan. renung dan pandanglah dengan pandangan berlandas iman kerana kadangkala sesuatu itu akan lebih mudah difahami dengan bertemu mata.
  2. dengarlah luahan dan sembang bicara buah-buah hati. mereka, tak kira keluarga mahupun sahabat telah Allah titipkan tanda kasihNya untuk kita. pada bicara suami atau isteri ada senda yang perlu dibalas, ada luah yang perlu ditumpah. pada hikmah kata orang tua pastinya terselit pesanan nasihat tiada tertara..ikhlas tanpa perlu diminta-minta. dengar juga soal tanya anak-anak yang baru mengenal dunia..semakin kita mendengar, semakin kita  memahami dan semakin kita menghargai.
  3. berkata-kata dengan kata-kata baik dan mengesankan. perangsang dan nasihat bagi simanja yang sedang bertatih berpetah. motivasi dan penenang bagi hati-hati yang sedang gundah mahupun yang sedang berceria indah. manusia bukan sekadar perlu dipujuk ketika sedih dan pedih, mereka yang sedang ria dan kaya jauh lebih wajar untuk dipupuk hatinya..pujuk dengan syukur..pupuk dengan sabar pada kesenangan dan kelapangan.
  4. kongsikan rasa penghilang lapar dan dahaga. bukan semestinya makan yang mewah-mewahan. kadangkala seringkas-ringkas hidangan jauh lebih menyenangkan. ikhlas kadangkala tersalur pada apa yang kita hidangkan. tidak payah jauh-jauh, anak-anak akan makan apa jua masakan bonda hatta telur goreng mata kerbau mahupun ikan bilis goreng bersulam bawang hirisan.
  5. sentuh dan dakaplah cinta-cinta hati. apa salahnya luangkan barang sekejap masa, urut dan lurutlah tangan ibu atau bapa (pada yang masih ada..). di situ kita akan melihat kesan masa dan usia mereka. tangan yang pernah gagah mendukung kita di suatu masa mungkin sudah lelah. peluklah pasangan halal kita sewajarnya, sesekali sentuh dan usap wajah mereka diiringi kata-kata sakti cinta.halal dan berpahala!anak-anak apatah lagi...

bukalah rasa kita..

October 24, 2011

2 kepada 5

berdua lebih baik
 
bertiga lagi baik

berempat semakin indah

berlima..indah yang meriah



...biar gambar-gambar ini yang berbicara..:)

October 20, 2011

Moero Attack


Pada suatu masa dahulu..sekitar tahun 1990-1991..
  • Kami anak Selangor yang bersekolah pagi dan petang..istilahnya sekolah mengaji..tiap hari Rabu..kami sekolah petang sekerat (sudahlah separuh hari..sekerat lagi!). Waktu ini juga..siri Moero Attack bersiaran..pukul 4.00 petang setiap hari Rabu dan Khamis.
  • Masing-masing bersemangat bola tampar..plastik berbungkus2, suratkhabar berlapik2 pun boleh jadi bola tampar. Piring terbang, somersault berpusing..teknik-teknik itu jadi sebutan dan jadi ikutan. Kadangkala sanggup mencipta pelbagai alasan untuk tidak mengaji. Hatta lagu tema Moero Attack pun dihafal...biarpun bahasa Jepun,hentam saja asalkan berbunyi. Seorang nak jadi Chun..seorang Yojia..:)..tapi sehingga sekarang tak faham fungsi orang berjubah misteri yang merisaukan Chun dan Yojia..siapa dia sebenarnya..
  • Kalau nak diikutkan..cerita ini biasa-biasa saja...tapi cerita dan kenangan disebalik ceritanya yang masih menggamit jiwa..:)

October 13, 2011

Terima Kasih Cinta

  • Saya bersyukur dan sangat rasa berterimakasih dengan jodoh dan ketentuanNya..bagi saya, kami saling melengkapi, dia suka bercerita, saya suka menulis tinta. Dia pembela dan suka menolong, saya penyumbang dalam diam bicara saya..sebagai pendorong sebagai penyokong. Bagi pertemuan pertama mana-mana, saya bukan ramah sepertinya, saya cuma petah pada yang betah mengenali.
  • kami selalu berkongsi rasa dan idea, berdebat cenderung yang berbeza-beza. Usul ruas kaum sahaja sudah berbeza meskipun tidak ketara antara benua..:). Perkongsian ini indah hikmahnya..pastinya terbaik ketentuanNya..
  • terima kasih!

Wajah Tulus

Bila saya peluk dan dodoi anak ketika dia mamai baru nak lelap, lazimnya dia meronta-ronta...dengan berat yang kian bertambah dan tendangan yang makin tangkas..kadangkala ter'merungut' juga..apatah lagi bila kesan jahitan di perut terasa menegang..keluarlah ayat-ayat begini
  • "tidurlah anak bertuah..kenapa nak meragam bagai..sakit Ummi dibuatnya.."
  • "..macam-macam Ummi nak buat ni sayang.."
  • "..sakit jahitan Ummi sayang oii..macamana Ummi nak jaga anak Ummi baik-baik.."
Bila dia dah terlena..pinggang rasa lega, tulang belikat pun reda sengalnya..dan bila tengok wajah ahli syurga itu..terdetik pula ayat-ayat ini..
  • "..tulusnya muka sayang Ummi.."
  • "..tembamnya pipi anak bertuah Ummi.."
  • "..dah ber'ketul-ketul' peha anak Ummi.."
sakit pada jahitan di perut..seolah sirna..dek wajah tulusnya..:)

October 12, 2011

Hajat di Hati

saya berhajat pada buku ini..inshaAllah, ada rezekinya nanti..ada lagi beberapa buah buku sedang dinilai dan diintai..tapi, jika mengikut marhalah keinginan..buku ini nombor satu dalam senarai idaman..:)

October 07, 2011

Hati MilikMu

Allah...
  • dorong dan lorongkanlah cinta dihati-hati ini untukMu..hidup dan nafas kami dengan keberkatanMu, aqal tindakan kami pada landasan keredhaanMu..
  • syukur kami kerana cinta kami kepada makhlukMu dengan izin dan ketentuanMu jua..kasih dan cinta keranaMu anugerah terindah..maka kekalkanlah pertalian hati-hati ini..
  • peliharalah kami dari tipudaya syaitan musuh kami yang nyata, permainan nista munafiknya manusia..
  • pergantungan dan pengharapan kami hanya padaMu..kikis dan hilangkanlah kebergantungan fana..
  • kurniakan kami kebahagiaan hakiki..rindu semata untukMu..dan kemanisan iman berkekalan
  • hasbiyaLlah..

Mereka Bicara

bisik..

abah:hmmmm..
abah dah ada anak bujang..:)..entah apa bicara mereka..

October 05, 2011

Kebanyakan..Elit?

Saya agak terganggu dengan sikap dan sifat tipikal pengurus rumahtangga kebanyakan. Diulangi Pengurus Rumahtangga Kebanyakan. Ya..pandangan ini bersifat peribadi dan selama mungkin ia tetap berpandukan perhatian dan sedikit pengalaman. Sejujurnya saya jengkel dengan keterujaan suri-surirumah pada sinetron berjela-jela di kaca TV juga ketaksuban sesetengahnya pada kisah dan cerita masyarakat setempat..situ sini..itu ini. Amat sedikit khalayak pengurus rumahtangga yang bertindak mengikut keperluan dan fitrah terbaik. Pendapat saya, tidak salah beramah tegur jiran tetangga, juga tiada cacatnya mengikuti perkembangan semasa sama ada melalui TV, internet, radio mahupun berita langsung. Tetapi saya kurang bersetuju dengan cara berfikir khalayak kebanyakan ini. Suka bersangka-sangka, paling tidak menjangka-jangka..jarang pula bertanya sebenar usul dan asal, sebab dan akibat. Malah lebih parah jika sangka menjangka dibawa kepada buah cerita, mengadu domba..aduhai wahai pemilik-pemilik lisan terbaik..beringatlah! Saya juga kurang menggemari cara khalayak sebegini mengadun dan mengolah cerita. Kadangkala sambungan sinetron dibawa-bawa menjadi topik utama, 'si hero kacaknya bukan sekadar pada rupa..ibu si heroin begitu begini sifatnya'..aduh!semak..lebih parah jika corak dan cara sebegini digabungjalinkan dalam mengemudi urusan pendidikan dan pendedahan kepada anak-anak, tanpa tapisan..tanpa olahan bijaksana. Soal ilmu, soal cabaran..juga pendedahan tanpa batasan kadangkala dikesampingkan. Maksud saya bukan kepada yang dididik, tetapi kepada yang mendidik. Kadangkala, mungkin kita tergolong kurang minat membaca..maka hampirkanlah diri pada orang dan ruang yang bijaksana. Utamakanlah mengenal ilmuan berbanding seniman rupawan. Kaca TV..internet..dah berpuluh saluran..tinggal buat pilihan, sudah banyak cabang maklumat. Internet bukan sekadar ber'muka buku'..berbuku-buku perkara yang boleh ditempa dan ditimba. Kadangkala kita mungkin tergolong cenderung kepada rutin aktif fizikal, berjogging...bersenam..apa?poco-poco?apa salahnya..seimbangkan juga dengan me'neguh'kan tiang sebenar dalam jasad bernyawa ini..solat! Mantapkan hubungan dengan Pencipta, perbaiki kewajipan yang ada..mungkin ada lompang, masih ada yang belum sempurna..ayuh..!perbaiki dan perbetulkan. Pada ruku'..pada sujud..pada qiyamnya juga pada waktunya..sudah terselit hikmah-hikmah indah..untuk badan juga untuk hati. Bila hubungan dengan Pencipta dijaga, maka haluan aqal, tindakan dan pendirian juga tidak mem'babi' buta..(kasihan haiwan itu..yang buruk2 sahaja untuknya). Seterusnya panduan hidup dengan izinNya tidak lari dari landasan hakiki. Catatan ini belum habis sebenarnya..ada lagi ayat-ayat cinta yang berlumba-lumba di kepala..namun saya ada panggilan alami dari cinta-cinta hati..ohhh..saya ingin menjadi Pengurus Rumahtangga Elitan bukan Kebanyakan..:)

September 23, 2011

Raya Bersama B5J5-Rumah Tok Penghulu Sg Buaya

sida,mrs nizam,nizam,tuan rumah,zamri,ujie,shikin,aid,yan

zamri,faizal,izah,edy,yan,laili,erol

idi,ijai,fahmy dan BB masing-masing

huda,dqnie,hanim dan anak masing-masing

Alhamdulillah..kami bersua lagi pada Syawal ini. Gambar-gambar di atas diambil ketika Gath B5J5 Aidilfitri 2011 di rumah Tok Penghulu kami, Normasrizal (Ijai). Saya dan keluarga sampai usai Maghrib dan berkesempatan menjadi antara tetamu penutup. Tahniah Ijai dan Ina..terima kasih sudi menjadi tuan rumah kali ini. Gambar?Ada lagi..:)

fahmy,nawal,dq nie

wan,adila

Tn Azhar,Fahmy BB,Khairi Biskut

Erol, Shukri (Sarai-Tetamu Akhir)

Batch kami memang 'lekat'...:)..Kami kenal sejak 1992..dan sebahagian besarnya bertukar sekolah selepas PMR 1994..sehingga kini..kami masih bersama..Alhamdulillah.


September 21, 2011

Yang Dapat

  • Sebenarnya entri ini khusus untuk seorang sahabat..bila dia baca, dia tahu..:)..saya cuma dapat 3 daripada 6. Edisi 1 begitu rare, kehabisan stok ketika menebusnya, edisi ke 5 dan 6, saya lebih hirau dengan meriahnya Syawal..:)
  • Pengalaman beratur panjang di Tmn Mayang menjadi kenangan berharga untuk saya dan anak-anak, disitu juga terbukti bahawa bangsa itu tak mudah melepas ruang dan peluang. Siapa dan kenapa?Tanya saya.

Sotong di Sebalik Mee

powerrr..

lapar ni..

Kami dah dua kali berkunjung di sini..maksudnya..sedap..!Gerai Mee Goreng Sotong Power ini terletak di Seksyen 2, Shah Alam. Krew JJCM juga telah berkunjung ke sini, cuma sehingga tarikh ini belum bersiaran lagi..(mungkin 2-3 minggu lagi agaknya)..Lokasi?
  • Medan Selera Seksyen 2-Shah Alam,
  • Bersebelahan dengan KFC, berhampiran kaunter pandu lalu
  • Bersebelahan juga dengan ATM CIMB dan gerai ABC
Cubalah..memang powerrrrrrr..:)

September 19, 2011

Kisah Oktober

 

Ada 2 slot kegemaran saya pada majalah berinformasi ini;
  • LAKTASI~kupasan bulan ini begitu memberikan inspirasi, kisah kesungguhan ibu yang berusaha menyusui anaknya meskipun dalam NICU. Pengalaman-pengalaman sebegini seharusnya menjadi motivasi kepada bakal ibubapa untuk meletakkan azam dan kekuatan demi memberikan yang terbaik untuk anak-anak.
  • PENDIDIKAN PRAFORMAL~termasuk edisi ini saya telah menyoroti 4 bahagian kupasan pakar berkaitan 'Belajar Melalui Bermain' untuk si kecil 2 hingga 6 tahun. Penyelidikan dan perbincangan beliau cenderung pendidikan dan pengasuhan alami, belajar dan pintar dengan pengalaman.
Untuk mengajar dan mendidik, kita juga harus belajar dan terdidik. Dunia sekarang di hujung jari, ilmu ada di mana-mana, meskipun berstatus suri sepenuh masa, pastikan maklumat dan ilmu sentiasa didahaga dan ditimba!
     
     

September 13, 2011

Soto Terbaik

Saya dah ke merata tempat, tapi bagi saya soto di sini tetap yang terbaik. Kalau berhujung minggu di kampung mak, saya dan suami sering berkunjung ke Pasar Sabtu Kg. Bukit Kucing, semata-mata untuk me'nyoto' (istilah ini belum terwarta untuk kegunaan umum..:)).
Sejak kecil, soto di pasar ini juga yang menambat selera saya. Saya dan suami berkongsi kampung halaman. Kalau dulu, masing-masing 'mengejar' soto yang sama bila bercuti semester (untuk saya) atau bercuti di kampung datuk (untuk suami saya), kini kami sama-sama 'mengejar' soto itu bersama anak-anak pula. Soto di sini ada 2 versi; RM 2.00 untuk mangkuk kecil, dan RM 3.00 untuk mangkuk sederhana. Pilihan air minuman pun dua versi; sirap dan sirap limau, ringkas tapi cukup!

Apa yang istimewa..?
  • sup..sedang-sedang,hidang panas-panas
  • nasi impit..lembut, resepi orang tua-tua, bukan segera!
  • sambal..terbaik..!
  • ayam..dicarik halus dan terasa ke'ayam'annya..:)
  • kenangan dan rutin kenangannya...
Selalunya untuk diri sendiri saya akan memesan begini; "achik..soto 3 ringgit,tak nak tauge..nasi impit dan begedil tambah ye..mmmm air sirap x mau ais.."

September 12, 2011

Dunia Terindah

ummi dan permata2 hati

Dua gambar di atas..cukup..untuk menggambarkan kegirangan hati Ummi di pagi Syawal, rakan kongsi Ummi ketika berperasaan indah ini sudah tentu yang sedang mengambil gambar..:)

Pada masa ini..

  • gelak tawa dan hingar tangis mereka masih di sisi dan di depan mata
  • ragam kerenah mereka sedang di'layan' sedayanya
  • ummi dan abah sangat2 bersyukur dengan anugerah yang paling indah!

September 10, 2011

Kaya I

  • kaya rakyat Malaysia ini..tengah-tengah bulan pun lot parkir Giant penuh.
  • kaya rakyat Malaysia ini..di kala mesin timbang tak setara harga belian, mampu lagi menimbang-nimbang pilihan..mampu lagi mengimbang rasa tekak..
  • kaya rakyat Malaysia ini, dikatakan harga emas naik berperatus-peratus, masih lagi tersenyum dengan kad bertaraf platinum
  • kaya rakyat Malaysia ini, pangkat jawatan taklah setinggi mana, masih berdaya mengisi borang pinjam meminjam..ohhh apa salahnya, kadar faedah ikutan zaman..semua orang berhutang..cukup bulan,cukup gaji,bayaran pun cukup-cukup..
  • kaya rakyat Malaysia ini....

Firdaus 1994

Gambar kelas ketika Tingkatan 3 pada tahun 1994. Sayang sangat gambar ini, sayang dengan kenangannya, rindu dengan suasananya. Masih berhubungan baik dengan sebahagian wajah-wajah dalam gambar ini..:)

September 07, 2011

Mukim Akhir

Pagi 1 Syawal 1432~Al Fatihah dan doa dari kami untukmu. Di sana, jasadmu disemadikan. Di sini kasih sayangmu sentiasa jadi kenangan.

Dia Datang..

Setiap hari kita akan belajar perkara baru, meskipun bentuk dan ragamnya sama adalah berkemungkinan pengalamannya berbeza. Seperti saya selalu perkatakan, setiap kelahiran permata hati membawa cerita dan episod tersendiri. Sebagaimana resamnya zaman, keperluan serta pendekatan mendidik dan memelihara buah hati juga berkembang seiring waktu. Saya tidak pernah jemu!

Entri Berkaitan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...